Saturday, September 30, 2006

Kemenangan BN di Terengganu 2004 tak sah?

Pilihanraya umum 2004, menyaksikan undi yang dipungut oleh calon-calon BA di seluruh Terengganu hanya merosot sebanyak 9,103 undi.

Undi BA

1999 - 180,239 undi
2004 - 171,136 undi
beza - 9,103 undi

Jumlah kemorosotan ‘undi rakyat’ ini sangat kecil dan tidak memungkinkan UMNO/BN memerentah Terengganu.
Bagaimana UMNO boleh menang?

Selepas pilihanraya 1999, ada ‘pihak tertentu’ telah membawa masuk orang bukan Terengganu untuk mendaftar sebagai pengundi di Terengganu. Terengganu menyaksikan kenaikan peratus pengundi yang luar biasa dalam tempoh tiga tahun berkenaan, iaitu sebanyak 17.7% dan ini jauh melebihi purata kebangsaan.

Pengundi baru bertambah sebanyak 68,585 orang. Undi BA merosot sebanyak 9,103 undi tetapi undi BN meningkat sebanyak 93,249 undi berbanding 1999. Jika kita tolak 9,103 undi yang dulunya mengundi BA dan sekarang mengundi BN (93,249 tolak 9,103 = 84,146). Undi BN tidak termasuk pertambahan ‘undi rakyat’ sebanyak 9,103 undi tadi telah meningkat sebanyak 84,146 undi!

Angka ini melebihi angka pertambahan pengundi baru seramai 68,585 orang! Misteri ini tidak dapat dijawab walaupun mengambil kira pertambahan secara mendadak peratus keluar mengundi iaitu sebanyak 25.1% berbanding pilihanraya sebelumnya. Jika semua peratus keluar mengundi yang bertambah dilonggokkan untuk BN, iaitu seramai 11,279 undi, masih belum dapat menjawab bagaimana UMNO/BN mendapat pertambahan sebanyak 84,146 undi berkenaan.

Bukankah ini semua meninggalkan misteri yang perlu dijawab oleh SPR?

Apatah lagi, jika kita menyemak semula senarai pengundi di Terengganu berasaskan kod kad pengenalan, kita dapati seramai 70,602 orang pengundi adalah bukan dilahirkan di Terengganu tetapi mendaftar di Terengganu.

Adakah ini bermakna UMNO/BN menang di Terengganu dengan satu ‘operasi khas’ dan bukan dengan suara rakyat?

SPR harus menyahut cabaran semua pihak untuk memberikan jawapan pada isu-isu yang sangat penting ini. Abdullah selaku PM yang menjanjikan pentadbiran yang telus dan bersih mesti menjadikan system pilihanraya yang bersih sebagai agenda paling utama beliau.

UMNO Terengganu Kepanasan?

Daftar pemilih Terengganu diserapi hantu?

Lazimnya pemimpin UMNO menafikan daftar pemilih di Negara kita tidak bersih. Hanya mainan Pembangkang, kata mereka.

Namun kini, sudah dua hari berturut-turut akhbar Utusan melaporkan kenyataan pimpinan UMNO Terengganu mengenai daftar pemilih di Terengganu sudah diganggu oleh ‘makhluk halus’.

Hari ini, Idris Jusoh sendiri membuat kenyataan. Katanya, UMNO Terengganu akan membuat bantahan secepat mungkin pada SPR.

Isunya, terdapat 10 peti undi dalam DUN Rhu Rendang mengandungi 300 orang pengundi hantu.

Ini sudah bagus. SPR harus bertindak. Pengundi hantu harus dinyahkan. Daftar pemilih mesti bersih, diyakini dan bebas dari manipulasi.

Nampaknya UMNO Terengganu sudah mula faham isu yang dibawa oleh Pembangkang selama ini. Hanya selepas adanya hantu dari pihak yang tidak dapat mereka kawal, baru mereka tahu bahaya fenomena pengundi hantu…..

Friday, September 29, 2006

Pilihanraya di Ambang Pintu……….(1)

Pilihanraya di Ambang Pintu……….(1)

Sah!! Pilihanraya Umum sebelum berakhir 2007. UMNO tangguhkan pemilihan parti sehingga pilihanraya berakhir.

Sesiapa dalam UMNO yang mahu melihat Abdullah berundur melalui saluran proses pemilihan parti, perlu tentukan BN kehilangan banyak kerusi dalam pilihanraya ke 12 nanti. Jika BN menang besar sekali lagi, kerana proses pilihanraya Negara kita yang berat sebelah dan boleh diselewengkan, ia akan mengukuhkan kedudukan Abdullah selepas pilihanraya. Pengkritik beliau dalam parti harus mendiamkan diri pada waktu itu.

Pilihan tinggal satu. Pastikan BN, terutama UMNO hilang sebanyak kerusi yang boleh. Kecuali, Abdullah boleh diturunkan sebagai Perdana Menteri dengan cara yang lain, sebelum pilihanraya.

Pilihanraya Di Ambang Pintu…..(2)

Pilihanraya sudah pasti amat hampir. Kekecewaan pembangkang dalam PRU 11 mungkin berulang, kecuali semua pihak bersatu menuntut pembaharuan pilihanraya yang total. Jika tidak, kita telah menempah kekalahan kita.

Dalam pilihanraya yang lalu, penyelewengan pilihanraya dilakukan dengan sewenang-wenangnya.

Di Selangor saja, seramai 233,950 pengundi tidak dapat mengundi kerana ketiadaan saluran mengundi – seperti terdapat dalam laporan yang disediakan oleh Parti Keadilan Rakyat bertajuk Sham Democracy.

Jika seramai itu pengundi tidak dapat mengundi kerana sistem yang diatur sedemikian rupa, tidakkah mungkin angka ini akan menjadi berlipat kali ganda dan akan berlaku di semua negeri dalam pilihanraya akan datang, dek kreativiti SPR di bawah Abdullah??? Jawapannya, UMNO dan BN akan menang besar sekalipun rakyat tidak sukakan mereka.

Kecuali Pembangkang bersatu, dan pembangkang menjadikan agenda pembaharuan pilihanraya di Malaysia satu reality……

Tarikh Pemilihan UMNO boleh ditentu lebih awal, mengapa tidak tarikh Pilihanraya Umum?

Jika UMNO boleh menentukan tarikh pemilihan dalam parti mereka lebih awal dan boleh berpindah randah hanya kerana hendak mempastikan UMNO bertikaman selepas menang pilihanraya dan Presidennya dapat menentukan senarai calon yang akan membantunya kekal sebagai Presiden selepas itu, mengapa tidak, tarikh pilihanraya juga ditetapkan lebih awal. Tidak perlu teka teki tarikh pilihanraya.

Tentukan enam bulan lebih awal. Semua pihak akan mempunyai level playing field. Ia lebih baik untuk rakyat walaupun mungkin tidak baik untuk UMNO.

Dinar: Awang Adek vs Awang Adek

Khamis, 28 Sep 2006, Utusan Malaysia memetik komen Dr. Awang Adek, Timbalan Menteri Kewangan Malaysia tentang dinar emas Kelantan. Kata beliau, dinar emas lebih tidak stabil dari wang kertas. Lantaran itu, risiko pembeli lebih besar dan pelancarannya oleh Kerajaan Kelantan hanya satu gimmik politik.

Tiga tahun lalu, semasa menjadi Pengerusi Royal Mint yang mencetak kepingan dinar yang mempunyai cirri-ciri yang sama, Dr. Awang mempunyai fikiran yang lain sama sekali. Bacakan petikan-petikan di bawah, yang boleh dilayari dalam laman-laman web, termasuk utusan online;

"This is an important first step. We have talked about Dinar for a long time in this country, and this is one way to concretise it," said the chairman of The Royal Mint Exchange Datuk Dr Awang Adek Hussin.

Royal Mint Exchange Sdn Bhd chairman Datuk Dr Awang Adek Hussin said purchasing the Dinar was an effective mode of savings as the value of gold was much more stable compared to currencies.

He said the introduction of Dinar provided an alternative mode of investment for the public who would normally place savings in banks or purchase property or land.

Mana satu gimmik politik? Kecelaruan berfikir nampaknya ciri utama barisan pimpinan Negara kita, terutama kebelakangan ini. Sekali begini, sekali begitu. Lalu, di mana kejujuran mereka?

Ahlan wa sahlan....

Selamat bertemu. Dengan nama Allah, Maha Pemurah, Maha Pengasih, Maha Bijaksana, Maha Mengatur, saya mulakan bicara-hati ini, sempena Ramadhan yang mulia.

Nabi Muhammad s.a.w ada menyebut, maksudnya lebih kurang “jika anda merasa ragu tentang sesuatu, tanyalah hati anda…..”


Fokus utama saya nanti, pembaharuan system pilihanraya Negara kita.

Pilihanraya yang bebas, betul dan adil, amat penting untuk kelangsungan kestabilan politik dan social Negara kita. Jika tidak, penguasa bobrok akan terus mendapat kuasa melanjutkan korupsi mereka, pilihanraya demi pilihanraya, menunggang system pilihanraya yang tempang, berat sebelah dan tidak adil.

Penguasa korup, akan melahirkan system hidup yang tempang pula, pendidikan, ekonomi, social, perundangan, atau apa sahaja.

Penguasaan tiran bertopengkan demokrasi BN, sesuatu yang boleh dicabar. Asal sahaja ada kesedaran dan kesedaran bermula dengan maklumat. Maklumat yang benar dan terkini amat penting tetapi dalam system Negara kita, tentu sahaja ruang untuk itu cuba ditutup serapat mungkin. Apa saja media Alternatif menjadi amat mendesak. Amat mendesak.

Husam Musa
Juma’at, 29 September 2006
Ramadhan, 6, 1427