Monday, March 22, 2010

Keberanian Nazri diukur

Shad Faruqi berhujjah bahawa perjanjian petroleum antara negeri-negeri dan Petronas adalah tidak terpakai kerana Negeri-Negeri menyerahkan sesuatu yang ia tidak miliki.

Kata Shad, Perlembagaan Negara menyatakan Negeri hanya memiliki kuasa ke atas perlombongan di daratan (onshore) tetapi dalam perjanjian 1975, Negeri-Negeri menyerahkan hak petroleum kepada Petronas di daratan (onshore) dan di lautan (offshore) sekali, yang mana di lautan adalah di luar bidang kuasa kerajaan Negeri.

Tun Salleh Abbas dalam satu taklimatnya telah memberikan penjelasan yang amat jitu dalam hal ini.

Akta Petroleum 1974 dicapai selepas kedua pihak iatu Negeri dan Kerajaan Pusat bersetuju menerima satu tolak ansur bagi membolehkan industri petroleum negara dibangunkan. (Latarabelakang sejarah ini boleh dibaca dalam kertas kerja Tun Salleh yang dibentangkan dalam satu konvensyen di Terengganu pada tahun 2008)

Kuasa perlombongan di daratan yang dipunyai oleh Negeri diserahkan selamanya kepada Petronas dan akibatnya Kerajaan Pusat turut akan mendapat 5% bayaran kiranya minyak dijumpai di daratan yang asalnya adalah milik Negeri. Sebelumnya, sepatutnya hanya Kerajaan Negeri sahaja berhak menerimanya kerana ia berada di daratan yang menjadi milik Negeri.

Begitulah juga sebaliknya, di mana sebagai timbal balas tolak ansur itu, Negeri akan menerima 5% bayaran sekalipun pengeluaran akan berlaku di lautan yang asalnya kuasa perlombongan adalah di bawah Kerajaan Pusat.

Atas tolak ansur dan semangat bekerjasama inilah, dua istilah telah muncul dalam Akta Pembangunan Petroleum 1974 dan juga surat perjanjian antara Kerajaan Malaysia/Kerajaan Negeri-Negeri dengan Petronas iaitu daratan/onshore dan lautan/offshore.

Istilah ini digunakan dengan tujuan melupakan apa jua tafsiran yang lain yang ada dalam Akta dan Ordinan yang lain yang datang terdahulu. Istilah onshore dan offshore adalah kata kunci dan kata kunci ini bertujuan menghapuskan had sekatan 3 batu, territorial waters atau apa jua sekatan yang lain. Kepentingan Negeri dan Pusat telah digabungkan untuk faedah Negara bagi membolehkan pembangunan petroleum dilaksanakan oleh satu badan tunggal bernama Petronas.

Ada dua doktrin undang-undang yang digunakan iaitu;

a. Akta Parlimen yang datang kemudian mengatasi Akta terdahulu
b. Akta khas mengenai sesuatu perkara mengatasi Akta umum.

Dalam isu ini, sepanjang berkaitan kuasa petroleum, hanya ada satu Akta tunggal iaitu PDA 1974. Perjanjian dengan negeri-negeri adalah dibuat mengikut kehendak Akta ini.

Ikatan perjanjian yang ditandatangani oleh Negeri-negeri adalah ibarat sijil nikah dan ikatan perkahwinan. Bermula dengan Akta Pembangunan Petroleum 1974 dan perjanjian pada 1975. Keadaan 'zaman bujang' sebelum 1974 dilupakan.

Kini, selepas sudah beranak pinak dan Petronas mendapat kekayaan dengan 'perkahwinan'/Perjanjian itu, ada pihak ingin kembali kepada keadaan sebelum perkahwinan. Kononnya, hak kedua-dua lelaki dan perempuan adalah berbeza dan pihak satu lagi tidak mempunyai apa-apa tanggungjawab kepada pihak lain.

Merujuk kepada Akta sebelum PDA seperti Ordinan Dharurat 1969 dan lain-lain adalah percubaan-percubaan untuk kembali kepada 'zaman bujang' itu. Ia adalah satu tindakan 'mislead' rakyat.

Tidaklah pelik bila YB Saifuddin Nasution mencadangakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri dihadapkan kepada Jawatankuasa Hak dan Keistimewaan Ahli Dewan kerana tindakannya selama ini mengelirukan Dewan Rakyat dengan memetik Akta yang tidak berkenaan dengan isu tuntutan royalti Kelantan.

Jika selama ini Nazri berani mencabar Kelantan pergi ke Mahkamah, tiba masanya Nazri mesti berani menghadapi Jawatankuasa Terpilih Dewan untuk mempertahankan hujjahnya.

Lebih menarik jika orang seperti Tun Salleh Abbas, Nik Saghir Mohd Nor dan Tg Razaleigh boleh dipanggil memberikan keterangan samada jawapan Nazri di Dewan Rakyat selama ini 'mislead' atau tidak.

Sunday, March 21, 2010

Petronas diletup

Petronas sebuah entiti illegal - sekurang-kurang itu pendapat Prof Shad Faruqi. Petronas sebuah badan perniagaan haram?

Jika itu bukan sebuah letupan di muka Petronas, menunggu letupan yang lebih besar takut nanti sudah terlewat dan hanya meranapkan terus integrity Petronas.

Adakah berbaloi bagi sebuah badan koporat bertaraf dunia untuk dihalakan peluru yang menembusi maruah korporatnya semata-mata kerana cuba mengelak membayar kepada Kelantan apa sebenarnya terhak?

Ketika Petronas sedang cergas melabur berpuluh billion dollar di luar negara, kedudukan penubuhannya sendiri di sisi undang sampai dipertikaikan.

Apa akan jadi jika pendapat Shad Faruqi itu sampai kepada negara-negara Petronas ada berikat?

Apa akan jadi jika ada pihak menggunakan pandangan Shad Faruqi untuk mengisytiharkan Petronas bukan sebuah entiti yang sah?

Sebenarnya, semasa peguam-peguam penasihat Kerajaan Negeri berbincang sebelum ini, isu seperti ini ada dibangkitkan. Termasuk sudut lain bahawa perjanjian yang dibuat oleh Kerajaan Negeri dengan Petronas adalah tidak sah dan tidak terpakai berasaskan sebab-sebab yang lain.

Namun, kami mengambil pendirian mengenepikan sementara waktu pandangan seperti itu kerana ia akan merosakkan Petronas. Kami memilih pandangan yang lebih sederhana iaitu mengikut undang-undang dan perjanjian serta konvensyen selama ini, Kelantan terhak terhadap pembayaran royalti dari semua pengeluaran minyak dan gas di luar pantainya.

Petronas dan pemimpin Kerajaan Pusat nampaknya memilih permainan yang lebih kasar.

Tun Musa Hitam pula menjadi tokoh UMNO kedua secara terbuka memberi pandangan yang berbeza tentang bayaran royalti berbanding pendirian rasmi Kerajaan Pusat. Apa pun nama bayaran yang diberikan, pembayarannya hendaklah kepada Kerajaan Negeri Kelantan - kata Tun Musa.

Selama mana lagi Najib mahu menunggu untuk membetulkan semula sikapnya? Berapa ramai tokoh lagi ditunggu Najib untuk memberikan 'tamparan demi tamparan'?

Ahli Parlimen UMNO sendiri, yang juga pengasas Petronas telah 'menyapa'. Tun Salleh Abbas selaku bekas Peguamcara Negara yang menulis cadangan Akta berkenaan telah memberikan pendapat. Bekas Eksekutif Jabatan Undang-undang Petronas di mana hampir semua dokumen perjanjian antara Kerajaan-Kerajaan Negeri dan Malaysia dengan Petronas ada tercatit tanda tangannya dan beliau terlibat dalam membentuk kandungan perjanjian tersebut - Nik Saghir Mohd Nor juga menyebelahi tuntutan Kelantan. Kemulian Petronas sebenarnya sudah tercemar.

Jika tuntutan Kelantan dilayan seadilnya sejak awal mengikut makna yang 'plain' dan amalan biasa seperti perjanjian, tidaklah perlu kenyataan-kenyataan yang merugikan seperti itu dikeluarkan.

Petronas tidak menjadi bankrap kerana menunaikan hak Kelantan. Nama baiknya tidak rosak dan kejujuran koporatnya tidak hilang.

Polemik ini sudah tentu akan berterusan.

Isu tuntutan Kelantan mempunyai ruang masa dan pergerakan yang tidak terbatas sehingga menghasilkan gegaran yang cukup kuat untuk tidak dihiraukan, Insya Allah.