Wednesday, November 17, 2010

Everything Great Starts From World Expo

Exposition – atau Expo – mampu membawa perubahan ekonomi dan peradaban, jika diatur secara tepat.

Everything great starts from World Expo”, kata Song Chao, Editor-in-Chief buku The World Exposition Reader.

Pada Abad Ke Lima, Parsi atau Iran menganjurkan Expo di luar dari bentuk pesta atau fair biasa. Ia satu kemajuan mendahului zaman, diukur dari kaca mata zaman.

Sejak Abad ke Lima Belas, Negara-negara Eropah mula menganjurkan Expo masing-masing untuk menarik pelancong dan memperkenalkan produk-produk baru mereka. Ia serentak dengan era perluasan jajahan dan perdagangan mereka ke Timur Jauh.

Raja Louis XI menganjurkan French Industry Exposition di London pada Abad Ke Lima Belas. Ia dianggap prototype Expo Dunia moden pada hari ini.

Pada 1756, The Royal Academy of Arts menganjurkan The British Industrial Expo untuk memperkenalkan peralatan dan ciptaan baru yang canggih.

Sejak itu, Negara Eropah bergilir ganti menganjurkan Expo masing-masing dengan pelbagai tujuan. Ia sebahagian dari pergerakan kmajuan bagi tiap-tiap Negara penganjur dan juga dunia.

Pada 1849, Prince Albert dari Britain menganjurkan Ekspo Antarabangsa untuk mempamirkan kemajuan peradaban manusia dan pembangunan mereka. Bagi dua tahun berikutnya, persiapan berjalan rancak untuk penganjuran Work of Industry of All Nations, yang berlangsung pada tahun 1851 dengan 14,000 peserta dari 25 negara dan 15 jajahan British. Lebih dari satu juta item dipamirkan.

Antara yang paling penting dan mutakhir yang diperkenalkan pada Expo itu ialah teknologi enjin wap.

Sejak itu, dunia mengasaskan apa yang kini di panggil World Expo dan ia adakan di Negara yang berbeza secara bergilir.

Melalui Cheng Ho Expo, nama Kelantan kini sekurang-kurangnya dikenali oleh 200 juta penduduk Cina menerusi laporan pelbagai laman web lewat search engine Cina sendiri – Baidu.com.

Wilayah-wilayah di Cina yang dulunya tidak mengenali Kelantan kini, telah mempunyai pelbagai bentuk hubungan rasmi dan tidak rasmi.

Masyarakat Islam di Cina seakan dikejutkan untuk bekerjasama sebagai satu keluarga dengan rakyat Kelantan. Mereka datang dari lebih dari sepuluh wilayah berbeza di Cina ke Kelantan – sebuah negeri yang dulunya tidak pernah mereka kenali.

Untuk sampai ke Kota Bharu, tetamu ini perlu terlebih dahulu mendarat di Kuala Lumpur, pada hal jarak Kelantan dengan mana-mana wilayah Cina adalah lebih hampir. Sekalipun terpaksa melalui perjalanan yang lebih jauh untuk tiba ke destinasi yang sebenarnya lebih hampir dari segi ukuran jarak, tibanya tetamu-tetamu ini adalah petanda yang sangat menggalakkan.

Persahabatan ini, boleh berkembang mengambil bentuk yang konkrit dan bermakna bagi Negeri Cik Siti Wan Kembang untuk sekurang-kurangnya dua dekad akan datang.

Cheng Ho: Giving and Sharing kemakmuran





Petang ini, sewaktu meninjau persiapan di tapak Cheng Ho Expo(CHE), hati saya merasa sangat bersyukur.

Gerai-gerai utama di dalam China Pavillion rancak disiapkan. Dekorasi ala China Pavillion di Shanghai World Expo begitu menarik sekali. Begitu banyak booth dari China mengisi China Pavillion ini sebenarnya di luar jangkaan saya sama sekali.

Dr. Tan Ta Sen, seorang pakar sejarah Cheng Ho sendiri turut bermandi peluh menyiapkan susunan artifak dan bahan pameran di Dewan Pameran Kelantan Trade Center. Saya sangat berbesar hati.

Akhirnya, impian melihat hubungan dagang dan persahabatan Kelantan – China sudah di ambang kenyataan.

Islam menyebutnya ‘silatur rahiim’ atau friendship atau persahabatan.

Silatur Rahiim’ tidak terbina kecuali kita saling berhubungan.

Lebih banyak lembaran khazanah Benua China di buka, semakin terasa benarnya kata-kata ‘tuntutlah ilmu sekalipun sampai ke Benua China.’

Hari ini, rakyat Kelantan berpeluang berguru dengan Negara China yang sudi bertamu di Kelantan beramai-ramai. Pedagang mereka, ahli budaya, imam, pemimpin masyarakat, pemimpin kerajaan, ilmuwan, penghibur – Muslim dan bukan Muslim.

Bukan mudah mengumpulkan mereka. Imam berjanggut panjang dari Ganzu, ahli akrobatik ternama dunia dari Xinjiang, peniaga dari Ningxia, pelombong dari Yunnan, teknologi terkini termasuk rumah kos paling rendah dari utara China yang terkenal dengan suhu sejuknya- Harbin, atau rakan dan kenalan Kelantan dari Taiwan, Kazakhstan, Krygstan dan tiga belas wilayah China.

Terakhir, petang ini, Timbalan Pengerusi New Hope Group(NHG) dan empat Ahli Lembaga Pengarahnya mengesahkan untuk datang. NHG bukan sembarang syarikat. Nilai jualan tahunan NHG ialah USD $6.5 billion. Pekerjanya mencecah 60,000 orang. Ia adalah pemilik terbesar Minsheng Bank di China.

Tentulah ada sesuatu yang istimewa dengan Kelantan sehingga mereka sudi berkunjung. Selain itu, Dantong Group yang dimiliki oleh orang Islam China dari Kunming juga tidak kurang besar, bukan sahaja akan ikut serta dalam CHE malah bersetuju membantu Kelantan merencanakan ekonominya untuk tahun-tahun akan datang.

Besarnya nilai persahabatan – jarak menjadi dekat dan rasa terpisah oleh hambatan apa sahaja kini mula dirungkai.

Jika Kelantan dapat meletakkan asas perhubungan yang tepat, ia akan beroleh manafaat yang besar dari China. Apa sahaja, bukan sahaja perdagangan, ekonomi atau pelancongan dan perniagaan, bahkan pendidikan, pertukaran budaya, perubatan, kerjasama pengeluaran halal dan pelancongan Islam.

Lebih dari itu, anjakan paradigma tentang Islam itu sendiri.

Mungkin itu falsafah yang didokong oleh Cheng Ho dalam melaksanakan misinya. Berhikmah. Memberi dan berkongsi - seperti ditulis oleh Prof Hum dari National University of Singapore - dengan tajuk Cheng Ho Art Of Collaboration, satu dari kertas yang diedarkan dalam Seminar Cheng Ho dan Islam di Asia Tenggara, 20 November ini di Balai Islam Lundang.

Korban yang dilaksanakan oleh ummat Islam hari ini - di hari Idul Adha - antara lain - ialah untuk berkongsi sesuatu yang kita miliki dengan orang lain. Baik fakir dan miskin, mahupun ummat manusia seluruhnya.

Thursday, July 15, 2010

Tabung Impian Rakyat Malaysia

Impian yang lama. Tapi belum tercapai.

Akankah tercapai? Atau tinggal cuma impian di alam mimpi?

Impian untuk melihat Malaysia dipimpin pemimpin bersih, berjiwa rakyat, mendokong prinsip kedaulatan undang-undang tanpa mengira bulu dan warna kulit, menerusi tonggak keadilan dan kesaksamaan. Lalu membawa ruh persaudaraan, hormat menghormati dan hidup harmoni. Membawa bersama kemakmuran yang boleh dinikmati seluruh pelusuk rakyat. Dengan bimbingan petunjuk akhlak dan hidup beragama.

Ditengah-tengah politik adu domba, satu kumpulan kaum dianggap musuh kumpulan kaum yang lain, untuk mengekalkan kuasa bagi merompak kekayaan negara dan membiarkan rakyat semakin menderita.

Fitnah dan serangan peribadi membuta tuli bertalu-talu lalu menutup kebebasan media yang menjadi teras sebuah bangsa merdeka yang berdaulat di bumi sendiri.

Yang dekat dijarakkan, yang jernih menjadi keruh, yang benar diputarbelitkan, yang sesat dijunjung, yang keparat menjadi sanjungan.

Hidup sehari-hari terasa haru biru dari Perlis sampai ke Sabah. Pertentangan, pergisiran, jenayah, ancaman, ugutan, bebanan, pembohongan dan kepungan.

Sampai bila harus begini?

Dari hari ke hari terasa semakin sempit bagai ditolak menuju lubang kubur semata-mata untuk sebuah kuasa bernama BN terus bertakhta. Terakhir, kenaikan mendadak lima dalam satu untuk menyambung hayat kerajaan yang sedang retak menunggu rebah ini.

Adakah kita semua dilahirkan hamba? Terpenjara?

Segala impian murni melihat tertegaknya 'kerajaan kita' dari rakyat untuk rakyat tidak pernah ada ruang untuk bernafas dan mengambil tempat dalam alam nyata?

Di tengah kepungan media dan salah guna instrumen kuasa, wajib bagi kita semua yang masih bernyala dalam dada sebuah impian murni bangkit mengumpul kekuatan.

Sebuah dana untuk menambah kekuatan untuk mengorak sebuah perubahan akan dilancarkan dengan nama Tabung Impian Rakyat Malaysia (TIRAM) pada 7 Ogos 2010, beberapa hari sebelum Ramadhan.

Majlis Makan Malam Perdana sempenan pelancaran akan diadakan.

Saudara saudari boleh melayari laman web khusus kami dalam sehari dua lagi untuk mengambil bahagaian dalam apa jua cara .

Harapkan kerjasama anda semua.

Thursday, July 01, 2010

Vincent Tan lebih gagah dari Najib

Sekalipun PM telah umumkan niat asal untuk luluskan judi bola terbatal - kejayaan desakan pihak di luar Kerajaan - Vincent Tan bangkit tunjukkan keberaniannya.

1. Vincent Tan mengadakan perjumpaan dengan penganalisa perniagaan judi tiga hari selepas Najib umum lesen judi bola tak jadi lulus.

2. Dalam perjumpaan itu, Vincent Tan tunjukkan surat kelulusan asal bertarikh 13 Januari tahun ini. Vinvent Tan masih menekankan Kerajaan Najib telah pun memberikan kelulusan bertulis. Enam bulan kemudian, kerana desakan bertubi-tubi, barulah kelulusan itu ditarik balik.

Syabas Vincent Tan! Lulus kata lulus.

Ternyata Vincent Tan tak peduli apa UMNO nak kata. Dia dedahkan keadaan sebenar. Ini baru betul-betul raja judi.

UMNO terkebil-kebil dengan tindakan berani Vincent Tan.

Tak ada siapa berani tegur. Lepas laku taukeh besar kita ini.

Nasib baik ada rakyat yang sedar. Ada gerakan politik yang bersepadu. Dap yang memberikan ukuran moral yang memalukan UMNO. Ada UMNO Johor (atas pengaruh Muhyidin atau takut kalah pilihanraya?) turut sama akhirnya menolak kelulusan ini.

UMNO Kelantan, Terengganu dan Kedah tak seberani UMNO Johor. Kelu membisu.

3. Pagi sebelum Vincent Tan menemui para penganalisa industri perjudian dalam majlis makan tengahari, Vincent Tan melalui syarikatnya Berjaya Corp mengeluarkan satu kenyataan bertulis menyatakan kesal yang amat sangat di atas pembatalan itu. Sekali lagi, dalam kenyataan bertulis itu, disebut bahawa 'pembatalan itu dibuat selepas sebelum ini Kementerian Kewangan telah meluluskan semula lesennya' - dan ayat berkenaan digaris untuk memberikan penekanan.

Maknanya, Vincent Tan bercakap benar dan beliau mahu buktikan beliau bercakap benar. Ada orang lain bercakap tidak benar.

4. Dalam pertemuan itu juga, Vincent Tan yakin pelan perjudiannya akan diperbahurui semula pada masa akan datang.

KUALA LUMPUR, June 28 — Tycoon Tan Sri Vincent Tan today accused illegal bookmakers of spending millions of ringgit to fund a campaign to torpedo his plans for legalised football betting, and would wait for the right conditions to revive plans, gaming analysts said today. Malaysian Insider.

Bila? Selepas pilihanraya umum nanti? Selepas Pakatan Rakyat tak kuat?

He also told gaming industry analysts that Pakatan Rakyat (PR) was to blame for the Najib administration’s backtracking,

Vincent Tan terang-terang salahkan Pakatan Rakyat atas pembatalan itu. Dia tak salahkan mufti-mufti atau Utusan Malaysia atau Perkasa. Menarik juga.

Apa yang Vincent Tan nak kata, kalau BN menang besar pilihanraya akan datang, hidup semula lah lesen judi bola beliau.

Sekarang, kita nak siapa gagah? Rakyat gagah melalui Pakatan Rakyat sehingga lesen ini tak boleh lulus selama-lama atau nak Vincent Tan dan BN gagah untuk mereka laksanakan niat tertunda mereka?


5. Dalam perjumpaan sama, didedahkan bahawa Kerajaan pernah bayar ganti rugi kepada Berjaya Corp atas pembatalan lesen yang telah mereka perolehi sebelum itu. Pembatalan tahun 1990 (masa DSAI jadi Menteri Kewangan?) bolehkan Berjaya Corp dapat ganti rugi sebanyak 18.9 juta.

Beliau nak kata, kali ini, Berjaya Corp akan dapat ganti rugi sekali lagi kerana Menteri Kewangan memang dah bagi kelulusan.

Vincent Tan nampaknya bukan sahaja kaya, tetapi pemimpin UMNO, tak ada yang dia segan atau takut....

Saman Felda, lalu rakyat diam?

Saya seronok membaca kenyataan Ahmad Maslan. Felda menyaman PKR dan Suara Keadilan.

Tajuk berita Suara Keadilan ' Felda Bangkrap' dikira memfitnah Felda.

Ternyata Felda terdesak menutup perbincangan bagaimana rizab tunai susut lebih cepat dari paip bocor.

Felda memang belum bangkrap. Bangkrap yang dipakai sebagai tajuk oleh Suara Keadilan juga bukan bermaksud begitu.

Saman satu cara. Jika ada pihak yang takut lalu membisu, seronoklah Felda. Cerita ia berbelanja besar akan tertutup.

Tidak semudah itu. Saya yakin ramai pihak akan membantu Suara Keadlan merangka afidavit mendetailkan pemborosan-pemborosan dan pebelanjaan yang mengeringkan kantong Felda. Afidavit ini boleh dipetik pula oleh apa saja media. Mungkin, kesan tidak memihak kepada Felda.

Itu sebab saya seronok. Ini 'launching pad' untuk gerakan membongkar Felda mendapat tempat terhormat.

Jika Felda benar dan perbelanjaannya prudent, tidak ada salah menjemput MP ke satu taklimat Felda. Buka untuk pertanyaan. Ajak media ikut sama. Bentangkan penyata yang diodit. Jelaskan rasional tiap perbelanjaan dan pelaburan.

Rakyat rasa puas. Keraguan hilang. Keyakinan terbina. Maruah Felda memuncak.

Ahmad Maslan menekankan nilai saman RM 200 juta. Sekalipun Suara Keadilan ditakdirkan membayar semua saman itu, ia tidak cukup untuk menampung akaun Felda yang kekeringan.

Pada waktu Felda hauskan 200 juta dari Suara Keadilan, rakyat hauskan penjelasan tentang kedudukan Felda. Kehausan ini terus membengkak sekalipun Felda memfailkan sepuluh saman lagi.

Tuesday, June 29, 2010

UMNO Putera keringkan wang Felda

Saya boleh membantu menjelaskan, sebahagaian, bagaimana ceritanya rizab tunai Felda dikeringkan.

Sejumlah setengah billion, (RM 512 juta) dibelanjakan melalui projek-projek (tak perlu dan di luar tugas Felda) yang disiapkan oleh firma arkitek yang sama.

Firma arkitek diterajui seorang Ketua Pemuda UMNO Bahagian di Terengganu ini sudah pasti ada hubungan kekeluargaan yang rapat dengan tokoh dari Terengganu juga yang memayungi Felda.

Kasih sayang kekeluargaan mereka diluaskan dengan mencari jalan bersama bagaimana wang Felda boleh 'diuruskan'. Jumlahnya bukan sedikit, demi warga Felda tercinta....

Lantaran itu, projek bukan bidang tugas Felda sama sekali, turut dibiayai oleh Felda atas sifat pemurahnya. Seperti Kolej Komuniti di Terengganu (RM 18 juta) dan Sabah (RM 22 juta), Menaik Taraf Bekalan Air Di Pahang (RM 200 juta) dan pembinaan Maktab Rendah Sains Mara (RM 120 juta).

Apa kena mengena Mara dan Felda? Kos Maktab ini ialah RM 120 juta dan Felda dengan segala senang hatinya membiayai sepenuhnya. Mungkin kerana wang tunainya terlalu banyak, Felda berbesar hati membiayai projek bukan bidang tugasnya sekalipun.

Kononnya pula Felda sudah memasuki alaf moden dan untuk itu, bentuk impian Felda akan datang dibina dengan ciri-ciri peneroka Felda masa depan. Ia dipanggil Feldajaya.

Rumah bungalow mewah berharga mahal, rumah kedai dan lain-lain ciri bandar baru dalam satu kawasan 'masa depan' di bina. Setakat ini, empat Feldajaya telah dibangunkan (Mempaga, Trolak, Serting dan Cini) dengan reka bentuk oleh firma arkitek yang sama. Setakat ini, kosnya ialah RM 152 juta.

Samada rumah kedai dan bungalow ini laku dijual atau tidak, Felda tidak peduli sangat. Yang penting, itulah rumah peneroka masa depan Felda!

Asal dikata moden, wang habis tak mengapa. Itulah bagusnya bila ada wang melimpah.

RM setengah billion oleh firma arkitek bertuah ini.

Sebelum ini, saya telah tunjukkan, RM 800 juta pelaburan Felda di US dan Kanada. Pegawai Felda tak sampai setengah dozen yang membeku dek kedinginan di Quebec di musim sejuk, barangkali ada cerita boleh dikongsi dengan kami di Malaysia.

Maknanya, di sini sahaja, saya telah membantu Felda menjelaskan bagaimana sebanyak RM 1.3 billion rizab tunai Felda dibelanjakan!

Selebihnya, Felda sendiri boleh tolong jelaskan.....

Kalau Felda tak ada masa untuk jelaskan untuk tunjukkan pengurusannya telus dan amanah warga Felda menjadi taruhannya, saya tak ada masalah untuk jelaskan sedikit demi sedikit.

Thursday, June 24, 2010

Felda: Susut 2.7 B atau 8 B?!

Berapa sebenarnya rezab tunai Felda susut? 2.7 billion atau 8 billion?

Teliti kenyataan Ahmad Maslan di lobi Parlimen;

Speaking to reporters at the Parliament lobby later, Ahmad explained that Felda's cash reserve was at RM4.08 billion in 2004 but dropped to RM1.35 billion in 2009 - a plunge of RM2.73 billion over a five-year period.

He said that the difference was used for welfare purposes - RM2 billion for replanting crops, RM603 million for interest-free housing loans, RM253 million for the Sabah poverty eradication fund and RM662 million for the new Felda headquarters.


a. Baki pada akhir 2009 - RM 1.35 billion.
b. Baki pada akhir 2004 - RM 4.08 billion.

Antara tempoh 2004 sehingga 2009, adakah Felda tidak menerima apa-apa pembayaran? Semua ladang Felda tak ada hasil dalam tempoh lima tahun itu? Satu sen pun tak masuk?

Kenyataan Ahmad Maslan di atas seakan antara 2005 hingga 2009, Felda langsung tidak menerima sebarang wang dan wang berbaki hanya apa yang dibelanjakan dari rezab terkumpul sehingga 2004 tadi.

Mustahil!!

Maklumat tepat yang saya perolehi, antara tempoh 2005 hingga 2009, Felda menerima pendapatan tunai sejumlah RM 5.2 billion lagi!

Penerimaan tunai Felda adalah seperti berikut;

a. 2005 - RM 682 juta
b. 2006 - RM 697 juta
c. 2007 - RM 1.270 billion
d. 2008 - RM 1.70 billion.
e. 2009 - RM 830 juta

Jumlahnya menghampiri RM 5.2 billlion!

Jumlah ini perlu dicampur dengan baki 2004. Bila dicampur dengan baki 2004, jumlahnya ialah RM 9.28 billion!

Baki 2004 - 4.08 billion
Masuk 2005 - 2009 - 5.2 billion
Jumlah - 9.28 billion

Baki sehingga 2009 seperti kenyataan Ahmad Maslan hanya RM 1.35 billion.

Ini bermakna wang yang susut lebih dari RM 2.78 billion kerana jumlah semua rezab tunai Felda bersekali dengan baki 2004 ialah RM 9.28 billion ditolak dengan baki yang tinggal sehingga 2009 ialah RM 1.35 billion (RM 9.28 b tolak RM 1.35 b = RM 7.9 menjadikan jumlah sebenar yang telah susut dalam tempoh lima tahun ini ialah menghampiri RM 8 billion!

Mengenai perbelanjaan pula, perhatikan semula kenyataan Ahmad Maslan di atas. Senarai perbelanjaan sehingga wang itu susut adalah seperti berikut;

RM2 billion for replanting crops, RM603 million for interest-free housing loans, RM253 million for the Sabah poverty eradication fund and RM662 million for the new Felda headquarters.


a. RM 2 Billion untuk tanam semula
b. RM 603 juta untuk pinjaman perumahan tanpa faedah
c. RM 253 juta untuk program kemiskinan di Sabah
d. RM 662 juta untuk menara baru ibu pejabat Felda

Pertama : Menara Felda masih dalam pembinaan. Kenapakah bayaran penuh telah dibuat? Mustahil! Kalau masih berlaku, ia satu perkara yang sangat pelik.

Kedua : RM 2 billion untuk Tanam Semula.

Kenapa guna rezab tunai Felda?

Bukankah Felda mempunyai Tabung Tanam Semula? Bukankah Felda telah mengutip sebanyak RM 4 sebulan seekar dari kesemua 112,000 penerokanya untuk lima tahun? Tabung itu sudah mencecah hampir satu billion dan tanam semula tidak pernah menggunakan rezab tunai Felda.

Adakah kedua-dua kenyataan ini benar? Atau kedua-duanya salah?

Kedua kenyataan ini tidak benar adalah lebih menasabah.

Bermakna, Felda gagal menjelaskan ke mana wang tersebut telah lesap dan Felda juga gagal menjelaskan angka sebenar wang rakyat yang di jaga oleh Felda susut.

Jumlah yang tidak kecil. Semua perolehan ini adalah dari ladang-ladang getah dan sawit, samada mempunyai peneroka seluas 1.2 juta ekar di seluruh negara mahu pun tanpa peneroka sejumlah 800,000 ekar.

Jika keuntungan sebesar itu disumbangkan oleh ladang-ladang di Malaysia, apa jaminan pelaburan Felda di luar negara boleh menyaingi apa yang disumbangkan dalam negara?

Bila Datuk Najib memperkenalkan konsep Felda patut mengembangkan sayapnya menjadi pemain global, apa jaminan pengembangan itu akan menyihatkan Felda dan bukan untuk mencabut bulu-bulunya sehingga nanti menjadi burung tanpa bulu?

Setelah Felda melabur di Amerika dan Kanada dalam Twin River Tech masing-masing sebanyak RM 300 juta dan RM 500 juta, berapakah jumlah keuntungan yang telah dihasilkan?

Secanggih mana teknologi pemprosesan biji bunga matahari dan soya yang ada di kilang ini sehingga pelaburan Felda sedemikian besar?

Dengan RM 300 juta yang dibelanjakan dan pegangan 85% dalam TRT itu, mampukah Felda mengawal pengurusannya atau kita sekadar melihat dari jauh sebelum apa-apa terjadi terhadap wang kita sejumlah RM 800 juta itu tadi?

Jangan jadi seperti kita membeli syarikat motor oleh Proton dulu yang berakhir dengan dijual hanya satu euro!

Tidak semestinya bila Felda mempunyai kilang penapis sawit di sini, pengurusan penapisan bunga matahari nun jauh di Kanada juga kita boleh kuasai. Itu pun sebahagian kilang penapis Felda telah pun dijual kepada syarikat dari India untuk membolehkan Felda melabur tak kurang dari RM 688 juta pula dalam penternakan lembu untuk menghasilkan susu dan daging!

Apa istimewanya syarikat pembekal daging lembu (sebenarnya kerbau?) dari India itu tidak kita ketahui, sehingga selain dapat membeli kilang penapis, dapat pula menikmati diskaun belian minyak sawit mentah sebanyak USD20 per metrik tan sedangkan anak syarikat FELDA sendiri - Felda Vegetable Oil Product cuma diberi subsidi sebanyak RM20 per metrik tan.

Misteri! Lubang besar Felda?

Bagaimana kita rakyat biasa boleh membongkar misteri ini?

Wednesday, June 23, 2010

Felda Bersemayam Tinggi, Nasib Peneroka Jangan Dilupakan

Rebranding Felda - itulah tujuannya Menara Felda setinggi 50 tingkat di bina di atas tanah termahal di Malaysia. (“It’s a move to rebrand Felda, which has been known as a highly-successful land development authority in the country and overseas,” Najib added).

Najib said Felda’s choice of an office tower reflected its intentions to showcase its successes and motivate its staff.. Nak tambah semangat kerja kakitangan Felda! Ah! Kerja di menara mahal?

Kontraktor telah pun dipilih untuk membina Menara Felda di atas tapak kepunyaan Felda sedia ada di Jalan Semarak. Pelannya telah pun disiapkan dan tidak kurang dari RM 3 juta terpaksa dibayar untuk lukisan pelan bangunan tersebut. Hangus. Pelan itu masuk kubur sebelum bangunannya lahir.

Kosnya lebih murah - RM 220 juta, jika Felda membina menaranya di atas tanahnya sendiri. Felda sendiri akan menjadi pemajunya. Tapak sedia ada menjimatkan kos dan boleh menambah nilaikan hartanah kepunyaan Felda sendiri. Pengerusinya masih boleh pusing kerusi di tingkat tertingginya.

Kuasa dari atas telah mengubah keputusan yang telah dibuat sebelumnya. Felda perlu berdiri sama tinggi dengan Petronas dan perlu berada di kawasan hartanah yang paling mahal dalam negara. Dari menjadi pemaju sendiri atas tanah milik sendiri, Felda kini menjadi pembeli kepada hartanah yang dimajukan oleh orang lain.

Keputusan diubah. Menara baru akan dibeli.

Platinum Park nama diberi. Berdekatan dengan KLCC - ini kata orang besar Felda - adalah anak KLCC! Keseluruhan kompleks akan ada tujuh menara dan yang tertinggi adalah Menara Felda. Yang lain milik pemaju. Kalau KLCC sudah lama berdiri, tiba masanya ia beranak. Sebagaimana ibunya(KLCC) menelan kos yang tinggi, begitulah anaknya (Menara Felda) dan kali ini bil kelahiran ditanggung oleh Felda.

Jumlah keluasan keseluruhan bangunan adalah 689,000 kaki persegi dengan keluasan lantai setiap tingkat adalah 15,000 kaki persegi. Harga permulaan untuk bangunan kosong termasuk hanya lima tingkat tempat letak kereta, - adalah RM 640 juta. RM 420 juta lebih tinggi dari kos asal.

Jika Felda mendirikan menaranya ikut cadangan asal, RM 420 juta tadi boleh dibelanjakan untuk insuran kesihatan lebih 100,000 penerokanya, misalnya.

Bila bangunan ini siap sepenuhnya, dianggarkan kosnya mencecah RM 1 billion. Dengan anggaran itu, kosnya mungkin menjangkau RM 20 juta setingkat.

Bayarannya sepatutnya ikut progress. Namun, jika ikut logik Ahmad Maslan di Dewan Rakyat, ketika menjelaskan bagaimana wang Felda berjumlah RM 4 billion telah susut kepada hanya RM 1.35 billlion, harga lebih 600 juta telah dibayar habis. Bangunan belum siap tapi wang telah dibayar.

Jika sebenarnya bayaran belum habis, ternyata penjelasan Ahmad Maslan ada yang tak kena. Duit telah susut RM 2.65 billion dan untuk menggenapkan jumlah itu, harga Menara sebanyak 640 juta telah dimasuk kira pada hal bayaran sebenar tidak begitu. Jika iya begitu, ke mana baki wang itu pergi?

Samada penjelasannya silap atau memang wang itu lesap untuk sebab yang tak dapat dijelaskan.

Dari 50 tingkat ini, berapakah yang akan terpakai dan berapa pula yang akan tinggal kosong?

Berbahagialah Pengerusi Felda bersemayam di puncak menara ini sebelum Felda menurut jejak Sime Darby.

Monday, June 21, 2010

Felda: Benteng Menanah

Felda terbangun dari keringat dan azam politik. Dalam membangun warganya, terdengar suara rungutan seakan ada penindasan dalam bantuan. Jika tidak dengan lingkungan terkongkong, barangkali warganya telah jauh lebih makmur.

Namun, sedikit peraturan yang kurang memihak kepada warga yang keringatnya ditumpahkan dikatakan mustahak untuk menghasilkan kejayaan kolektif dalam bentuk lembaga besar Felda yang kaya raya.

Tekanan itu disamakan dengan pengorbanan.

Hari ini, jika warga Felda yang telah berkorban itu dikhianati, wajarkah kita berdiam diri?

Hari ini, tanda-tanda Felda telah dikhianati muncul satu demi satu, tetapi jawapannya yang memuaskan hati tidak muncul seperti dinanti.

1. Benarkah Felda telah melabur RM 500 juta, ulang, RM 500 juta di Boston & Cincinatti di Amerika tiga tahun lalu? Apa jadi dengan pelaburan dalam Twin Rivers INC?

Benarkah pelaburan ini telah hangus?

Benarkah RM 500 juta ini bukannya pelaburan tetapi cara untuk wang Felda 'dileburkan'?

Tentulah pelaburan sebesar itu dibuat dengan pertimbangan yang halus dan sebab yang menasabah. Kerana pelaburannya besar, jawapan yang terang sangat dinantikan.

Jika pelaburan itu dibuat dengan pertimbangan teliti, mustahil ia boleh lesap begitu sahaja.

Jika pertimbangannya hanya kerana mengikut telunjuk satu dua orang sahaja, kita tidak tahu berapa banyak lagi wang Felda 'lebur' dengan cara ini. Apa lagi, jika 'peleburan' itu memang dirancang dan ada yang girang mengaut keuntungan darinya.


2. Kenapa Felda mengambil keputusan membina bangunan ibu pejabatnya di premis termahal sehingga kosnya melambung? Adakah Felda merasa ia telah menjadi elit ekonomi dan perlu mengasingkan diri di tempat ekslusif dengan membelanjakan wang titik peluh lebih seratus ribu warganya yang setengahnya masih merempat?

Dari asalnya kos hanya sekitar RM 220 juta, kini meningkat melebihi RM 660 juta. Apakah faedah yang akan diperolehi oleh para peneroka Felda?

Adakah Felda memerlukan bangunan bertaraf tujuh bintang setaraf dengan KLCC?

Siapakah yang membuat keputusan ini? Apa asas keputusan ini?

Jawapan telus dan berterus teranglah yang akan membantu Felda terus utuh dan harapan warga Felda tidak punah.

Pengakuan Kerajaan di Dewan Rakyat bahawa akaun Felda telah merosot berbillion ringgit dalam sekelip mata membuktikan berita-berita tentang wang Felda diurus sesuka hati mula menampakkan ada kebenarannya.

Namun, penjelasan Kerajaan hanya mengukuhkan apa yang kita dengar. RM 2 billion yang kononnya surut kerana digunakan untuk program tanam semula semacam mengiyakan wang sebanyak itu memang telah hilang. Bagi menjawab wang iu memang telah hilang tetapi mengelakkan warga Felda melenting, ia dikaitkan dengan tanam semula. Padahal, tabung tanam semula telah sedia wujud dari potongan para peneroka dan ia telah diletakkan dalam akaun yang berasingan. Satu perkara dua kali kira.

Rakyat, terutama orang Melayu perlukan jawapan. Jawapan yang paling baik ialah melantik odit bebas dengan satu laporan di Parlimen diperlukan. Bukan hanya jawapan politik Ketua Penerangan UMNO Malaysia.

Lagi pun, Felda bukan milik UMNO. Felda tidak harus dibenarkan 'cair' bersekali dengan trend bocornya kerugian satu demi satu konglomerat negara kita.

Thursday, June 17, 2010

Najib bubar Parlimen, mestikah kita bubar DUN?

Padang permainan tak sama rata telah menguasai pilihanraya Malaysia sejak UMNO mewarisi negara ini dari penjajah.

Sebahagian sebab kemenangan UMNO/Perikatan dan UMNO/BN selama ini ialah kerana mereka menguasai semua instrumen penting untuk menjadikan proses pilihanraya sentiasa menyebelahi mereka.

Setiap dua kali pilihanraya, mereka mengubah sempadan pilihanraya ikut corak yang membolehkan mereka menang mudah dengan ramuan berubah-ubah peratusan Melayu-Cina-India dan beberapa faktor lain.

Kali ini, hingga kini, mereka tidak lagi boleh berbuat demikian kerana majoriti dua pertiga yang telah hilang buat pertama kalinya.

Apa lagi unsur pilihanraya yang boleh diubah untuk menjadikan padang lebih sama dan rata?

Bagaimana dengan tarikh pilihanraya?

Najib dengan nada yakin memberitahu kita, tarikh pilihanraya hanya berada dalam tangan beliau. Beliau telah berjanji menjadikan tarikh pilihanraya sesuatu yang mengejutkan. Itu yang diucapkan beliau di Kelantan semalam.

Pilihanraya mengejut bertujuan memerangkap pembangkang dan mencari satu masa di mana pembangkang belum bersedia atau sedang mengalami pusingan ke bawah. Termasuk dengan media stage yang mereka atur.

Jika itu janji Najib dan kita hanya mengikut, sekali lagi tangan UMNO berada lebih atas.

Jika Najib dengan berani menunjukkan bahawa beliau 'in command', apa pilihan kita untuk membolehkan Najib berfikir dua kali?

Apa kata empat negeri Pakatan menetapkan tarikh pilihanraya DUN lebih awal?

Sebelum Najib membubarkan Parlimen, kita mengumumkan tarikh pilihanraya kita sekarang.

Tak semestinya tarikh pilihanraya itu awal tetapi penetapan tarikhnya diumumkan awal.

Ini bermakna, tarikh pilihanraya DUN di empat negeri itu berbeza dari tarikh pilihanraya Parlimen jika sekiranya Najib memilih mengadakan pilihanraya berbeza dari tarikh yang telah kita umumkan.

Mereka bubarkan Parlimen tetapi kita tidak bubarkan DUN sampai tarikh yang telah kita isytiharkan.

Pilihanraya DUN dan Parlimen tidak berjalan serentak, kecuali mereka menjadualkan sama dengan jadual kita.

Ada dua kemungkinan. Pertama, mereka ikut tarikh kita atau mereka berunding bersama untuk menetukan tarikh lebih awal dan terbuka seperti yang selama ini kita kehendaki. Ini bermakna, tarikh pilihanraya bukan lagi teka-teki dan memberikan kelebihan kepada mereka semata-mata. Atau, mereka terus berdegil dan membubarkan Parlimen tak bersamaan tarikh dengan kita.

Namun, kita telah mulakan satu precedent baru iaitu tarikh pilihanraya ditetapkan secara terbuka. Bukan bermisteri dengannya. Bukan pula dijadikan senjata yang menguntungkan parti pemerentah semata-mata.

Tindakan begini bertujuan menghapuskan monopoli penentuan tarikh pilihanraya. Tindakan demokratik untuk kesaksamaan kepada semua pihak.

Pilihan tarikh itu boleh atas berbagai asas. Jika nak genapkan lima tahun, bermakna DUN empat negeri Pakatan hanya akan dibubarkan awal 2013. Jika empat tahun nak digunakan sebagai asas, DUN boleh dibubarkan pada awal 2012. Akhir 2012 boleh juga dipilih untuk memberikan masa yang cukup untuk negeri ini ditadbir tanpa terlalu banyak politiking pilihanraya.

Paling penting, Najib perlu tahu, mengejut atau tidak, bukan beliau seorang sahaja berhak untuk tentukan.

Wednesday, June 16, 2010

Hujan Iringi PM Terbang Awal

Malam ini asalnya dijangka mencatat sejarah tertentu bagi Kelantan. PM akan sepentas dengan Mursyidul Am PAS yang juga MB Kelantan, menyaksikan perasmian Kelantan Fiesta oleh Baginda Pemangku Raja Kelantan.

Malam ini, sejarah masih tercatat tetapi dengan cara yang sama sekali tidak dijangka.

Bukan sahaja Pemangku Raja tidak berangkat atas apa jua sebab, PM yang dalam rangka lawatan rasmi sehari ke Kelantan dan kemuncaknya akan merasmikan sendiri event Kerajaan Pusat yang dinamakan Kelantan Fiesta itu di Stadium Sultan Muhammad, pulang awal tanpa sempat menjejakkan kaki ke situ.

MB dan Kerajaan Negeri memutuskan tidak bersama, antara lain kerana pertukaran dari 'agenda bersama' kepada 'hanya agenda Pusat'. Poster One Malaysia menunjukkan PM akan merasmikan acara itu tergantung di sana sini.

Kemuncaknya malam ini, hujan ribut 'menyerang' semua persiapan di Stadium bersejarah itu. Hujan bermula sejak 8.30 malam. Sehingga jam sebelas setengah, ia masih turun renyai-renyai selepas turun dengan lebat sebelumnya.

Orang ramai, atas apa jua sebab, samada kerana hujan dan ribut mahu pun hal yang lain, tidak membanjiri stadium itu seperti lazim berlaku pada acara anjuran Tok Guru sebelum ini. Suku stadium pun tak ada. Lengang.

Tentulah memalukan untuk PM datang berucap dalam suasana hiba seperti itu. Ia bukan lagi kemuncak yang ditunggu tetapi kemuncak yang sangat mengharukan.

Tidaklah ganjil untuk PM memutuskan terus menaiki pesawat pulang ke pangkuan keluarga tercinta. Tinggal-lah anak buah terkial-kial, bagai kucing jatuh ke air. PM perlu dielak atau patut mengelak dari tempias peristiwa upset ini. Biarlah hujan menguasai malam dan sejarah dirakam seperti kehendak Pencipta.

Datuk Mustapa terpaksa memikul akibat dari keputusan politik dangkal mengenepikan Kerajaan Negeri dan tetamu kehormat lainnya di saat akhir, sehingga akhirnya beliau terpaksa berdiri di hadapan padang yang kosong untuk acara perasmian mengantikan PM. Tugas yang berat. Tak semena-mena, bekalan elektrik pula terputus.

Ketentuan Ilahi nampaknya tidak menyebelahi penganjur, walau apa jua motif mereka, tersurat atau tersirat.

Saya membuat catatan ini sebagai mengingati besarnya kuasa Ilahi dan eratnya Kelantan dijaga oleh Pengawal langit dan bumi.

Di padang yang mulia kerana telah menyaksikan ratusan ribu manusia telah sujud di atasnya dan tidak kurang pula titisan air mata yang tumpah ketika heningnya hubungan para hamba dengan Sang Pencipta di situ dalam siri-siri solat hajat yang telah berjalan berbelas kali, nyata menunjukkan keramatnya.

Termasuk solat hajat royalti minyak. Solat hajat untuk ummat Palestin. Solat hajat untuk memenangkan perjuangan rakyat.

Nampaknya, padang itu tidak mudah melupakan pihak yang menganiayai rakyat Kelantan tetapi mahu berpesta di atasnya.

Mengenepikan tuan rumah - tentulah bukan langkah bijak. Apa lagi, PM semata-mata bukanlah tarikan besar bagi orang Kelantan untuk memenuhi stadium sebesar itu. Usahkan stadium, dewan biasa pun belum tentu penuh.

Lantaran itulah, langkah awal penganjur ialah berpijak atas kerjasama dengan Kerajaan Negeri. Bermakna bekerjasama dengan populariti Tok Guru. Dari sana, penetrasi boleh bermula.

Entah apa gerangan dan perhitungan, di saat akhir mereka ingin bersendiri. Sesetengah berkata, 'UMNO tetap UMNO...'.

Ada peluang, mereka mencengkam. Taring UMNO mereka sentiasa tersedia.

Monday, May 31, 2010

Marahkan Israel Mesti Dimulakan Dari Putra Jatya

RM 77 juta wang rakyat Malaysia yang dibayar kepada Apco tidak syak lagi menunjukkan perkongsian kita atas pembunuhan petugas misi kemanusiaan Freedom Flotila.

Amat menyayat hati bagaimana akhirnya Malaysia sedikit sebanyak terlibat dengan penajaan keganasan Israel - menerusi Apco.

Rakyat marhaen seperti biasa menunjukkan kemarahan mereka atas kekejaman Israel dengan berarak ke kedutaan Bapa Angkat Israel - Amerika. Ia langkah yang baik - sekurang-kurang kita mempamirkan respon dan kemarahan kita.

Namun, selepas Kedutaan Amerika, tidak selesai demo bantahan ini jika kita tidak lanjutkan ke depan pejabat Perdana Menteri.

Pembatalan serta merta kontrak Apco tidak boleh dilakukan oleh kita rakyat biasa. Ia hanya boleh dilakukan oleh Perdana Menteri dan kebencian kepada kekejaman Israel harus dibuktikan dengan menidakkan peranan Israel dalam urusan negara kita. Apa lagi, memberikan agen risikan Israel yang berlindung di belakang syarikat penasihat semua dokumen rahsia negara, seperti tercatit dalam perjanjian kontrak berkenaan.

Menaja syarikat dari Israel sama dengan menaja Israel. Bermakna, tangan kita telah terpercik darah saudara kita yang tertindas.
Terpercik sama darah rakan kemanusiaan dari seluruh dunia yang telah dibunuh Israel ketika sedang berusaha membuka tirai besi penindasan ke atas rakyat yang tidak punya apa-apa di Gaza - selain simpati dunia.

Alangkah azabnya perasaan kita berpemimpinkan pemimpin yang sedang mengisi poket Israel dengan wang kita sendiri pada waktu Israel sedang menunjukkan keangkuhannya.

Saya bersetuju dengan pendirian pemimpin Pakatan memberikan PM masa 48 jam untuk bertindak.

Tindakan seterusnya ialah himpunan rakyat mendesak ditarik balik cubaan mengenakan tindakan menggantung Dewan ke atas DSAI - atas pendedahannya mengenai hubungan Malaysia- Apco - Israel.

Jika tidak, Israel mentertawakan kita. Baru beberapa bulan Apco diterima menjadi penasihat negara kita, kita sudah bersedia mengorbankan anak watan kita sendiri demi Israel.

Kita marahkan Amerika. Tapi jangan lupa, kalau kita sendiri gagal membetulkan tindakan Putra Jaya, apa sangat yang hendak kita harapkan dari Amerika? Apa lagi Israel. Kita mulakan dari Putra Jaya.

Jika di depan kedutaan Amerika kita berapi-api tapi Apco masih tegak berdiri di Putra Jaya, itu namanya hipokrit.

Kalau kita marahkan Amerika kerana tidak berbuat apa-apa tetapi kita sendiri secara salah menghukum rakyat kita kerana mendedahkan skandal Apco, itu maknanya kita telah bersatu hati dengan Israel.

Freedom Flotilla Diserang: Malaysia Terus Berdengkur Dalam Dakapan Apco

Israel - tanpa mempedulikan kutukan dunia - membunuh paling kurang dua puluh sukarelawan kemanusiaan menuju Gaza!

Israel nekad. Jika selama ini hanya rakyat Palestin dibedil sesuka hati, kini, warga dunia dari segala pelusuk, tidak terkecuali. 20 dilaporkan terkorban dan 50 yang lain cedera.

Sekalipun misi dunia menerusi Freedom Flotila adalah kemanusiaan - membawa makanan dan ubatan - untuk ummat Palestin yang telah lama menderita, Israel tidak teragak menumpahkan darah mereka.

Bersama di atas kapal Mavi Marmara yang mengetuai konvoi ini ialah rakyat negara kita. Kita sangat berbangga!

Mungkinkah mereka juga terkorban?

Erdogan, Perdana Menteri Turki, juga harus kita banggakan. Mavi Marmara adalah kapal Turki.

Turki memberikan reaksi pantas. Duta Israel di Ankara diminta berundur. Tiga latihan ketenteraan dengan Israel dibatalkan. Turki meminta Bangsa-Bangsa Bersatu mengadakan sidang tergempar.

Sweden, Sepanyol, Denmark dan Greece juga memberikan reaksi segera dengan memanggil duta Israel. Perancis meminta insiden ini segera disiasat.

Malaysia?

Sehingga jam 9 malam, 31 Mei 2010, semakan menerusi web Bernama, tidak ada satu pun kenyataan dari mana-mana pemimpin Malaysia mengenai serangan durjana Israel ini. Menteri Luar masuk tidur begitu awal?

Kerajaan Malaysia hanya beroperasi mengikut jam pejabat hingga lima petang?

Kita tidak merasa apa-apa dengan serangan Israel ini? Kita tidak risaukan tentang keselamatan rakyat kita? Kita tidak marahkan Israel bertindak kejam dalam perairan antarabangsa menghalang bantuan kemanusiaan untuk ummat manusia yang sedang menunggu dunia membuka jendela mereka?

Malaysia seharusnya membatalkan kontrak dengan syarikat Israel - Apco - sebeberapa segera. Jika Malaysia telah membayar RM 77 juta kepada syarikat Israel itu, kita mesti menyumbang untuk manusia tertindas di Gaza lebih banyak dari itu.

Malaysia perlu menyokong tindakan Turki memanggil sidang khas Bangsa-bangsa Bersatu.

Malaysia perlu menghantar apa jua bantuan yang diperlukan untuk warga kita yang terlibat.

Dalam respon segera, DAP, Pemuda UMNO, PAS dan PKR masing-masing telah mengeluarkan kenyataan.

Kerajaan Malaysia? Lena dalam dakapan Apco.

Bagi rakyat Kelantan, menerusi NGO Cakno Palestin, mereka kini menaja sekitar tiga puluh pelajar anak-anak kelahiran Palestin belajar di negara ini.

Jumlahnya kecil tetapi ia boleh ditambah jika dana sedia ada dapat didokong bersama rakyat Malaysia yang prihatin.

Dengan luka yang dilakukan oleh Israel kini, menjadi kewajipan kita serius dalam keprihatinan kita terhadap penindasan tak kunjung tamat oleh regim Israel terhadap rakyat Palestin.

Monday, May 24, 2010

Driver BN kena malu dengan MCA

Tuesday May 25, 2010

Di bawah tajuk 'Boy's RM8mil gambling losses', The Star Online hari ini melaporkan MCA Kapar berjaya memungut 2,000 tanda tangan untuk kempen “Anti-Gambling at Internet Cafes” hanya dalam masa dua jam.

Berita selanjutnya ialah mengenai seorang remaja ketagih judi. Pada usia 19 tahun, ia telah kalah judi sebanyak RM 8 juta! Judi bola sepak online adalah kegemaran beliau.

Ia mewarisi tabiat perjudian itu dari bapanya, seorang jutawan.

MCA memungut tanda tangan menyekat perjudian, termasuk perjudian bola sepak online. UMNO?

Tanggungjawab moral MCA nampaknya melebihi parti 'driver' BN.

PORT KLANG: A boy who went into high-stakes gambling at the age of 16 accumulated losses amounting to about RM8mil by the time he was 19.

The boy, a millionaire’s son, had allegedly followed in his father’s footsteps by gambling and ended up losing millions in foreign football bets over the Internet.

His compulsion for betting was so great that he came to be known as the Little Dragon.

Yesterday, Klang Barisan Nasional chairman Datuk Teh Kim Poo (pic) who was unable to coax the teenager to come forward to relate his gambling spree, said the youth’s gambling habit stemmed from his father, a compulsive gambler.

“This teenager grew up watching his father gamble and at the age of 16, he began to gamble after gambling agents gave him a credit line of RM100,000. Each time he was buried in debt, his father would bail him out. Over these three years, there have been several bail-outs,” he said.

Teh added when the accumulated losses came to RM8mil, it was the last straw for the father. The man, in his 50s, barred him from gambling and stopped his son from attending college. He now works with his father.

Teh added that Pandamaran New Village had become a hot place for such gambling and simple wooden houses were equipped with Internet facilities for the activity.

On Sunday, Klang and Kapar MCA held an “Anti-Gambling at Internet Cafes” signature campaign at the Taman Eng Ann morning market.

It got more than 2,000 signatures from parents in two hours.

Sunday, May 23, 2010

Judi Bola: Tamrin Bersama

Tahniah dan terima kasih, Bang Tamrin.

Anak bekas Timbalan Presiden UMNO ini menyertai suara keprihatinan rakyat Malaysia rentas budaya membantah lesen perjudian tambahan - judi bola Piala Dunia.

Beliau mengutus surat terbuka kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan disalinkan pada semua media.

"Di mana letaknya UMNO dalam perjuangan Islam?" - soal Datuk Tamrin.

Kata Tamrin, "......satu kemungkaran boleh menjadi ‘mata rantai’ kepada kemungkaran yang lain." Ini sangat penting.

Beliau memberikan empat keburukan nyata perjudian iaitu rumah tangga porak peranda, dilanda hutang dan along, kanak-kanak ikut terlibat dalam kancah perjudian dan kualiti dan produktiviti merosot - dalam surat terbuka itu.

Jika Tamrin dapat melihat isu ini dengan suluhan pemikiran yang cerah melampaui dua parameter UMNO: wang untuk kuasa dan kuasa untuk wang, UMNO sedang menempah maut.

Ia kini lebih besar dari rentas budaya. Isu ini kini menjadi rentas parti juga.

Bekas Presiden UMNO, Pak Lah juga telah bersuara.

Maknanya hati kecil pemimpin dan pengikut UMNO - dari Tamrin sampai Pak Lah - juga tidak merestui penghalalan ala ali baba ini.

Keputusan siapa untuk membatalkan kelulusan ini yang kita tunggu? Najib atau Rosmah?

Lukisan Baru Melalui Rentas Budaya

Kenyataan ADUN Dap Kampung Tunku, YB Lau Weng San, menyentuh hati saya.

Beliau berhujjah, pemberian lesen judi bolasepak, tidak sama sekali akan berjaya menghapuskan perjudian tanpa lesen. Selama ini pun, sekali pun berbagai judi berlesen wujud, perjudian tanpa lesen terus berlaku.

Katanya, tujuan judi dilesenkan hanya satu, iaitu Kerajaan dapat mengutip keuntungan dengan cukai yang dikenakan.

Beliau mempersoalkkan sikap berdiam diri Perdana Menteri dalam isu ini.

Selanjutnya, beliau mencabar UMNO dan Perkasa menyatakan pendirian mereka dalam isu ini. Bersetuju atau menentang? Kiranya UMNO mengaku sebagai juara Islam, mereka perlu nyatakan sikap, YB Lau mengasak.

Tindakan berdiam diri UMNO membuktikan sikap hipokrit parti itu, katanya. Ketika pilihanraya kecil Ulu Selangor, UMNO membesar-besarkan isu judi dan kini, mereka pula meluluskan lesen perjudian tambahan.

Kenyataan YB Lau Weng San ini sangat penting.

Pertama, ia meletakkan UMNO bersalah dari segi agama dan moral. Ruang UMNO menggunakan alasan budaya kaum bukan Melayu untuk menghalalkan tindakannya tanpa memperdulikan kesan sosial rakyat dari dasar-dasarnya sudah berlalu.

Kedua, ia membantu masyarakat Melayu-Islam lebih menerima perjuangan Pakatan Rakyat.

Memencilkan UMNO dalam arus politik masa depan dan memperkukuhkan kepercayaan masyarakat terhadap viabiliti perkongsian PAS-DAP-PKR dan parti lain dalam Pakatan Rakyat adalah formula kembar untuk melakar momentum yang cukup untuk perubahan politik.

Kenyataan YB Lau memenuhi dua formula ini sekaligus - formula silang budaya.

Apa yang perlu dilakukan oleh Pakatan ialah memperbanyak program berbentuk silang budaya ini, terutama di kawasan Melayu.

Jika pimpinan DAP dan PKR bukan Melayu dari berbagai peringkat dapat diturunkan di kawasan pengundi Melayu dan bercakap satu nada dalam isu-isu rentas kaum dan budaya seperti ini, benteng mental pengundi Melayu yang dibina oleh UMNO selama ini akan runtuh.

Anthony Loke, MP Dap dari Rasah, juga antara tokoh yang selalu menyentuh isu perjudian di Dewan Rakyat.

Saya, Anthony dan YB Saifudin akan berucap tentang isu ini di Kelantan pada 26 Mei ini.

Ramai lagi pimpinan lain DAP dan PKR yang dapat digandingkan dalam program rentas budaya ini.

Benteng mental pengundi Melayu perlu ditembusi, jika PAS dan Pakatan ingin berjaya dalam pilihanraya yang akan datang. Waktu ini, bukan sedikit orang Melayu masih sangsi dengan keserasian pasangan DAP-PAS. Adakah ia tidak merugikan Islam dan orang Melayu? Kerana DAP 'dilukiskan' dalam minda orang Melayu sebagai anti Melayu dan anti Islam. Seperti mana PAS 'dilukiskan' sebaliknya pula dalam minda bukan Melayu.

'Lukisan' ini menghasilkan petak minda yang agak sebati. Ia memerlukan kita membuat satu 'lukisan' baru dengan lebih banyak usaha 'melukis' kita lakukan. Usaha 'melukis' ini perlu dirangka oleh pimpinan Pakatan.

Pengungkapan yang sesuai. Pengungkapan di khalayak pengundi Melayu hatta ke desa-desa. Pandang sendiri dengar sendiri.

Lukisan baru.

Sunday, May 16, 2010

DAP dah menang 390 undi: Kenapa SPR lambat umum?

Kekecewaan BN tidak harus menjadi kekecewaan SPR.

DAP, dari penjumlahan yang telah dibuat, telah menang 390 undi! Ia rasmi kerana semua borang 14 - pengesahan jumlah ndi bagi setiap peti undi - semuanya telah ditandatangani oleh agen tiap parti. Cuma, ia belum diumumkan sedangkan kiraan sudah selesai.

Mengambil kira undi yang telah dijumlahkan di peti undi Kg. Ilir Nangka yang lazimnya menjadi kuat BN dan undi penyelamat (undi pos), DAP menang dengan 390 undi. Majoriti undi kawasan Melayu Kg Ilir Nangka telah menurun dan undi pos untuk BN kali ini tidak mencapai tanda aras 2,700 undi seperti lazim. BN kena bersedia menerima pengumuman ia telah tewas.

SPR tidak perlu menunggu melakukan magic untuk menghilangkan kemenangan ini kerana dunia sedang memerhati!

Umum saja DAP menang....

Wednesday, May 12, 2010

Pentas 'Kenali Pemimpin UMNO' sanggah lesen judi Piala Dunia

Kenyataan Tony Puah, Ketua Pemuda DAP, tentang langkah Najib melesenkan perjudian Piala Dunia, amat membanggakan.

Akhbar melaporkan kelulusan telah diberi kepada Berjaya Group untuk 'memakmurkan' lagi perjudian negara kita, kali ini mengambil kesempatan dari 'mood' nak berjudi sempena Piala Dunia.

Jelas, BN memanipulasi peluang ini untuk mengaut sebanyak mungkin keuntungan. Moral politik tidak pernah menjadi ukuran. Hujah lapok untuk mengelakkan perjudian 'haram' dengan dilesenkan, dicukaikan dan dikutip dividen untuk menjadi 'halal' terus digunakan.

Di tangan UMNO/BN sahaja terletak kuasa menghalal dan mengharamkan. Mereka berkuasa lebih dari Tuhan.

Kesan ekonomi dan sosial kepada rakyat terbanyak semua kaum tidak pernah diambil kira.

Tony Puah menyindir - inikah bentuk Model Ekonomi Baru Najib?

Zulkifli Nordin sekali lagi memberi amaran, dalam masa terdekat salah satu negeri Pakatan akan tumbang mengikut cara Perak. Rampasan kuasa melalui pembelian.

Saya yakin begitu. Berdasarkan maklumat.

Keuntungan judi ini akan digunakan untuk satu operasi politik yang kotor.

Bukankah kita masih boleh bersuara dengan pelbagai cara dan gaya untuk mendedahkan kejalangan tindakan ini?

Pentas Rakyat yang mempamirkan tokoh pelbagai latarbelakang hendaklah segera diadakan di seluruh negara - menerangkan isu ini.

'Kenali Pemimpin UMNO' di Kedah, di Selangor, di mana-mana sampai ke desa-desa. Atau apa jua nama lain.

Jika Tony Puah dan lain-lain pemimpin bukan Melayu boleh bersama pemimin seperti Tok Guru Presiden dan Mursyidul Am dan lain-lain - mencela langkah UMNO/BN mengambil kesempatan melesenkan perjudian ini dengan 2,000 premis jualan di seluruh negara, UMNO/BN boleh terencat.

Ia akan menjadi pentas pertama seumpamanya dalam isu ini.

Dalam UMNO sendiri bukan sedikit yang tidak bersetuju dengan polisi 'gila wang semata-mata' ini.

Lihat laporan Berita Harian , Sabtu 8 mei, muka surat 2;

“Syor lesen pertaruhan Piala Dunia dibantah”

…..cadangan kerajaan untuk mengeluarkan lesen pertaruhan….mendapat tentangan banyak pihak termasuk pemimpin UMNO kerana memberikan kesan negatif dan imej buruk kepada Negara yang majority rakyatnya beragama Islam……

AMT Umno , Mohd Fuad Zarkashi, berkata cadangan berkenaan bukan saja menjejaskan imej kerajaan , malah bertentangan dengan perlembagaan persekutuan yang mengiktiraf Islam sebagai agama rasmi……..

Mufti Perak , Tan Sri Harussani …semua bentuk judi termasuk pertaruhan bola sepak sempena Piala Dunia adalah haram dalam Islam

Bekas penasihat agama istana, Datuk Abu Hasan Din Al-hafiz, .. berkata kerajaan tidak wajar meneruskan niat untuk mengeluarkan lesen pertaruhan sukan terutama sempena Piala Dunia kerana langkah itu menggalakkan masyarakat termasuk umat Islam terjebak dengan kegiatan perjudian.

Presiden Peguam Syarie Malaysia, Mohamad Isa Abd Ralip, …secara tegas membantah cadangan itu yang akan memberikan kesan ……

Penasihat Majlis Agama Islam Johor, Datuk Nooh Gadut ..cadangan terbabit adalah tidak wajar dan bertentangan dengan ajaran Islam sekiranya ingin memperoleh kemakmuran

Pergerakan UMNO Bahagian Kuala Kedah “ lesen pertaruhan piala dunia undang kebencian pengundi Melayu” - …saya berpendapat kerajaan tidak perlu mengeluarkan lesen berkenaan keranan aktiviti perjudian dan pertaruhan haram tetap berlaku kerana sindiket judi tetap akan menganjurkan pertaruhan haram bagi mendapatkan keuntungan yang lebih… …… perkara lebih penting lagi isu lesen judi itu akan terus berkumandang sehingga PRU ke 13 nanti. Ia akan dijadikan modal oleh pakatan pembangkang terutama PAS bagi menarik sokongan pengundi Melayu…….. Ketika itu pendapatan untung yang tidak seberapa hasil cukai judi Piiala Dunia 2010 tidak akan dapat menampung kebencian pengundi Melayu terhadap BN umumnya dan UMNO khususnya.

Tuesday, May 11, 2010

Kalau panas, MCA kena berdiri atau berlari?

Presiden MCA telah keluarkan kenyataan pimpinan komponen BN kena boikot himpunan memperingati 13 Mei di Kuala Terengganu.

Kerajaan Terengganu di mana seorang dari anggotanya adalah dari MCA secara lagsung atau tidak langsung, terlibat dalam penganjuran himpunan ini.

Maknanya, MCA sendiri terlibat, kecuali wakil tunggalnya menyatakan pendirian terbuka mengenainya.

Apa guna Chua Soi Lek minta diboikot selagi MCA menongkat UMNO?

Satu situasi sukar untuk rakan-rakan UMNO dalam BN.

Soalnya, kenapa di Terengganu? Kenapa tidak di Sibu?

'Kebangkitan Melayu' yang menjadi tema himpunan ini, menjadikan bulu roma sesetengah orang berdiri.

Kepakaran UMNO dalam mendirikan bulu roma sudah terbukti sejak dulu. Apa hasilnya selepas bulu roma berdiri selain kesempatan mengukuhkan kuasa politik UMNO untuk meneruskan mengaut kekayaan kelompok, samar.

Sebagai orang Melayu dan 96% rakyat Kelantan adalah orang Melayu, diharap pemimpin Melayu yang menghidupkan bulu roma dengan 'Kebangkitan Melayu' ini, dapatlah kiranya menunaikan hak Kelantan ke atas royalti minyak kami. Melayu Kelantan pun Melayu. Kenapa hak Melayu Kelantan dinafi?

Harapannya tipis, kerana tokoh tamu yang akan berucap, Tun M, adalah pemimpin Melayu pertama yang menyekat royalti minyak Terengganu dan malangnya, orang ini akan bercakap mengenai Melayu Bangkit!?

Melayu tidak akan bangkit tanpa mendokong Islam dan mendokong Islam tidak akan berlaku tanpa prinsip keadilan dan kesaksamaan yang telah diperkosa dengan hilangnya 'rule of law' dalam negara kita.

Jangan gunakan Melayu untuk Kebangkitan UMNO dan dengan kebangitan itu, Melayu sekali lagi ditindas.

Monday, May 10, 2010

A-wang Judi

Dr. Awang Adek umumkan MoF besar kemungkinan lesenkan judi bola Piala Dunia.

Judi One Malaysia.

Objektif utama pelesenan, Kerajaan turut dapat wang. Sesuai namanya pun ada bunyi wang, Dr. Awang nampaknya berbangga menjadi orang pertama umumkan langkah tak bermoral Kerajaan BN itu. Dr. Awang berani. Mungkin dah dapat fatwa mana-mana Mufti. Operator berminat yang ada belakang pengumuman ini boleh urut dada lega dan tepuk belakang Dr. Awang lepas ini.

Selain Kerajaan, sudah tentu operator akan mengaut kekayaan besar. Sebahagian keuntungan mudah ini untuk dana pembelian politik. Pemberian lesen, segala-galanya menjadi wang sekelip mata.

Saya diberitahu beberapa rakan, matlamat utama pelesenan judi ini ialah mengutip tabung untuk operasi politik BN. Target utama mereka ialah menawan semula Kedah. Samada pembelian ADUN sedia ada atau belanja pilihanraya akan datang. Negeri Pakatan yang lain juga tidak terkecuali.

Taukeh sama yang akan mendapat lesen nanti dikatakan telah berjasa dalam kes Perak.

Wang kotor untuk kerja kotor oleh parti yang kotor.

Di Hulu Selangor, UMNO amat prihatin dengan segala pantang larang Islam. Hatta bela kuda lumba sudah dikira syubhat dengan perjudian lumba kuda. UMNO belasah habis.

Selang tak sampai seminggu, UMNO balik pada wajah asal mereka. Judi untuk perjudian politik.

Kalau nanti digelar orang, Awang Judi, malulah kami orang Kelantan....

Thursday, May 06, 2010

Tenggiri kita berenang ke Brunei

Terima kasih atas pelbagai respon positif untuk menentukan tindakan penggandaian 10,000 km persegi wilayah ekslusif economic zone Malaysia kepada Brunei adalah terbatal dan tidak sah.

Sokongan YB Kit saya sanjung tinggi. Begitu juga sokongan beberapa rakan dari Sabah dan penyokong biasa yang telah mendaftar di alamat gadailautmalaysia@gmail.com.

"The freedom from threats to national interest in, on, over and concerning the sea"

Demikian tertera kata pegangan Laman Keselamatan Maritim, Majlis Keselamatan Negara, Jabatan Perdana Menteri! Hebat sekali!

Benar! Kita diancam dari 'laut'. Sekelip mata 10,000 km persegi wilayah kita melayang!

Dalam laman tersebut dipaparkan Peta Baru Malaysia 1979 dan Peta Sempadan Maritim Malaysia. Dengan jelasnya Blok L dan M mengikut peta rasmi Malaysia itu, ditandakan sebagai berada dalam sempadan negara.

Berikutan pemberian itu, kita mengalami kekurangan 10,000 km persegi kawasan laut dari keluasan asal Zon Ekslusif Ekonomi (Exclusive economic Zone) seluas 453,186.18 km2 atau 174,979.43 bn2.

Sultan Brunei dalam titah hari keputeraan baginda pada 15 Julai 2009 mengesahkan penyerahan itu;

"In a commitment to ensure the prosperity and security of the people, His Majesty together with former Malaysian premier Abdullah Ahmad Badawi signed Letters of Exchange on the demarcation of maritime boundaries with Malaysia.
His Majesty said that through this agreement, Brunei will have sovereignty on the continental shelf and 200 nautical miles of the exclusive economic zone (EEZ).
With this, Brunei will enjoy the benefits from the exploration of hydrocarbon and other maritime resources."


Pertemuan empat jam Pak Lah dengan Sultan Brunei berlangsung sehari sebelum tanda tangan diperturunkan dan kenyataan bersama media selepas majlis itu berlangsung menyebut seperti berikut;

"The solution of the maritime delimitation issue ensures certainly with regard to the delimitation of the territorial seas, the continental shelf and the Exclusive Economic Zone of both countries,"

Pada 21 Disember 1979, Peta Baru Malaysia 1979 yang terdiri daripada Syit 1 (Semenanjung Malaysia) dan Syit 2 (Sabah & Sarawak) dan menunjukkan kawasan Perairan Wilayah serta Pelantar Benua Malaysia telah diisytiharkan menerusi Pemberitahuan No. 5745.

Sewaktu berhujah di ICJ dalam isu Pulau Batu Putih, salah satu asas yang digunakan oleh Ejen Malaysia, Tan Sri Abdul Kadir Mohamad ialah Peta Baru Malaysia 1979.

Pengubahan sempadan negara melalui pengubahan sempadan mana-mana negeri yang asalnya terdapat dalam Peta Baru Malaysia 1979, tidak syak lagi perlu melalui tiga proses iaitu;

a. Kelulusan DUN negeri terbabit
b. Kelulusan Majlis Raja-Raja
c. Kelulusan Parlimen, seperti tercatat dalam Perkara Dua Perlembagaan Negara;

Article 2

2. Parliament may by law -
● (a) admit other States to the Federation;
● (b) alter the boundaries of any State, but a law altering the boundaries of a State shall not be
passed without the consent of that State (expressed by a law made by the Legislature of that
State) and of the Conference of Rulers.

Ketiga-tiga proses fundamental ini tidak berlaku bagi penyerahan sempadan laut kita dengan nilai petroleum sekurang-kurangnya RM 340 Billion.

Jika telaga ini masih dalam milik Malaysia, Sabah sudah pasti akan menikmati paling kurang RM 17 billion royalti! Kini, nak berenang di laut itu saja orang Sabah perlukan pasport dan visa...., bersekali kekayaan laut yang lain - tenggiri, yu dan segala macam terlepas selama-lamanya sedangkan kita seharusnya ada pilihan penyelesaian yang lain.

Tuesday, May 04, 2010

Penyerahan Sempadan: Cadangan Saman Awam Rakyat Malaysia

Press Release


SERAHAN SEMPADAN LAUT MALAYSIA KEPADA BRUNEI – SAMAN AWAM WARGA NEGARA ( CITIZEN CIVIL SUIT ) KE ATAS KERAJAAN MALAYSIA

Kedaulatan wilayah adalah penting untuk setiap negara. Sepanjang sejarah, banyak perselisihan wilayah berlaku antara negara-negara yang telah mengakibatkan perang. Pengasas negara Malaysia memberikan penghormatan yang tinggi untuk melindungi wilayah kita dengan menyediakan peruntukan dalam Artikel 1 dan 2, Perlembagaan Persekutuan, undang-undang tertinggi negara ini. Berasaskan latarbelakang ini, pendedahan tentang urus keluar wilayah Malaysia kepada Brunei adalah memeranjatkan.

Tidak kira betapa berkuasanya seseorang Perdana Menteri itu, namun Perlembagaan Persekutuan tidak sekali-kali membenarkan seseorang Perdana Menteri Malaysia menyerahkan sesuatu wilayah Malaysia kepada negara lain samada di daratan atau lautan.
Perbuatan demikian adalah sesuatu yang bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Artikel 2 Perlembagaan Persekutuan jelas menyatakan hanya dengan persetujuan Parlimen melalui rang undang-undang yang dibentang dan diluluskan oleh Parlimen sahaja sempadan negara boleh diubah.

Bertolak dari peristiwa penyerahan sempadan laut Malaysia kepada Brunei, kami menuntut tindakan berikut ini dari Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato’ Seri Mohd Najib ;-

Mendedahkan kepada awam semua perhubungan antara Putrajaya dan Brunei, Sabah, Sarawak dan Petronas sehingga berlakunya penyerahan ini;
Pendedahan semua keputusan Kabinet mengenai perkara ini atau ;
Menubuhkan sebuah Suruhanjaya Diraja yang bebas dan telus untuk menyiasat isu ini ;

Peristiwa penyerahan sempadan seperti ini dak pernah berlaku dalam sejarah moden negara. Peristiwa penyerahan pulau dan wilayah hanya berlaku sewaktu zaman penjajahan dulu kala dan telah menjadi lipatan sejarah. Kenapa ia diulangi lagi seperti kita sudah berdaulat?

Tindakan mengeluarkan sempadan negara, kemudian mengeluarkannya tanpa mengikut tatacara berperlembagaan dan bersifat unilateral dari Kerajaan Pusat, akan mengakibatkan terlalu banyak implikasi kepada negara kita. Satu darinya ialah integriti dan kedudukan Petronas sendiri sebagai badan multinasional yang terpaksa membatalkan kontraknya dengan pihak lain yang akan menunjukkan kontrak-kontrak dengan Petronas adalah tidak terjamin sekaligus akan melemahkan Petronas.

Selepas satu tempoh yang memuaskan berlalu tanpa sebarang tindakan seperti yang saya cadangkan di atas, saya mencadangkan sebilangan rakyat Malaysia memfailkan saman awam warga negara Malaysia (citizen civil suit) ke atas Kerajaan Malaysia untuk mendapatkan pengisytiharan penyerahan ini adalah tidak sah dan bertentangan dengan kehendak Artikel 2 Perlembagaan Persekutuan seperti yang saya sebutkan.

Saya berharap ahli-ahli Parlimen, para peguam, NGO, dan orang perseorangan termasuk dari Sabah dan Sarawak, boleh bersama saya nanti memfailkan kes ini di mahkamah.

Saya juga akan menulis surat kepada semua ADUN Sabah dan Sarawak untuk mencadangkan kepada mereka agar menyatakan pendirian mereka dalam isu ini dan memanggil satu sidang DUN khas untuk membahaskan isu ini.

Sesiapa yang berasakan bertanggungjawab ke atas keputusan-keputusan sewenang-wenangnya menggadai wilayah negara ini, boleh menghubungi saya atau pembantu saya menerusi alamat emel gadailautmalaysia@gmail.com.


YB Dato’ Haji Husam Haji Musa
20 Jamadilawal 1431
5 Mei 2010

Monday, May 03, 2010

Menteri Mempelam Serahkan Sabah dan Limbang

PM sifatkan penyerahan sempadan bersama dua medan minyak Blok L (Lah?) dan M (Mahathir?) kepada Brunei sebagai win-win.

Rais Yatim selaku Menteri Luar, ketika mengulas gagalnya Malaysia di Mahkamah Antarabangsa dalam mempertahankan kedaulatan ke atas Pulau Batu Putih dulu juga sebagai 'win-win'.

Najib pula selaku TPM waktu itu, ketika diminta mengulas kekalahan Malaysia itu menyebut: "Keputusan hari ini menunjukkan kita berjaya di dalam separuh daripada tuntutan kita, manakala separuh kita adalah gagal. Ada juga yang melihat keputusan hari ini sebagai 'win-win situation," katanya.

Kita menang separuh - gagal separuh! Ikut logik Najib kita kalah dan sedia menerima kekalahan itu sebagai win-win.

17 November 2008, Singapura pula telah menganugerahkan darjah negara tertinggi Singapura kepada pasukan mereka di ICJ - merayakan kejayaan yang dikira sangat penting dan strategik itu.

Chief Justice Chan Sek Keong; Tommy Koh, Ambassador-at-Large; and Justice Chao Hick Tin, Peguam Negara Singapura telah mendapat anugerah Darjah Utama Temasek, Darjah Utama Nila Utama, Darjah Utama Bakti Cemerlang . Semua anggota yang lain juga turut dikurniakan anugerah.

Pada 4 November 2008, ekoran kemenangan ke atas Batu Putih, Lee Kuan Yew ketika berucap di Singapore Energy Conference menyebut Singapura akan menambak perairan sekitar pulau itu dan akan mendirikan loji janakuasa nuklear. Begitulah kesan kalahnya tuntutan kita walaupun yang dipertikaikan hanya sebuah batu timbul yang kecil! Apa lagi sebuah kawasan laut yang luas.

Turut menganggotai pasukan Singapura ialah Timbalan Perdana Menteri mereka. Mereka serius dan bersungguh-sungguh dan tidak hairanlah mereka berjaya.

Kita cuai sejak ratusan tahun lalu lagi.

Satu dari sebab mengapa ICJ memberikan kemenangan kepada Singapura ialah surat dari Pemangku Setiausaha Kerajaan Johor pada tahun 1953 bahawa Johor tidak menuntut kedaulatan ke atas pulau itu. Sementara itu, peta Malaysia yang kita keluarkan sendiri antara tahun 1960an hingga 1970 an meletakkan pulau ini di luar wilayah Malaysia. Hanya pada tahun 1979, kita mengeluarkan peta baru untuk memasukan semula pulau batu putih.

Pada waktu British dan Singapura meneruskan pelbagai aktiviti mereka di pulau ini, Kerajaan Johor tidak mengambil sebarang langkah untuk menunjukkan pulau ini adalah milik kita atau membantah aktiviti-aktiviti itu.

Namun, dalam kes Pulau Batu Putih, kita berjuang sampai akhir walaupun keluasannya tak sampai sebesar padang bola dan tidak timbul akan berlaku sebarang bergolakan antara dua negara berjiran. Bahkan, selepas keputusan ICJ itu kedua negara bersetuju menghormati keputusan itu.

Dalam kes sempadan laut kita dengan Brunei, saya yakin ia tidak akan menganggu hubungan Malaysia - Brunei kiranya kita berjuang sampai muktamad menurut saluran sedia ada.

Jika kita katakan kita terpaksa mengikut kehendak UNCLOS 1982, mengapa sehingga 2003 kita masih menandatangani perjanjian pengeluaran minyak di kawasan ini dengan Murphy Oil? 19 tahun selepas UNCLOS?

Mengapa secara tiba-tiba kita merasakan kita tidak mempunyai hak yang sah ke atas kawasan ini? Apa dokumen dan temuan yang menunjukkan kita tidak lagi berhak ke atasnya?

Sanggupkah kerajaan mendedahkan dokumen itu untuk disemak oleh rakyat awam pada bila-bila masa?

Jika kerajaan mempunyai hujah yang kuat untuk menyokong keputusan yang merugikan itu, apa perlu bimbang untuk rakyat menelitinya? Sekurang-kurangnya ia dibentangkan di Parlimen dan sekarang, Dewan Negara masih bersidang dan kerajaan boleh berbuat demikian sekarang juga.

Tak bolehkah PM ke Dewan Negara dan jelaskan di situ?

Ketika kita menerima berita mengenai kekalahan kita ke atas Batu Putih dulu, anggota kerajaan sendiri menunjukkan reaksi kecewa yang berbagai-bagai. Ada yang cadangkan kita segera bangunkan Pulau Pisang sebelum Singapura menuntutnya pula di kemudian hari. Di Pulau milik Johor ini juga terdapat rumah api Singapura. MB Johor berjanji akan segera bangunkan Pulau Pisang sebagai destinasi eko pelancungan!

Hangat-hangat tahi ayam?

Utusan Malaysia pula pada 27 Mei 2008, beberapa hari selepas keputusan ICJ, telah menulis rencana khas bertajuk 'Pertahankan Wilayah'!

Apakah wilayah yang dimaksudkan itu hanyalah pulau-pulau kecil dan bukan sempadan laut yang luas?

Kita 'bergaduh' untuk mempertahankan pulau sebesar padang bola dan tidur lena ketika wilayah yang lebih luas terlepas bersekali dengan khazanahnya.

Lebih dahsyat lagi, sikap Menteri Luar kita ketika Pulau Batu Putih telah diputuskan menjadi milik Singapura, dalam satu interbiu beliau dengan seronoknya berkata;

Q: You described the ICJ judgment as a “win-win” situation for Malaysia and Singapore. But many criticised the way you deemed it as we lost the crux in contention – Batu Puteh.



"I still maintain my stand that we have half the victory, and half the failure. All are rocks anyway, there is no mempelam (mango) there, nothing, not even a blade of grass. But people like to rub it in. But let's face it. Malaysia did not lose all. Whoever says that, either he or she does not understand the international law result, or they are playing belukar politics."

Lihat! Sekadar batu - tak ada mempelam, tak ada rumput! Kita boleh lepaskan. Sekarang? 'All are sea waters anyway?'

Bagaimana pula dengan dua blok minyak yang kaya? Adakah mempelam lebih penting pada selera Rais berbanding minyak?

Kalau Menteri kita hanya Menteri Mempelam, jangan hairan satu hari Limbang dan Sabah juga akan kita serahkan.

Kedua-duanya adalah tuntutan Brunei dan Filipina sekian lama dan demi 'win-win' serantau seperti logik pemimpin kita, mudah bagi kita menyerahkan Sabah dan Limbang.

Kena 'bayarannya', semua kerja jadi.

Sunday, May 02, 2010

Dua Medan Minyak: Surat Terbuka Untuk Najib

YAB Perdana Menteri Malaysia

PENYERAHAN SEMPADAN LAUT MENGANDUNGI DUA MEDAN MINYAK BLOK L DAN M KEPADA BRUNEI DARUS SALAM - POHON PENJELASAN.


Saya yakin YAB sudah mengikuti laporan media mengenai isu sempadan perairan Malaysia yang telah diserahkan kepada Brunei - seperti kenyataan akhbar bekas Perdana Menteri pada Juma'at lalu.

Bersekali dengan penyerahan sempadan laut ini, dua medan minyak yang kaya yang dulunya milik negara kita, juga dengan sendirinya menjadi milik Kerajaan Brunei.

Dua blok minyak itu dulunya adalah milik Petronas dan Petronas telah pun menganugerahkan konsesi kawasan ini untuk pengeluaran kepada Petronas Carigali dan Murphy Oil sejak 2003 dan berkuatkuasa bulan April tahun ini, perjanjian konsesi berkenaan terpaksa ditamatkan.

Isu yang lebih besar dan memerlukan penjelasan awam yang segera dari Kerajaan pimpinan YAB ialah bagaimana Kabinet Malaysia pada 11 Februari 2009 boleh bersetuju dengan pelepasan kedaulatan Malaysia ke atas wilayah berkenaan.

Seperti disebutkan dalam kenyataan Tun Abdullah, ia adalah 'overlapping area'. Jika ianya 'overlapping area' sebagaimana kawasan-kawasan lain seperti JDA dan CAA, mengapa Malaysia dengan mudah melepaskannya? Jika kawasan lain tidak kita lepaskan kedaulatannya, mengapa yang ini kita lepaskan?

Adakah Malaysia tidak yakin bahawa kita mempunyai hak ke atas kawasan perairan ini dan adakah Malaysia telah mengkaji dengan teliti bahawa tuntutan kita ke atas kawasan ini memang tidak kukuh?

Jika kita tidak mempunyai hak ke atasnya sama sekali, bagaimana Brunei boleh mengizinkan kita terlibat sama dalam perkongsian pengeluaran bagi kedua-dua blok itu dalam tempoh empat puluh tahun?

Mengapa pula sebelum ini kita telah menandatangani perjanjian konsesi dengan Murphy Oil jika kita tidak yakin ia adalah milik kita?

Bukankah selama ini kawasan ini dalam perairan kita dan tiba-tiba kita tidak mempunyai asas yang kukuh untuk terus memilikinya?

2. Selepas keputusan Kabinet dibuat dan langkah menandatangani perjanjian dengan Brunei dilakukan pada 16 Mac 2009, mengapa rakyat Malaysia tidak dimaklumkan mengenai keputusan Kerajaan menyerahkan perairan bersekali dengan medan minyak itu?

Mengapa tidak juga ada penjelasan Parlimen dibuat?

Rakyat Malaysia hanya mendapat tahu kedudukan ini melalui kenyataan Murphy Oil kepada NYSE selepas konsensinya dibatalkan.

YAB sendiri tidak pernah berterus terang dengan keputusan ini dan tidak mengambil langkah menjelaskannya kepada umum sampai hari ini.

Mengapa ia harus disembunyikan jika fakta-fakta tuntutan tidak menyebelahi kita dan kita tidak mempunyai pilihan lain melainkan menyerahkan wilayah ini kepada Brunei?

Jika sebaliknya, iaitu kita sememangnya mempunyai fakta kukuh ke atas tuntutan ini dan penyerahan ini hanyalah kerana keputusan politik semata-mata, rakyat berhak untuk tahu apakah sebab politik mendesak sehingga keputusan seperti itu dibuat.

Adakah ia semata-mata untuk menyenangkan hati Perdana Menteri waktu itu dan seluruh Kabinet menerima keputusan ini walau pun ianya merugikan negara?

Jika sebiji pulau kecil sebesar Batu Putih kita perjuangkan hingga saluran terakhir, mengapa wilayah sebesar dan sekaya itu kita lepaskan sebegitu mudah?

Apakah asas-asas yang dterima untuk Kabinet memutuskan sedemikian?

3. Rakyat Malaysia juga berhak untuk tahu apakah tawaran gantian kepada Murphy Oil atau sebarang ganjaran atas penamatan konsensi berkenaan?


Sehingga satu kenyataan rasmi dikeluarkan oleh Kerajaan, isu ini sungguh memilukan kami rakyat Malaysia. Pilu bukan sahaja kerana hilangnya wilayah kita dengan sebegitu mudah, malah timbul keraguan terhadap tahap tanggungjawab pemimpin negara, bahkan tahap kemampuan mereka membuat keputusan untuk kepentingan negara dengan wajar dan tepat.

Terima kasih.

Husam Musa
2 Mei 2010.

Friday, April 30, 2010

Medan Minyak Tergadai: Ya Dalam Nafi

Tahniah dan terima kasih kepada Pak Lah yang kali ini bersikap responsive.

Pak Lah memberikan penjelasan terhadap isu tergadainya dua medan minyak milik Sarawak kepada Brunei lewat petang ini, Juma'at, 30 April 2010.

Dari penjelasan ini kita dapat simpulkan;

a. Bukan medan minyak sahaja terlepas, tetapi sempadan negara kini mengecil kerana perairan di mana terletaknya dua medan minyak L dan M kini diiktiraf sebagai milik Brunei. "In a statement today, the former prime minister confirmed that Block L and Block M concessions now belonged to Brunei but...." (Bernama)

“This agreement serves to settle certain overlapping claims that existed in the past which included the area of the concession blocks known before as Block L and Block M.

“Sovereign rights to the resources in this area now belongs to Brunei." Laporan The Star berdasarkan kenyataan akhbar Pak Lah.

b. Cuma Malaysia diizinkan untuk menyertai perkongsian operasi pengeluaran minyak bagi kedua-dua blok itu untuk 40 tahun.

c. Terma ini dipersetujui Kabinet pada 11 Februari 2009. Bermakna PM sekarang juga terlibat dalam keputusan tersebut.

Penjelasan Pak Lah ini tidak mengubah inti berita sebelum ini bahawa kita telah terlepas dua medan minyak sekali gus kepada Brunei dan kini, kita sebenanya terlepas bukan sahaja medan minyak bahkan kedaulatan sempadan laut berkenaan juga untuk selama-lamanya.

Balasan yang diperolehi oleh Malaysia ialah kita boleh menyertai perkongsian operasi berasaskan perniagaan di medan berkenaan untuk selama 40 tahun. Selepas itu, kawasan berkenaan kekal dalam wilayah Brunei.

Bagi Pak Lah dan Kerajaan Malaysia, terlepas kedaulatan wilayah adalah kecil asal dapat merasa seteguk dua minyak dari kawasan yang kita lepaskan. Aduhai!

Dalam kes kawasan pertindihan sumber minyak Malaysia Thailand, negara mengambil ketetapan berbeza iaitu kawasan berkenaan kekal sebagai sebahagian wilayah Malaysia dan hasil minyak dibahagi mengikut peratusan tertentu antara dua negara. Kita tidak melepaskan kedaulatan wilayah kita tetapi kita menggunakan kaedah 'joint development'.

Mengapa susunan yang sama tidak digunakan dalam kes Brunei dan dengan itu kita tidak terlepas wilayah kita?

Atas murah hati kita melepaskan perairan di mana terletaknya dua medan minyak itu, kita mendapat kedaulatan ke atas Limbang.

Soalnya, kini pun Limbang adalah milik kita dan ia sebahagian dari Sarawak. Sungguh pun Brunei ada menuntut haknya ke atas Limbang, dari inti pati perjanjian-perjanjian sebelum ini termasuk apa yang disebut oleh Pak Lah dalam kenyataannya, isu Limbang sudah pun memihak kepada Malaysia.

Bermakna, kita mendapat apa yang sudah menjadi hak kita dan kita terlepas apa yang sepatutnya juga menjadi hak kita.

Nampaknya, kita mengambil jalan mudah dalam perkiraan ini. Apa lagi, Brunei masih secara terbuka menyatakan bahawa tuntutan ke atas Limbang belum digugurkan. Bererti, harapan kita untuk menyelesaikan isu tuntutan Limbang secara tersirat melalui 'pengukuran semula sempadan' berasaskan perjanjian-perjanjian 1920, 1931, 1933 (dua perjanjian berasingan) dan 1939 masih dalam proses sedangkan kedaulatan kita ke atas perairan yang terkandung di dalamnya dua medan minyak yang kaya itu sudah pun terlepas.

Bermakna, Brunei telah mndapat apa yang mereka mau serta merta dan kita menunggu satu tempoh dan proses yang akan memakan masa. Apa akan terjadi jika pendirian kerajaan Brunei atas apa sebab nanti, akan berubah?

Mengikut laporan, Brunei telah pun menganugerahkan konsesi dua medan itu kepada Total dari Perancis dan kedudukan Petronas dalam susun atur perkongsian yang disebut belum dijelaskan.

Akhirnya, bagaimana dengan Sarawak? Adakah kerajaan negeri dirundingi ketika wilayah laut kita ingin dilepaskan bersekali dengan sumber minyaknya?

Jika Pak Lah telah tampil 'menafikan tetapi sebenarnya mengiyakan', adakah PM kini hanya akan berdiam diri?

Murahnya nak jatuhkan PM kita

Kalau ada seorang blogger yang hebat dan kita ada RM 4 juta, kita sudah boleh jatuhkan seorang PM - nampaknya kerja menjatuhkan PM tidaklah begitu sukar.

Setengah orang mungkin kata 4 juta terlalu mahal dan setengah pula akan kata, kalau 4 juta PM boleh jatuh, ia cukup murah.

Apa sebab mahal dan apa pula sebab murah?

PM macam Pak Lah, adakah perlu lagi belanja sebesar empat juta untuk burukkan dia? Rasanya tak payah. Imej buruknya jadi sendiri atas kelemahan kepimpinannya.

Ada sesetengah blogger buat kerja itu percuma saja. Gambar Pak Lah terlentok tertidur dan segala macam kelemahan dia dah ada dalam beratus blog sejak lama. Ada blogger yang meng-kartunkan karakter Pak Lah dalam blog-blog mereka. Sejuta pun tak payah, usahkan empat juta, kerana rasanya blogger-blogger itu semua buat kerja itu sebagai tindakan spontan mereka saja atas kelemahan Pak Lah yang begitu ketara.

Seorang petugas tegar UMNO seperti Sang Kelembai melanyak Pak Lah dalam blognya lama sebelum adanya cerita orang tertentu dapat empat juta untuk burukkan sesiapa.

Kalau ada orang habiskan wang empat juta nak burukkan lagi Pak Lah yang dah pun buruk, rugi sakan lah rasanya orang itu.

Sehari dua ini,Tun M masih membantai Pak Lah atas tergadainya medan minyak kita di Sarawak kepada Brunei. Bekal Tun M tak sampai sepuluh duit pun. Dia hanya petik laporan The Edge dan Brunei Times online saja. Bukan susah nak burukkan Pak Lah hatta dia dah tak jadi PM tapi tinggalan-tinggalan keputusannya yang merugikan negara terbongkar satu lepas satu.

Kalau nak jatuhkan Pak Lah sampai berbelanja empat juta, rasanya terlebih bayar.

Kalau boleh jatuhkan PM sekarang dengan belanja empat juta, rasanya itu tak mahal dan mana-mana pihak boleh mencuba nasib mereka. Ini kira bagus dan murah.

Jadi saya tak tau tulisan blogger yang dibesarkan oleh Utusan itu boleh untungkan sapa?

UMNO Kelantan ada ulas, bagaimana besarnya belanja yang digunakan untuk tewaskan UMNO Kelantan. Empat juta.

Kalau dengan empat juta rancangan Datuk Mustapha tawan Kelantan boleh dikuburkan dan itu dianggap mahal, saya tak tau nak kata. Untuk menang Hulu Selangor saja UMNO belanja entah berapa ratusan juta. Tapi untuk tewaskan UMNO satu negeri, belanja empat juta dah cukup kira jimat dan hebat.

Rupanya tak susah sangat nak tewaskan UMNO Kelantan dan kalau dengan empat juta UMNO satu-satu negeri boleh ditewaskan, mana yang berminat boleh buka tabung untuk cukupkan empat juta satu negeri cuba tewaskan baki UMNO seluruh Malaysia. Rasanya UMNO akan kecut.

Dunia blogger ada indahnya.

Kadang-kadang kita boleh jadi tukang kek. Gandumnya tak sampai secawan tapi kalau kena campur dengan serbuk penaik, sebiji kek yang besar boleh kita buat. Campur pula majerin sama telur. Tengok kemahiran kita. Asalnya gandum secawan saja.

Setahu saya, gerak saraf tak burukkan orang. Itu perang saraf. Gerak saraf ajak orang sokong kita atas kebaikan kita.

Saya pun tak tahu sangat apa beza gerak saraf perang saraf dan operasi berkaitan saraf.

Apa kata kalau saya kata empat juta itu memang ada dan empat juta itu ditaja oleh kumpulan UMNO tertentu? Mereka nak jatuhkan Pak Lah kerana mereka sama tak suka.

Untuk jatuhkan PM sekarang pun dah ada empat juta lagi yang juga ditaja oleh orang UMNO yang tak puas hati Pak Lah dijatuhkan.

Lepas saya kata, nak tahu betul tak betul kena siasat tapi yang penting saya dah kata. Nasib elok keluar muka depan Utusan esok lusa, tenggelam cerita telaga minyak berharga tak kurang RM 340 billion yang hilang, gara-gara empat juta! Empat juta kalahkan 340 billion..... Ini pun mungkin masuk dalam kategori saraf juga, samada gerak atau perang atau saraf mana satu, saya tak berapa tau kerana cabang saraf ada bermacam-macam...

Maknanya, nak kata tak lah payah. Lepas itu kita minta lah mana badan yang patut siasat, menyiasat.

Thursday, April 29, 2010

Telaga Minyak Malaysia tergadai: Kesilapan Abdullah Penerusan Najib

Tun M dalam posting terbarunya mempersoalkan terlepasnya dua medan Minyak Blok L dan M milik Malaysia kepada Brunei.

Ia mungkin sebahagian dari persetujuan yang ditandatangani oleh Pak Lah dengan Sultan Brunei pada 16 Mac 2009 - Letters of Exchange (LoE) - 19 hari sebelum Najib mengambil alih sebagai Perdana Menteri.

Apa yang dipersetujui Pak Lah diteruskan oleh Najib. Surat Petronas untuk menamatkan perjanjian perkongsian pengeluaran dengan Murphy Oil Corp telah dikeluarkan pada 7 April baru lalu. Di Bawah CEO baru Petronas dalam era Najib. Lagipun, Najib masa itu adalah TPM.

Murphy Oil mengeluarkan kenyataan rasmi memaklumkan penamatan perjanjian oleh Petronas itu dan seorang Menteri Brunei pula mengesahkan kedua-dua blok minyak yang dulunya menjadi milik Malaysia telah secara rasmi menjadi milik Brunei.

Acara penandatanganan itu ikut dihadhiri oleh kedua-dua Ketua Menteri Sarawak dan Sabah, serta Menteri Luar waktu itu, Rais Yatim dan Menteri Kabinet, Hishammuddin Tun Hussien - seperti laporan Bernama bertarikh 16 Mac 2009.

Rais dan Hishamuddin masih menjadi anggota Kabinet sekarang dan tentulah mereka boleh memberikan penjelasan atas pelepasan khazanah berharga kita semudah itu. Bahkan seluruh kabinet Najib harus bertanggungjawab dan memberikan penjelasan.

Tun M mengganggarkan paling kurang USD 100 B atau RM 320 B khazanah kekayaan negara kita terlepas kepada Brunei.

Bayangkan! Untuk membayar royalti yang terhak kepada Kelantan yang bernilai hanya beberapa billion, mereka menggunakan berbagai alasan untuk menafikannya. Pada masa yang sama, mereka sanggup melepaskan khazanah yang beribu kali lebih tinggi nilainya dengan sebegitu mudah.

Janganlah Tun M hanya nampak kelemahan Pak Lah tanpa berani bertanya Najib kenapa surat penamatan rasmi dikeluarkan oleh Petronas dan secara terang menyebut pemilikan Malaysia ke atas Blok L dan M tidak lagi menjadi milik Malaysia.

Isu sebesar ini hanya layak dijawab oleh PM.

Pilihanraya Sibu memberi peluang rakyat Sarawak memberikan pandangan awal mereka tentang sebahagian kekayaan negeri mereka juga telah tergadai.

Monday, March 22, 2010

Keberanian Nazri diukur

Shad Faruqi berhujjah bahawa perjanjian petroleum antara negeri-negeri dan Petronas adalah tidak terpakai kerana Negeri-Negeri menyerahkan sesuatu yang ia tidak miliki.

Kata Shad, Perlembagaan Negara menyatakan Negeri hanya memiliki kuasa ke atas perlombongan di daratan (onshore) tetapi dalam perjanjian 1975, Negeri-Negeri menyerahkan hak petroleum kepada Petronas di daratan (onshore) dan di lautan (offshore) sekali, yang mana di lautan adalah di luar bidang kuasa kerajaan Negeri.

Tun Salleh Abbas dalam satu taklimatnya telah memberikan penjelasan yang amat jitu dalam hal ini.

Akta Petroleum 1974 dicapai selepas kedua pihak iatu Negeri dan Kerajaan Pusat bersetuju menerima satu tolak ansur bagi membolehkan industri petroleum negara dibangunkan. (Latarabelakang sejarah ini boleh dibaca dalam kertas kerja Tun Salleh yang dibentangkan dalam satu konvensyen di Terengganu pada tahun 2008)

Kuasa perlombongan di daratan yang dipunyai oleh Negeri diserahkan selamanya kepada Petronas dan akibatnya Kerajaan Pusat turut akan mendapat 5% bayaran kiranya minyak dijumpai di daratan yang asalnya adalah milik Negeri. Sebelumnya, sepatutnya hanya Kerajaan Negeri sahaja berhak menerimanya kerana ia berada di daratan yang menjadi milik Negeri.

Begitulah juga sebaliknya, di mana sebagai timbal balas tolak ansur itu, Negeri akan menerima 5% bayaran sekalipun pengeluaran akan berlaku di lautan yang asalnya kuasa perlombongan adalah di bawah Kerajaan Pusat.

Atas tolak ansur dan semangat bekerjasama inilah, dua istilah telah muncul dalam Akta Pembangunan Petroleum 1974 dan juga surat perjanjian antara Kerajaan Malaysia/Kerajaan Negeri-Negeri dengan Petronas iaitu daratan/onshore dan lautan/offshore.

Istilah ini digunakan dengan tujuan melupakan apa jua tafsiran yang lain yang ada dalam Akta dan Ordinan yang lain yang datang terdahulu. Istilah onshore dan offshore adalah kata kunci dan kata kunci ini bertujuan menghapuskan had sekatan 3 batu, territorial waters atau apa jua sekatan yang lain. Kepentingan Negeri dan Pusat telah digabungkan untuk faedah Negara bagi membolehkan pembangunan petroleum dilaksanakan oleh satu badan tunggal bernama Petronas.

Ada dua doktrin undang-undang yang digunakan iaitu;

a. Akta Parlimen yang datang kemudian mengatasi Akta terdahulu
b. Akta khas mengenai sesuatu perkara mengatasi Akta umum.

Dalam isu ini, sepanjang berkaitan kuasa petroleum, hanya ada satu Akta tunggal iaitu PDA 1974. Perjanjian dengan negeri-negeri adalah dibuat mengikut kehendak Akta ini.

Ikatan perjanjian yang ditandatangani oleh Negeri-negeri adalah ibarat sijil nikah dan ikatan perkahwinan. Bermula dengan Akta Pembangunan Petroleum 1974 dan perjanjian pada 1975. Keadaan 'zaman bujang' sebelum 1974 dilupakan.

Kini, selepas sudah beranak pinak dan Petronas mendapat kekayaan dengan 'perkahwinan'/Perjanjian itu, ada pihak ingin kembali kepada keadaan sebelum perkahwinan. Kononnya, hak kedua-dua lelaki dan perempuan adalah berbeza dan pihak satu lagi tidak mempunyai apa-apa tanggungjawab kepada pihak lain.

Merujuk kepada Akta sebelum PDA seperti Ordinan Dharurat 1969 dan lain-lain adalah percubaan-percubaan untuk kembali kepada 'zaman bujang' itu. Ia adalah satu tindakan 'mislead' rakyat.

Tidaklah pelik bila YB Saifuddin Nasution mencadangakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri dihadapkan kepada Jawatankuasa Hak dan Keistimewaan Ahli Dewan kerana tindakannya selama ini mengelirukan Dewan Rakyat dengan memetik Akta yang tidak berkenaan dengan isu tuntutan royalti Kelantan.

Jika selama ini Nazri berani mencabar Kelantan pergi ke Mahkamah, tiba masanya Nazri mesti berani menghadapi Jawatankuasa Terpilih Dewan untuk mempertahankan hujjahnya.

Lebih menarik jika orang seperti Tun Salleh Abbas, Nik Saghir Mohd Nor dan Tg Razaleigh boleh dipanggil memberikan keterangan samada jawapan Nazri di Dewan Rakyat selama ini 'mislead' atau tidak.

Sunday, March 21, 2010

Petronas diletup

Petronas sebuah entiti illegal - sekurang-kurang itu pendapat Prof Shad Faruqi. Petronas sebuah badan perniagaan haram?

Jika itu bukan sebuah letupan di muka Petronas, menunggu letupan yang lebih besar takut nanti sudah terlewat dan hanya meranapkan terus integrity Petronas.

Adakah berbaloi bagi sebuah badan koporat bertaraf dunia untuk dihalakan peluru yang menembusi maruah korporatnya semata-mata kerana cuba mengelak membayar kepada Kelantan apa sebenarnya terhak?

Ketika Petronas sedang cergas melabur berpuluh billion dollar di luar negara, kedudukan penubuhannya sendiri di sisi undang sampai dipertikaikan.

Apa akan jadi jika pendapat Shad Faruqi itu sampai kepada negara-negara Petronas ada berikat?

Apa akan jadi jika ada pihak menggunakan pandangan Shad Faruqi untuk mengisytiharkan Petronas bukan sebuah entiti yang sah?

Sebenarnya, semasa peguam-peguam penasihat Kerajaan Negeri berbincang sebelum ini, isu seperti ini ada dibangkitkan. Termasuk sudut lain bahawa perjanjian yang dibuat oleh Kerajaan Negeri dengan Petronas adalah tidak sah dan tidak terpakai berasaskan sebab-sebab yang lain.

Namun, kami mengambil pendirian mengenepikan sementara waktu pandangan seperti itu kerana ia akan merosakkan Petronas. Kami memilih pandangan yang lebih sederhana iaitu mengikut undang-undang dan perjanjian serta konvensyen selama ini, Kelantan terhak terhadap pembayaran royalti dari semua pengeluaran minyak dan gas di luar pantainya.

Petronas dan pemimpin Kerajaan Pusat nampaknya memilih permainan yang lebih kasar.

Tun Musa Hitam pula menjadi tokoh UMNO kedua secara terbuka memberi pandangan yang berbeza tentang bayaran royalti berbanding pendirian rasmi Kerajaan Pusat. Apa pun nama bayaran yang diberikan, pembayarannya hendaklah kepada Kerajaan Negeri Kelantan - kata Tun Musa.

Selama mana lagi Najib mahu menunggu untuk membetulkan semula sikapnya? Berapa ramai tokoh lagi ditunggu Najib untuk memberikan 'tamparan demi tamparan'?

Ahli Parlimen UMNO sendiri, yang juga pengasas Petronas telah 'menyapa'. Tun Salleh Abbas selaku bekas Peguamcara Negara yang menulis cadangan Akta berkenaan telah memberikan pendapat. Bekas Eksekutif Jabatan Undang-undang Petronas di mana hampir semua dokumen perjanjian antara Kerajaan-Kerajaan Negeri dan Malaysia dengan Petronas ada tercatit tanda tangannya dan beliau terlibat dalam membentuk kandungan perjanjian tersebut - Nik Saghir Mohd Nor juga menyebelahi tuntutan Kelantan. Kemulian Petronas sebenarnya sudah tercemar.

Jika tuntutan Kelantan dilayan seadilnya sejak awal mengikut makna yang 'plain' dan amalan biasa seperti perjanjian, tidaklah perlu kenyataan-kenyataan yang merugikan seperti itu dikeluarkan.

Petronas tidak menjadi bankrap kerana menunaikan hak Kelantan. Nama baiknya tidak rosak dan kejujuran koporatnya tidak hilang.

Polemik ini sudah tentu akan berterusan.

Isu tuntutan Kelantan mempunyai ruang masa dan pergerakan yang tidak terbatas sehingga menghasilkan gegaran yang cukup kuat untuk tidak dihiraukan, Insya Allah.

Friday, January 22, 2010

Sejarah Bazar

Saya diminta Tok Guru membuat catitan sejarah tentang Bazar, Arked dan Pasar Lambak. Atas permintaan itu, saya perturunkan catitan ringkas ini.

Pertalian sejarah menguatkan azam Tok Guru untuk menempatkan para peniaga di tingkat bawah Bazar Tok Guru yang akan dibina.

Dua hari sebelum pilihanraya 2008, Tok Guru berucap di hadapan para peniaga kecil, bahawa menjadi hasrat beliau untuk membina satu bazar mercu tanda yang akan menjadi medan perniagaan baru para peniaga kecil di Kota Bharu. PAS mendapat kemenangan besar 2008 yang lalu.

Ada sebab sejarah Tok Guru berucap begitu pada hari itu.

Tiga tahun menjelang kemenangan besar bersejarah buat pertama kali Angkatan Perpaduan Ummah pada tahun 1990, jentolak-jentolak telah meranapkan gerai-gerai kecil peniaga ini buat selama-lamanya. Waktu itu dikenali sebagai Pasar Lambak. Lokasinya adalah di Medan Hijau di depan Bangunan UMNO Kelantan sekarang.

MPKB bercadang mengindahkan persekitaran Bangunan UMNO Kelantan itu yang akan dirasmikan oleh Tun Dr. Mahathir pada masa itu. Tepatnya, perasmian tersebut berlangsung pada 12 Mach 1987 dan perobohan berlaku betul-betul sehari sebelumnya!

Politik peminggiran peniaga kecil ini tidak harus diizinkan berlaku semula di zaman pentadbiran Tok Guru.

Bagi generasi baru, mungkin rentetan sejarah ini tidak ada dalam ingatan mereka.

Bagi seusia dengan saya, inilah tempatnya kami anak-anak belia masa itu membeli baju dan seluar, melalui celah-celah lorongnya memilih pakaian. Bersebelahan gerai-gerai ini ada kedai-kedai buku yang masyhur masa itu seperti Abu Bakar Al Ahmadi, Dian dan beberapa lagi yang saya telah lupa namanya.

Selain membeli buku di Toko Abu Bakar Al Ahmadi, saya memasang telinga mendengar perbualan politik di situ. Tuan punya kedai seorang ustaz berserban tetapi sangat kuat UMNOnya dan di sini, selalu berlaku perbahasan politik.

Saya sudah bergiat di Pejabat PAS Jalan Dato Pati ketika UMNO mengarahkan perobohan gerai-gerai ini. Masa itu, keangkuhan UMNO sedang memuncak. Berlaku juga apa yang digelar 'sepak bakul'. Akibatnya, UMNO kecundang di Kelantan tiga tahun kemudian.

Sejarah Pasar Lambak Kota Bharu bermula sejak 1976, sewaktu Kerajaan Campuran PAS BN. Ia bertujuan menempatkan peniaga kecil yang berselerak di Bandar Kota Bharu secara bersepadu. MPKB telah menyediakan pelan tapak memuatkan 124 gerai bersaiz 8 X 10 dengan sewa permulaan RM 15 sebulan.

Selepas hampir 5 bulan berniaga, Persatuan Penjual Pasar Lambak bermesyuarat dan bersetuju untuk membina sendiri gerai-gerai di atas lot tapak yang disediakan. Peniaga mengambil inisiatif sendiri membina dinding plywood   dan bumbung zink yang menelan belanja hampir RM 150 setiap lot.

Hasrat membina generasi usahawan melalui penempatan ini berjaya. Dari sini munculnya usahawan hartawan seperti arwah Hj Ibrahim Mat Min ( sahabat Tok Guru sendiri ) peniaga pakaian, Hj Talib ( seluar jeans ), arwah Hj Mohd Nor ( bapa Borhan Arked UDA )  pemborong pakaian siap dan seragam sekolah , arwah Tok Penghulu Hussin, Mat Kain Ela, Yusoff Selipar dan banyak lagi.

Melihat kejayaan peniaga Pasar Lambak berniaga dan mendapat sambutan yang menggalakkan, maka MPKB telah menaikkan sewa RM 50 sebulan dengan alasan MPKB menyediakan kemudahan elektrik secara percuma. Persatuan Penjual menerima arahan kenaikan sewa MPKB dan harga tersebut kekal hingga Pasar Lambak menyembah bumi pada tahun 1987.

Perundingan untuk merobohkan Pasar Lambak

Pada tahun 1983 PKINK bercadang membina 3 tingkat Bazaar Buluh Kubu dan telah menawarkan kepada Persatuan Penjual Pasar Lambak untuk membeli lot-lot yang akan disediakan.

Waktu itu, Persatuan mempunyai tabung yang kuat dengan kewangan ratusan ribu ringgit hasil sumbangan yuran  tahunan ahli. Wakil Persatuan memohon kerjasama PKINK untuk menyediakan lot yang mencukupi ( 124 ) untuk menempatkan peniaga di aras bawah dan dipersetujui CEO PKINK dengan tawaran harga asal RM 1.83 sen sekaki persegi. Itu pada tahun 1984.

Sayangnya rancangan tersebut tidak menjadi kenyataan. Sebilangan kecil mengambil langkahan sendiri dan telah berunding secara sulit dengan PKINK. Hasil gerakan sulit tersebut PKINK telah mengkucar kacirkan perpaduan di kalangan ahli.

Setelah pengurusan PKINK bertukar maka pelan asal Bazar Buluh Kubu turut berubah dengan setiap tingkat hanya disediakan 65 lot bersaiz besar. Pengurusan baru PKINK juga memaklumkan bahawa PKINK tidak akan menjual Bazaar Buluh Kubu sebaliknya disewa kepada peniaga yang berminat.

Cadangan Persatuan untuk menempatkan kesemua 124 peniaga di tingkat bawah tidak dilayan. Persatuan telah menolak tawaran PKINK untuk menyewa di tingkat bawah dan tingkat satu.

Bazar Buloh Kubu dibuka secara rasmi pada tahun 1985 tetapi pada awalnya tidak mendapat sambutan. Dengan pelbagai kemudahan infrastruktur yang hebat tidak mampu menggugat dayatarikan Pasar Lambak dengan harga yang lebih murah dan pilihan yang lebih banyak.

Perniagaan Bazar Buluh Kubu hanya mula mendapat sambutan hangat setelah Pasar Lambak dirobohkan. Perpindahan peniaga asal Pasar Lambak telah membuka ruang baru kepada peniaga Bazar Buluh Kubu untuk merasai nikmat sambutan Pasar Lambak dahulu.

MPKB juga bercadang menyiapkan Pasar Lama MPKB yang terbengkalai hampir bertahun lamanya. Dato Rastom Ahmad Maher selaku Timbalan Menteri Besar dan juga YDP MPKB waktu itu telah berunding dengan Persatuan Pasar Lambak untuk memindahkan lokasi perniagaan ke Pasar Lama MPKB.

Persatuan Penjual tidak bersetuju berpindah kerana disediakan lot Tingkat 1 yang tidak berdaya saing mengikut pendapat mereka. Walau bagaimanapun MPKB tetap berusaha untuk mendapat persetujuan Persatuan Penjual tetapi tetap gagal.

Akhirnya, MPKB telah mengugut untuk merobohkan Pasar Lambak secara paksa kerana alasannya lokasi Pasar Lambak tidak mengindahkan Bandar Kota Bharu.

Persatuan Penjual telah mengambil tindakan proaktif dengan melantik peguam untuk mendapatkan perintah injuksi dari mahkamah menghalang MPKB merobohkan tapak Pasar Lambak.

Tindakan berani Persatuan Penjual telah membuahkan hasil dan akhirnya mahkamah mengeluarkan arahan menghalang MPKB dari merobohkan Pasar Lambak.

Keputusan mahkamah telah disiarkan oleh akhbar Berita Harian, Utusan Malaysia dan New strait Times pada awal tahun 1987. Tajuk yang menjadi pilihan akhbar ialah PERSATUAN PENJUAL SAMAN MPKB dan  MPKB DIHALANG ROBOH PASAR LAMA.

Sebagai reaksi kepada keputusan mahkamah,MPKB telah membuat rayuan atas keputusan tersebut dan menghentikan rundingan dengan Persatuan.

Kemuncak kepada isu Pasar lambak ialah apabila Bagunan UMNO Negeri Kelantan bersebelahan Pasar Lambak akan dirasmikan oleh bekas PM Dr Mahathir pada 12 Mach 1987. Demi untuk mencantikkan pemandangan di hadapan Bangunan UMNO yang bakal dirasmikan, peniaga diminta berpindah dengan segera.

MPKB dan beberapa pegawai kerajaan telah memohon jasa baik Persatuan Penjual berpindah dan tempat baru disediakan di tingkat 1 Pasar Lama MPKB. Walau bagaimanapun pendirian rasmi Persatuan Penjual tidak berubah dan tetap berkeras untuk berniaga di pasar lambak.

Setelah kesemua pimpinan Persatuan tetap tidak berubah maka MPKB telah membuat provokasi terhadap peniaga Pasar Lambak. MPKB telah mengadakan rundingan dengan kumpulan serpihan Persatuan Penjual yang tidak berautoriti membuat keputusan.

Hampir 20 peniaga dari 124 orang telah dibawa bertemu Menteri Besar, Tan Sri Mohamad Yaacob untuk berunding.

Ia berakhir dengan perobohan dimulakan ke atas gerai-gerai yang telah memberikan persetujuan.

Sehari sebelum perasmian Bangunan UMNO maka berlakulah peristiwa yang menyayat hati. MPKB menghantar jentolak untuk merobohkan lot milik kumpulan 20 dan ia tidak lagi dapat dihalang oleh Persatuan.

Tiada pilihan untuk bertahan, Persatuan Penjual menyeru kesemua ahli mengosongkan gerai bagi memberi laluan kepada kerja-kerja meroboh oleh MPKB. Dengan hiba dan susah payah kesemua peniaga memunggah stok-stok sehingga  pukul 3 pagi. Berakhirnya empayar peniaga pasar lambak demi kepentingan UMNO bagi memberi laluan kepada pengindahan landskap untuk perasmian Bangunan UMNO negeri pada 12 Mach 1987.

Berpindah ke Bangunan Pasar Lama dan Arked UDA

Setelah gagal mempertahankan Pasar Lambak, para peniaga berpindah ke Pasar Lama MPKB. Pada masa itu, pembinaannya hanya 70 % siap. Kemudahan elektrik hanya  disediakan 2 minggu  setelah peniaga berpindah.

6 bulan kemudian barulah peniaga berhenti menghidu debu kerana kerja-kerja pembinaan yang masih berjalan.

Setelah berpindah, didapati lot-lot tidak mencukupi untuk menampung kesemua 124 peniaga asal. Peniaga merasa hairan bagaimana 300 lot yang wujud di tingkat 1 tidak mencukupi untuk menampung kesemua peniaga pasar lambak yang hanya seramai 124 orang. Rupanya wujud pembahagian gerai kepada kroni-kroni dan anugerah politik yang tertentu.

Hasilnya, MB Tan Sri Mohamad Yaacob telah mengarahkan PKINK untuk membina gerai baru di tanah milik UDA seluas 1.5 ekar sekarang bagi menempatkan lebihan peniaga. Pembinaan mengambil masa selama 6 bulan untuk menyiapkan Arked UDA yang ada sekarang dengan menyediakan 216 gerai bersaiz 8 X 10 setiap satu.

Sekali lagi masalah sama berulang, hampir separuh lot-lot terlepas kepada kroni tertentu.

Hasil kemelut ini, ada juga peniaga yang dulunya berjaya, telah mengubah haluan masing-masing.

Bagi peniaga generasi kedua, mereka terus berniaga di Pasar Lama MPKB dan Arked Uda hingga kini.

UDA kini bercadang membina kondominium dan komponen komersial lain di tapak Arked Uda kini sementara Pasar Lama MPKB pula sudang usang dan tidak selamat untuk digunakan.

Harapan baru mereka ialah Bazar Tok Guru, dan seperti telah dikatakan, ada sebab sejarah untuk Tok Guru terus berazam menjadikan keseluruhan tingkat-tingkat di Bazar Tok Guru sebagai Bazar para peniaga kecil.

Saya merasa terpanggil menulis sejarah kecil ini bila Tok Guru mengarahkan saya menulisnya, supaya 'ekor' dan 'kepala' dapat disambungkan. (Terima kasih kepada para peniaga yang telah membantu penulisan ini)

Sejarah peminggiran hendak diangkat kepada Sejarah Pemerkasaan.