Monday, May 31, 2010

Marahkan Israel Mesti Dimulakan Dari Putra Jatya

RM 77 juta wang rakyat Malaysia yang dibayar kepada Apco tidak syak lagi menunjukkan perkongsian kita atas pembunuhan petugas misi kemanusiaan Freedom Flotila.

Amat menyayat hati bagaimana akhirnya Malaysia sedikit sebanyak terlibat dengan penajaan keganasan Israel - menerusi Apco.

Rakyat marhaen seperti biasa menunjukkan kemarahan mereka atas kekejaman Israel dengan berarak ke kedutaan Bapa Angkat Israel - Amerika. Ia langkah yang baik - sekurang-kurang kita mempamirkan respon dan kemarahan kita.

Namun, selepas Kedutaan Amerika, tidak selesai demo bantahan ini jika kita tidak lanjutkan ke depan pejabat Perdana Menteri.

Pembatalan serta merta kontrak Apco tidak boleh dilakukan oleh kita rakyat biasa. Ia hanya boleh dilakukan oleh Perdana Menteri dan kebencian kepada kekejaman Israel harus dibuktikan dengan menidakkan peranan Israel dalam urusan negara kita. Apa lagi, memberikan agen risikan Israel yang berlindung di belakang syarikat penasihat semua dokumen rahsia negara, seperti tercatit dalam perjanjian kontrak berkenaan.

Menaja syarikat dari Israel sama dengan menaja Israel. Bermakna, tangan kita telah terpercik darah saudara kita yang tertindas.
Terpercik sama darah rakan kemanusiaan dari seluruh dunia yang telah dibunuh Israel ketika sedang berusaha membuka tirai besi penindasan ke atas rakyat yang tidak punya apa-apa di Gaza - selain simpati dunia.

Alangkah azabnya perasaan kita berpemimpinkan pemimpin yang sedang mengisi poket Israel dengan wang kita sendiri pada waktu Israel sedang menunjukkan keangkuhannya.

Saya bersetuju dengan pendirian pemimpin Pakatan memberikan PM masa 48 jam untuk bertindak.

Tindakan seterusnya ialah himpunan rakyat mendesak ditarik balik cubaan mengenakan tindakan menggantung Dewan ke atas DSAI - atas pendedahannya mengenai hubungan Malaysia- Apco - Israel.

Jika tidak, Israel mentertawakan kita. Baru beberapa bulan Apco diterima menjadi penasihat negara kita, kita sudah bersedia mengorbankan anak watan kita sendiri demi Israel.

Kita marahkan Amerika. Tapi jangan lupa, kalau kita sendiri gagal membetulkan tindakan Putra Jaya, apa sangat yang hendak kita harapkan dari Amerika? Apa lagi Israel. Kita mulakan dari Putra Jaya.

Jika di depan kedutaan Amerika kita berapi-api tapi Apco masih tegak berdiri di Putra Jaya, itu namanya hipokrit.

Kalau kita marahkan Amerika kerana tidak berbuat apa-apa tetapi kita sendiri secara salah menghukum rakyat kita kerana mendedahkan skandal Apco, itu maknanya kita telah bersatu hati dengan Israel.

Freedom Flotilla Diserang: Malaysia Terus Berdengkur Dalam Dakapan Apco

Israel - tanpa mempedulikan kutukan dunia - membunuh paling kurang dua puluh sukarelawan kemanusiaan menuju Gaza!

Israel nekad. Jika selama ini hanya rakyat Palestin dibedil sesuka hati, kini, warga dunia dari segala pelusuk, tidak terkecuali. 20 dilaporkan terkorban dan 50 yang lain cedera.

Sekalipun misi dunia menerusi Freedom Flotila adalah kemanusiaan - membawa makanan dan ubatan - untuk ummat Palestin yang telah lama menderita, Israel tidak teragak menumpahkan darah mereka.

Bersama di atas kapal Mavi Marmara yang mengetuai konvoi ini ialah rakyat negara kita. Kita sangat berbangga!

Mungkinkah mereka juga terkorban?

Erdogan, Perdana Menteri Turki, juga harus kita banggakan. Mavi Marmara adalah kapal Turki.

Turki memberikan reaksi pantas. Duta Israel di Ankara diminta berundur. Tiga latihan ketenteraan dengan Israel dibatalkan. Turki meminta Bangsa-Bangsa Bersatu mengadakan sidang tergempar.

Sweden, Sepanyol, Denmark dan Greece juga memberikan reaksi segera dengan memanggil duta Israel. Perancis meminta insiden ini segera disiasat.

Malaysia?

Sehingga jam 9 malam, 31 Mei 2010, semakan menerusi web Bernama, tidak ada satu pun kenyataan dari mana-mana pemimpin Malaysia mengenai serangan durjana Israel ini. Menteri Luar masuk tidur begitu awal?

Kerajaan Malaysia hanya beroperasi mengikut jam pejabat hingga lima petang?

Kita tidak merasa apa-apa dengan serangan Israel ini? Kita tidak risaukan tentang keselamatan rakyat kita? Kita tidak marahkan Israel bertindak kejam dalam perairan antarabangsa menghalang bantuan kemanusiaan untuk ummat manusia yang sedang menunggu dunia membuka jendela mereka?

Malaysia seharusnya membatalkan kontrak dengan syarikat Israel - Apco - sebeberapa segera. Jika Malaysia telah membayar RM 77 juta kepada syarikat Israel itu, kita mesti menyumbang untuk manusia tertindas di Gaza lebih banyak dari itu.

Malaysia perlu menyokong tindakan Turki memanggil sidang khas Bangsa-bangsa Bersatu.

Malaysia perlu menghantar apa jua bantuan yang diperlukan untuk warga kita yang terlibat.

Dalam respon segera, DAP, Pemuda UMNO, PAS dan PKR masing-masing telah mengeluarkan kenyataan.

Kerajaan Malaysia? Lena dalam dakapan Apco.

Bagi rakyat Kelantan, menerusi NGO Cakno Palestin, mereka kini menaja sekitar tiga puluh pelajar anak-anak kelahiran Palestin belajar di negara ini.

Jumlahnya kecil tetapi ia boleh ditambah jika dana sedia ada dapat didokong bersama rakyat Malaysia yang prihatin.

Dengan luka yang dilakukan oleh Israel kini, menjadi kewajipan kita serius dalam keprihatinan kita terhadap penindasan tak kunjung tamat oleh regim Israel terhadap rakyat Palestin.

Monday, May 24, 2010

Driver BN kena malu dengan MCA

Tuesday May 25, 2010

Di bawah tajuk 'Boy's RM8mil gambling losses', The Star Online hari ini melaporkan MCA Kapar berjaya memungut 2,000 tanda tangan untuk kempen “Anti-Gambling at Internet Cafes” hanya dalam masa dua jam.

Berita selanjutnya ialah mengenai seorang remaja ketagih judi. Pada usia 19 tahun, ia telah kalah judi sebanyak RM 8 juta! Judi bola sepak online adalah kegemaran beliau.

Ia mewarisi tabiat perjudian itu dari bapanya, seorang jutawan.

MCA memungut tanda tangan menyekat perjudian, termasuk perjudian bola sepak online. UMNO?

Tanggungjawab moral MCA nampaknya melebihi parti 'driver' BN.

PORT KLANG: A boy who went into high-stakes gambling at the age of 16 accumulated losses amounting to about RM8mil by the time he was 19.

The boy, a millionaire’s son, had allegedly followed in his father’s footsteps by gambling and ended up losing millions in foreign football bets over the Internet.

His compulsion for betting was so great that he came to be known as the Little Dragon.

Yesterday, Klang Barisan Nasional chairman Datuk Teh Kim Poo (pic) who was unable to coax the teenager to come forward to relate his gambling spree, said the youth’s gambling habit stemmed from his father, a compulsive gambler.

“This teenager grew up watching his father gamble and at the age of 16, he began to gamble after gambling agents gave him a credit line of RM100,000. Each time he was buried in debt, his father would bail him out. Over these three years, there have been several bail-outs,” he said.

Teh added when the accumulated losses came to RM8mil, it was the last straw for the father. The man, in his 50s, barred him from gambling and stopped his son from attending college. He now works with his father.

Teh added that Pandamaran New Village had become a hot place for such gambling and simple wooden houses were equipped with Internet facilities for the activity.

On Sunday, Klang and Kapar MCA held an “Anti-Gambling at Internet Cafes” signature campaign at the Taman Eng Ann morning market.

It got more than 2,000 signatures from parents in two hours.

Sunday, May 23, 2010

Judi Bola: Tamrin Bersama

Tahniah dan terima kasih, Bang Tamrin.

Anak bekas Timbalan Presiden UMNO ini menyertai suara keprihatinan rakyat Malaysia rentas budaya membantah lesen perjudian tambahan - judi bola Piala Dunia.

Beliau mengutus surat terbuka kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan disalinkan pada semua media.

"Di mana letaknya UMNO dalam perjuangan Islam?" - soal Datuk Tamrin.

Kata Tamrin, "......satu kemungkaran boleh menjadi ‘mata rantai’ kepada kemungkaran yang lain." Ini sangat penting.

Beliau memberikan empat keburukan nyata perjudian iaitu rumah tangga porak peranda, dilanda hutang dan along, kanak-kanak ikut terlibat dalam kancah perjudian dan kualiti dan produktiviti merosot - dalam surat terbuka itu.

Jika Tamrin dapat melihat isu ini dengan suluhan pemikiran yang cerah melampaui dua parameter UMNO: wang untuk kuasa dan kuasa untuk wang, UMNO sedang menempah maut.

Ia kini lebih besar dari rentas budaya. Isu ini kini menjadi rentas parti juga.

Bekas Presiden UMNO, Pak Lah juga telah bersuara.

Maknanya hati kecil pemimpin dan pengikut UMNO - dari Tamrin sampai Pak Lah - juga tidak merestui penghalalan ala ali baba ini.

Keputusan siapa untuk membatalkan kelulusan ini yang kita tunggu? Najib atau Rosmah?

Lukisan Baru Melalui Rentas Budaya

Kenyataan ADUN Dap Kampung Tunku, YB Lau Weng San, menyentuh hati saya.

Beliau berhujjah, pemberian lesen judi bolasepak, tidak sama sekali akan berjaya menghapuskan perjudian tanpa lesen. Selama ini pun, sekali pun berbagai judi berlesen wujud, perjudian tanpa lesen terus berlaku.

Katanya, tujuan judi dilesenkan hanya satu, iaitu Kerajaan dapat mengutip keuntungan dengan cukai yang dikenakan.

Beliau mempersoalkkan sikap berdiam diri Perdana Menteri dalam isu ini.

Selanjutnya, beliau mencabar UMNO dan Perkasa menyatakan pendirian mereka dalam isu ini. Bersetuju atau menentang? Kiranya UMNO mengaku sebagai juara Islam, mereka perlu nyatakan sikap, YB Lau mengasak.

Tindakan berdiam diri UMNO membuktikan sikap hipokrit parti itu, katanya. Ketika pilihanraya kecil Ulu Selangor, UMNO membesar-besarkan isu judi dan kini, mereka pula meluluskan lesen perjudian tambahan.

Kenyataan YB Lau Weng San ini sangat penting.

Pertama, ia meletakkan UMNO bersalah dari segi agama dan moral. Ruang UMNO menggunakan alasan budaya kaum bukan Melayu untuk menghalalkan tindakannya tanpa memperdulikan kesan sosial rakyat dari dasar-dasarnya sudah berlalu.

Kedua, ia membantu masyarakat Melayu-Islam lebih menerima perjuangan Pakatan Rakyat.

Memencilkan UMNO dalam arus politik masa depan dan memperkukuhkan kepercayaan masyarakat terhadap viabiliti perkongsian PAS-DAP-PKR dan parti lain dalam Pakatan Rakyat adalah formula kembar untuk melakar momentum yang cukup untuk perubahan politik.

Kenyataan YB Lau memenuhi dua formula ini sekaligus - formula silang budaya.

Apa yang perlu dilakukan oleh Pakatan ialah memperbanyak program berbentuk silang budaya ini, terutama di kawasan Melayu.

Jika pimpinan DAP dan PKR bukan Melayu dari berbagai peringkat dapat diturunkan di kawasan pengundi Melayu dan bercakap satu nada dalam isu-isu rentas kaum dan budaya seperti ini, benteng mental pengundi Melayu yang dibina oleh UMNO selama ini akan runtuh.

Anthony Loke, MP Dap dari Rasah, juga antara tokoh yang selalu menyentuh isu perjudian di Dewan Rakyat.

Saya, Anthony dan YB Saifudin akan berucap tentang isu ini di Kelantan pada 26 Mei ini.

Ramai lagi pimpinan lain DAP dan PKR yang dapat digandingkan dalam program rentas budaya ini.

Benteng mental pengundi Melayu perlu ditembusi, jika PAS dan Pakatan ingin berjaya dalam pilihanraya yang akan datang. Waktu ini, bukan sedikit orang Melayu masih sangsi dengan keserasian pasangan DAP-PAS. Adakah ia tidak merugikan Islam dan orang Melayu? Kerana DAP 'dilukiskan' dalam minda orang Melayu sebagai anti Melayu dan anti Islam. Seperti mana PAS 'dilukiskan' sebaliknya pula dalam minda bukan Melayu.

'Lukisan' ini menghasilkan petak minda yang agak sebati. Ia memerlukan kita membuat satu 'lukisan' baru dengan lebih banyak usaha 'melukis' kita lakukan. Usaha 'melukis' ini perlu dirangka oleh pimpinan Pakatan.

Pengungkapan yang sesuai. Pengungkapan di khalayak pengundi Melayu hatta ke desa-desa. Pandang sendiri dengar sendiri.

Lukisan baru.

Sunday, May 16, 2010

DAP dah menang 390 undi: Kenapa SPR lambat umum?

Kekecewaan BN tidak harus menjadi kekecewaan SPR.

DAP, dari penjumlahan yang telah dibuat, telah menang 390 undi! Ia rasmi kerana semua borang 14 - pengesahan jumlah ndi bagi setiap peti undi - semuanya telah ditandatangani oleh agen tiap parti. Cuma, ia belum diumumkan sedangkan kiraan sudah selesai.

Mengambil kira undi yang telah dijumlahkan di peti undi Kg. Ilir Nangka yang lazimnya menjadi kuat BN dan undi penyelamat (undi pos), DAP menang dengan 390 undi. Majoriti undi kawasan Melayu Kg Ilir Nangka telah menurun dan undi pos untuk BN kali ini tidak mencapai tanda aras 2,700 undi seperti lazim. BN kena bersedia menerima pengumuman ia telah tewas.

SPR tidak perlu menunggu melakukan magic untuk menghilangkan kemenangan ini kerana dunia sedang memerhati!

Umum saja DAP menang....

Wednesday, May 12, 2010

Pentas 'Kenali Pemimpin UMNO' sanggah lesen judi Piala Dunia

Kenyataan Tony Puah, Ketua Pemuda DAP, tentang langkah Najib melesenkan perjudian Piala Dunia, amat membanggakan.

Akhbar melaporkan kelulusan telah diberi kepada Berjaya Group untuk 'memakmurkan' lagi perjudian negara kita, kali ini mengambil kesempatan dari 'mood' nak berjudi sempena Piala Dunia.

Jelas, BN memanipulasi peluang ini untuk mengaut sebanyak mungkin keuntungan. Moral politik tidak pernah menjadi ukuran. Hujah lapok untuk mengelakkan perjudian 'haram' dengan dilesenkan, dicukaikan dan dikutip dividen untuk menjadi 'halal' terus digunakan.

Di tangan UMNO/BN sahaja terletak kuasa menghalal dan mengharamkan. Mereka berkuasa lebih dari Tuhan.

Kesan ekonomi dan sosial kepada rakyat terbanyak semua kaum tidak pernah diambil kira.

Tony Puah menyindir - inikah bentuk Model Ekonomi Baru Najib?

Zulkifli Nordin sekali lagi memberi amaran, dalam masa terdekat salah satu negeri Pakatan akan tumbang mengikut cara Perak. Rampasan kuasa melalui pembelian.

Saya yakin begitu. Berdasarkan maklumat.

Keuntungan judi ini akan digunakan untuk satu operasi politik yang kotor.

Bukankah kita masih boleh bersuara dengan pelbagai cara dan gaya untuk mendedahkan kejalangan tindakan ini?

Pentas Rakyat yang mempamirkan tokoh pelbagai latarbelakang hendaklah segera diadakan di seluruh negara - menerangkan isu ini.

'Kenali Pemimpin UMNO' di Kedah, di Selangor, di mana-mana sampai ke desa-desa. Atau apa jua nama lain.

Jika Tony Puah dan lain-lain pemimpin bukan Melayu boleh bersama pemimin seperti Tok Guru Presiden dan Mursyidul Am dan lain-lain - mencela langkah UMNO/BN mengambil kesempatan melesenkan perjudian ini dengan 2,000 premis jualan di seluruh negara, UMNO/BN boleh terencat.

Ia akan menjadi pentas pertama seumpamanya dalam isu ini.

Dalam UMNO sendiri bukan sedikit yang tidak bersetuju dengan polisi 'gila wang semata-mata' ini.

Lihat laporan Berita Harian , Sabtu 8 mei, muka surat 2;

“Syor lesen pertaruhan Piala Dunia dibantah”

…..cadangan kerajaan untuk mengeluarkan lesen pertaruhan….mendapat tentangan banyak pihak termasuk pemimpin UMNO kerana memberikan kesan negatif dan imej buruk kepada Negara yang majority rakyatnya beragama Islam……

AMT Umno , Mohd Fuad Zarkashi, berkata cadangan berkenaan bukan saja menjejaskan imej kerajaan , malah bertentangan dengan perlembagaan persekutuan yang mengiktiraf Islam sebagai agama rasmi……..

Mufti Perak , Tan Sri Harussani …semua bentuk judi termasuk pertaruhan bola sepak sempena Piala Dunia adalah haram dalam Islam

Bekas penasihat agama istana, Datuk Abu Hasan Din Al-hafiz, .. berkata kerajaan tidak wajar meneruskan niat untuk mengeluarkan lesen pertaruhan sukan terutama sempena Piala Dunia kerana langkah itu menggalakkan masyarakat termasuk umat Islam terjebak dengan kegiatan perjudian.

Presiden Peguam Syarie Malaysia, Mohamad Isa Abd Ralip, …secara tegas membantah cadangan itu yang akan memberikan kesan ……

Penasihat Majlis Agama Islam Johor, Datuk Nooh Gadut ..cadangan terbabit adalah tidak wajar dan bertentangan dengan ajaran Islam sekiranya ingin memperoleh kemakmuran

Pergerakan UMNO Bahagian Kuala Kedah “ lesen pertaruhan piala dunia undang kebencian pengundi Melayu” - …saya berpendapat kerajaan tidak perlu mengeluarkan lesen berkenaan keranan aktiviti perjudian dan pertaruhan haram tetap berlaku kerana sindiket judi tetap akan menganjurkan pertaruhan haram bagi mendapatkan keuntungan yang lebih… …… perkara lebih penting lagi isu lesen judi itu akan terus berkumandang sehingga PRU ke 13 nanti. Ia akan dijadikan modal oleh pakatan pembangkang terutama PAS bagi menarik sokongan pengundi Melayu…….. Ketika itu pendapatan untung yang tidak seberapa hasil cukai judi Piiala Dunia 2010 tidak akan dapat menampung kebencian pengundi Melayu terhadap BN umumnya dan UMNO khususnya.

Tuesday, May 11, 2010

Kalau panas, MCA kena berdiri atau berlari?

Presiden MCA telah keluarkan kenyataan pimpinan komponen BN kena boikot himpunan memperingati 13 Mei di Kuala Terengganu.

Kerajaan Terengganu di mana seorang dari anggotanya adalah dari MCA secara lagsung atau tidak langsung, terlibat dalam penganjuran himpunan ini.

Maknanya, MCA sendiri terlibat, kecuali wakil tunggalnya menyatakan pendirian terbuka mengenainya.

Apa guna Chua Soi Lek minta diboikot selagi MCA menongkat UMNO?

Satu situasi sukar untuk rakan-rakan UMNO dalam BN.

Soalnya, kenapa di Terengganu? Kenapa tidak di Sibu?

'Kebangkitan Melayu' yang menjadi tema himpunan ini, menjadikan bulu roma sesetengah orang berdiri.

Kepakaran UMNO dalam mendirikan bulu roma sudah terbukti sejak dulu. Apa hasilnya selepas bulu roma berdiri selain kesempatan mengukuhkan kuasa politik UMNO untuk meneruskan mengaut kekayaan kelompok, samar.

Sebagai orang Melayu dan 96% rakyat Kelantan adalah orang Melayu, diharap pemimpin Melayu yang menghidupkan bulu roma dengan 'Kebangkitan Melayu' ini, dapatlah kiranya menunaikan hak Kelantan ke atas royalti minyak kami. Melayu Kelantan pun Melayu. Kenapa hak Melayu Kelantan dinafi?

Harapannya tipis, kerana tokoh tamu yang akan berucap, Tun M, adalah pemimpin Melayu pertama yang menyekat royalti minyak Terengganu dan malangnya, orang ini akan bercakap mengenai Melayu Bangkit!?

Melayu tidak akan bangkit tanpa mendokong Islam dan mendokong Islam tidak akan berlaku tanpa prinsip keadilan dan kesaksamaan yang telah diperkosa dengan hilangnya 'rule of law' dalam negara kita.

Jangan gunakan Melayu untuk Kebangkitan UMNO dan dengan kebangitan itu, Melayu sekali lagi ditindas.

Monday, May 10, 2010

A-wang Judi

Dr. Awang Adek umumkan MoF besar kemungkinan lesenkan judi bola Piala Dunia.

Judi One Malaysia.

Objektif utama pelesenan, Kerajaan turut dapat wang. Sesuai namanya pun ada bunyi wang, Dr. Awang nampaknya berbangga menjadi orang pertama umumkan langkah tak bermoral Kerajaan BN itu. Dr. Awang berani. Mungkin dah dapat fatwa mana-mana Mufti. Operator berminat yang ada belakang pengumuman ini boleh urut dada lega dan tepuk belakang Dr. Awang lepas ini.

Selain Kerajaan, sudah tentu operator akan mengaut kekayaan besar. Sebahagian keuntungan mudah ini untuk dana pembelian politik. Pemberian lesen, segala-galanya menjadi wang sekelip mata.

Saya diberitahu beberapa rakan, matlamat utama pelesenan judi ini ialah mengutip tabung untuk operasi politik BN. Target utama mereka ialah menawan semula Kedah. Samada pembelian ADUN sedia ada atau belanja pilihanraya akan datang. Negeri Pakatan yang lain juga tidak terkecuali.

Taukeh sama yang akan mendapat lesen nanti dikatakan telah berjasa dalam kes Perak.

Wang kotor untuk kerja kotor oleh parti yang kotor.

Di Hulu Selangor, UMNO amat prihatin dengan segala pantang larang Islam. Hatta bela kuda lumba sudah dikira syubhat dengan perjudian lumba kuda. UMNO belasah habis.

Selang tak sampai seminggu, UMNO balik pada wajah asal mereka. Judi untuk perjudian politik.

Kalau nanti digelar orang, Awang Judi, malulah kami orang Kelantan....

Thursday, May 06, 2010

Tenggiri kita berenang ke Brunei

Terima kasih atas pelbagai respon positif untuk menentukan tindakan penggandaian 10,000 km persegi wilayah ekslusif economic zone Malaysia kepada Brunei adalah terbatal dan tidak sah.

Sokongan YB Kit saya sanjung tinggi. Begitu juga sokongan beberapa rakan dari Sabah dan penyokong biasa yang telah mendaftar di alamat gadailautmalaysia@gmail.com.

"The freedom from threats to national interest in, on, over and concerning the sea"

Demikian tertera kata pegangan Laman Keselamatan Maritim, Majlis Keselamatan Negara, Jabatan Perdana Menteri! Hebat sekali!

Benar! Kita diancam dari 'laut'. Sekelip mata 10,000 km persegi wilayah kita melayang!

Dalam laman tersebut dipaparkan Peta Baru Malaysia 1979 dan Peta Sempadan Maritim Malaysia. Dengan jelasnya Blok L dan M mengikut peta rasmi Malaysia itu, ditandakan sebagai berada dalam sempadan negara.

Berikutan pemberian itu, kita mengalami kekurangan 10,000 km persegi kawasan laut dari keluasan asal Zon Ekslusif Ekonomi (Exclusive economic Zone) seluas 453,186.18 km2 atau 174,979.43 bn2.

Sultan Brunei dalam titah hari keputeraan baginda pada 15 Julai 2009 mengesahkan penyerahan itu;

"In a commitment to ensure the prosperity and security of the people, His Majesty together with former Malaysian premier Abdullah Ahmad Badawi signed Letters of Exchange on the demarcation of maritime boundaries with Malaysia.
His Majesty said that through this agreement, Brunei will have sovereignty on the continental shelf and 200 nautical miles of the exclusive economic zone (EEZ).
With this, Brunei will enjoy the benefits from the exploration of hydrocarbon and other maritime resources."


Pertemuan empat jam Pak Lah dengan Sultan Brunei berlangsung sehari sebelum tanda tangan diperturunkan dan kenyataan bersama media selepas majlis itu berlangsung menyebut seperti berikut;

"The solution of the maritime delimitation issue ensures certainly with regard to the delimitation of the territorial seas, the continental shelf and the Exclusive Economic Zone of both countries,"

Pada 21 Disember 1979, Peta Baru Malaysia 1979 yang terdiri daripada Syit 1 (Semenanjung Malaysia) dan Syit 2 (Sabah & Sarawak) dan menunjukkan kawasan Perairan Wilayah serta Pelantar Benua Malaysia telah diisytiharkan menerusi Pemberitahuan No. 5745.

Sewaktu berhujah di ICJ dalam isu Pulau Batu Putih, salah satu asas yang digunakan oleh Ejen Malaysia, Tan Sri Abdul Kadir Mohamad ialah Peta Baru Malaysia 1979.

Pengubahan sempadan negara melalui pengubahan sempadan mana-mana negeri yang asalnya terdapat dalam Peta Baru Malaysia 1979, tidak syak lagi perlu melalui tiga proses iaitu;

a. Kelulusan DUN negeri terbabit
b. Kelulusan Majlis Raja-Raja
c. Kelulusan Parlimen, seperti tercatat dalam Perkara Dua Perlembagaan Negara;

Article 2

2. Parliament may by law -
● (a) admit other States to the Federation;
● (b) alter the boundaries of any State, but a law altering the boundaries of a State shall not be
passed without the consent of that State (expressed by a law made by the Legislature of that
State) and of the Conference of Rulers.

Ketiga-tiga proses fundamental ini tidak berlaku bagi penyerahan sempadan laut kita dengan nilai petroleum sekurang-kurangnya RM 340 Billion.

Jika telaga ini masih dalam milik Malaysia, Sabah sudah pasti akan menikmati paling kurang RM 17 billion royalti! Kini, nak berenang di laut itu saja orang Sabah perlukan pasport dan visa...., bersekali kekayaan laut yang lain - tenggiri, yu dan segala macam terlepas selama-lamanya sedangkan kita seharusnya ada pilihan penyelesaian yang lain.

Tuesday, May 04, 2010

Penyerahan Sempadan: Cadangan Saman Awam Rakyat Malaysia

Press Release


SERAHAN SEMPADAN LAUT MALAYSIA KEPADA BRUNEI – SAMAN AWAM WARGA NEGARA ( CITIZEN CIVIL SUIT ) KE ATAS KERAJAAN MALAYSIA

Kedaulatan wilayah adalah penting untuk setiap negara. Sepanjang sejarah, banyak perselisihan wilayah berlaku antara negara-negara yang telah mengakibatkan perang. Pengasas negara Malaysia memberikan penghormatan yang tinggi untuk melindungi wilayah kita dengan menyediakan peruntukan dalam Artikel 1 dan 2, Perlembagaan Persekutuan, undang-undang tertinggi negara ini. Berasaskan latarbelakang ini, pendedahan tentang urus keluar wilayah Malaysia kepada Brunei adalah memeranjatkan.

Tidak kira betapa berkuasanya seseorang Perdana Menteri itu, namun Perlembagaan Persekutuan tidak sekali-kali membenarkan seseorang Perdana Menteri Malaysia menyerahkan sesuatu wilayah Malaysia kepada negara lain samada di daratan atau lautan.
Perbuatan demikian adalah sesuatu yang bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Artikel 2 Perlembagaan Persekutuan jelas menyatakan hanya dengan persetujuan Parlimen melalui rang undang-undang yang dibentang dan diluluskan oleh Parlimen sahaja sempadan negara boleh diubah.

Bertolak dari peristiwa penyerahan sempadan laut Malaysia kepada Brunei, kami menuntut tindakan berikut ini dari Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato’ Seri Mohd Najib ;-

Mendedahkan kepada awam semua perhubungan antara Putrajaya dan Brunei, Sabah, Sarawak dan Petronas sehingga berlakunya penyerahan ini;
Pendedahan semua keputusan Kabinet mengenai perkara ini atau ;
Menubuhkan sebuah Suruhanjaya Diraja yang bebas dan telus untuk menyiasat isu ini ;

Peristiwa penyerahan sempadan seperti ini dak pernah berlaku dalam sejarah moden negara. Peristiwa penyerahan pulau dan wilayah hanya berlaku sewaktu zaman penjajahan dulu kala dan telah menjadi lipatan sejarah. Kenapa ia diulangi lagi seperti kita sudah berdaulat?

Tindakan mengeluarkan sempadan negara, kemudian mengeluarkannya tanpa mengikut tatacara berperlembagaan dan bersifat unilateral dari Kerajaan Pusat, akan mengakibatkan terlalu banyak implikasi kepada negara kita. Satu darinya ialah integriti dan kedudukan Petronas sendiri sebagai badan multinasional yang terpaksa membatalkan kontraknya dengan pihak lain yang akan menunjukkan kontrak-kontrak dengan Petronas adalah tidak terjamin sekaligus akan melemahkan Petronas.

Selepas satu tempoh yang memuaskan berlalu tanpa sebarang tindakan seperti yang saya cadangkan di atas, saya mencadangkan sebilangan rakyat Malaysia memfailkan saman awam warga negara Malaysia (citizen civil suit) ke atas Kerajaan Malaysia untuk mendapatkan pengisytiharan penyerahan ini adalah tidak sah dan bertentangan dengan kehendak Artikel 2 Perlembagaan Persekutuan seperti yang saya sebutkan.

Saya berharap ahli-ahli Parlimen, para peguam, NGO, dan orang perseorangan termasuk dari Sabah dan Sarawak, boleh bersama saya nanti memfailkan kes ini di mahkamah.

Saya juga akan menulis surat kepada semua ADUN Sabah dan Sarawak untuk mencadangkan kepada mereka agar menyatakan pendirian mereka dalam isu ini dan memanggil satu sidang DUN khas untuk membahaskan isu ini.

Sesiapa yang berasakan bertanggungjawab ke atas keputusan-keputusan sewenang-wenangnya menggadai wilayah negara ini, boleh menghubungi saya atau pembantu saya menerusi alamat emel gadailautmalaysia@gmail.com.


YB Dato’ Haji Husam Haji Musa
20 Jamadilawal 1431
5 Mei 2010

Monday, May 03, 2010

Menteri Mempelam Serahkan Sabah dan Limbang

PM sifatkan penyerahan sempadan bersama dua medan minyak Blok L (Lah?) dan M (Mahathir?) kepada Brunei sebagai win-win.

Rais Yatim selaku Menteri Luar, ketika mengulas gagalnya Malaysia di Mahkamah Antarabangsa dalam mempertahankan kedaulatan ke atas Pulau Batu Putih dulu juga sebagai 'win-win'.

Najib pula selaku TPM waktu itu, ketika diminta mengulas kekalahan Malaysia itu menyebut: "Keputusan hari ini menunjukkan kita berjaya di dalam separuh daripada tuntutan kita, manakala separuh kita adalah gagal. Ada juga yang melihat keputusan hari ini sebagai 'win-win situation," katanya.

Kita menang separuh - gagal separuh! Ikut logik Najib kita kalah dan sedia menerima kekalahan itu sebagai win-win.

17 November 2008, Singapura pula telah menganugerahkan darjah negara tertinggi Singapura kepada pasukan mereka di ICJ - merayakan kejayaan yang dikira sangat penting dan strategik itu.

Chief Justice Chan Sek Keong; Tommy Koh, Ambassador-at-Large; and Justice Chao Hick Tin, Peguam Negara Singapura telah mendapat anugerah Darjah Utama Temasek, Darjah Utama Nila Utama, Darjah Utama Bakti Cemerlang . Semua anggota yang lain juga turut dikurniakan anugerah.

Pada 4 November 2008, ekoran kemenangan ke atas Batu Putih, Lee Kuan Yew ketika berucap di Singapore Energy Conference menyebut Singapura akan menambak perairan sekitar pulau itu dan akan mendirikan loji janakuasa nuklear. Begitulah kesan kalahnya tuntutan kita walaupun yang dipertikaikan hanya sebuah batu timbul yang kecil! Apa lagi sebuah kawasan laut yang luas.

Turut menganggotai pasukan Singapura ialah Timbalan Perdana Menteri mereka. Mereka serius dan bersungguh-sungguh dan tidak hairanlah mereka berjaya.

Kita cuai sejak ratusan tahun lalu lagi.

Satu dari sebab mengapa ICJ memberikan kemenangan kepada Singapura ialah surat dari Pemangku Setiausaha Kerajaan Johor pada tahun 1953 bahawa Johor tidak menuntut kedaulatan ke atas pulau itu. Sementara itu, peta Malaysia yang kita keluarkan sendiri antara tahun 1960an hingga 1970 an meletakkan pulau ini di luar wilayah Malaysia. Hanya pada tahun 1979, kita mengeluarkan peta baru untuk memasukan semula pulau batu putih.

Pada waktu British dan Singapura meneruskan pelbagai aktiviti mereka di pulau ini, Kerajaan Johor tidak mengambil sebarang langkah untuk menunjukkan pulau ini adalah milik kita atau membantah aktiviti-aktiviti itu.

Namun, dalam kes Pulau Batu Putih, kita berjuang sampai akhir walaupun keluasannya tak sampai sebesar padang bola dan tidak timbul akan berlaku sebarang bergolakan antara dua negara berjiran. Bahkan, selepas keputusan ICJ itu kedua negara bersetuju menghormati keputusan itu.

Dalam kes sempadan laut kita dengan Brunei, saya yakin ia tidak akan menganggu hubungan Malaysia - Brunei kiranya kita berjuang sampai muktamad menurut saluran sedia ada.

Jika kita katakan kita terpaksa mengikut kehendak UNCLOS 1982, mengapa sehingga 2003 kita masih menandatangani perjanjian pengeluaran minyak di kawasan ini dengan Murphy Oil? 19 tahun selepas UNCLOS?

Mengapa secara tiba-tiba kita merasakan kita tidak mempunyai hak yang sah ke atas kawasan ini? Apa dokumen dan temuan yang menunjukkan kita tidak lagi berhak ke atasnya?

Sanggupkah kerajaan mendedahkan dokumen itu untuk disemak oleh rakyat awam pada bila-bila masa?

Jika kerajaan mempunyai hujah yang kuat untuk menyokong keputusan yang merugikan itu, apa perlu bimbang untuk rakyat menelitinya? Sekurang-kurangnya ia dibentangkan di Parlimen dan sekarang, Dewan Negara masih bersidang dan kerajaan boleh berbuat demikian sekarang juga.

Tak bolehkah PM ke Dewan Negara dan jelaskan di situ?

Ketika kita menerima berita mengenai kekalahan kita ke atas Batu Putih dulu, anggota kerajaan sendiri menunjukkan reaksi kecewa yang berbagai-bagai. Ada yang cadangkan kita segera bangunkan Pulau Pisang sebelum Singapura menuntutnya pula di kemudian hari. Di Pulau milik Johor ini juga terdapat rumah api Singapura. MB Johor berjanji akan segera bangunkan Pulau Pisang sebagai destinasi eko pelancungan!

Hangat-hangat tahi ayam?

Utusan Malaysia pula pada 27 Mei 2008, beberapa hari selepas keputusan ICJ, telah menulis rencana khas bertajuk 'Pertahankan Wilayah'!

Apakah wilayah yang dimaksudkan itu hanyalah pulau-pulau kecil dan bukan sempadan laut yang luas?

Kita 'bergaduh' untuk mempertahankan pulau sebesar padang bola dan tidur lena ketika wilayah yang lebih luas terlepas bersekali dengan khazanahnya.

Lebih dahsyat lagi, sikap Menteri Luar kita ketika Pulau Batu Putih telah diputuskan menjadi milik Singapura, dalam satu interbiu beliau dengan seronoknya berkata;

Q: You described the ICJ judgment as a “win-win” situation for Malaysia and Singapore. But many criticised the way you deemed it as we lost the crux in contention – Batu Puteh.



"I still maintain my stand that we have half the victory, and half the failure. All are rocks anyway, there is no mempelam (mango) there, nothing, not even a blade of grass. But people like to rub it in. But let's face it. Malaysia did not lose all. Whoever says that, either he or she does not understand the international law result, or they are playing belukar politics."

Lihat! Sekadar batu - tak ada mempelam, tak ada rumput! Kita boleh lepaskan. Sekarang? 'All are sea waters anyway?'

Bagaimana pula dengan dua blok minyak yang kaya? Adakah mempelam lebih penting pada selera Rais berbanding minyak?

Kalau Menteri kita hanya Menteri Mempelam, jangan hairan satu hari Limbang dan Sabah juga akan kita serahkan.

Kedua-duanya adalah tuntutan Brunei dan Filipina sekian lama dan demi 'win-win' serantau seperti logik pemimpin kita, mudah bagi kita menyerahkan Sabah dan Limbang.

Kena 'bayarannya', semua kerja jadi.

Sunday, May 02, 2010

Dua Medan Minyak: Surat Terbuka Untuk Najib

YAB Perdana Menteri Malaysia

PENYERAHAN SEMPADAN LAUT MENGANDUNGI DUA MEDAN MINYAK BLOK L DAN M KEPADA BRUNEI DARUS SALAM - POHON PENJELASAN.


Saya yakin YAB sudah mengikuti laporan media mengenai isu sempadan perairan Malaysia yang telah diserahkan kepada Brunei - seperti kenyataan akhbar bekas Perdana Menteri pada Juma'at lalu.

Bersekali dengan penyerahan sempadan laut ini, dua medan minyak yang kaya yang dulunya milik negara kita, juga dengan sendirinya menjadi milik Kerajaan Brunei.

Dua blok minyak itu dulunya adalah milik Petronas dan Petronas telah pun menganugerahkan konsesi kawasan ini untuk pengeluaran kepada Petronas Carigali dan Murphy Oil sejak 2003 dan berkuatkuasa bulan April tahun ini, perjanjian konsesi berkenaan terpaksa ditamatkan.

Isu yang lebih besar dan memerlukan penjelasan awam yang segera dari Kerajaan pimpinan YAB ialah bagaimana Kabinet Malaysia pada 11 Februari 2009 boleh bersetuju dengan pelepasan kedaulatan Malaysia ke atas wilayah berkenaan.

Seperti disebutkan dalam kenyataan Tun Abdullah, ia adalah 'overlapping area'. Jika ianya 'overlapping area' sebagaimana kawasan-kawasan lain seperti JDA dan CAA, mengapa Malaysia dengan mudah melepaskannya? Jika kawasan lain tidak kita lepaskan kedaulatannya, mengapa yang ini kita lepaskan?

Adakah Malaysia tidak yakin bahawa kita mempunyai hak ke atas kawasan perairan ini dan adakah Malaysia telah mengkaji dengan teliti bahawa tuntutan kita ke atas kawasan ini memang tidak kukuh?

Jika kita tidak mempunyai hak ke atasnya sama sekali, bagaimana Brunei boleh mengizinkan kita terlibat sama dalam perkongsian pengeluaran bagi kedua-dua blok itu dalam tempoh empat puluh tahun?

Mengapa pula sebelum ini kita telah menandatangani perjanjian konsesi dengan Murphy Oil jika kita tidak yakin ia adalah milik kita?

Bukankah selama ini kawasan ini dalam perairan kita dan tiba-tiba kita tidak mempunyai asas yang kukuh untuk terus memilikinya?

2. Selepas keputusan Kabinet dibuat dan langkah menandatangani perjanjian dengan Brunei dilakukan pada 16 Mac 2009, mengapa rakyat Malaysia tidak dimaklumkan mengenai keputusan Kerajaan menyerahkan perairan bersekali dengan medan minyak itu?

Mengapa tidak juga ada penjelasan Parlimen dibuat?

Rakyat Malaysia hanya mendapat tahu kedudukan ini melalui kenyataan Murphy Oil kepada NYSE selepas konsensinya dibatalkan.

YAB sendiri tidak pernah berterus terang dengan keputusan ini dan tidak mengambil langkah menjelaskannya kepada umum sampai hari ini.

Mengapa ia harus disembunyikan jika fakta-fakta tuntutan tidak menyebelahi kita dan kita tidak mempunyai pilihan lain melainkan menyerahkan wilayah ini kepada Brunei?

Jika sebaliknya, iaitu kita sememangnya mempunyai fakta kukuh ke atas tuntutan ini dan penyerahan ini hanyalah kerana keputusan politik semata-mata, rakyat berhak untuk tahu apakah sebab politik mendesak sehingga keputusan seperti itu dibuat.

Adakah ia semata-mata untuk menyenangkan hati Perdana Menteri waktu itu dan seluruh Kabinet menerima keputusan ini walau pun ianya merugikan negara?

Jika sebiji pulau kecil sebesar Batu Putih kita perjuangkan hingga saluran terakhir, mengapa wilayah sebesar dan sekaya itu kita lepaskan sebegitu mudah?

Apakah asas-asas yang dterima untuk Kabinet memutuskan sedemikian?

3. Rakyat Malaysia juga berhak untuk tahu apakah tawaran gantian kepada Murphy Oil atau sebarang ganjaran atas penamatan konsensi berkenaan?


Sehingga satu kenyataan rasmi dikeluarkan oleh Kerajaan, isu ini sungguh memilukan kami rakyat Malaysia. Pilu bukan sahaja kerana hilangnya wilayah kita dengan sebegitu mudah, malah timbul keraguan terhadap tahap tanggungjawab pemimpin negara, bahkan tahap kemampuan mereka membuat keputusan untuk kepentingan negara dengan wajar dan tepat.

Terima kasih.

Husam Musa
2 Mei 2010.