Sunday, February 24, 2008

UMNO KELANTAN PERLU DIRAWAT?

Gelombang pertama untuk PAS Kelantan – dua nama ‘besar’ yang dicalonkan UMNO tidak bersedia bertarung atas tiket UMNO. Prof. Madya Abdullah Sudin di Pengkalan Chepa dan Pengelola Istana Diraja, Datuk Halim Ahmad di Pasir Mas.

Mereka enggan turun. Nama sudah diumumkan. Persetujuan batang tubuh tidak ada.

Difahamkan, Datuk Awang Adek mengadap Sultan Kelantan untuk mendapat perkenan Datuk Halim bertanding. Gagal. Umum dahulu, baru perkenan diminta. Bukan caranya.

Umno kecewa pusingan pertama. Cubaan mendapat milage kononnya Umno mendapat restu Istana dengan adanya Datuk Halim, patah di tengah jalan.

Hari ini, Umno kecewa lagi. Calonnya di DUN Kijang ditolak kerana muflis. Kemenangan percuma calon wanita PAS, Senator Wan Ubaidah.

PAS Kelantan mendapat lonjakan kedua – sangat penting di saat Umno galak bercakap angkuh Kelantan sudah dalam mulut mereka.

Jika bantahan tidak dibuat, dan jika ditakdirkan Umno berjaya menang di Kelantan – apa nasib khazanah Kelantan dengan adanya calon seperti itu?

Senarai yang diumumkan Pengerusi Umno Negeri adalah senarai yang diluluskan oleh Presiden parti – Abdullah Ahmad Badawi. Hadhir sama semasa pemilihan akhir dibuat ialah Timbalan Presiden, Datuk Najib dan Setiausaha Agung.

Sistem tapisan Umno begitu lemah? Maklumbalas risik tentera dan polis tidak ada? Calon pula mendiamkan diri dan tidak memaklumkan pada pucuk pimpinan?

Dan andai kata mereka menang? Siapa dulu yang akan diselamatkan? Rakyat atau diri masing-masing?

Selain muflis, apa lagi bentok calon destruktif yang mungkin mengambil kesempatan atas khazanah Negara jika mereka berkuasa – yang dibariskan sebagai calon Umno/BN seluruh Negara? Awas!