Sunday, July 29, 2007

'MONYET' DI LAMAN WEB PM - MAT TAIB AKAN BUAT LAPORAN POLIS??

Monyet? Kurang manis bahasa itu. Tetapi itulah yang diungkapkan oleh Khairy Jamaluddin mengenai bloggers.

Semua bloggers tentunya telah terbaca kenyataan Khairy Jamaluddin, hari ini, mengenai bloggers;


TINDAKAN undang-undang perlu diambil ke atas penulis blog yang menyebarkan laporan berbentuk fitnah di laman blog mereka, kata Naib Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin. Katanya penulis blog sebegitu tidak pernah memikirkan sensitiviti orang lain.

"Tidak ada undang-undang di alam siber kecuali undang-undang rimba. Jadi tindakan harus diambil supaya 'monyet-monyet' lain takut dan mengambil iktibar daripadanya," katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat perwakilan Pemuda Umno bahagian Papar, Kimanis dan Sipitang di sini hari ini.


Bahasanya kurang manis. Monyet. Melanjutkan logik dan istilah Khairy, elok kita bertanya : Bagaimana pula dengan 'monyet' yang bergayut di laman web rasmi Perdana Menteri? Sudahkah Khairy menemui mereka?

Penulis James Wong menarik perhatian kita terhadap satu tulisan berbau perkauman yang disiarkan di laman web rasmi Perdana Menteri sejak November 2005.

Kata pendahuluan bagi laman ini berbunyi seperti berikut;

Pejabat Perdana Menteri menyediakan laman ini untuk anda menyampaikan ucapan Takziah kepada YAB Perdana Menteri di atas kembalinya Allahyarhamah YABhg. Datin Seri Endon Mahmood ke Rahmatullah pada 20 Oktober 2005.

Muka depan laman ini menyiarkan satu rencana panjang dari seorang penulis bernama Dr. Ng Seng, bertajuk 'Bersatulah Kaum Cina.'

Antara petikan rencana itu ialah;

Kita semua kaum Cina di mana sahaja kita berada mestilah berbangga dengan bangsa kita, samada Cina Amerika, Cina Singapura, Cina , Taiwan dan Cina Malaysia. Kita mestilah mengekalkan identiti kita.


Sebagai orang Cina tulin, saya juga berbangga dengan cara yang dilakukan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang untuk memecah belahkan orang-orang Melayu di sana. Beliau telah berjaya mengambil tanah-tanah orang-orang Melayu dan memajukannya sebagai kawasan perumahan dan perindustrian (dalam geran ada nyatakan 30% jenis pekerjaan sekurangnya mestilah dari orang Melayu tapi mereka beri jawatan seperti pengawal keselamatan dan operator sahaja, jawatan penting dan teknikal yg bergaji, RM3 ribu keatas semua dari Orang Cina kecuali melayu yang ada kepentingan bagi mereka itupun seorang dua saje). Oleh kerana harga rumah-rumah itu terlalu tinggi bagi orang Melayu, mereka tiada keupayaan langsung untuk memiliki rumah-rumah tersebut.


Kita sekarang telah banyak di Pulau Pinang dan ini markas kita , kita mesti kerjasama dgn orang kita di Singapura, supaya satu hari Pulau pinang boleh jadi milik kita secara yang tak disedari, banyak anak-anak didik kita telah diserapkan dalam kerajaan Tempatan, walaupun dalam kerajaan negeri maseh dimonopoli oleh orang Melayu.



Di muka lain, laman yang sama, tersiar komen berikut;

JAGJIVAN RAM
Sat 29 Oct 2005, 13:49 by JAGJIVAN RAM
TAKZIAH: Pak Lah in-law involved with bribery in Iraq. Malaysia needs help to clear its name as the biggest bribe-giver related to the UN Oil-for-Food programme in Iraq. Mastek Sdn Bhd and the duo related to the company, namely Faek Ahmad Shareef and Noor Asiah Dato' Mahmood (Endon Mahmood sister ?). Mastek Sdn Bhd with the following information: Senior Executive: MRS. NOOR ASIAH DATO` MAHMOOD (President/Director) Address: SUITE 3 & 3A, LEVEL 2, BLOCK 3B, PLAZA SENTRAL, JLN. STESEN SENTRAL 5, KUALA LUMPUR SENTRAL, 50470 KUALA LUMPUR Tel: 03 - 22748008 Fax: 03 - 22739008 Incorporation Date: 21 Sep 1979 ROC No: 50717A Matrade Registration No: 3383 Business Activities: Crude Oil and Petrochemicals & Sawn Timber

Tulisan ini mengaitkan skandal rasuah Oil-for-food dan nampaknya Perdana Menteri kita bermurah hati membiarkan komen ini tersiar di situ sejak kematian Allahyarham Endon.

Tulisan Dr. Ng Seng ternyata amat perkauman bentuknya. Macammana tulisan seperti ini dibiarkan tergantung di laman web Perdana Menteri sendiri sekian lama?

Jika Ketua Penerangan UMNO Malaysia terbaca artikel ini, adakah beliau akan membuat laporan polis ke atas Perdana Menteri kerana menyiarkan tulisan berbau perkauman di laman rasmi Perdana Menteri?

Perdana Menteri sudah tentu tidak menulis rencana ini. Beliau juga tidak mengendalikan laman tersebut. Beliau tidak bertanggungjawab pun terhadap penyiaran rencana ini.

Kerana itu beliau tidak harus diambil tindakan. Tetapi mengapa pula tindakan perlu diambil ke atas blogger lain kerana ada komen liar, mungkin dari cyber troopers yang telah diupah khas untuk menyucuk masuk komen seperti itu ke dalam mana-mana blog untuk tujuan jahat mereka sendiri?

Pada masa yang sama, sejumlah pegawai di Jabatan Perdana Menteri gagal menyemak apa-apa yang tersiar di laman rasmi bos mereka? Bagaimana itu boleh berlaku?

Khairy sendiri tidak tersilau laman rasmi Mertua beliau?

Semoga ini menyedarkan Perdana Menteri dan juak-juak beliau yang sedang bersiap menyerang blogger, supaya berfikir lebih waras dan matang. Dunia cyber memerlukan paradigma baru.

1 comment:

Anonymous said...

weblog husam musa ni siapa yg punya?husam musa sendiri or orang lain?