Sunday, November 18, 2007

Tarikh Pilihanraya: PM tak berani nafikan

Seperti diduga, PM memberi respon terhadap kenyataan Pengerusi SPR Khamis lalu: "saya tahu tarikh pilihanraya tapi saya tak boleh bagitahu.."

Tapi bentuk respon itu tidak menafikan anggaran kasar SPR bila Parlimen dibubarkan.

Bernama petang ini sekadar melaporkan : "He (PM) said the decision on when to dissolve Parliament was vested with him as the Prime Minister."

Kuasa cadangkan Parlimen bubar terletak di tangan PM - itu semua orang tahu. Tan Sri Rashid pun tahu itu. Tapi itu bukan bermakna orang lain tak diberitahu atau langsung tak tahu.

Yang perlu diberitahu, adakah agakan Pengerusi SPR bahawa pilihanraya akan diadakan sekitar Feb-Mac 2008 betul atau tidak?

Kalau tak betul, nafikan saja. Jika tak dinafikan, ia betul. Sungguhpun kuasa menyembahkan tarikh pembubaran Parlimen kepada Agung terletak di tangan PM, itu bukan bermakna PM tidak pernah memberitahu sesiapa termasuk Pengerusi SPR mengenainya.

"Therefore, he(PM) advised all parties to wait for Parliament to be dissolved to know the actual date of the general election." Tambah laporan Bernama.

Berdasarkan scenario ini, ada beberapa kemungkinan;

Satu, pilihanraya diadakan lebih awal dari Feb/Mac 2008 tetapi PM telah berpakat dengan Pengerusi SPR untuk memberikan gambaran pilihanraya akan diadakan pada tarikh yang lebih jauh untuk memerangkap pembangkang.

Kedua, Pengerusi SPR memang tahu tarikh pilihanraya tersebut melalui apa-apa isyarat atau sumber dan beliau sengaja mengumpankan gimmik ini untuk mengalihkan perhatian rakyat dari kesan gelombang kuning Sepuluh Sebelas baru lalu. Dua dalam satu. Kerana itu, PM tidak berani menafikan.

Apa pun, polemik ini tidak harus melupakan kita dengan tuntutan reformasi pilihanraya dan juga persiapan pilihanraya, kapan pun dia tiba....

Yuran Hapus, Bayaran Kena!

Bayar tetap bayar, walaupun PM telah mengumumkan yuran persekolahan rendah dan menengah akan dihapuskan bermula 2008.

PM tak tipu, tetapi bila sekolah memberitahu pelbagai bayaran tetap dikenakan bila anak masing-masing mendaftar semula awal 2008 nanti, setengah rakyat rasa semacam tertipu. Sekolah beritahu, yuran hapus, bayaran sumbangan kekal. Ada setengah kes, dinaikkan.

Berita Bernama hari ini memetik Menteri Pelajaran mengesahkan pelbagai bayaran di awal penggal persekolahan 2008 akan tetap dikenakan.

"Hishammuddin said the fees abolished included the annual RM4.50 and RM9 fees for primary and secondary students respectively, ...."


RM 4.50 - sekolah rendah dan RM 9.00 untuk sekolah menengah - itu saja yang hapus - kata Hishamuddin.

Rasa segar dengan Budget Pak Lah 2008 bertukar pudar.

Kenapa Menteri Pelajaran tak jelas awal-awal lagi? Cakaplah awal sikit, hapus empat ringgit lebih saja. Empat puluh lebih kena bayar macam biasa.

Taklah ibu bapa rasa dipermain saja.

Saturday, November 17, 2007

Malaysia waras?




PR lebih penting dari advertising - tulis Al Ries dan Laura Ries dalam buku National Bestsellernya - The Fall of Advertising and The Rise of PR.

Dan lihat PR yang dijalankan oleh pemimpin BN kebelakangan ini....

Kulit muka depan majalah berpengaruh Indonesia - Tempo - 'Indonesia-Malaysia: Unneighborly Relations' - sketsa pemimpin Malaysia mendongak angkuh terhadap pemimpin negara serumpun. Jurulatih karate Indonesia dikarate polis Malaysia dan kita mulanya enggan meminta maaf. Isteri konsol Indonesia di KL ditahan kerana pegawai RELA tidak kenal apa itu kad diplomatik. Maid Indonesia dirogol dan dikurung. Banyak lagi termuat dalam Tempo yang menjadikan nama Malaysia busuk.

MB Selangor memecah budaya Timur, Barat dan mana saja, tanpa segan, memalukan pegawai beliau sendiri dengan anugerah penyapunya. Tindakan mulia, katanya.

ZAM, bergaduh dengan Al Jazeera, seantero dunia boleh menilai kita pandir atau apa. "Al Jazeera...., this is Al Jazeera attitude...., right..."

Keris tanpa sarung belum reda. Sekali, untuk menikam lawan. Sekali untuk perpaduan.

Badruddin Amiruddin, Pemangku Pengerusi Tetap UMNO, memalukan wanita Malaysia dengan sebutan 'terowong'nya.

MIC lawan PPP.

Chua Soi Lek memanggil Pengerusi SPR 'a liar'. Berat tu. “He (Rashid) is just looking for some exposure. You can write that. I stand by it,” said Chua, according to China Press.


Malaysia masih waras?

Sunday, November 11, 2007

Agung jangan diugut

Pembangkang heret raja-raja ke kancah politik - PM

"PENAMPANG 11 Nov. - Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menyifatkan tindakan pembangkang menyerahkan memorandum berhubung dengan beberapa tuntutan mengenai proses pilihan raya di Malaysia kepada Istana Negara sebagai cubaan mengheret institusi raja terutama Yang di-Pertuan Agong ke dalam kancah politik." Lapor Utusan.

Pembangkang cuba heret Agung ke kancah politik atau PM cuba ugut Agung jangan BERSIHkan perjalanan pilihanraya seperti tuntutan BERSIH?

Kalau Agung tak BERSIHkan, siapa nak BERSIHkan? Adakah Agung perlu biarkan pilihanraya negara kita KOTOR? BERSIH atau KOTOR lebih mulia?

Sementara itu, baca dulu petikan memo BERSIH kepada Agung;


8. Kami memohon Ke Bawah Duli Tuanku agar Tuanku akan
Menyuarakan kehendak rakyat menuntut pembaharuan pilihanraya termasuk mengutarakan cadangan untuk sebuah Suruhanjaya diRaja untuk mengkaji pembaharuan sistem and proses pilihanraya.
Menggunakan kuasa Tuanku di bawah Perkara 40(2), Perlembagaan Persekutuan, untuk menolak apa jua permintaan untuk membubar Parlimen selagi empat pembaharuan serta-merta di atas tidak dilaksanakan.


Itukah yang PM bimbang?

Saturday, November 10, 2007

10 Nov 2003 dan 10 Nov 2007: Pak Lah keliru

KEMENANGAN RAKYAT. Rakyat bersedia bangun beritahu kebenaran pada PM.

Penggelapan laporan 100,000 Himpunan Bersih 10 November oleh media arus perdana tempatan adalah bukti;

Amaran Kerajaan tidak berkesan. Kehadhiran melaut.

Cerita himpunan itu akan bertukar menjadi huru-hara tidak benar. NST, Utusan dan The Star hanya dapat melaporkan beberapa orang ditangkap polis. Itu saja.

Rakyat Malaysia berdisiplin. Insiden Batu Buruk tidak berlaku. Provokasi tertentu tidak dilayan.

Rakyat menang. 1946, rakyat bangun menentang Malayan Union. 2007, rakyat bangun menuntut pilihanraya adil dan bersih.

Hari ini, mereka boleh berkumpul. Besok, mereka bersedia untuk bangun lebih gagah, jika system manipulasi diteruskan.

Penggelapan berlaku dalam negeri. Di luar Negara, polis dan Kerajaan Malaysia mendapat ‘nama’.

New York Times;

Thousands March in Malaysia to Demand Electoral Changes
(Reuters) - Police in the Malaysian capital used water cannon and fired tear gas shells on Saturday to scatter crowds gathering for a banned opposition rally to demand changes to the country's electoral system.
Although hundreds of policemen, including riot police with shields and batons, guarded Kuala Lumpur's landmark Merdeka (Freedom) Square, tens of thousands of people turned out for one of Malaysia's biggest anti-government rallies since 1998.


BBC;

Malaysia police break up protest
By Robin Brant
BBC News, Kuala Lumpur
Malaysian police have used tear gas and water cannon to disperse thousands of protesters who were marching in Kuala Lumpur to demand electoral reform.


Bangkok Post;

Huge rally for free elections

Huge rally. Electoral reform. Malaysian police have used tear gas and water cannon…. Telah muncul dalam media antarabangsa.

Ia gambaran kejayaan BERSIH. Electoral demand. Tindak tanduk polis. Itu antara tag line utama seluruh dunia.

Harap-harap PM baca laporan media dunia, supaya PM tau cerita sebenar. Untuk mana yang ingat-ingat lupa, sila baca semula apa PM ucap mula-mula jadi PM dulu,
``Beritahu kepada saya maklumat yang benar. Saya tahu kadang-kadang orang kasihan. Kalau beritahu maklumat yang benar nanti takut Pak Lah menangis, susah hati, tidak boleh tidur.
``Bagi saya, sebagai pemimpin seperti yang saya katakan kepada UMNO di Kepala Batas, saya bersedia penuh, sanggup mendengar apa yang benar. Kalau tidak sanggup mendengar apa yang benar, tidak payah jadi pemimpin. Begitulah sikap saya
``Jika kita mendapat maklumat yang betul dan menunjukkan sikap memahami dengan bertindak balas dengan jujur, itulah yang dikehendaki oleh rakyat.
``Kalau tidak, rakyat akan kecewa. (Utusan Malaysia: 10 November 2003 – bersamaan hari Himpunan Bersih 2007)

Aman, Cool - Di Depan Istana Rakyat Berdiri

Tahniah!

Tak patah dengan ugutan. Bijak, cool, berdisiplin, aman - puluhan ribu masih mampu mara berarak ke Istana Negara. Sekatan jalan raya di luar ibu kota, Dataran Merdeka dikepung, orang ramai disembur di Dataran Merdeka dan Masjid Jamik, FRU di mana-mana - namum - puluhan ribu masih mampu keluar dari segenap penjuru untuk melangkah bergaya, berdisiplin dan tenang dalam satu gelombang kuning yang memanjang di tengah hujan renyai. Akhirnya, FRU tak terkata melainkan akur dengan pusuan rakyat yang tidak mudah gentar dengan tajuk muka depan Utusan - 'Saya pantang dicabar'

"Sebenarnya yang mereka cabar, yang mereka hendak ketepikan adalah undang-undang." - PM

Ternyata perhimpunan anjuran BERSIH petang tadi adalah perhimpunan aman. Undang-undang dan amalan demokrasi mengizinkan perhimpunan. Ia bukan mencabar undang-undang.

Tugas PM bukan sahaja menjaga undang-undang. PM juga perlu menjaga amalan demokrasi. Jika pihak berkuasa memperkudakan sistem demokrasi secara tidak bersih dan adil, ia boleh membawa kepada runtuhnya keyakinan rakyat terhadap amalan demokrasi dan boleh membahayakan keamanan.

Betulkan perjalanan pilihanraya, jika Kerajaan mahu kekalkan keamanan. Tak usah bermuka garang untuk memperagakan kuasa kerana kuasa sebenar terletak di tangan rakyat. Jika tidak, Thaksin masih berkuasa di Thailand. Di mana-mana, keadilan membawa keamanan, bukan perkakas kuasa yang ada di tangan semata-mata.

"Bila polis suruh berhenti, berlakulah apa-apa yang tak diingini. Mereka pun lari merata tempat.

"Biasanya masuk dalam kedai, rempuh sana rempuh sini, jadi akan menyebabkan macam-macam berlaku... lepas tu marah pada polis..." - PM

Rakyat yang disembur kerana mereka mahu menzahirkan hasrat murni mereka melihat sistem pemerentahan negara mereka terpelihara pada petang ini, saya yakin tidak mengambil sikap bermusuhan dengan polis, sekalipun mereka siang-siang lagi 'diperkosa'. Semasa berarak pulang, FRU membiarkan sahaja orang ramai lalu-lalang di hadapan mereka dan mereka saling berterima kasih kerana urusan menyerahkan memorandum kepada Yang Dipertuan Agung berjalan damai.

PM lah yang harus ingat apa yang disebutnya semasa penubuhan Suruhanjaya Diraja Polis empat tahun lalu: polis kena jaga hak asasi manusia juga....

Apa perlunya Pak Lah naik baran?

Baca memo BERSIH, renung apa yang diluahkan, betulkan apa yang pincang.

Semua kita bertanggung jawab terhadap negara kita, termasuk rakyat kerdil dari seluruh negara yang tidak menghiraukan ugutan dan sekatan, untuk berdiri di hadapan Istana Raja mereka....., akhirnya.

Jangan lupa, BERSIH dianggotai oleh lebih 67 pertubuhan. Tak kan semua mereka tak berguna belaka?

Tahniah BERSIH! Tahniah rakyat Malaysia yang masih mampu 'berdiri'.

Dunia akan menyaksikan bagaimana PM bertindak balas terhadap satu seruan suci....

Thursday, November 08, 2007

KJ mau angkasakan harga minyak...

Perbahasan Perhimpunan Agung UMNO - Apa yang mereka sebut, apa yang kita faham;

KJ menyebut;

Rombak sistem subsidi -- * Tumpu rakyat miskin * Beri notis awal naik harga minyak.

Itu tajuk besar Utusan, dipetik dari usul KJ.

Maksud - harga minyak, diesel dan gas hendaklah dinaikkan dengan kadar yang tinggi selepas pilihanraya jika BN memerentah sekali lagi. Tak percaya, tengok...

Ajar semula Sains, Matematik dalam bahasa Melayu
KUALA LUMPUR 8 Nov. – Kerajaan digesa mengembalikan semula pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Melayu bagi mengangkasakan tamadun bangsa......"

"Pendirian UMNO Johor tersebut turut dikongsi oleh wakil Pergerakan Pemuda, Khairy Jamaluddin yang membuat gesaan yang sama ketika membahaskan usul ekonomi dan pendidikan pada perhimpunan tahunan UMNO itu."

Maksud - UMNO adalah sebuah parti lok lak. Kelmarin begini, esok begitu. Mangsanya adalah rakyat.

Dasar-dasar negara sepenting ini, nampaknya tidak well-thought-out.

Mesej yang dihantar, keputusan pimpinan UMNO adalah tidak orderly. Hasilnya, keliru, bercelaru dan memangsakan banyak pihak.

Untuk sesiapa yang ingat-ingat lupa, baca semula kenyataan TPM, Najib pada 3 April 2005.

Dasar Sains, Matematik dalam BI tidak berubah

KUALA LUMPUR 3 April 2005 - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan, dasar pelaksanaan pengajaran mata pelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris tidak akan berubah.

``Tiada perubahan dari segi dasar. Kita telah menetapkan perkara ini dalam mesyuarat Jemaah Menteri, Rabu lalu,'' katanya ketika diminta mengulas lanjut keputusan kerajaan meneruskan pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris''.

(Mesyuarat Kabinet yang Najib maksudkan adalah Kabinet di mana PMnya adalah mertua KJ)

KJ terlepas nasihat mertuanya sebelum keputusan 'muktamad' di atas dibuat, sehingga dua tahun kemudian beliau perlu mencabar keputusan Kabinet mertuanya?

Satu sahaja penjelasan untuk semua ini - dasar diputuskan separuh masak. Dasar penting tidak dirundingi dengan pihak lain terlebih dahulu. Selepas roket sudah terlajak, baru nak undur ke bumi...

Baca pula apa yang pernah disebut oleh bekas Menteri Pelajaran Malasyia, Tan Sri Musa;

"Apakah yang Tan Sri hendak rumuskan daripada pelaksanaan dasar mengajar Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris? Apakah implikasi langkah itu kepada masyarakat Malaysia?

MUSA: Percayalah bahawa penggunaan bahasa Inggeris dalam pengajaran Matematik dan Sains ini tidak ada tujuan politik selain untuk memperkasakan bangsa."


Perkasakan bangsa dan mengangkasa bangsa punya erti berbeza?

Terakhir;

'Swasta enggan labur di koridor pembangunan'

'Pergerakan Pemuda UMNO hari ini membidas syarikat-syarikat swasta yang enggan melabur di tiga koridor pembangunan ekonomi yang dilancarkan kerajaan, sebaliknya lebih rela melabur di luar negara.'

Naib Ketuanya, Khairy Jamaluddin melahirkan perasaan sedih dengan sikap syarikat swasta terlibat kerana tidak yakin dengan peluang pelaburan di negara sendiri...'

Lapor Utusan, muka 5.

Maksud - koridor yang dilancarkan hanya gimik pilihanraya. Sementara umpan belum kering, Parlimen akan dibubarkan. Syarikat swasta lebih bijak. Mereka tak akan curahkan air semata-mata kerana guruh yang digimikkan seperti itu.

Kedua, mujur KJ bagi tau. Jika tidak, setengah ingatkoridor yang tiga itu hebat sangat...

Untuk kukuhkan apa yang KJ cakap, baca kenyataandi bawah;

'The private sector should share the responsibility of developing the country's various economic corridors to enable such areas to experience greater economic growth, said Prime Minister's Special Advisor on the Northern Corridor Economic Region (NCER), Datuk Seri Mohd Annuar Zaini.


"Although there is ambition at the state government level to create economic hubs, there is neither enough understanding among the officers on the needs and wants of investors nor the capability to attract private funds," he said on the sidelines of the 58th Umno General Assembly here.

Mohd Annuar said about 70 per cent of industrial zones developed by state governments were not being used although they had been gazetted, the infrastructure, water and electricity supply and road networks having been made available.'

Tuesday, November 06, 2007

Cepat Rugi, Slow Pun Rugi

Menjelang Pilihanraya 2004, Abdullah dengan bijaknya memainkan watak sebagai tokoh yang membawa perubahan baru sesuai dengan kehendak rakyat. Lebih kurang seratus hari sejak mengangkat sumpah sebagai PM pada 31 Oktober 2003, beliau menuturkan pelbagai polisi yang menyenangkan.

Kata-kata manis itu berkesan.

Landasan Keretapi Berkembar yang moden dan pantas, menghubungkan negara kita sampai ke Cina - antara mangsa permainan imej itu. Diumumkan ditangguhkan pada Disember 2003. PM baru, bagus - tak sukakan projek mega macam Tun M. Negara untung kerana ada PM baru seperti Abdullah.

Rakyat kagum. Cepat Abdullah membuat keputusan.

Waktu itu, landasan Rawang-Ipoh sedang dibina. Ia akan jadi landasan tergantung jika sambungannya sebelah utara dan selatan sepanjang 329km lagi tidak dibina. Apa peduli. Yang penting, rakyat nampak Abdullah PM yang jimat.

Kos waktu itu untuk sambungan 329km - RM 14.5 B.

Kini, ia diputuskan untuk dibina semula.

Kosnya?

Sejak 2003, harga besi naik lebih sekali ganda. Simen, 25% kenaikan, sekurang-kurang. Diesel, naik dengan tajam dan akan terus naik. Kos diesel untuk mengangkut bahan binaan dijangka melebihi separuh kos bahan binaan untuk projek ini.

4.2 million tan aggregate, 1.2 million tan simen, 300,000 tan besi, 5,000 buah logi, mesin berat dan kenderaan diperlukan.

Angka awal - RM 12.5 B hanya untuk sektor Utara, Ipoh-Padang Besar. Naik RM 3.5 B dari kos asal.

Sewaktu bertugas sebagai Ahli Dewan Rakyat, saya bangkitkan isu kos yang boleh dijimatkan dan tujuan tertentu kos dinaikkan yang akan merugikan negara. Projek ini baik untuk negara tetapi cara pengendaliannya boleh merugikan negara. Untuk landasan Rawang-Ipoh, saya nyatakan, ia boleh dijimatkan antara RM 700 juta hingga RM 900 juta.

Laporan terakhir menunjukkan kos telah meningkat dalam lingkungan RM 700 juta untuk Rawang-Ipoh.

Kini, kita akan kerugian lebih dari RM5 B kerana langkah penangguhan tergesa-gesa 4 tahun lalu.

Pembuatan keputusan Abdullah selalu menelan kos..... Hampir RM 1.5 B setahun, untuk ini sahaja.

4 tahun masa diperlukan untuk membuat keputusan baru.......

Kheng Yaik kata Pak Lah slow

Samy Vellu - Menteri Kabinet Pak Lah merajuk - tak nak sambut Deepavali tahun ini. Tak ada rumah terbuka pemimpin MIC Khamis ini - kata Samy (kenyataan ini ditarik balik beberapa jam kemudian).

Kheng Yaik, seorang lagi Menteri Kabinet Pak Lah, tak kurang berani dan jantan. Hari ini, beliau mengambil peluang menyelar /membedal kerajaan secara terbuka. Lapor NST edisi cetak, muka surat 42, di bawah tajuk 'Minister calls for decision on Bakun dam electricity'.


'Energy, Water ang Communications Minister said, decision-making on the project (electricity that will generated at the Bakun hydroelectric dam) has been slow.'

'Unless we make a decision soon, we'll be the biggest laughing stock in the world when we take 15 years to complete Bakun and , at the end, there are no offtakers.'


KJ mungkin terlalu sibuk dengan Persidangan Pemuda hari ini dan tak sempat membaca cemuhan Kheng Yaik. Jika tidak, teruk Kheng Yaik dikerjakannya. Silap haribulan, 'diberukkan' sebagaimana beliau 'memberukkan' bakal peserta Himpunan Aman Bersih 10 November, semasa menggulung perbahasan petang ini. Sila klik disini.

Kali ini, beruk pilihan KJ, selepas sebelum ini KJ 'memonyetkan' bloggers. Hebat.

Monday, November 05, 2007

ECER telan 20 j hari pelancaran

"...... But there is still a lot that the Government can do. Step up the fight against wastage and corruption.", demikian tulis Wong Sulong dalam akhbar The Star di bawah tajuk 'How to fight rising prices' hari ini.

Wastage dan corruption, kata Wong, dua isu yang boleh meningkatkan kos kehidupan. Tanpa keduanya, barangan menjadi lebih murah.

Jika Zam kaki bising membacanya, tentulah Wong Sulong akan dilabelkan membawa suara pembangkang dalam akhbar arus perdana seperti The Star.

Hari yang sama, muka depan Utusan Malaysia, juga membawa isu kenaikan kos hidup di era cemerlang dan gemilang.

Mungkinkah Wong mengangap puluhan juta perbelanjaan ceremonial untuk pelancaran setiap koridor oleh PM termasuk dalam pembaziran itu? Pelancaran ECER untuk tiga negeri sahaja dikatakan menelan lebih RM 20 juta. Hasilnya belum kelihatan tetapi perbelanjaan mewah seperti ini sudah menghantar segelintir orang menjadi jutawan.

Friday, October 26, 2007

Ada ekor, baru cam kepala

Kerajaan Abdullah begitu sibuk mengejar 'ekor' klip video Lingam, untuk mengesahkan 'kepala' klip itu adalah tulin. Tanpa 'ekor', kepala tak boleh di cam.

Kalau anda lihat kepala cicak mengkarung di bawah, anda hanya boleh mengesahkan ianya mengkarung, selepas anda membelek ekornya. Ia boleh dipanggil pengesahan melalui ekor.... Tanpa 'ekor', Lingam tetap 'bermaharajalela' di Malaysia dan kemelut insitusi kehakiman tinggal tergantung.



Pencarian ekor klip video sinonim dengan pencarian perakam klip itu.

Pak Lah, mewakili Lingam dan konconya, lebih berminat mengesahkan siapa perakam tersebut. Tahniah Lingam.

Wednesday, September 12, 2007

Ramadhan Kembali Lagi....



Ramadhan Kembali Lagi

Engkau memilihku untuk menemui RamadhanMu sekali lagi…….
Penuh syahdu, aku ucapkan jutaan syukur…. Sungguh, aku bersyukur

Engkau limpahkan kami "The Power Of 30 days..." Tiap hari darinya adalah berharga. Sangat berharga sehingga sehari puasa yang ditinggalkan di RamadhanMu, puasa sepanjang hayat tidak akan dapat menebus hari yang hilang….

Tiap jam dan tiap detik, permata-permata yang mahal. Saat-saat sahur, tempoh paling berharga dalam 24 jam itu, Engkau bangunkan kami. Lembutkan jiwaku untuk rebah dalam RedhaMu pada saat-saat yang harum hening itu....

Basahkan lidahku dengan Jaushan Kabir yang indah, atau Munajat Kumail yang membawa jiwaku mendayu….

Ah…, sungguh indah.

JanjiMu mengampunkan dosa kami yang terdahulu, limpahkan tanpa sempadan Wahai Maha Pemurah

Telah bergema di telingaku sahutan bacaan Qur’anMu di mana-mana, seakan deruan suara lebah yang ramai…

Tambahkan fahamanku terhadap ayat-ayatMu. Kukuhkan aku berpegang padanya biarpun dunia seluruhnya bergoncang…..
Suluhkan hidup kami dengan cahaya Ayat-AyatMu...

Dan saf demi saf di rumah-rumahMu, alangkah indahnya jika itulah gambaran perpaduan dan kekuatan ummahMu

Engkau lipatkan ganjaran seluruh perbuatan dan tindakan baik kami…, Engkau meminta kami pengasih dan prihatin, Engkau imbangkan pandangan kami terhadap dirti kami sendiri dan ummatMu yang lain melalui Jiwa Kepemurahan RamadhanMu. Kesejagatan RamadhanMu.....

Semangkuk gulai untuk jiran kami penghubung rahim. Biarkan saudara kami yang miskin dan memerlukan tidak kami abaikan walaupun hanya sebutir tamar untuk mereka di RamadhanMu. Dhua’fa’ Mu bawakan berbuka bersama kami kerana mereka kekasihMu

Saudara kami yang jauh, di Palestin sana, di Iraq yang sedang menderita, di mana saja….. ampunkan kami jika kami cuai, Ya Rabb

Qiam malam-malam RamadhanMu yang amat berkah, dan Lailatul QadarMu yang agung. Tegakkan tulang belakang kami untuknya. Tegakkan pendirian kami untuk agamaMu juga

Aku bersyukur. Kerna itu, limpahkan berkah yang melimpah ruah. Mendekatlah aku kepadaMu dengan jiwa baru. Bukakanlah tangan kurniaMu seluasnya, Maha Pengasih

Salam Ramadhan dan Salam Kemenangan

Tuesday, September 11, 2007

Putra Jaya saksikan himpunan besar - aman tanpa gangguan polis

Lihat himpunan aman masyarakat India di Putra Jaya semalam, 11 September.

Masyarakat India cipta sejarah berhimpun besar-besaran di depan Pejabat Perdana Menteri. Aman bila polis tak mengganggu.

Feel Good Factor Pak Lah belum menjadi. Masyarakat India inginkan pembelaan.












LAPORAN ODIT: BN KORUP

'Feel Good Factor' yang cuba diterapkan oleh Abdullah menjelang pilihanraya berdepan dengan 'bad record'.

Laporan Odit yang dihebohkan kini hanya membuktikan amalan korup berleluasa di pelbagai Kementerian di bawah pentadbiran Abdullah.

Dari screwdriver, buku keluaran DBP sampai kepada dockyard, semuanya dimanipulasi harganya sedemikian rupa. Negara kerugian berbillion ringgit.

Apa tindakan Abdullah sebagai bapa gerakan 'human capital'?

Apa yang berlaku sama sekali berbeza dari apa yang dijanjikan oleh Abdullah mengenai kerajaan bersih dan sikap anti korup yang dilaungkan sewaktu mula menjadi PM.

Jika beliau berniat mengotakan slogannya 'tell me the truth' dan 'don't be apple polisher', inilah masanya untuk beliau bertindak.

Siasatan rasuah adalah satu perkara dan tindakan pentadbiran adalah satu perkara yang lain.

Siasatan BPR akan mengambil masa yang panjang pula untuk mengetahui bagaimana buku berharga RM 400 dibeli dengan harga RM 10,000. Besar kemungkinan siasatan pula boleh lenyap ditelan kabus.

Jika buku biasa boleh meningkat harga berpuluh ribu ringgit sehingga menelan beratus ribu ringgit pembaziran untuk mencukupkan keperluan, bayangkan apa yang berlaku dengan projek-projek RMK 9 yang rata-rata diberi tanpa tender seperti yang dijanjikan?

Mengapa Abdullah teruskan amalan buruk itu?

Lebih teruk lagi, pengagihan projek ini mengikut patern politik yang dicaturkan oleh hanya seorang menantu. Pemimpin Pemuda UMNO adalah antara kumpulan utama penerima manafaat.

Abdullah membiarkan menantu beliau mencaturkan wang rakyat dengan projek tanpa tender secara berleluasa.

Tanpa tindakan, negara hanya menuju kepada korupsi di atas korupsi.

Monday, September 10, 2007

Apa erti hamper polis untuk Suwandi?

"Polis tembak Suwandi sambil berdiri!" - mengikut seorang saksi yang melihat dari jarak dekat peristiwa tembakan peluru hidup ke atas orang awam di Batu Buruk.
"Kami nampak percikan api keluar dari pistol polis"

Kenyataan ini sama sekali berbeza dengan apa yang diterangkan oleh Ketua Polis Terengganu, seperti di bawah;

Ayub said the policeman, who suffered a blow to his eye causing it to bleed, then fell to the ground but the mob allegedly did not relent and continued to hit him.

“He had no choice, he used his left hand to fend the blows and with his right hand, he reached for his gun. Because his face was bleeding profusely, he couldn’t see properly as well.

“He was still on the ground, his elbow was on the ground when he fired into the air. He did not even know that someone had been hit (by the shot),” he added.


Siapa benar?

Itulah sebabnya satu Suruhanjaya Siasatan diperlukan.

Kedua mangsa tembakan dijangka sembuh dan mereka boleh memberikan keterangan.

Jika benar bahawa anggota polis berkenaan dibelasah hingga terjatuh ke tanah, adakah Suwandi yang mengejar beliau?

Jika Suwandi yang mengejar anggota polis berkenaan, mengapa pula polis menghantar hamper kepada Suwandi semasa beliau di rawat di hospital Kuala Terengganu sebelum di bawa untuk pembedahan di HUSM Kubang Kerian?

Tanda simpati?

Tanda kesilapan tembakan?

Tanda persahabatan?

Kita tidak ingin bermusuh dengan polis tetapi tembakan peluru hidup ke atas orang awam dalam satu majlis yang sepatutnya berjalan aman jika tidak wujud gangguan seperti yang telah berlaku, adalah satu peristiwa serious yang tidak boleh dibiarkan berulang.

Biarkan kebenaran mengambil tempat dengan satu siasatan bebas dan mana-mana pihak tidak harus dibiarkan menjadi 'raja' untuk bertindak sesuka hati.

Polis perlukan tembakan peluru hidup untuk pulihkan imejnya?

Dua PR yang berbeza, tetapi keduanya sama buruk.

Apa perlunya satu keadaan tegang dicipta melalui kehadhiran polis FRU berdepan dengan penduduk kampung di Bukit Beruang, Melaka?

Tindakan tidak matang pemimpin Kerajaan Melaka memaksa babi ternakan dimusnahkan dalam tempoh relatif singkat tanpa satu perundingan dengan persetujuan muktamad, hanya menampakkan sikap tidak cermat menangani isu itu. Selepas bertahun-tahun membiarkan kandang babi berkenaan mencemarkan persekitaran, satu langkah pintas hendak diambil dengan menggunakan kekuatan FRU.

Akhirnya, ketegangan yang tak diingini telah berlaku dan meninggalkan imej negatif yang berpanjangan ke atas polis. Polis berundur secara menikus.

Penternak berjaya. Kerajaan Melaka nampak lemah dan tidak matang. Polis terperangkap. Persepsi negatif masyarakat Cina wujud.

Belum reda usaha pemulihan imej polis yang kurang bijaksana dalam menasihatkan kerajaan Melaka tentang potensi isu seperti itu meletup menjadi isu masyarakat Cina dikasari polis, polis melakukan ‘reverse’ PR yang sangat buruk.

“Jika dengan masyarakat Cina polis kecut, lain pula dengan orang Melayu. Polis tunjuk berani’ – rata-rata itulah komen spontan yang saya dengar sepanjang hari ini.

Kuasa undi masyarakat Cina dan sensitiviti politik mereka menggerunkan polis tetapi tidak dua pemuda Melayu dari negeri yang rakyatnya adalah kedua termiskin di Malaysia.

Satu das peluru hidup dilepaskan mengenai dua Pemuda yang kini dirawat di dua hospital.

Usaha asal polis ialah mengelakkan perhimpunan yang boleh mengganggu keamanan tetapi kerana salah urus polis, berakhir dengan hilang keamanan.

Polis dilihat tidak bijaksana dalam perhitungan dan tindakan mereka. Jika perhimpunan itu dibiarkan, sudah hampir pasti keadaan kecoh seperti dilaporkan tidak akan berlaku. Namun, polis memilih untuk menyekat perhimpunan itu sekalipun polis hampir pasti ia boleh mencetuskan keadaan yang tidak diingini.

Jika dalam kes di Bukit Beruang, polis boleh menghentikan gempuran mereka dan keadaan kembali damai, mengapa tidak polis mengambil tindakan yang sama di Batu Buruk?

Pilihan polis ialah untuk memantau dan mengawal ceramah itu atau untuk menyekat perhimpunan, menggempur dan menyerbu? Mana satu yang secara logiknya boleh menghasilkan suasana aman?

Buruk sangatkah kesan perhimpunan di Batu Buruk itu sehingga tidak ada toleransi boleh ditimbangkan? Berapa banyak perhimpunan serupa di seluruh Negara berjalan dengan aman. Apa istimewanya polis Terengganu untuk tidak mengambil sikap seperti rakan polisnya di seluruh Negara?

Jika hanya 500 hingga 750 orang sahaja pendengar yang hadhir, apa sangat yang perlu dirisaukan oleh polis?

Apa perlunya polis meruntuhkan pentas tempat ceramah itu dijadualkan diadakan dan tidakkah itu boleh dikira di luar bidang tugas polis?

Jika keadaan telah begitu kecoh, tidakkah lebih baik polis berundur dan membiarkan ceramah itu berlangsung? Nampaknya babi lebih beruntung kerana terus menikmati kebebasan mereka ketika rakyat Terengganu terpaksa menerima tembakan untuk mendapat kebebasan berhimpun mereka.

Mengenai tembakan peluru hidup, tidakkah tembakan amaran ke udara perlu dibuat untuk menyekat sebarang tindakan oleh dua pemuda itu, jika benar mereka bertindak seperti yang dilaporkan? Adakah polis berkenaan telah melepaskan tindakan amaran ke udara?

Kenapa tembakan terus di halakan ke dada pemuda berkenaan?

Kita memang memerlukan polis yang lebih neutral sikap politik mereka semasa melaksanakan tugas, untuk mendapat perkhidmatan polis yang profesional dan bijaksana.
Hari ini, polislah yang perlu membetulkan imej mereka dan tidak perlu menuding jari kepada pihak lain.

Friday, August 31, 2007

KEMERDEKAAN MILIK RAKYAT

Kemerdekaan, kadang kala seakan milik orang yang berkuasa, parti yang berkuasa. Ia bukan lagi milik seluruh warga rakyat.

Kemerdekaan adalah penjajahan baru. Bernama kongkongan.

Satu pihak bebas mengongkong pihak yang lain – itukah kemerdekaan?

Anda masih remaja – mungkin anda adalah lebih merdeka.

Anda memasuki universiti – aktivisma mahasiswa segera dibalut oleh sebuah Akta – namanya Akta Universiti – dan berdiri di situ ‘Gabenor’ UMNO-BN untuk memastikan cengkaman itu terasa. Lihatlah pilihanraya kampus yang penuh jenaka. Gabenor ini miangnya lebih dari Gabenor British yang kita halau dulu.

Kebebasan akademik? ‘Gabenor-gabenor’ 'penjajah' sangat berbau politik kepartaian sifatnya bertaburan di mana-mana kampus. Mereka dilantik atas pertimbangan politik – untuk berkhidmat kepada sebuah autoriti politik sebagai ukuran paling utama. Lantas, di mana kemerdekaan para ahli akademik kita? Melainkan kongkongan. Tanpa kemerdekaan, kita akan cemerlang?

Anda melangkah keluar ke alam kerjaya – Aku Janji sedang menunggu anda. OSA memenjarakan anda. Sepanjang hayat anda. Anda dikongkong.

Anda rakyat biasa yang hauskan kemerdekaan maklumat? Anda adalah anak jajahan media arus perdana. Anda cuba merobek tirai manipulasi berita? Anda cuba mencuri untuk mengecap kemerdekaan dari perhambaan media seperti itu lewat internet, blogs dan web berita? Geger! Anda kurang patriotic kerana berkawan dengan ‘monyet-monyet’. Anda dikongkong.

Jerkah, ugutan dan jangan lupa ISA yang setia menunggu. Itu semua alat sebuah kemerdekaan?

MTUC pun diugut untuk ditutup. Merdeka….

ISA hanya sebuah pisau yang boleh digunakan oleh ‘tuannya’ untuk menghiris orang lain. ‘Dua ditangkap kerana SMS perkauman.’ Bagaimana dengan orang yang menghunus keris sebegitu panjang dengan laungan perkauman? Tidak, ia berlindung di balik kuasa.

Ekonomi - jaring penjajahan yang lebih mencengkam. Bila anda berada dalam baris elit kuasa, anda bebas ‘merompak’ atas apa sahaja nama.

Ingat – ketika anda melewati lebuhraya utama dan singgah di plaza tol, ia sebuah kemajuan atau sebuah rompakan kecil kemerdekaan anda? Elitis yang kecil mendapat sebuah lesen, dan untuk tahun ini PLUS telah mengumumkan ia meraih lebih setengah billion (RM 583 juta) keuntungan untuk separuh tahun 2007 - tetapi kadar tolnya mesti naik saban masa. Aku tidak herankan kos yang aku harus biayai untuk sebuah kemudahan tetapi keuntungan besar atas sebuah keperitan adalah mencabut kemerdekaan ku….

Anda elitis kuasa, anda bebas dan merdeka. Port Klang Free Zone – tanah kerajaan dijual kepada – ahhh – engkau pun tau siapa, jika tidak apa yang dipanggil kroni - di jual balik kepada kerajaan – dan orang yang amat kecil bilangannya ini, amat kecil sehingga boleh dihitung dengan jari tangan tak perlu masuk jari kaki – ketawa riang dengan keuntungan satu ribu lapan ratus juta tolak kos beli, sembilan puluh lima juta. Keuntungan bersamaan lebih satu perpuluhan tujuh ribu juta!

Dan anak bangsaku yang masih merempat sesak, semua kaum, kita heret zaman berganti zaman menghiasai kemerdekaan kita.

Kemerdekaan ku di mana? Di mana odit atas akaun PKFZ sebelum kerajaan bail out? Di mana pembentangan dan kelulusan Parlimen? Di mana ketelusan, di mana kewajaran?

Bukankah ketelusan itu adalah ciri utama sebuah masyarakat merdeka? Jika tidak, kekayaan Negara hanya akan dikaut oleh orang hitam sebagai ganti orang putih bangsa penjajah yang telah kita halau dulu. Itukah yang engkau mau dari sebuah kemerdekaan?

Anda sebut Parlimen? Lambang sebuah demokrasi?

Sepuluh tahun sekali parti yang berkuasa boleh mengatur kekuatannya melalui proses ‘sempadan’ semula. Ah, kemerdekaan itu adalah kebebasan mengatur untuk parti berkuasa…

Dan pilihanraya? Pilihanraya yang bebas? Jika pilihanraya kampus yang tidak akan mengubah apa-apa kuasa Negara, kaki dan tangan mahasiswa diikat, adakah mungkin pilihanraya yang boleh menukar tampuk kuasa, anda mengharapkan ia bebas – dari politik wang – anda sendiri tau, dari kongkongan media, anda sedia arif, dari penipuan?

Undi Myanmmar dan orang Thai kadang kadang boleh mengalahkan suara anda Anak Malaysia. Oh, kemerdekaan ku….

Anda belum menghitung penjajahan janji-janji. Maksud saya, ada lagi rakyat Malaysia rebah dengan janji pilihanraya lima tahun sekali. Setiap lima tahun, mereka memperbaharui penjajahan……

Dan kini, cendawan koridor berhamburan. Koridor sana, koridor sini. Feel good factor, kawan…

Modus operandi penjajahan baru ini ialah ekonomi. Tanpa tender, aneka projek diagihkan. Kini, kepada pemimpin pemuda mereka. Dijual segera bila projek diperolehi. Kos projek melambung-lambung. Wang negara mengalir bagai air. Untung segera. Keuntungan digunakan pula untuk membeli undi dalam parti dan dalam pilihanraya.

Pemilihan parti akan diadakan selepas pilihanraya. Kuasa digunakan untuk memberikan projek untuk mengumpulkan sokongan. Sokongan membawa kepada kuasa. Kuasa kepada kekayaan.

Wang memberikan kuasa. Kuasa memberikan wang.

Bagi massa generasi baru, basuh otak mereka di PLKN. Mana-mana yang telah terlekat jalur 'UMNO' di jiwa mereka, boleh menyertai skuad elit kuasa, boleh berkongsi kekayaan juga kuasa, atas harga yang terpaksa dibayar oleh negara.

Pada hakikatnya, kita semua adalah hamba mereka. Kemerdekaan kita telah disamun.

Anda bukan anggota parti kerajaan – anda kurang patriotik Anda dari baka bukan pejuang kemerdekaan.

Bapa beli bas dijual oleh anak (Scomi - RapidPenang). Patriotik?

Abang lancar nasi kandar adik di luar Negara. Patriotik?

Promosi Kebaya mengingati al marhumah isteri di luar Negara. Patriotik?

Aku penjual nasi dagang, nasi berlauk, keropok dan pedagang batik, promosi luar Negara tidak mungkin menjengok kerana aku adalah rakyat biasa pengundi setiamu… Sekalipun aku adalah rakyat teramai, tetapi adik, isteri dan anak juga diingat orang.

Terengganu merdeka seiring dengan royalti minyak yang lumayan. 16 % rakyatnya di bawah paras kemiskinan dan 54% rakyatnya berpendapatan bawah RM 1,500 dan anda katakan ini kemerdekaan?

Mentaliti terjajah atau mentaliti penjajah?

Apa jadi pada peta Semenanjungku? Semakin mengecil dengan peluasan wilayah Singapura lewat pemilikan tanah dan penempatan penduduk di WPI. Bakal menjadi 3 juta orang warga Singapura akan menetap di WPI, unjuran Tun Dr. Mahathir.

Itu peluasan wilayah namanya. Apa perlunya Jawatankuasa Bersama Kabinet dengan Singapura untuk WPI? Kekuatan strategic mereka akan ditekankan ke atas Negara kita dan menerusi apa yang digelar pembangunan, kita kehilangan kedudukan yang akan memberikan kesan politik yang tak berkesudahan.

Jika dengan semangat merdeka kita pernah satu masa menguasai semula gergasi perniagaan dan perladangan yang dimiliki orang putih, kenapa pula kini kita perlu menjual wilayah kita?

Kemerdekaan kita telah dihijack. Malang.

Pemandu teksi, dipenjara oleh palang kronisma yang lain pula. Mereka harus bekerja kuat untuk taukeh-taukeh yang goyang kaki. Taukeh ini memiliki permit-permit yang memberikan keuntungan percuma sebegitu lumayan. Itu bukan pemerasan namanya? Pemerasan bukan penjajahan?

Belum diambil kira AP, klon atau bukan klon. Monopoli itu, monopoli ini. Ah…, jaringan ‘penjajahan’ oleh anak bangsaku sendiri?

Anda belum memeriksa sudut akhlak dan moral. 1.5 juta (atau lebih) generasi merdeka ‘lintuk.’ Mereka dijajah oleh dadah dan tak berupaya bangkit. HIV datang tak diundang tetapi jika dibiarkan, bangsa boleh pupus.

Apa agenda untuk anak bangsa Malaysia ku ini? Sure Heboh dan Jom Heboh? Kampung Hadhari?

Biarkan mereka rebah di persada noda? Menjelang 2020, mereka makin biak – dijangka 3.5 juta. Mereka merdeka dalam khayal yang panjang tetapi, ah, mereka mangsa kemerdekaan tanpa agenda yang ada pedoman? Mereka telah rebah dijajah tetapi apa pemerentah telah lakukan untuk memberikan semula ruh kehidupan?

Dan anda teringatkan keselamatan kita semua?

Pengganas komunis telah diganti dengan pengganas baru. Fenomena jenayah seakan sinonim dengan kemerdekaan kita kebelakangan ini. Ia bukan lagi berlindung di hutan belantara tetapi ada di mana- mana di tengah kehidupan kita. Dari Perlis sampai ke Sabah, mangsa boleh ada di mana saja.

Anda katakan kemerdekaan itu keamanan. Dan kesejahteraan. Kenapa ada ketakutan? Bimbang mencengkam kehidupan.

Di mana polis?

Polis harus menjaga polis? Kata-kata yang mungkin keterlaluan. Tetapi jika barah yang melanda kita semua tidak diubati, tren polis menjaga polis dari melakukan jenayah, akan berkembang. Altantuya – ya – polis, nama polis disebut. Disebut di sana sini. Bekas Ketua Polis menyebut tentang pagar makan padi.

Benar, seekor kerbau membawa lumpur, membawa nama polis, BPR atau apa sahaja ‘pagar-pagar’ kita, disebut orang dengan nama kurang enak. Jika dibiarkan, kerbau-kerbau berlumpur ini akan membiak dan kita akhirnya hilang satu cebis lagi kemerdekaan kita.

Anda bertanyakan tentang kedaulatan undang-undang, tentang kehakiman, tentang prinsip yang jahat tetap menerima pembalasan bukan pelepasan. Anda berbisik, mahkamah kita pentas jenaka. Hakim kita?

Anda rakyat yang merdeka. Anda ukur. Andakah yang merdeka atau orang yang berkuasakah yang merdeka?

Padahal asalnya, kemerdekaan milik kita semua.

Salam kemerdekaan....

Sunday, August 12, 2007

MANA SATU POLIS, MANA SATU PENJENAYAH? TUN HANIF

POINT OF VIEW
By TUN HANIF OMAR
The Star

The police force and the Anti-Corruption Agency – two crucial institutions leading the fight against malpractices and corruption. Yet they are sadly disappointing in their inability to even clean up their own backyards.

The first we all know because among the first things that this government did after the last general election was to convene a Royal Commission from February 2004 to enquire why that institution had gone so far down the road of self-destruct and to make recommendations as to how to enhance again its operations and management. That was our Polis Diraja Malaysia (PDRM).

I briefed the Royal Commission that police corruption was so extensive that a very senior ACA officer had confided in me and another top retired police officer that 40% of the senior officers could be arrested without further investigations – strictly on the basis of their lifestyles. One state police chief had a net worth of RM18mil. My friend and I had watched the force getting deeper and deeper into the morass of corruption."

Petikan tulisan bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar dalam Sunday Star semalam, adalah satu tamparan terbuka.

Sebagai bekas Ketua Polis, bercakap mengenai polis, tentulah menjadi penumbuk yang cukup berat 'weight'nya. Ia ada authoritative appeal.

Kerajaan Abdullah mesti memberikan respon segera terhadap beberapa isu yang dibangkitkan.

a. Rasuah di kalangan anggota polis termasuk berpangkat tinggi adalah berleluasa. 40% pegawai tinggi polis boleh ditangkap tanpa penyiasatan panjang kerana kehidupan mewah melebihi pendapatan boleh dijadikan ukuran.

b. PDRM masih tidak dapat memulihkan imejnya walaupun Laporan Suruhanjaya Diraja telah dikeluarkan lebih dua tahun setengah yang lalu. Cadangan Suruhanjaya Diraja itu sia-sia.

"The Royal Commission Report was made public two-and-a quarter years ago, yet PDRM has still not burnished its image. It is still mired in controversy."

"By not letting the IPCMC see the light of day after such a long study by the AG speaks volumes of the AG’s understanding of the seriousness of the problem and its effect on the criminal justice system."

c. Pegawai atasan polis terbelah dua. Satu pihak menahan apa yang dikatakan penjenayah dan satu pihak lagi dengan kerjasama BPR menyiasat pihak yang menahan apa yang dikatakan penjenayah.

" It is so clearly divided into at least two groups at the top and, consequently, affects the officers below. That is why one group carries out arrests of alleged crime kingpins and the other group and the ACA have allegedly interrogated the arresting officers in the belief that the first group is eliminating the informants of the other group.

"Whom can we believe when one group is headed by the IGP and the other by a police director backed by the Deputy Minister of Internal Security? They are at opposite poles."

d. Sejauh mana benarnya kenyataan Peguam Negara bahawa kedua-dua Ketua Polis dan Timbalan Menteri Dalam Negeri bersih dari tuduhan rasuah terhadap mereka tidak dapat dipastikan.

"Both the IGP and the Deputy Minister of Internal Security have allegations of corruption thrown at them but both have been investigated by the ACA, the content of the reports to the AG we do not know. What we know is that the AG has absolved both of them. So, between the two, whom are we to believe?"

e. Peguam Negara hilang kredibiliti

"The AG himself has lost his credibility for this recalcitrance and for his “defeats” in recent high profile cases as well as for some high profile cases not seeing the light of day after so long in his hands: and this is disastrous because his Chambers is the second other vital institution in the criminal justice system."

f. BPR telah gagal sepenuhnya bertindak terhadap ikan jerung

"The ACA is another vital institution. It is its abject failure to act hard against the highly corrupt at the very top levels all these years that has allowed this pervasive corruption culture to thrive and grow within the public sector."

Tulisan ini memuatkan dakwaan-dakwaan yang berat. Fenomena serius yang dibangkitkan oleh Tun Hanif ini boleh meruntuhkan negara.

Dakwaan ini tentunya tidak boleh dibiarkan berlalu. Kerajaan perlu memberikan respon. Jangan sekadar secepat kilat memberikan respon tentang '40 kerusi BN hilang' tetapi membisu dalam isu kritikal seperti ini.

Laporan akhbar The New Straits Time hari ini, memperkukuhkan lagi dakwaan Tun Hanif dan buah mulut rakyat jelata yang keliru mana satu polis mana satu penjenayah. Mana satu polis yang jujur dan amanah dan mana satu penjenayah beruniform polis.

By : Lee Shi-Ian
New Straits Times

The Anti- Corruption Agency (ACA) is investigating whether the arrest of a Johor-based businessman was an "abuse of power" by the police.

The businessman was banished to Jeli, Kelantan, last Wednesday.

The suspect was earlier cleared of any involvement in illegal gambling, prostitution or drug activities by the ACA and the secret society, vice and gaming division of Bukit Aman federal police headquarters in June.

ACA sources said the allegation of abuse of power was one of the factors the ACA was looking into as it probes the circumstances of the suspect’s arrest.

Kejutan Sultan Selangor


Selangor Sultan: Keep politics out of N-Day celebrations
The Sultan of Selangor wants politicians in the state, regardless of which parties they belong to, to put politics aside and refrain from bringing up contentious issues ahead of the 50th National Day celebrations. Sultan Sharafuddin Idris Shah said he did not want anyone to dampen the mood of the celebrations but to instead instil the Malaysian spirit.

Saya yakin, titah Sultan Selangor yang disiarkan The Star Online pagi ini, menambahkan lagi kejutan ke atas Abdullah.

Calon beliau untuk Hakim Besar Malaya ditolak oleh Majlis Raja-Raja sebelum ini. Mengesan kemungkinan calon beliau ditolak, mungkin menjadi sebab Pak Lah buat pertama kalinya tidak menghadhirkan diri dalam Persidangan itu. Beliau bercuti di Australia.

Adakah dengan bertindak tidak hadhir, keadaan menjadi lebih baik?

Adakah manis Perdana Menteri memilih tarikh Raja-Raja bersidang untuk bercuti? TIdakkah boleh ditunggu untuk satu tarikh lain? Lagipun, ia hanyalah bercuti.

Titah Raja Muda Perak kebelakangan ini, dilihat rakyat sebagai obor baru kepada cita-cita Malaysia yang lebih adil dan saksama.

Kemudian datang peringatan Sultan Selangor ini, diambang BN dan UMNO dikatakan akan menggunakan perayaan 50 Tahun Merdeka untuk mileage politik mereka.

Ia jarang-jarang berlaku. Tetapi peringatan ini sangat berguna dan tepat pada masanya.

Rasuah Berleluasa - Sultan Selangor tahu, Pak Lah tak tahu

Sultan expresses concern over host of issues

SHAH ALAM: Immediate action must be taken to check corruption, bureaucratic red tape, race problems, religious intolerance, the brain drain and crime, the Sultan of Selangor said.

“Corruption is still a problem, which the people are very concerned about, and more effective action needs to be taken,” he said.



Lagi teguran (tamparan?) untuk Kerajaan BN. Rasuah dan jenayah. Rakyat terasa cengkamannya. Tetapi ungkapan (titah) Sultan Selangor ini lebih efektif untuk menyedarkan pemimpin utama negara.

Hentikan memberikan projek secara runding dengan harga yang tinggi. Hentikan memberikan kekayaan mudah kepada kroni seperti kes PKFZ yang menelan kos lebih RM 4 billion. Hentikan memberi projek kepada syarikat anak sendiri, kemudian geleng kepala tak tahu menahu.

Daulat Tuanku! Lebih banyak teguran membina seperti ini diperlukan untuk membetulkan semula hala tuju negara yang bercempera kini.

Friday, August 10, 2007

Hakim Besar Malaya - Laporan Internet terbukti tepat

Bagi pembaca Malaysia Today, isu penolakan calon Hakim Besar Malaya oleh Mesyuarat Majlis Raja-Raja telah diciumi lebih seminggu yang lalu.

Ia kemudian dilaporkan oleh Strait Time Singapore beberapa hari yang lalu, juga melalui laman berita internet.

Hari ini, ia semacam disahkan oleh Ketua Hakim Negara sendiri, seperti laporan muka depan Utusan.

Siapa kata laman internet membawa berita palsu semata-mata?

Tahniah Raja Petra!

Jika diharapkan media arus perdana, kita akan kempunan.

Jika dalam isu ini, Malaysia Today terbukti mendapat scoop yang tepat, bagaimana pula dengan pelbagai isu besar yang lain, seperti hubungan kembar polis-penjenayah?

Jika separuh sahaja dari dakwaan ini tepat, sudah cukup untuk mengatakan keadaan negara kita adalah tenat dan kritikal.

Perdana Menteri perlu berbuat sesuatu. Pimpinan UMNO perlu berbuat sesuatu.

Akhirnya, rakyat perlu berbuat sesuatu.

Ini era kebangkitan internet untuk membetulkan keadaan negara kita. Patut sekali UMNO cukup gelisah dengan fenomena kebangkitan ini.

HAKIM BESAR MALAYA - JANGAN BELAKANGKAN RAJA-RAJA

‘PM tentukan’ -- Keputusan muktamad lantik Hakim Besar Malaya – Ahmad Fairuz

Oleh: NOOR AZMAH IBRAHIM

PUTRAJAYA 10 Ogos – Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim hari ini menegaskan bahawa calon Hakim Besar Malaya yang bakal dilantik ditentukan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

‘‘Mengikut Perlembagaan, Perdana Menteri mendapatkan pandangan dan nasihat daripada saya. Yang di-Pertuan Agong akan mendapatkan nasihat daripada Persidangan Majlis Raja-Raja selepas Perdana Menteri serahkan nama-nama calon.

‘‘Orang yang membuat keputusan muktamad adalah Perdana Menteri. Beliau yang tentukan sebab Yang di-Pertuan Agong membuat keputusan atas nasihat Perdana Menteri...


Kenyataan Ketua Hakim Negara ini seakan ingin memberitahu bahawa Perdana Menteri akan terus melantik Hakim pilihan beliau selaku Hakim Besar Malaya sekalipun calon tersebut tidak mendapat perkenan Raja-Raja.

Ini tidak sepatutnya berlaku.

Sekalipun mungkin Perdana Menteri boleh berbuat demikian dari segi Perlembagaan, pelbagai aspek lain mesti ditimbangkan.

1. Langkah seperti itu hanya akan mengundang krisis.

2. Ia boleh dianggap Raja-Raja Melayu pada pandangan Perdana Menteri boleh diketepikan begitu sahaja

3. Ia akan meletakkan seolah-olah Raja-Raja Melayu memberi pandangan yang tidak mempunyai asas yang kuat untuk Perdana Menteri mempertimbangkan semula pandangan beliau yang terdahulu

4. Membelakangkan prinsip perundingan dan akan meletakkan precedent pandangan Raja-Raja Melayu tidak penting untuk dipertimbangkan. Ia akan membawa pelbagai implikasi serius terhadap perimbangan kuasa politik di negara ini pada masa akan datang dan keadaan itu seharusnya dielakkan.

Berfikir dua kali, Pak Lah!

KEJAMKAH KITA?



Hati saya belum tenteram dengan peristiwa rentungnya lima sekeluarga di Kluang, pagi semalam. Bukan takdir yang saya persoalkan tetapi keinsanan kita semua yang masih terpaku di sanubari saya.

Utusan membawa tajuk : Miskin punca rentung -- Tidak mampu bayar bil elektrik sebabkan 5 beranak maut



Bolehkah pembesar kita memejam mata begitu sahaja?

Lihatlah wajah dua beradik di atas yang sama rentung. Dua wajah yang belum mengerti apa-apa.

Tan Sri Muhyidin Yasin, Menteri Kabinet berasal Johor, hari ini dilaporkan berada di Jeli, Kelantan. Laporan Bernama memetik beliau mengulas kenyataan saya mengenai 40 kerusi fokus PAS dalam pilihanraya akan datang. Tak ada sepatah ulasan mengenai peristiwa malang di negeri beliau sendiri.

Lihatlah bagaimana pembesar dan anak pembesar negara kita mengaut kekayaan secara lahap dalam skandal terbaru Port Klang Free Zone (PKFZ) seperti dilaporkan oleh Malaysiakini, di bawah tajuk PKFZ: Documents attest to inflated price dan Blood runs deep in troubled RM4.6b PKFZ .

Kerajaan telah membayar lebih RM 1 billion untuk tapak PKFZ, atau dengan harga RM 25 sekaki persegi sedangkan asalnya mereka hanya membayar RM 2.98 sekaki persegi. Tanah ini asalnya dimiliki anak syarikat kerajaan. Dijual kepada syarikat persendirian, kemudian dijual semula kepada kerajaan!

Kini, kos PKFZ telah meningkat kepada lebih RM 4 billion dari kos asal seperti diumum oleh Perdana Menteri tahun 2004, bernilai RM 2 billion.

Kekayaan negara dirompak dengan pelbagai cara. Mana lagi tinggal untuk rakyat marhaen?

Tidakkah ini satu kekejaman?

Thursday, August 09, 2007

LIMA SEKELUARGA MAUT - TNB, apa perasaan anda?

Lima sekeluarga dari Kluang, Johor, maut di mamah api. Lilin mungkin punca kebakaran. Bapa, ibu dan tiga anak terpaksa bergelap sudah lima hari bila bekalan elektrik rumah mereka dipotong oleh TNB.

Pilu. Terkedu. Begitulah nasib keluarga miskin dihimpit beban hidup. Tragedi ini, mungkin petunjuk kepada masalah sebenar beban kesempitan hidup yang di alami oleh rata-rata rakyat marhaen di seluruh negara.

Kenaikan kos hidup sekarang telah menghantar kehidupan boroh yang dibantu isteri berjual di gerai untuk sara kehidupan mereka sekeluarga ke penjuru sempit sehingga mereka gagal membayar bil elektrik.

Ya. Tetapi adakah fungsi TNB hanya sekadar mengaut keuntungan? Tidakkah boleh sebilangan penduduk miskin seperti ini diberikan sedikit pertimbangan kemanusian?

Mereka telah terkorban.

Yang tinggal ialah pemimpin untuk menghitung nasib rakyat dengan segala bahana kepincangan dan kebobrokan yang ada. Adakah di sana secebis kejujuran untuk membelanjakan harta negara secara hemah tanpa pembaziran dengan menghentikan projek tanpa tender dengan harga tinggi kepada kroni terpilih?

Bolehkah kekayaan dari khazanah minyak negara tumpah kepada semua keluarga dhaif seperti ini?

Selamat jalan, anak bangsaku Kasmuri Jasman, 44, Sufiah Abdul Karim, 41, Hishamuddin, 13, Nizammuddin 9, dan Nurul Macella, 8.

Allah merahmati ruh anda semua! Semoga anda semua terpilih mendapat nikmat syurga tanpa hisab.

Sudikah pemimpin di atas sana mendengar jeritan kesusahan rakyat ramai?

Saturday, August 04, 2007

WPI DAN PULAU BATU PUTIH BAKAL TERGADAI?

Kes Pulau Batu Putih akan diputuskan oleh ICJ November depan.

Desas desus sudah bertiup, kita mungkin kecundang dan Pulau Batu Putih yang strategik akan menjadi milik Singapura selama-lamanya.

Jika itu berlaku, Singapura sentiasa mengasak kita dan mereka lebih bersedia dari segala sudut untuk menjadikan kita sentiasa terundur.

Dalam keadaan Singapura sentiasa bersedia dengan pelbagai agenda 'Singapore Win', kita pula mudah lalai dan alpa.

Untuk membangunkan WPI, kita terpaksa menjemput Singapura duduk dalam Jawatankuasa Bersama Peringkat Menteri dua negara berdaulat untuk memajukan wilayah kita. 2,217 sq km tanah Johor akan 'diurus' bersama dengan Singapura, melalui Jawatankuasa Bersama.

Hikayat Munshi Abdullah mencatitkan, format seakan Jawatankuasa Bersama ini pernah ditubuhkan oleh Raffles. Rakyat Melayu diurus oleh Temenggong Husin, rakyat bukan Melayu diurus oleh Orang Putih.

Pelbagai konsekuen politik akan muncul kemudian. Pada waktu itu, kita sudah terlambat. Sama seperti isu penguasaan Singapura ke atas bekalan air yang membelit kita sekarang.

Mengapa tidak Pak Lah belajar dari Tun M yang telah melaksanakan program strategik Pelabuhan Tanjung Pelepas?

Pelabuhan Tanjung Pelepas adalah ancaman kepada Singapura. Ia bertujuan mengecilkan peranan Singapura dan negara kita mengambilalih sebahagian peranan dan kekuatan yang selama ini menjadi monopoli SIngapura selama beberapa abad.

Ia berjaya. Tanpa kerjasama Singapura.

PTP telah menerima kapal pertama pada 10 Oktober 1999 untuk operasi percubaan selama tiga bulan, ia telah memecah rekod menjadi pelabuhan yang paling pantas berkembang. Ia menguruskan 1 juta TEUs (Twenty-Foot Equivalent Units) kontena selama 571 hari operasi.

Dari hanya 20,696 TEUs pada akhir 1999, telah berkembang kepada 2.05 juta TEUs pada 2001, 2.66 juta tahun 2002, 3.87 juta TEUs pada 2003 untuk mengatasi kedudukan Pelabuhan Kelang. Port Tanjung Pelepas dengan itu menjadi pelabuhan terbesar negara kita.

Pada tahun 2004, ia meningkat 15.2 % lagi, menjadikannya pelabuhan yang ke 16 tersibuk di dunia. Pada 2006, ia menguruskan 4.7 juta TEUs.

Ia meletakkan dirinya sebagai pilihan kepada Pelabuhan Singapura.

Maersk Sealand, operator kapal kontena terbesar dunia, memindahkan semua operasi perkapalannya di Singapura ke Pelabuhan Tanjung Pelepas pada tahun 2000. Singapura menyaksikan kejatuhan 10% perniagaan pelabuhannya kerana tindakan itu.

Pada 2002, Evergreen Marine Corporation, pada waktu itu, syarikat perkapalan kedua besar dunia pula, memindahkan operasinya dari Singapura.

Sekilas fakta ini, membuktikan bahawa, pembangunan sehebat Tanjung Pelepas boleh dilakukan tanpa Jawatankuasa Bersama Peringkat Menteri dengan mana-mana negara asing yang memungkin pengaruh dan penentuan terma-terma yang boleh merugikan kita boleh berlaku.

Apa perlunya Jawatankuasa Bersama Peringkat Menteri dengan Singapura untuk WPI?

Apakah kita tidak mempunyai keupayaan merancang sendiri, seperti telah kita buktikan dalam kes Tanjung Pelepas?

Apa lagi jika bentuknya hanya untuk menjual tanah kepada Singapura?

Friday, August 03, 2007

Pak Lah ambil masa 3 tahun kutip biji getah?

Mimpi Pak Lah nampaknya makin menjadi-jadi.

The Star, muka depan hari ini, melaporkan Pak Lah akan melancarkan Program Luar Bandar Berimpak Tinggi tak lama lagi.

Menjelang 2010, dua tahun dari sekarang, 253,000 keluarga miskin dan miskin tegar akan keluar dari garis kemiskinan dengan pendapatan melebihi RM 529.00 sebulan.

Hanya dua tahun dari sekarang?! Hebat!

Antara program utama ialah program pertanian dan perniagaan agro yang lain.

Tanam getah, antara program utama. Sebagai contoh, 300,000 biji getah dari Semenanjung akan dibawa ke Banggi, Sabah untuk penduduk miskin tegar membuka 4,000 ha ladang getah.

“About 300,000 rubber tree seedlings will be brought from the peninsula and planted on the island.

“Three thousand islanders, who are hardcore poor, will be roped in for rubber farming activities on a 4,000ha area, while Felcra Bhd will be involved in commercial farming on an 8,000ha area,”

Sekejap. Pertama, Pak Lah dah jadi Perdana Menteri hampir empat tahun. Baru terjumpa biji getah dan baru nak lancarkan program tanam getah? Dekat pilihanraya, biji getah pun boleh jadi modal.....

Kedua, 2010 penduduk ini tidak lagi miskin tegar. Setahu saya getah perlukan lima tahun sebelum boleh ditoreh. 300,000 batang getah yang bakal ditanam itu hanya boleh ditoreh pada 2012 atau 2013.

Mungkin getah Pak Lah getah klon baru yang boleh ditoreh dalam masa dua tahun? Atau daun getah boleh diproses jadi makjun hikmat yang boleh beri pendapatan serta merta kepada penduduk miskin itu?

Hebat!

Pilihanraya yang kian hampir menjadikan Pak Lah seorang dreamer yang hebat. Tahniah!

Thursday, August 02, 2007

KRONISMA MAKIN KRONIK?

Berita Harian, Rabu, menyelak sedikit tentang apa agenda di belakang projek pembangunan di Kelantan ( dan juga di Malaysia).

Redland laksana projek RM1.3b
Oleh Ismail Mat

Kerajaan Pusat beri tender maju pelbagai infrastruktur awam di Kelantan

KUMPULAN Syarikat Redland diberi tanggungjawab melaksanakan pelbagai projek Kerajaan Pusat dan agensinya bernilai kira-kira RM1.3 bilion di Kelantan.

Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Ismail Saari, berkata antara projek yang diperoleh secara rundingan terus dan tender terpilih itu termasuk pembinaan jambatan kedua Sultan Yahya Petra bernilai RM151 juta dan Jalan Simpang Pulai-Gua Musang-Kuala Berang sejauh 230 kilometer bernilai RM230 juta.



Jambatan Ibrahim Ali merentasi sungai Kelantan di Tendong dengan empat laluan, kosnya RM 90 juta. Jambatan dua laluan sebagai tambahan dua laluan sedia ada, kosnya RM 151 juta?

Dan ia diperolehi melalui runding terus. PM dulu kata semua projek di bawah RMK 9 diberi tender?

Itu harga permulaan. Kosnya mungkin meningkat.

Lama sebelum batu asas laluan tambahan ini dilakukan oleh PM semalam, desas desus telah lama bertiup di negeri ini tentang cerita di belakang projek jambatan ini.

Saya hanya kata desas desus. Saya tak tau ia benar atau tidak. Terpulang kepada Kerajaan menyiasat.

Saya sampaikan desas desus itu. Projek ini telah diberikan award kepada Ketua Pemuda Kota Bharu, melalui campurtangan Khairy. Ia kemudian dijual kepada Redland dengan keuntungan dan sumbangan tertentu kepada Ketua Pemuda Kota Bharu, UMNO Negeri dan kepada juru campur yang sememangnya berkuasa.

Saya tak boleh pastikan sejauh mana cerita ini tidak benar.

Tetapi itulah akibatnya bila projek ini diberikan secara runding terus.

Rakyat ingin tahu, adakah cerita komisyen berpuluh juta ringgit setiap satu kepada tiga peringkat berkenaan betul atau tidak.

Kedua, apakah kos jambatan RM 151 juta itu adalah kos yang wajar atau sudah dimasuk kira kos-kos yang lain? Tidakkah kosnya akan meningkat lagi pada masa depan kerana cara runding terus projek ini diberikan?

Ketiga, di mana janji PM untuk memberikan projek RMK 9 secara tender?

Ke empat, jika dilakukan secara tender, kosnya akan menjadi lebih rendah? Mengapa pula tidak di tender?

Sudah tentu rakyat Kelantan seperti rakyat negeri lain juga, mahukan kemudahan seperti itu.

Tetapi amalan kronisma yang datang bersamanya harus dibenteraskan.

Itu tugas rakyat Malaysia seluruhnya.

LANCAR JAMBATAN KONKRIT, PUTUS JAMBATAN KASIH

PM berada di Kelantan selama dua hari dengan pelbagai acara 'besar'.

Pagi semalam (Khamis), acara perletakan batu asas Jambatan Kedua Sultan Yahya Petra, setengah kilometer dari Kota Darulnaim, Pejabat MB Kelantan.

Sayang, PM tidak sudi menyambung jambatan kasih. Tuan rumah tidak dijemput. Pak Lah masuk Kelantan tanpa salam, tanpa jenguk muka bertanya khabar. Melangkah masuk ke tengah laman tanpa susila Melayu turun temurun, tidak terlintas untuk menghormati tuan rumah. Apa status sekalipun si tuan rumah, salam sepatah tanda berbudi.

Mungkin Pak Lah merasa UMNO sudah terlalu kuat. Sapa menyapa membuang masa. Tuan rumah boleh dinyahkan bila-bila masa dengan 'power' yang UMNO ada.

Khemah besar lagi panjang di tapak projek pagi itu diberitakan kosong. (Lihat foto di Harakahdaily) Puas diseru orang ramai memenuhi khemah, khemah tak terpenuhkan.

Rakyat Kelantan sudah tentu mahukan jambatan. Tetapi jambatan per se adalah perkara biasa yang tak perlu dikerumuni. Ia akan siap jika Kerajaan Pusat ada wang dan kemahuan. Itu acara biasa yang tak perlu kepada keriuhan.

Yang boleh meriuhkan ialah bila Perdana Menteri bertemu dengan tokoh ulama' di atas kepala jambatan. Seperti apa Tun Dr. M lakukan sedikit masa lalu. Jambatan Pasir Mas dirasmikan oleh Tun M sebagai PM pada waktu itu. Sebuah sofa untuk Tok Guru Nik Aziz disediakan bersebelahan beliau. Rakyat berderu keluar kerana ia boleh dianggap menarik. Jambatan konkrit itu tidak carik kerana kehadhiran Tok Guru.

Event semalam tak ada tarikan itu.

Tun M nampaknya lebih cekap menghitung mood rakyat Kelantan.

Pertama teluk kedua pantai
Ketiga dengan jamban di hulu
Pertama elok kedua pandai
Ketiga baik perangai penghulu


Anak Cina ketimbang madat
Dari Melaka berakit ke Deli
Hidup ketua biar beradat
Budi bahasa tak dijual beli


Baik baik mengail tenggiri
Jangan terkena jambatan larang
baik baik menyombong diri
jangan sampai tak disukai Tuhan


Adat Melayu menyambut tetamu
Hamparkan tikar lebarkan pintu
Tetamu datang tak sudi bertemu
Usahkan salam sapa pun tak mau


Yang berdiri berikan salam pada yang duduk
Yang seorang berikan salam pada yang ramai
Yang datang berikan salam pada yang menunggu

Wednesday, August 01, 2007

PM BELI BAS ANAK LELAKI TUNGGALNYA UNTUK PENANG

Akhbar NST di muka 12 hari ini, menyiarkan foto Perdana Menteri kita sedang mengibarkan bendera pelepasan bas RapidPenang, sambil tersenyum riang.

Semuanya secara kebetulan. Kerajaan Malaysia berhasrat menyediakan perkhidmatan bas yang lebih memuaskan untuk rakyat Pulau Pinang. Melalui RAPIDPenang, anak syarikat Prasarana yang dimiliki oleh Menteri Kewangan DiPerbadankan di mana Abdullah adalah Menterinya, telah memesan bas yang disediakan oleh Scomi, syarikat di mana Kamarudin, anak lelaki tunggal PM adalah pemegang saham terbesarnya.

Kebetulan, Perdana Menteri kita mempunyai anak yang berbakat usahawan berjaya yang antara lain mengusahakan logi pembuatan badan bas ini.

Pesanan permulaan dilaporkan berjumlah RM 31 juta dan telah ditingkatkan kepada RM 50 juta.

Semalam, Perdana Menteri dengan gembiranya secara rasmi melancarkan perkhidmatan bas yang diuruskan oleh RapidPenang, di Pulau Pinang.

Kegembiraan Perdana Menteri yang utama tentunya kerana kerajaan pimpinan beliau berjaya menyediakan perkhidmatan bas yang lebih baik di negeri asal beliau. Kegembiraan Scomi pula mungkin kerana kerajaan berkenan membeli bas yang diusahakan oleh Scomi.

Ia bukan amalan kronisma. Ia adalah kebetulan semata-mata.

Sedikit masa lalu, Perdana Menteri kita ada menegaskan bahawa syarikat anaknya mendapat kontrak perniagaan di luar negara dan beliau tidak pernah memberikan sebarang keutamaan kepada perniagaan anaknya dalam negara. Sudah tentu prinsip ini masih diamalkan oleh PM kita.

Scomi memang sebuah syarikat yang hebat.

Saham anak syarikat Scomi, Scomi Engineering yang terlibat dengan perniagaan membuat bas serta infrastruktur pengangkutan yang lain, bernilai RM 1.21 pada Ogos tahun lepas. Pada 12 Julai tahun ini, sahamnya telah meningkat tinggi kepada RM 3.12, iaitu tertinggi dalam tempoh 52 minggu.

Ia dijangka meningkat kepada lebih RM 4 dalam masa terdekat dengan pengumuman lebih banyak projek infra pengangkutan akan dibolot oleh syarikat yang sangat luar biasa hebatnya ini.

Pada masa saham Scomi dan anak syarikatnya meningkat naik serta PM sibuk melancarkan Wilayah Ekonomi Koridor Utara bernilai RM 177 billion, pasaran saham BSKL jatuh 34.22 mata, hari ini (Rabu).

Pelaburan sejumlah RM 177 billion untuk empat juta penduduk Utara Malaysia, atau purata RM 442 seorang rakyat, nampaknya tidak cukup kuat untuk meransang pasaran saham kita!

Akibatnya, pada perniagaan hari ini di BSKL, 1,032 syarikat mengalami kerugian berbanding 57 sahaja yang untung. Mungkin PM kita perlu melancar tujuh lapan koridor seperti itu lagi untuk membolehkan BSKL bertindak balas positif?

Keluarga Perdana Menteri kita nampaknya mempunyai berbagai bakat besar yang patut dibanggakan oleh kita semua.

Pada masa depan, PM memberitahu, RapidPenang mungkin akan menyediakan perkhidmatan feri pula. Rasanya, Scomi mampu pula membuat badan feri. Elok juga jika Scomi meninjau untuk membuat badan heli bagi menggantikan Nuri yang telah uzur kerana berumur lanjut.

Sunday, July 29, 2007

'MONYET' DI LAMAN WEB PM - MAT TAIB AKAN BUAT LAPORAN POLIS??

Monyet? Kurang manis bahasa itu. Tetapi itulah yang diungkapkan oleh Khairy Jamaluddin mengenai bloggers.

Semua bloggers tentunya telah terbaca kenyataan Khairy Jamaluddin, hari ini, mengenai bloggers;


TINDAKAN undang-undang perlu diambil ke atas penulis blog yang menyebarkan laporan berbentuk fitnah di laman blog mereka, kata Naib Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin. Katanya penulis blog sebegitu tidak pernah memikirkan sensitiviti orang lain.

"Tidak ada undang-undang di alam siber kecuali undang-undang rimba. Jadi tindakan harus diambil supaya 'monyet-monyet' lain takut dan mengambil iktibar daripadanya," katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat perwakilan Pemuda Umno bahagian Papar, Kimanis dan Sipitang di sini hari ini.


Bahasanya kurang manis. Monyet. Melanjutkan logik dan istilah Khairy, elok kita bertanya : Bagaimana pula dengan 'monyet' yang bergayut di laman web rasmi Perdana Menteri? Sudahkah Khairy menemui mereka?

Penulis James Wong menarik perhatian kita terhadap satu tulisan berbau perkauman yang disiarkan di laman web rasmi Perdana Menteri sejak November 2005.

Kata pendahuluan bagi laman ini berbunyi seperti berikut;

Pejabat Perdana Menteri menyediakan laman ini untuk anda menyampaikan ucapan Takziah kepada YAB Perdana Menteri di atas kembalinya Allahyarhamah YABhg. Datin Seri Endon Mahmood ke Rahmatullah pada 20 Oktober 2005.

Muka depan laman ini menyiarkan satu rencana panjang dari seorang penulis bernama Dr. Ng Seng, bertajuk 'Bersatulah Kaum Cina.'

Antara petikan rencana itu ialah;

Kita semua kaum Cina di mana sahaja kita berada mestilah berbangga dengan bangsa kita, samada Cina Amerika, Cina Singapura, Cina , Taiwan dan Cina Malaysia. Kita mestilah mengekalkan identiti kita.


Sebagai orang Cina tulin, saya juga berbangga dengan cara yang dilakukan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang untuk memecah belahkan orang-orang Melayu di sana. Beliau telah berjaya mengambil tanah-tanah orang-orang Melayu dan memajukannya sebagai kawasan perumahan dan perindustrian (dalam geran ada nyatakan 30% jenis pekerjaan sekurangnya mestilah dari orang Melayu tapi mereka beri jawatan seperti pengawal keselamatan dan operator sahaja, jawatan penting dan teknikal yg bergaji, RM3 ribu keatas semua dari Orang Cina kecuali melayu yang ada kepentingan bagi mereka itupun seorang dua saje). Oleh kerana harga rumah-rumah itu terlalu tinggi bagi orang Melayu, mereka tiada keupayaan langsung untuk memiliki rumah-rumah tersebut.


Kita sekarang telah banyak di Pulau Pinang dan ini markas kita , kita mesti kerjasama dgn orang kita di Singapura, supaya satu hari Pulau pinang boleh jadi milik kita secara yang tak disedari, banyak anak-anak didik kita telah diserapkan dalam kerajaan Tempatan, walaupun dalam kerajaan negeri maseh dimonopoli oleh orang Melayu.



Di muka lain, laman yang sama, tersiar komen berikut;

JAGJIVAN RAM
Sat 29 Oct 2005, 13:49 by JAGJIVAN RAM
TAKZIAH: Pak Lah in-law involved with bribery in Iraq. Malaysia needs help to clear its name as the biggest bribe-giver related to the UN Oil-for-Food programme in Iraq. Mastek Sdn Bhd and the duo related to the company, namely Faek Ahmad Shareef and Noor Asiah Dato' Mahmood (Endon Mahmood sister ?). Mastek Sdn Bhd with the following information: Senior Executive: MRS. NOOR ASIAH DATO` MAHMOOD (President/Director) Address: SUITE 3 & 3A, LEVEL 2, BLOCK 3B, PLAZA SENTRAL, JLN. STESEN SENTRAL 5, KUALA LUMPUR SENTRAL, 50470 KUALA LUMPUR Tel: 03 - 22748008 Fax: 03 - 22739008 Incorporation Date: 21 Sep 1979 ROC No: 50717A Matrade Registration No: 3383 Business Activities: Crude Oil and Petrochemicals & Sawn Timber

Tulisan ini mengaitkan skandal rasuah Oil-for-food dan nampaknya Perdana Menteri kita bermurah hati membiarkan komen ini tersiar di situ sejak kematian Allahyarham Endon.

Tulisan Dr. Ng Seng ternyata amat perkauman bentuknya. Macammana tulisan seperti ini dibiarkan tergantung di laman web Perdana Menteri sendiri sekian lama?

Jika Ketua Penerangan UMNO Malaysia terbaca artikel ini, adakah beliau akan membuat laporan polis ke atas Perdana Menteri kerana menyiarkan tulisan berbau perkauman di laman rasmi Perdana Menteri?

Perdana Menteri sudah tentu tidak menulis rencana ini. Beliau juga tidak mengendalikan laman tersebut. Beliau tidak bertanggungjawab pun terhadap penyiaran rencana ini.

Kerana itu beliau tidak harus diambil tindakan. Tetapi mengapa pula tindakan perlu diambil ke atas blogger lain kerana ada komen liar, mungkin dari cyber troopers yang telah diupah khas untuk menyucuk masuk komen seperti itu ke dalam mana-mana blog untuk tujuan jahat mereka sendiri?

Pada masa yang sama, sejumlah pegawai di Jabatan Perdana Menteri gagal menyemak apa-apa yang tersiar di laman rasmi bos mereka? Bagaimana itu boleh berlaku?

Khairy sendiri tidak tersilau laman rasmi Mertua beliau?

Semoga ini menyedarkan Perdana Menteri dan juak-juak beliau yang sedang bersiap menyerang blogger, supaya berfikir lebih waras dan matang. Dunia cyber memerlukan paradigma baru.

Friday, July 27, 2007

BEKERJA BERSAMA PAK LAH, CUTI SENDIRI-SENDIRI

Perdana Menteri kita dilaporkan telah kembali ke tanah air selepas bercuti sepuluh hari di Australia.

Sedikit masa lalu, Abdullah mengajak rakyat negara ini bekerja bersama beliau. Rakyat Malaysia hanya ada peluang bekerja bersama PM tetapi tidak cuti bersama.

Mengikut jawapan di Dewan Rakyat, PM kita telah melakukan lawatan rasmi sebanyak 84 kali sejak beliau menjadi Perdana Menteri. Kita juga tak ada peluang melawat ke luar negara bersama PM. Yang ada ialah, bekerja bersama PM.

Apa hasil lawatan itu, kurang pasti. Selain lawatan rasmi, PM juga telah beberapa kali bercuti.

Kata setengah orang, cuti terakhir PM ini cuti berisi. Apa isi cuti sepuluh hari ini, ada banyak telahan.

Satunya, persiapan pilihanraya. Ogos semakin hampir. Bulan ini adalah antara bulan diramalkan kemungkinan berlakunya pilihanraya.

Majlis Tertinggi BN bertemu minggu lalu. Tetapi diberitakan, pemimpin BN diberitahu bahawa plihanraya hanya akan diadakan awal tahun hadapan.

Sama-samalah kita tunggu samada Ogos akan menjadi bulan pilihanraya atau tidak.

Jika cuti PM terakhir ini bukan untuk persiapan pilihanraya terdekat, apa yang menjadi isi cuti PM?

Setengah memberi info, PM bersiap menangani kritikan dan isu-isu besar yang telah meruntuhkan kredibiliti kerajaan beliau akhir-akhir ini.

Sejauh mana benar, tidak dapat dipastikan. Tetapi, kata sumber ini, PM pulang dengan arahan menghalang laluan ke laman-laman blog berpengaruh. Kedua, memulakan Ops Lalang III.

Saya berdoa, kedua maklumat ini tidak betul. Niche Abdullah ialah lembut dan berbeza dari rejim Tun Dr. Mahathir. Itu sahaja lagi niche utama yang menunjukkan beliau mempunyai kelebihan. Tidak mungkin Abdullah ingin memperjudikan sedikit sangka baik yang masih ada.

Namun, menjelang kepulangan PM, Peguam Negara telah mengumumkan dua penemuan besar - yang boleh diklaskan sebagai permulaan tindakan untuk mengatasi isu-isu besar yang telah menggerhanakan imej Kerajaan Bersih yang ditaja oleh PM.

Ketua Polis Negara dan Bekas Ketua Pengarah BPR - tidak melakukan kesalahan seperti dituduh. PM dengan itu benar dalam tindakannya melantik semula Musa Hasan dan sebelum ini, menyambung kontrak bekas Ketua Pengarah BPR.

Ia semacam satu pengumuman yang telah diatur untuk menyambut kepulangan PM.

Ia mungkin permulaan kempen menangani isu-isu besar dan kritikan yang semakin merebak.

Samada ia akan berjaya menampilkan semula imej kerajaan yang meyakinkan selepas seribu satu macam petanda menunjukkan keadaan yang bercelaru sepanjang hampir empat tahun Abdullah sebagai Perdana Menteri, sama-sama lah kita saksikan.

TEKA TEKI RAIS

Tindakan mengejut, begitu tajuk The Star (Rais’ sudden pullout surprises Wisma Putra) tentang langkah Rais menarik diri sebagai calon Setiausaha Agung Commonwealth.

Mulanya telah bersetuju, tiba-tiba menarik diri. Tentunya ada sesuatu yang besar yang menyebabkan Rais menukar fikiran beliau. Sehingga Menteri Luar kita, dalam laporan Utusan menyebut:

" ... mana nak letak muka.."

‘‘Baru-baru ini saya adakan majlis makan tengah hari dan menjemput semua duta. Saya memberitahunya (Rais sedia bertanding), mana saya hendak letak muka.’’

‘‘Macam mana, kita malulah. Pasal Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sudah tulis surat, saya sudah tulis surat (kepada Setiausaha Agung Komanwel).

Rais nampaknya tidak hiraukan itu semua. Perdana Menteri malu tak malu, dia tak kisah. Syed Hamid tak ada tempat nak letak muka, dia tak peduli. Pejam mata, tarik diri.

Rasanya, Syed hamid akan tahu juga sebab Rais pusing belakang dan memalukan negara, sedikit masa lagi.

Laporan The Star menyebut, Rais tarik diri sebelum sempat maklumkan kepada rakan sekabinetnya Syed hamid;

“I am surprised because when I met him at the Cabinet meeting yesterday (Wednesday), we were discussing the programme in the run-up to the election, including giving him an opportunity to interact with some of the Commonwealth leaders who are coming to the Langkawi International Dialogue soon.

“There was no indication at all from him that he did not want to contest. I only came to know of the withdrawal from his media statement,” Syed Hamid said yesterday.

Rais terdesak. Kita kecundang sebelum berlawan.

Thursday, July 19, 2007

Najib Politikkan Islam Umpan Pilihanraya

Apa strategi Najib mengutarakan semula Negara Islamnya Malaysia?

Ingin memerangkap PAS dalam rangka menjauhkan pengundi Bukan Melayu menjelang pilihanraya?

Atau membuktikan beliau adalah Islamis dan dengan sendirinya menutup prasangka awam beliau sedikit sebanyak terlibat dengan Altantuya? Sekurang-kurangnya Najib mengenali Altantuya

Atau kedua-dunya sekaligus?.

Harapan Timbalan Perdana Menteri untuk keluar dari putaran isu Altantuya - dengan membawa satu isu yang terbuka kepada perdebatan yang boleh mengekalkan jarak pemisah kumpulan-kumpulan pengundi, kedua-duanya nampaknya gagal.

Malaysiakini melaporkan Kementerian Dalam Negeri segera mengeluarkan arahan supaya media utama tidak meneruskan polemik isu ini di dada akhbar mereka. Mereka telah mencium isu ini boleh mengHishamudinkan Najib seperti mana isu julangan keris sedikit masa lalu. Ia boleh memerangkap BN dengan kehilangan lebih banyak undi orang Cina yang sedia kritikal terhadap Kerajaan.

Ia perlu segera dibenteng.

Laporan Malaysiakini menyebut;

"The Internal Security Ministry has confirmed that they have given a directive to all mainstream media not to publish any news on the issue of Malaysia being an Islamic state."


Internal Security Ministry’s Publications Control and Al-Quran Texts Unit senior officer Che Din Yusof told malaysiakini that they are afraid that allowing such discussions would cause “tension”."


Arahan KDN ini dengan sendirinya menunjukkan mereka tidak yakin dengan strategi Najib. Strategi ini tidak dirangka bersama. TPM tidak mendapat kepercayaan KDN dalam isu ini. Secara senyap, kredibiliti Najib terjejas dengan arahan seperti itu.

Rakan UMNO dalam BN pula memberikan kenyataan bercanggah. Malaysia adalah negara sekular.

Juga laporan Malaysiakini, memetik kenyataan Setiausaha Agung MCA;

"Responding to Najib statement, MCA yesterday said that historical facts and documents showed that Malaysia was a secular state.

MCA Secretary General Ong Ka Chuan yesterday issued a statement stating that documents prepared by the British authorities before granting independence to Malaysia in 1957 clearly stipulated that “the members of the Alliance delegation...had no intention of creating a Muslim theocracy and that Malaya would be a secular state”.


Mana satu? Negara Islam atau Negara sekular?

Pandangan UMNO atau MCA yang menjadi pendirian BN?

Sebelum isu ini diperdebatkan di depan umum, BN sendiri perlu menyatakan pendirian rasmi mereka. Adakah kenyataan Najib adalah pendirian BN?

Jika itu pendirian BN, mengapa MCA membantah? Bagaimana pula pendirian Gerakan, MIC dan lain-lain?

Jika mereka secara terbuka juga membantah, di mana maruah dan kewibawaan Najib?

Adakah Najib salah perhitungan sekali lagi?

Usaha Najib mempolitikkan Islam kali ini memerangkap diri beliau dan juga UMNO. UMNO mesti selesaikan pertikaian UMNO - MCA dalam isu ini.

Inilah yang dipanggil mempolitikkan agama. Untuk pengundi Islam, Malaysia adalah Negara Islam. Untuk pengundi bukan Islam, Malaysia adalah negara sekular.

Matematik seperti ini tidak lagi berkesan.

Jika rasuah yang sudah hampir menjadi norma umum Kerajaan BN, jika satu demi satu pembesar hanya mampu disiasat untuk kemudian diisytiharkan orang-orang ini bersih, jika kepedulian kepada penderitaan rakyat kerana tekanan kehidupan yang tinggi pada hari ini sedikit pun tidak wujud, jika pemberian projek mega adalah sama dengan niat memberikan kekayaan kepada kroni terpilih dan negara akhirnya terbeban, dengan semakin merosotnya kebebasan menegur pemerentah, dengan keadilan berasaskan undang-undang tidak meyakinkan dan seribu satu kepincangan ekonomi, sosial, undang-undang dan governance seperti yang kita saksikan ini - cuba diselimutkan dengan istilah Negara Islam - ia hanya mencemarkan nama baik Islam itu sendiri.

Islam adalah suci. Prinsip-prinsip Islam membawa kebaikan kepada seluruh kehidupan. Islam menerima proses perbincangan dan diskusi. Dalam proses sosialisasi, Islam menerima konsep public acceptance dan bukannya paksaan sebelah pihak, sepertimana terbukti dengan Piagam Madinah.

Janganlah Najib cemarkan Islam dengan agenda politik pilihanraya.

Wednesday, July 18, 2007

Jambatan Kedua Pulalu Pinang: Jangan Rugikan Rakyat sekali Lagi


Kenyataan Media YB Husam Musa,Naib Presiden PAS Merangkap Pengerusi
Lajnah Ekonomi dan Pembangunan Usahawan
Parti Islam Malaysia (PAS)


19 Julai 2007

JAMBATAN KEDUA PULAU PINANG
Jangan Ulangi Kesilapan PLUS

Parti Islam Malaysia (PAS) bimbang akan berlaku peningkatan kos berlipat kali ganda di dalam pembinaan Jambatan Kedua Pulau Pinang oleh Konsortium UEM Group Bhd dan China Harbour Engineering Company (CHEC) sebagaimana yang pernah berlaku apabila UEM Bhd membina Projek Lebuhraya Utara Selatan (PLUS).

Sehingga hari ini, UEM Bhd telah membuat beberapa kenyataan yang menunjukkan akan berlaku peningkatan kos kerana komitmen pembinaan jambatan di buat sebelum perancangannya selesai.

PAS ingin mengingatkan Kementerian Kewangan bahawa rakyat belum lupa bagaimana kos pembinaan PLUS yang dibajet sebanyak RM3.5 billion akhirnya melambung naik menjadi RM6.8 billion. Peningkatan kos sebanyak 94% tersebut seolah-olah menunjukkan pembinaan PLUS langsung tidak di awasi oleh jurutera dan jurukur bahan. Walhal, Propel yang merupakan Pengurus Projek yang dilantik untuk mengawasi pembinaan PLUS menggaji kepakaran kejuruteraan luar negara dan dalam negeri.

Walaupun kerajaan Malaysia telah menandatangani pinjaman sebanyak RM2.6 billion daripada Exim Bank of China untuk menampung kos pembinaan jambatan dan konsortium UEM Construction dan CHEC telah dilantik sebagai kontraktor, Kementerian Kewangan masih gagal mengumumkan bajet bagi menyiapkan pembinaan jambatan tersebut. Bajet yang masih lagi ‘open-ended’ sedangkan komitmen pinjaman dan pelantikan kontraktor sudah dibuat akan menyebabkan rakyat menanggung beban kadar bayaran tol yang tinggi apabila jambatan siap untuk digunakan.

Kebimbangan PAS akan berulangnya peningkatan kos dan ‘kebocoran’ yang akan ditanggung oleh rakyat berpunca daripada :-

1. Bajet bagi kos pembinaan jambatan belum di putuskan. UEM Group mengumumkan kos pembinaan belum ditetapkan kerana rekaan penuh jambatan masih belum di siapkan.
2. UEM Group seolah-olah sudah membuat persiapan untuk menampung ‘kebocoran’ apabila kerja-kerja awalan bawah tanah seperti menanam cerucuk, menggerudi dan membersihkan kawasan di lakukan oleh UEM sendiri dan tidak oleh Konsorium Kontraktor yang dilantik. Amalan menampung kos ‘bocor’ melalui kerja-kerja bawah tanah merupakan strategi yang diwarisi UEM semasa membina PLUS dahulu.
3. Tekanan dari pihak China untuk memiliki 51% kepentingan didalam kerja pembinaan kerana pinjaman RM 2.6 billion yang diberi oleh bank China. Memandangkan bajet pembinaan belum ditentukan, ini membuka ruang bagi syarikat China untuk memaksa kos pembinaan yang tinggi.UEM Construction pula merupakan anak syarikat UEM Builders, sebuah syarikat senaraian awam di Bursa Malaysia memang dahagakan keuntungan besar untuk menampung kerugian hampir RM 650 juta di dalam projek pembinaan lebuhraya di Qatar.

Perancangan pembinaan Jambatan Kedua Pulau Pinang ini mengulangi skrip perlaksanaan projek mega zaman lalu.Jaminan Perdana Menteri,Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk mewujudkan pentadbiran yang telus dan bertanggungjawab terus mengecewakan.PAS menuntut supaya bajet pembinaan diumumkan segera supaya rakyat dapat menilai samada jambatan dibina dengan kos yangt munasabah.Sementara bajet tersebut dapat disiapkan segala komitmen perbelanjaan mestilah dihentikan.

Sekian, Terima Kasih.

Husam Musa
Naib Presiden PAS,
Merangkap Pengerusi Lajnah Ekonomi dan Pembangunan Usahawan, PAS Pusat.

Tuesday, July 17, 2007

Nuri, Nahas dan Jet Eksekutif PM

Nuri dan Jet Eksekutif terbaru PM.

Dua perbezaan ketara. Nuri yang dimamah zaman dan jet terbaru PM. Untuk PM, pesawat terbaru yang selesa, mewah dan serba canggih. Untuk para wira menjalankan tugas ibu pertiwi, pesawat usang yang meragut nyawa.

Ketika usaha masih diteruskan mengesan pesawat tua yang langsung tidak mempunyai beacon automatik bagi membolehkan lokasinya dikesan sebagai bukti bagaimana ketinggalan zamannya pesawat ini, PM pula berlepas dengan pesawat baru ke Australia, untuk sekali lagi bercuti. Kali ini, selama sepuluh hari.

Kontras.

Nuri (Sikorsky S61) mula digunakan sejak 1968, ketika negara membeli sebanyak 31 buah pesawat dari AS. Bermula 25 April 1969 sehinggalah 29 Mei 2004, sebanyak 17 insiden nahas telah berlaku. Ia menjadi 18 jika dicampur kejadian terbaru.

Bermakna lebih separuh pesawat Nuri telah musnah - 15 termasuk yang terbaru - terhempas. Dua mendarat cemas. Satu ditembak oleh pengganas komunis di Gubir Kedah pada 26 April 1976.

Jumlah korban yang melibatkan anggota tentera, pasukan polis hutan dan orang awam adalah 82 orang termasuk pegawai tinggi ATM Allahyarham Maj. Jen. Datuk Mustaffa Awang Pegawai Pemerintah Markaz Divisyen Kedua dan Allahyarham Brig.Jen. Datuk Hasbullah Yusof Pemerintah Briged Ketiga Infantri. Sementara jumlah yang hilang adalah tiga orang.

Jumlah yang terselamat pula disepanjang peristiwa berkenaan termasuk mereka yang tercedera ialah 40 orang.
Sekiranya bentuk insiden diambil kira, kita akan menyaksikan hampir kesemuanya jatuh terhempas kecuali yang ditembak oleh pengganas komunis di Gubir, selainnya adalah berpunca dari masalah teknikal.

Dalam nahas terbaru, wira muda kita menjadi mangsa. Usia juruterbangnya, kapten dan pembantu juruterbang baru 27 dan 24 tahun, berbanding usia Nuri yang menjangkau empat dekad.

Usia pesawat hampir dua kali lebih tua berbanding juruterbangnya!!

Kalau benar ada kickback RM 400 juta dari pembelian kapal selam, wang sebanyak itu sudah tentu boleh digunakan untuk membeli beberapa pesawat baru menggantikan Nuri.

Kedua, bagaimana pesawat yang diselenggara oleh AIROD ini sentiasa mengalami masalah teknikal?

Perlukah pihak ketiga memeriksa perkara ini sebelum lebih banyak nyawa terkorban?

Jangan tunggu lebih lama. Nuri harus direhatkan seperti mana rakan pesawat sezamannya Skyhawk dan Caribou.

Kalau TUDM boleh diberi helicopter canggih dan moden seperti Sikorsky S-70 dan AS -61N untuk pengangkutan Perdana Menteri dan VIP kenapa tidak helicopter canggih untuk keperluan pengangkutan dan lojistik Angkatan Tentera Malaysia?

Nahas Nuri - Takziah Untuk Keluarga Para Wira

Saya terlebih dahulu sampaikan ucapan takziah dan rasa terharu kepada semua keluarga enam perwira kita yang terkorban dalam nahas terbaru Nuri di Janda Baik.

Pahitnya ujian Allah di dunia ini bertukar menjadi manis di akhirat kiranya kita bersabar dan redha dengan ketentuan Ilahi.

Diberitakan Nabi Muhammad s.a.w memberitahu; "Sesiapa yang ditimpa musibah lalu kemudiannya teringat kembali peristiwa itu sesudah lama berlaku dan mengucapkan istirja' setiap kali ia teringatkan peristiwa itu, Allah menuliskannya pahala sebagaimana pahala hari pertama ia ditimpa musibah (dan mengucapkan ucapan istirja' iaitu 'Dari Allah kita datang dan kepada Allah jua kita kembali'.

Salam takziah dari kami.

Sunday, July 15, 2007

CTOS: KAJIAN, KAJIAN, KAJIAN....

Selepas kajian oleh Jabatan perdana Menteri seperti yang diumumkan oleh Rais Jun 2003 atau empat tahun yang lalu, sekali lagi CTOS akan menjadi bahan kajian sebelum keputusan terhadapnya diambil oleh Kerajaan.

Kali ini, mengikut TPM melalui laporan Bernama tengahhari ini (15 Julai 2007) akan dilakukan oleh Kementerian Kewangan pula.

CTOS memang hebat. Dua kajian perlu dibuat. Entah berapa tahun pula kajian ini boleh selesai.

Ia juga memberi makna bahawa gendang serangan yang dipalu ke atas CTOS dalam dua bulan ini, baik oleh pemimpin kecil atau besar, dibuat tanpa kajian?! Malang.

Memang satu drama hebat.

CTOS' Future Depends On Finance Ministry Study, Says Najib


KUALA LUMPUR, July 15 (Bernama) -- The Ministry of Finance is studying whether the Credit Tip Off Services (CTOS) should be allowed to continue or scrapped, said Deputy Prime Minister Datuk Seri Najib Tun Razak.

"The Finance Ministry is studying whether it is appropriate to continue the service from the aspect of basic principles. This is because it touched on civil liberties and whether CTOS can divulge personal information to a third party without getting consent from the person.

Saturday, July 14, 2007

CTOS, KURA-KURA DAN BIARKAN LILIN PADAM SENDIRI

Hari ini semua orang ingin menjadi hero atas isu CTOS.

Terakhir, untuk membuktikan beliau bertaring, menantu Perdana Menteri mencadangkan CTOS ditutup.

Kayveas, Najib dan Perdana Menteri sendiri telah bersuara. Bermula akhir Jun dengan kenyataan Kayveas dan PM seminggu yang lepas.

Tindakannya apa? Siapa yang mesti bertindak?

Bahkan Perdana Menteri seakan tidak tahu siapa yang mesti bertindak berasaskan kata-kata beliau seperti dilaporkan Utusan, 8 Julai lalu. Laporan itu menyebut “Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini meminta pihak yang bertanggungjawab mengambil tindakan terhadap Syarikat Credit Tip Off Service Sdn. Bhd. (CTOS) jika syarikat itu didapati……”

Siapa 'pihak yang bertanggungjawab' itu? Siapa yang bertanggungjawab kepada pihak yang bertanggungjawab? Bank Negara? Jangan-jangan Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan tidak sedar dia berkuasa ke atas Bank Negara, lantas sewajarnya beliaulah yang perlu mengarahkan Bank Negara untuk bertindak. Habis cerita.

Perhatikan perkataan ‘jika’. Jika bermaksud seseorang belum yakin dengan sesuatu lalu meletakkan pra syarat ‘jika’. ‘Jika’ betul-betul telah melanggar undang-undang – ambil tindakan. ‘Jika’ tidak melanggar, tak payah ambil tindakan. Langgar atau tidak, tidak pasti. Itu kesannya.

Di mana penentuannya? Tidakkah boleh satu laporan ringkas oleh Pegawai Kementerian Kewangan disediakan untuk Perdana Menteri supaya beliau mendapat gambaran jelas dan tidak ragu-ragu?

Saya bukan berniat untuk memperkecilkan Perdana Menteri tetapi cara gaya seperti itu boleh merendahkan Perdana Menteri. Cukup untuk sekeping laporan ringkas dimajukan kepada Perdana Menteri supaya beliau kelihatan bersedia.

Berbalik kepada kekura-kuraannya Kerajaan menentukan keputusan dalam isu ini.

Utusan juga melaporkan, bekas Menteri Kabinet, Datuk Kadir Sheikh Fadzil memberitahu bahawa isu ini sudah dibaincangkan dalam Kabinet dua tahun yang lalu dan Bank Negara telah diminta mengambil tindakan;


Isu CTOS sepatutnya selesai dua tahun lalu
KUALA LUMPUR 4 Julai – Isu Credit Tip Off Service Sdn. Bhd. (CTOS) sepatutnya selesai dua tahun lalu apabila Kabinet mengarahkan Bank Negara Malaysia (BNM) mengadakan pertemuan dengan semua institusi kewangan di negara ini.
Bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir berkata, Kabinet pada masa itu meminta BNM menasihati bank supaya menjadikan CTOS sebagai rujukan kecil dan bukannya sebagai penentu dalam memberikan pinjaman.
Abdul Kadir mendakwa BNM ketika itu gagal untuk mengadakan pertemuan dan perkara tersebut tidak dapat diselesaikan sehingga sekarang."

Ini hanya menunjukkan bagaimana lemahnya kerajaan. Akibatnya, rakyat menjadi mangsa.

Sebenarnya, isu ini bukan berbangkit dua tahun yang lalu. Ia telah berbangkit lebih lama dari itu. Ia telah memangsakan rakyat sejak 2003 lagi.

Pada Jun 2003, Datuk Shafie Salleh, Timbalan Menteri Kewangan di waktu itu memberitahu, Kementerian Kewangan telah menerima aduan orang ramai mengenai kesusahan yang mereka alami dengan adanya CTOS sebagai rujukan penapisan oleh bank-bank.

Beliau memberitahu Kementerian itu akan berbincang dengan Bank Negara, pada waktu itu lagi. Empat tahun yang lalu.

Pada bulan Februari tahun yang sama, Dewan Perniagaan Melayu Malaysia cawangan Kelantan telah membuat cadangan supaya peranan CTOS dihapuskan kerana ia melanggar peruntukan undang-undang yang ada. Kayveas boleh jadi baru terbaca cadangan itu?

Bahkan, dalam laporan yang sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada waktu itu, Datuk Dr. Rais Yatim telahpun memberi jaminan Jabatan Perdana Menteri akan menyiasat isu ini;

"Addressing members of the Negeri Sembilan Malay, Chinese and Indian chambers of commerce in Seremban last week, Minister in the Prime Minister's Department Datuk Seri Utama Dr Rais Yatim had said many complaints had been received against CTOS Sdn Bhd over its supply of information to financial institutions.
Dr Rais had pledged that his office would investigate these complaints."

Siasatan itu memakan masa empat tahun dan apa yang disebutkan oleh Kavyeas adalah hasil siasatan yang bermula empat tahun yang lalu?

Jika sesuatu isu yang simple seperti ini memerlukan jangka masa empat tahun untuk diselesaikan, bayangkan isu-isu besar yang lain diuruskan.

Falsafah pengurusan biarkan lilin padam sendiri rasanya tidak sesuai untuk membawa Negara di persada kegemilangan.