Wednesday, July 18, 2007

Jambatan Kedua Pulalu Pinang: Jangan Rugikan Rakyat sekali Lagi


Kenyataan Media YB Husam Musa,Naib Presiden PAS Merangkap Pengerusi
Lajnah Ekonomi dan Pembangunan Usahawan
Parti Islam Malaysia (PAS)


19 Julai 2007

JAMBATAN KEDUA PULAU PINANG
Jangan Ulangi Kesilapan PLUS

Parti Islam Malaysia (PAS) bimbang akan berlaku peningkatan kos berlipat kali ganda di dalam pembinaan Jambatan Kedua Pulau Pinang oleh Konsortium UEM Group Bhd dan China Harbour Engineering Company (CHEC) sebagaimana yang pernah berlaku apabila UEM Bhd membina Projek Lebuhraya Utara Selatan (PLUS).

Sehingga hari ini, UEM Bhd telah membuat beberapa kenyataan yang menunjukkan akan berlaku peningkatan kos kerana komitmen pembinaan jambatan di buat sebelum perancangannya selesai.

PAS ingin mengingatkan Kementerian Kewangan bahawa rakyat belum lupa bagaimana kos pembinaan PLUS yang dibajet sebanyak RM3.5 billion akhirnya melambung naik menjadi RM6.8 billion. Peningkatan kos sebanyak 94% tersebut seolah-olah menunjukkan pembinaan PLUS langsung tidak di awasi oleh jurutera dan jurukur bahan. Walhal, Propel yang merupakan Pengurus Projek yang dilantik untuk mengawasi pembinaan PLUS menggaji kepakaran kejuruteraan luar negara dan dalam negeri.

Walaupun kerajaan Malaysia telah menandatangani pinjaman sebanyak RM2.6 billion daripada Exim Bank of China untuk menampung kos pembinaan jambatan dan konsortium UEM Construction dan CHEC telah dilantik sebagai kontraktor, Kementerian Kewangan masih gagal mengumumkan bajet bagi menyiapkan pembinaan jambatan tersebut. Bajet yang masih lagi ‘open-ended’ sedangkan komitmen pinjaman dan pelantikan kontraktor sudah dibuat akan menyebabkan rakyat menanggung beban kadar bayaran tol yang tinggi apabila jambatan siap untuk digunakan.

Kebimbangan PAS akan berulangnya peningkatan kos dan ‘kebocoran’ yang akan ditanggung oleh rakyat berpunca daripada :-

1. Bajet bagi kos pembinaan jambatan belum di putuskan. UEM Group mengumumkan kos pembinaan belum ditetapkan kerana rekaan penuh jambatan masih belum di siapkan.
2. UEM Group seolah-olah sudah membuat persiapan untuk menampung ‘kebocoran’ apabila kerja-kerja awalan bawah tanah seperti menanam cerucuk, menggerudi dan membersihkan kawasan di lakukan oleh UEM sendiri dan tidak oleh Konsorium Kontraktor yang dilantik. Amalan menampung kos ‘bocor’ melalui kerja-kerja bawah tanah merupakan strategi yang diwarisi UEM semasa membina PLUS dahulu.
3. Tekanan dari pihak China untuk memiliki 51% kepentingan didalam kerja pembinaan kerana pinjaman RM 2.6 billion yang diberi oleh bank China. Memandangkan bajet pembinaan belum ditentukan, ini membuka ruang bagi syarikat China untuk memaksa kos pembinaan yang tinggi.UEM Construction pula merupakan anak syarikat UEM Builders, sebuah syarikat senaraian awam di Bursa Malaysia memang dahagakan keuntungan besar untuk menampung kerugian hampir RM 650 juta di dalam projek pembinaan lebuhraya di Qatar.

Perancangan pembinaan Jambatan Kedua Pulau Pinang ini mengulangi skrip perlaksanaan projek mega zaman lalu.Jaminan Perdana Menteri,Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk mewujudkan pentadbiran yang telus dan bertanggungjawab terus mengecewakan.PAS menuntut supaya bajet pembinaan diumumkan segera supaya rakyat dapat menilai samada jambatan dibina dengan kos yangt munasabah.Sementara bajet tersebut dapat disiapkan segala komitmen perbelanjaan mestilah dihentikan.

Sekian, Terima Kasih.

Husam Musa
Naib Presiden PAS,
Merangkap Pengerusi Lajnah Ekonomi dan Pembangunan Usahawan, PAS Pusat.

No comments: