Tuesday, June 29, 2010

UMNO Putera keringkan wang Felda

Saya boleh membantu menjelaskan, sebahagaian, bagaimana ceritanya rizab tunai Felda dikeringkan.

Sejumlah setengah billion, (RM 512 juta) dibelanjakan melalui projek-projek (tak perlu dan di luar tugas Felda) yang disiapkan oleh firma arkitek yang sama.

Firma arkitek diterajui seorang Ketua Pemuda UMNO Bahagian di Terengganu ini sudah pasti ada hubungan kekeluargaan yang rapat dengan tokoh dari Terengganu juga yang memayungi Felda.

Kasih sayang kekeluargaan mereka diluaskan dengan mencari jalan bersama bagaimana wang Felda boleh 'diuruskan'. Jumlahnya bukan sedikit, demi warga Felda tercinta....

Lantaran itu, projek bukan bidang tugas Felda sama sekali, turut dibiayai oleh Felda atas sifat pemurahnya. Seperti Kolej Komuniti di Terengganu (RM 18 juta) dan Sabah (RM 22 juta), Menaik Taraf Bekalan Air Di Pahang (RM 200 juta) dan pembinaan Maktab Rendah Sains Mara (RM 120 juta).

Apa kena mengena Mara dan Felda? Kos Maktab ini ialah RM 120 juta dan Felda dengan segala senang hatinya membiayai sepenuhnya. Mungkin kerana wang tunainya terlalu banyak, Felda berbesar hati membiayai projek bukan bidang tugasnya sekalipun.

Kononnya pula Felda sudah memasuki alaf moden dan untuk itu, bentuk impian Felda akan datang dibina dengan ciri-ciri peneroka Felda masa depan. Ia dipanggil Feldajaya.

Rumah bungalow mewah berharga mahal, rumah kedai dan lain-lain ciri bandar baru dalam satu kawasan 'masa depan' di bina. Setakat ini, empat Feldajaya telah dibangunkan (Mempaga, Trolak, Serting dan Cini) dengan reka bentuk oleh firma arkitek yang sama. Setakat ini, kosnya ialah RM 152 juta.

Samada rumah kedai dan bungalow ini laku dijual atau tidak, Felda tidak peduli sangat. Yang penting, itulah rumah peneroka masa depan Felda!

Asal dikata moden, wang habis tak mengapa. Itulah bagusnya bila ada wang melimpah.

RM setengah billion oleh firma arkitek bertuah ini.

Sebelum ini, saya telah tunjukkan, RM 800 juta pelaburan Felda di US dan Kanada. Pegawai Felda tak sampai setengah dozen yang membeku dek kedinginan di Quebec di musim sejuk, barangkali ada cerita boleh dikongsi dengan kami di Malaysia.

Maknanya, di sini sahaja, saya telah membantu Felda menjelaskan bagaimana sebanyak RM 1.3 billion rizab tunai Felda dibelanjakan!

Selebihnya, Felda sendiri boleh tolong jelaskan.....

Kalau Felda tak ada masa untuk jelaskan untuk tunjukkan pengurusannya telus dan amanah warga Felda menjadi taruhannya, saya tak ada masalah untuk jelaskan sedikit demi sedikit.

Thursday, June 24, 2010

Felda: Susut 2.7 B atau 8 B?!

Berapa sebenarnya rezab tunai Felda susut? 2.7 billion atau 8 billion?

Teliti kenyataan Ahmad Maslan di lobi Parlimen;

Speaking to reporters at the Parliament lobby later, Ahmad explained that Felda's cash reserve was at RM4.08 billion in 2004 but dropped to RM1.35 billion in 2009 - a plunge of RM2.73 billion over a five-year period.

He said that the difference was used for welfare purposes - RM2 billion for replanting crops, RM603 million for interest-free housing loans, RM253 million for the Sabah poverty eradication fund and RM662 million for the new Felda headquarters.


a. Baki pada akhir 2009 - RM 1.35 billion.
b. Baki pada akhir 2004 - RM 4.08 billion.

Antara tempoh 2004 sehingga 2009, adakah Felda tidak menerima apa-apa pembayaran? Semua ladang Felda tak ada hasil dalam tempoh lima tahun itu? Satu sen pun tak masuk?

Kenyataan Ahmad Maslan di atas seakan antara 2005 hingga 2009, Felda langsung tidak menerima sebarang wang dan wang berbaki hanya apa yang dibelanjakan dari rezab terkumpul sehingga 2004 tadi.

Mustahil!!

Maklumat tepat yang saya perolehi, antara tempoh 2005 hingga 2009, Felda menerima pendapatan tunai sejumlah RM 5.2 billion lagi!

Penerimaan tunai Felda adalah seperti berikut;

a. 2005 - RM 682 juta
b. 2006 - RM 697 juta
c. 2007 - RM 1.270 billion
d. 2008 - RM 1.70 billion.
e. 2009 - RM 830 juta

Jumlahnya menghampiri RM 5.2 billlion!

Jumlah ini perlu dicampur dengan baki 2004. Bila dicampur dengan baki 2004, jumlahnya ialah RM 9.28 billion!

Baki 2004 - 4.08 billion
Masuk 2005 - 2009 - 5.2 billion
Jumlah - 9.28 billion

Baki sehingga 2009 seperti kenyataan Ahmad Maslan hanya RM 1.35 billion.

Ini bermakna wang yang susut lebih dari RM 2.78 billion kerana jumlah semua rezab tunai Felda bersekali dengan baki 2004 ialah RM 9.28 billion ditolak dengan baki yang tinggal sehingga 2009 ialah RM 1.35 billion (RM 9.28 b tolak RM 1.35 b = RM 7.9 menjadikan jumlah sebenar yang telah susut dalam tempoh lima tahun ini ialah menghampiri RM 8 billion!

Mengenai perbelanjaan pula, perhatikan semula kenyataan Ahmad Maslan di atas. Senarai perbelanjaan sehingga wang itu susut adalah seperti berikut;

RM2 billion for replanting crops, RM603 million for interest-free housing loans, RM253 million for the Sabah poverty eradication fund and RM662 million for the new Felda headquarters.


a. RM 2 Billion untuk tanam semula
b. RM 603 juta untuk pinjaman perumahan tanpa faedah
c. RM 253 juta untuk program kemiskinan di Sabah
d. RM 662 juta untuk menara baru ibu pejabat Felda

Pertama : Menara Felda masih dalam pembinaan. Kenapakah bayaran penuh telah dibuat? Mustahil! Kalau masih berlaku, ia satu perkara yang sangat pelik.

Kedua : RM 2 billion untuk Tanam Semula.

Kenapa guna rezab tunai Felda?

Bukankah Felda mempunyai Tabung Tanam Semula? Bukankah Felda telah mengutip sebanyak RM 4 sebulan seekar dari kesemua 112,000 penerokanya untuk lima tahun? Tabung itu sudah mencecah hampir satu billion dan tanam semula tidak pernah menggunakan rezab tunai Felda.

Adakah kedua-dua kenyataan ini benar? Atau kedua-duanya salah?

Kedua kenyataan ini tidak benar adalah lebih menasabah.

Bermakna, Felda gagal menjelaskan ke mana wang tersebut telah lesap dan Felda juga gagal menjelaskan angka sebenar wang rakyat yang di jaga oleh Felda susut.

Jumlah yang tidak kecil. Semua perolehan ini adalah dari ladang-ladang getah dan sawit, samada mempunyai peneroka seluas 1.2 juta ekar di seluruh negara mahu pun tanpa peneroka sejumlah 800,000 ekar.

Jika keuntungan sebesar itu disumbangkan oleh ladang-ladang di Malaysia, apa jaminan pelaburan Felda di luar negara boleh menyaingi apa yang disumbangkan dalam negara?

Bila Datuk Najib memperkenalkan konsep Felda patut mengembangkan sayapnya menjadi pemain global, apa jaminan pengembangan itu akan menyihatkan Felda dan bukan untuk mencabut bulu-bulunya sehingga nanti menjadi burung tanpa bulu?

Setelah Felda melabur di Amerika dan Kanada dalam Twin River Tech masing-masing sebanyak RM 300 juta dan RM 500 juta, berapakah jumlah keuntungan yang telah dihasilkan?

Secanggih mana teknologi pemprosesan biji bunga matahari dan soya yang ada di kilang ini sehingga pelaburan Felda sedemikian besar?

Dengan RM 300 juta yang dibelanjakan dan pegangan 85% dalam TRT itu, mampukah Felda mengawal pengurusannya atau kita sekadar melihat dari jauh sebelum apa-apa terjadi terhadap wang kita sejumlah RM 800 juta itu tadi?

Jangan jadi seperti kita membeli syarikat motor oleh Proton dulu yang berakhir dengan dijual hanya satu euro!

Tidak semestinya bila Felda mempunyai kilang penapis sawit di sini, pengurusan penapisan bunga matahari nun jauh di Kanada juga kita boleh kuasai. Itu pun sebahagian kilang penapis Felda telah pun dijual kepada syarikat dari India untuk membolehkan Felda melabur tak kurang dari RM 688 juta pula dalam penternakan lembu untuk menghasilkan susu dan daging!

Apa istimewanya syarikat pembekal daging lembu (sebenarnya kerbau?) dari India itu tidak kita ketahui, sehingga selain dapat membeli kilang penapis, dapat pula menikmati diskaun belian minyak sawit mentah sebanyak USD20 per metrik tan sedangkan anak syarikat FELDA sendiri - Felda Vegetable Oil Product cuma diberi subsidi sebanyak RM20 per metrik tan.

Misteri! Lubang besar Felda?

Bagaimana kita rakyat biasa boleh membongkar misteri ini?

Wednesday, June 23, 2010

Felda Bersemayam Tinggi, Nasib Peneroka Jangan Dilupakan

Rebranding Felda - itulah tujuannya Menara Felda setinggi 50 tingkat di bina di atas tanah termahal di Malaysia. (“It’s a move to rebrand Felda, which has been known as a highly-successful land development authority in the country and overseas,” Najib added).

Najib said Felda’s choice of an office tower reflected its intentions to showcase its successes and motivate its staff.. Nak tambah semangat kerja kakitangan Felda! Ah! Kerja di menara mahal?

Kontraktor telah pun dipilih untuk membina Menara Felda di atas tapak kepunyaan Felda sedia ada di Jalan Semarak. Pelannya telah pun disiapkan dan tidak kurang dari RM 3 juta terpaksa dibayar untuk lukisan pelan bangunan tersebut. Hangus. Pelan itu masuk kubur sebelum bangunannya lahir.

Kosnya lebih murah - RM 220 juta, jika Felda membina menaranya di atas tanahnya sendiri. Felda sendiri akan menjadi pemajunya. Tapak sedia ada menjimatkan kos dan boleh menambah nilaikan hartanah kepunyaan Felda sendiri. Pengerusinya masih boleh pusing kerusi di tingkat tertingginya.

Kuasa dari atas telah mengubah keputusan yang telah dibuat sebelumnya. Felda perlu berdiri sama tinggi dengan Petronas dan perlu berada di kawasan hartanah yang paling mahal dalam negara. Dari menjadi pemaju sendiri atas tanah milik sendiri, Felda kini menjadi pembeli kepada hartanah yang dimajukan oleh orang lain.

Keputusan diubah. Menara baru akan dibeli.

Platinum Park nama diberi. Berdekatan dengan KLCC - ini kata orang besar Felda - adalah anak KLCC! Keseluruhan kompleks akan ada tujuh menara dan yang tertinggi adalah Menara Felda. Yang lain milik pemaju. Kalau KLCC sudah lama berdiri, tiba masanya ia beranak. Sebagaimana ibunya(KLCC) menelan kos yang tinggi, begitulah anaknya (Menara Felda) dan kali ini bil kelahiran ditanggung oleh Felda.

Jumlah keluasan keseluruhan bangunan adalah 689,000 kaki persegi dengan keluasan lantai setiap tingkat adalah 15,000 kaki persegi. Harga permulaan untuk bangunan kosong termasuk hanya lima tingkat tempat letak kereta, - adalah RM 640 juta. RM 420 juta lebih tinggi dari kos asal.

Jika Felda mendirikan menaranya ikut cadangan asal, RM 420 juta tadi boleh dibelanjakan untuk insuran kesihatan lebih 100,000 penerokanya, misalnya.

Bila bangunan ini siap sepenuhnya, dianggarkan kosnya mencecah RM 1 billion. Dengan anggaran itu, kosnya mungkin menjangkau RM 20 juta setingkat.

Bayarannya sepatutnya ikut progress. Namun, jika ikut logik Ahmad Maslan di Dewan Rakyat, ketika menjelaskan bagaimana wang Felda berjumlah RM 4 billion telah susut kepada hanya RM 1.35 billlion, harga lebih 600 juta telah dibayar habis. Bangunan belum siap tapi wang telah dibayar.

Jika sebenarnya bayaran belum habis, ternyata penjelasan Ahmad Maslan ada yang tak kena. Duit telah susut RM 2.65 billion dan untuk menggenapkan jumlah itu, harga Menara sebanyak 640 juta telah dimasuk kira pada hal bayaran sebenar tidak begitu. Jika iya begitu, ke mana baki wang itu pergi?

Samada penjelasannya silap atau memang wang itu lesap untuk sebab yang tak dapat dijelaskan.

Dari 50 tingkat ini, berapakah yang akan terpakai dan berapa pula yang akan tinggal kosong?

Berbahagialah Pengerusi Felda bersemayam di puncak menara ini sebelum Felda menurut jejak Sime Darby.

Monday, June 21, 2010

Felda: Benteng Menanah

Felda terbangun dari keringat dan azam politik. Dalam membangun warganya, terdengar suara rungutan seakan ada penindasan dalam bantuan. Jika tidak dengan lingkungan terkongkong, barangkali warganya telah jauh lebih makmur.

Namun, sedikit peraturan yang kurang memihak kepada warga yang keringatnya ditumpahkan dikatakan mustahak untuk menghasilkan kejayaan kolektif dalam bentuk lembaga besar Felda yang kaya raya.

Tekanan itu disamakan dengan pengorbanan.

Hari ini, jika warga Felda yang telah berkorban itu dikhianati, wajarkah kita berdiam diri?

Hari ini, tanda-tanda Felda telah dikhianati muncul satu demi satu, tetapi jawapannya yang memuaskan hati tidak muncul seperti dinanti.

1. Benarkah Felda telah melabur RM 500 juta, ulang, RM 500 juta di Boston & Cincinatti di Amerika tiga tahun lalu? Apa jadi dengan pelaburan dalam Twin Rivers INC?

Benarkah pelaburan ini telah hangus?

Benarkah RM 500 juta ini bukannya pelaburan tetapi cara untuk wang Felda 'dileburkan'?

Tentulah pelaburan sebesar itu dibuat dengan pertimbangan yang halus dan sebab yang menasabah. Kerana pelaburannya besar, jawapan yang terang sangat dinantikan.

Jika pelaburan itu dibuat dengan pertimbangan teliti, mustahil ia boleh lesap begitu sahaja.

Jika pertimbangannya hanya kerana mengikut telunjuk satu dua orang sahaja, kita tidak tahu berapa banyak lagi wang Felda 'lebur' dengan cara ini. Apa lagi, jika 'peleburan' itu memang dirancang dan ada yang girang mengaut keuntungan darinya.


2. Kenapa Felda mengambil keputusan membina bangunan ibu pejabatnya di premis termahal sehingga kosnya melambung? Adakah Felda merasa ia telah menjadi elit ekonomi dan perlu mengasingkan diri di tempat ekslusif dengan membelanjakan wang titik peluh lebih seratus ribu warganya yang setengahnya masih merempat?

Dari asalnya kos hanya sekitar RM 220 juta, kini meningkat melebihi RM 660 juta. Apakah faedah yang akan diperolehi oleh para peneroka Felda?

Adakah Felda memerlukan bangunan bertaraf tujuh bintang setaraf dengan KLCC?

Siapakah yang membuat keputusan ini? Apa asas keputusan ini?

Jawapan telus dan berterus teranglah yang akan membantu Felda terus utuh dan harapan warga Felda tidak punah.

Pengakuan Kerajaan di Dewan Rakyat bahawa akaun Felda telah merosot berbillion ringgit dalam sekelip mata membuktikan berita-berita tentang wang Felda diurus sesuka hati mula menampakkan ada kebenarannya.

Namun, penjelasan Kerajaan hanya mengukuhkan apa yang kita dengar. RM 2 billion yang kononnya surut kerana digunakan untuk program tanam semula semacam mengiyakan wang sebanyak itu memang telah hilang. Bagi menjawab wang iu memang telah hilang tetapi mengelakkan warga Felda melenting, ia dikaitkan dengan tanam semula. Padahal, tabung tanam semula telah sedia wujud dari potongan para peneroka dan ia telah diletakkan dalam akaun yang berasingan. Satu perkara dua kali kira.

Rakyat, terutama orang Melayu perlukan jawapan. Jawapan yang paling baik ialah melantik odit bebas dengan satu laporan di Parlimen diperlukan. Bukan hanya jawapan politik Ketua Penerangan UMNO Malaysia.

Lagi pun, Felda bukan milik UMNO. Felda tidak harus dibenarkan 'cair' bersekali dengan trend bocornya kerugian satu demi satu konglomerat negara kita.

Thursday, June 17, 2010

Najib bubar Parlimen, mestikah kita bubar DUN?

Padang permainan tak sama rata telah menguasai pilihanraya Malaysia sejak UMNO mewarisi negara ini dari penjajah.

Sebahagian sebab kemenangan UMNO/Perikatan dan UMNO/BN selama ini ialah kerana mereka menguasai semua instrumen penting untuk menjadikan proses pilihanraya sentiasa menyebelahi mereka.

Setiap dua kali pilihanraya, mereka mengubah sempadan pilihanraya ikut corak yang membolehkan mereka menang mudah dengan ramuan berubah-ubah peratusan Melayu-Cina-India dan beberapa faktor lain.

Kali ini, hingga kini, mereka tidak lagi boleh berbuat demikian kerana majoriti dua pertiga yang telah hilang buat pertama kalinya.

Apa lagi unsur pilihanraya yang boleh diubah untuk menjadikan padang lebih sama dan rata?

Bagaimana dengan tarikh pilihanraya?

Najib dengan nada yakin memberitahu kita, tarikh pilihanraya hanya berada dalam tangan beliau. Beliau telah berjanji menjadikan tarikh pilihanraya sesuatu yang mengejutkan. Itu yang diucapkan beliau di Kelantan semalam.

Pilihanraya mengejut bertujuan memerangkap pembangkang dan mencari satu masa di mana pembangkang belum bersedia atau sedang mengalami pusingan ke bawah. Termasuk dengan media stage yang mereka atur.

Jika itu janji Najib dan kita hanya mengikut, sekali lagi tangan UMNO berada lebih atas.

Jika Najib dengan berani menunjukkan bahawa beliau 'in command', apa pilihan kita untuk membolehkan Najib berfikir dua kali?

Apa kata empat negeri Pakatan menetapkan tarikh pilihanraya DUN lebih awal?

Sebelum Najib membubarkan Parlimen, kita mengumumkan tarikh pilihanraya kita sekarang.

Tak semestinya tarikh pilihanraya itu awal tetapi penetapan tarikhnya diumumkan awal.

Ini bermakna, tarikh pilihanraya DUN di empat negeri itu berbeza dari tarikh pilihanraya Parlimen jika sekiranya Najib memilih mengadakan pilihanraya berbeza dari tarikh yang telah kita umumkan.

Mereka bubarkan Parlimen tetapi kita tidak bubarkan DUN sampai tarikh yang telah kita isytiharkan.

Pilihanraya DUN dan Parlimen tidak berjalan serentak, kecuali mereka menjadualkan sama dengan jadual kita.

Ada dua kemungkinan. Pertama, mereka ikut tarikh kita atau mereka berunding bersama untuk menetukan tarikh lebih awal dan terbuka seperti yang selama ini kita kehendaki. Ini bermakna, tarikh pilihanraya bukan lagi teka-teki dan memberikan kelebihan kepada mereka semata-mata. Atau, mereka terus berdegil dan membubarkan Parlimen tak bersamaan tarikh dengan kita.

Namun, kita telah mulakan satu precedent baru iaitu tarikh pilihanraya ditetapkan secara terbuka. Bukan bermisteri dengannya. Bukan pula dijadikan senjata yang menguntungkan parti pemerentah semata-mata.

Tindakan begini bertujuan menghapuskan monopoli penentuan tarikh pilihanraya. Tindakan demokratik untuk kesaksamaan kepada semua pihak.

Pilihan tarikh itu boleh atas berbagai asas. Jika nak genapkan lima tahun, bermakna DUN empat negeri Pakatan hanya akan dibubarkan awal 2013. Jika empat tahun nak digunakan sebagai asas, DUN boleh dibubarkan pada awal 2012. Akhir 2012 boleh juga dipilih untuk memberikan masa yang cukup untuk negeri ini ditadbir tanpa terlalu banyak politiking pilihanraya.

Paling penting, Najib perlu tahu, mengejut atau tidak, bukan beliau seorang sahaja berhak untuk tentukan.

Wednesday, June 16, 2010

Hujan Iringi PM Terbang Awal

Malam ini asalnya dijangka mencatat sejarah tertentu bagi Kelantan. PM akan sepentas dengan Mursyidul Am PAS yang juga MB Kelantan, menyaksikan perasmian Kelantan Fiesta oleh Baginda Pemangku Raja Kelantan.

Malam ini, sejarah masih tercatat tetapi dengan cara yang sama sekali tidak dijangka.

Bukan sahaja Pemangku Raja tidak berangkat atas apa jua sebab, PM yang dalam rangka lawatan rasmi sehari ke Kelantan dan kemuncaknya akan merasmikan sendiri event Kerajaan Pusat yang dinamakan Kelantan Fiesta itu di Stadium Sultan Muhammad, pulang awal tanpa sempat menjejakkan kaki ke situ.

MB dan Kerajaan Negeri memutuskan tidak bersama, antara lain kerana pertukaran dari 'agenda bersama' kepada 'hanya agenda Pusat'. Poster One Malaysia menunjukkan PM akan merasmikan acara itu tergantung di sana sini.

Kemuncaknya malam ini, hujan ribut 'menyerang' semua persiapan di Stadium bersejarah itu. Hujan bermula sejak 8.30 malam. Sehingga jam sebelas setengah, ia masih turun renyai-renyai selepas turun dengan lebat sebelumnya.

Orang ramai, atas apa jua sebab, samada kerana hujan dan ribut mahu pun hal yang lain, tidak membanjiri stadium itu seperti lazim berlaku pada acara anjuran Tok Guru sebelum ini. Suku stadium pun tak ada. Lengang.

Tentulah memalukan untuk PM datang berucap dalam suasana hiba seperti itu. Ia bukan lagi kemuncak yang ditunggu tetapi kemuncak yang sangat mengharukan.

Tidaklah ganjil untuk PM memutuskan terus menaiki pesawat pulang ke pangkuan keluarga tercinta. Tinggal-lah anak buah terkial-kial, bagai kucing jatuh ke air. PM perlu dielak atau patut mengelak dari tempias peristiwa upset ini. Biarlah hujan menguasai malam dan sejarah dirakam seperti kehendak Pencipta.

Datuk Mustapa terpaksa memikul akibat dari keputusan politik dangkal mengenepikan Kerajaan Negeri dan tetamu kehormat lainnya di saat akhir, sehingga akhirnya beliau terpaksa berdiri di hadapan padang yang kosong untuk acara perasmian mengantikan PM. Tugas yang berat. Tak semena-mena, bekalan elektrik pula terputus.

Ketentuan Ilahi nampaknya tidak menyebelahi penganjur, walau apa jua motif mereka, tersurat atau tersirat.

Saya membuat catatan ini sebagai mengingati besarnya kuasa Ilahi dan eratnya Kelantan dijaga oleh Pengawal langit dan bumi.

Di padang yang mulia kerana telah menyaksikan ratusan ribu manusia telah sujud di atasnya dan tidak kurang pula titisan air mata yang tumpah ketika heningnya hubungan para hamba dengan Sang Pencipta di situ dalam siri-siri solat hajat yang telah berjalan berbelas kali, nyata menunjukkan keramatnya.

Termasuk solat hajat royalti minyak. Solat hajat untuk ummat Palestin. Solat hajat untuk memenangkan perjuangan rakyat.

Nampaknya, padang itu tidak mudah melupakan pihak yang menganiayai rakyat Kelantan tetapi mahu berpesta di atasnya.

Mengenepikan tuan rumah - tentulah bukan langkah bijak. Apa lagi, PM semata-mata bukanlah tarikan besar bagi orang Kelantan untuk memenuhi stadium sebesar itu. Usahkan stadium, dewan biasa pun belum tentu penuh.

Lantaran itulah, langkah awal penganjur ialah berpijak atas kerjasama dengan Kerajaan Negeri. Bermakna bekerjasama dengan populariti Tok Guru. Dari sana, penetrasi boleh bermula.

Entah apa gerangan dan perhitungan, di saat akhir mereka ingin bersendiri. Sesetengah berkata, 'UMNO tetap UMNO...'.

Ada peluang, mereka mencengkam. Taring UMNO mereka sentiasa tersedia.