Sunday, May 23, 2010

Lukisan Baru Melalui Rentas Budaya

Kenyataan ADUN Dap Kampung Tunku, YB Lau Weng San, menyentuh hati saya.

Beliau berhujjah, pemberian lesen judi bolasepak, tidak sama sekali akan berjaya menghapuskan perjudian tanpa lesen. Selama ini pun, sekali pun berbagai judi berlesen wujud, perjudian tanpa lesen terus berlaku.

Katanya, tujuan judi dilesenkan hanya satu, iaitu Kerajaan dapat mengutip keuntungan dengan cukai yang dikenakan.

Beliau mempersoalkkan sikap berdiam diri Perdana Menteri dalam isu ini.

Selanjutnya, beliau mencabar UMNO dan Perkasa menyatakan pendirian mereka dalam isu ini. Bersetuju atau menentang? Kiranya UMNO mengaku sebagai juara Islam, mereka perlu nyatakan sikap, YB Lau mengasak.

Tindakan berdiam diri UMNO membuktikan sikap hipokrit parti itu, katanya. Ketika pilihanraya kecil Ulu Selangor, UMNO membesar-besarkan isu judi dan kini, mereka pula meluluskan lesen perjudian tambahan.

Kenyataan YB Lau Weng San ini sangat penting.

Pertama, ia meletakkan UMNO bersalah dari segi agama dan moral. Ruang UMNO menggunakan alasan budaya kaum bukan Melayu untuk menghalalkan tindakannya tanpa memperdulikan kesan sosial rakyat dari dasar-dasarnya sudah berlalu.

Kedua, ia membantu masyarakat Melayu-Islam lebih menerima perjuangan Pakatan Rakyat.

Memencilkan UMNO dalam arus politik masa depan dan memperkukuhkan kepercayaan masyarakat terhadap viabiliti perkongsian PAS-DAP-PKR dan parti lain dalam Pakatan Rakyat adalah formula kembar untuk melakar momentum yang cukup untuk perubahan politik.

Kenyataan YB Lau memenuhi dua formula ini sekaligus - formula silang budaya.

Apa yang perlu dilakukan oleh Pakatan ialah memperbanyak program berbentuk silang budaya ini, terutama di kawasan Melayu.

Jika pimpinan DAP dan PKR bukan Melayu dari berbagai peringkat dapat diturunkan di kawasan pengundi Melayu dan bercakap satu nada dalam isu-isu rentas kaum dan budaya seperti ini, benteng mental pengundi Melayu yang dibina oleh UMNO selama ini akan runtuh.

Anthony Loke, MP Dap dari Rasah, juga antara tokoh yang selalu menyentuh isu perjudian di Dewan Rakyat.

Saya, Anthony dan YB Saifudin akan berucap tentang isu ini di Kelantan pada 26 Mei ini.

Ramai lagi pimpinan lain DAP dan PKR yang dapat digandingkan dalam program rentas budaya ini.

Benteng mental pengundi Melayu perlu ditembusi, jika PAS dan Pakatan ingin berjaya dalam pilihanraya yang akan datang. Waktu ini, bukan sedikit orang Melayu masih sangsi dengan keserasian pasangan DAP-PAS. Adakah ia tidak merugikan Islam dan orang Melayu? Kerana DAP 'dilukiskan' dalam minda orang Melayu sebagai anti Melayu dan anti Islam. Seperti mana PAS 'dilukiskan' sebaliknya pula dalam minda bukan Melayu.

'Lukisan' ini menghasilkan petak minda yang agak sebati. Ia memerlukan kita membuat satu 'lukisan' baru dengan lebih banyak usaha 'melukis' kita lakukan. Usaha 'melukis' ini perlu dirangka oleh pimpinan Pakatan.

Pengungkapan yang sesuai. Pengungkapan di khalayak pengundi Melayu hatta ke desa-desa. Pandang sendiri dengar sendiri.

Lukisan baru.

No comments: