Sunday, July 29, 2007

'MONYET' DI LAMAN WEB PM - MAT TAIB AKAN BUAT LAPORAN POLIS??

Monyet? Kurang manis bahasa itu. Tetapi itulah yang diungkapkan oleh Khairy Jamaluddin mengenai bloggers.

Semua bloggers tentunya telah terbaca kenyataan Khairy Jamaluddin, hari ini, mengenai bloggers;


TINDAKAN undang-undang perlu diambil ke atas penulis blog yang menyebarkan laporan berbentuk fitnah di laman blog mereka, kata Naib Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin. Katanya penulis blog sebegitu tidak pernah memikirkan sensitiviti orang lain.

"Tidak ada undang-undang di alam siber kecuali undang-undang rimba. Jadi tindakan harus diambil supaya 'monyet-monyet' lain takut dan mengambil iktibar daripadanya," katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat perwakilan Pemuda Umno bahagian Papar, Kimanis dan Sipitang di sini hari ini.


Bahasanya kurang manis. Monyet. Melanjutkan logik dan istilah Khairy, elok kita bertanya : Bagaimana pula dengan 'monyet' yang bergayut di laman web rasmi Perdana Menteri? Sudahkah Khairy menemui mereka?

Penulis James Wong menarik perhatian kita terhadap satu tulisan berbau perkauman yang disiarkan di laman web rasmi Perdana Menteri sejak November 2005.

Kata pendahuluan bagi laman ini berbunyi seperti berikut;

Pejabat Perdana Menteri menyediakan laman ini untuk anda menyampaikan ucapan Takziah kepada YAB Perdana Menteri di atas kembalinya Allahyarhamah YABhg. Datin Seri Endon Mahmood ke Rahmatullah pada 20 Oktober 2005.

Muka depan laman ini menyiarkan satu rencana panjang dari seorang penulis bernama Dr. Ng Seng, bertajuk 'Bersatulah Kaum Cina.'

Antara petikan rencana itu ialah;

Kita semua kaum Cina di mana sahaja kita berada mestilah berbangga dengan bangsa kita, samada Cina Amerika, Cina Singapura, Cina , Taiwan dan Cina Malaysia. Kita mestilah mengekalkan identiti kita.


Sebagai orang Cina tulin, saya juga berbangga dengan cara yang dilakukan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang untuk memecah belahkan orang-orang Melayu di sana. Beliau telah berjaya mengambil tanah-tanah orang-orang Melayu dan memajukannya sebagai kawasan perumahan dan perindustrian (dalam geran ada nyatakan 30% jenis pekerjaan sekurangnya mestilah dari orang Melayu tapi mereka beri jawatan seperti pengawal keselamatan dan operator sahaja, jawatan penting dan teknikal yg bergaji, RM3 ribu keatas semua dari Orang Cina kecuali melayu yang ada kepentingan bagi mereka itupun seorang dua saje). Oleh kerana harga rumah-rumah itu terlalu tinggi bagi orang Melayu, mereka tiada keupayaan langsung untuk memiliki rumah-rumah tersebut.


Kita sekarang telah banyak di Pulau Pinang dan ini markas kita , kita mesti kerjasama dgn orang kita di Singapura, supaya satu hari Pulau pinang boleh jadi milik kita secara yang tak disedari, banyak anak-anak didik kita telah diserapkan dalam kerajaan Tempatan, walaupun dalam kerajaan negeri maseh dimonopoli oleh orang Melayu.



Di muka lain, laman yang sama, tersiar komen berikut;

JAGJIVAN RAM
Sat 29 Oct 2005, 13:49 by JAGJIVAN RAM
TAKZIAH: Pak Lah in-law involved with bribery in Iraq. Malaysia needs help to clear its name as the biggest bribe-giver related to the UN Oil-for-Food programme in Iraq. Mastek Sdn Bhd and the duo related to the company, namely Faek Ahmad Shareef and Noor Asiah Dato' Mahmood (Endon Mahmood sister ?). Mastek Sdn Bhd with the following information: Senior Executive: MRS. NOOR ASIAH DATO` MAHMOOD (President/Director) Address: SUITE 3 & 3A, LEVEL 2, BLOCK 3B, PLAZA SENTRAL, JLN. STESEN SENTRAL 5, KUALA LUMPUR SENTRAL, 50470 KUALA LUMPUR Tel: 03 - 22748008 Fax: 03 - 22739008 Incorporation Date: 21 Sep 1979 ROC No: 50717A Matrade Registration No: 3383 Business Activities: Crude Oil and Petrochemicals & Sawn Timber

Tulisan ini mengaitkan skandal rasuah Oil-for-food dan nampaknya Perdana Menteri kita bermurah hati membiarkan komen ini tersiar di situ sejak kematian Allahyarham Endon.

Tulisan Dr. Ng Seng ternyata amat perkauman bentuknya. Macammana tulisan seperti ini dibiarkan tergantung di laman web Perdana Menteri sendiri sekian lama?

Jika Ketua Penerangan UMNO Malaysia terbaca artikel ini, adakah beliau akan membuat laporan polis ke atas Perdana Menteri kerana menyiarkan tulisan berbau perkauman di laman rasmi Perdana Menteri?

Perdana Menteri sudah tentu tidak menulis rencana ini. Beliau juga tidak mengendalikan laman tersebut. Beliau tidak bertanggungjawab pun terhadap penyiaran rencana ini.

Kerana itu beliau tidak harus diambil tindakan. Tetapi mengapa pula tindakan perlu diambil ke atas blogger lain kerana ada komen liar, mungkin dari cyber troopers yang telah diupah khas untuk menyucuk masuk komen seperti itu ke dalam mana-mana blog untuk tujuan jahat mereka sendiri?

Pada masa yang sama, sejumlah pegawai di Jabatan Perdana Menteri gagal menyemak apa-apa yang tersiar di laman rasmi bos mereka? Bagaimana itu boleh berlaku?

Khairy sendiri tidak tersilau laman rasmi Mertua beliau?

Semoga ini menyedarkan Perdana Menteri dan juak-juak beliau yang sedang bersiap menyerang blogger, supaya berfikir lebih waras dan matang. Dunia cyber memerlukan paradigma baru.

Friday, July 27, 2007

BEKERJA BERSAMA PAK LAH, CUTI SENDIRI-SENDIRI

Perdana Menteri kita dilaporkan telah kembali ke tanah air selepas bercuti sepuluh hari di Australia.

Sedikit masa lalu, Abdullah mengajak rakyat negara ini bekerja bersama beliau. Rakyat Malaysia hanya ada peluang bekerja bersama PM tetapi tidak cuti bersama.

Mengikut jawapan di Dewan Rakyat, PM kita telah melakukan lawatan rasmi sebanyak 84 kali sejak beliau menjadi Perdana Menteri. Kita juga tak ada peluang melawat ke luar negara bersama PM. Yang ada ialah, bekerja bersama PM.

Apa hasil lawatan itu, kurang pasti. Selain lawatan rasmi, PM juga telah beberapa kali bercuti.

Kata setengah orang, cuti terakhir PM ini cuti berisi. Apa isi cuti sepuluh hari ini, ada banyak telahan.

Satunya, persiapan pilihanraya. Ogos semakin hampir. Bulan ini adalah antara bulan diramalkan kemungkinan berlakunya pilihanraya.

Majlis Tertinggi BN bertemu minggu lalu. Tetapi diberitakan, pemimpin BN diberitahu bahawa plihanraya hanya akan diadakan awal tahun hadapan.

Sama-samalah kita tunggu samada Ogos akan menjadi bulan pilihanraya atau tidak.

Jika cuti PM terakhir ini bukan untuk persiapan pilihanraya terdekat, apa yang menjadi isi cuti PM?

Setengah memberi info, PM bersiap menangani kritikan dan isu-isu besar yang telah meruntuhkan kredibiliti kerajaan beliau akhir-akhir ini.

Sejauh mana benar, tidak dapat dipastikan. Tetapi, kata sumber ini, PM pulang dengan arahan menghalang laluan ke laman-laman blog berpengaruh. Kedua, memulakan Ops Lalang III.

Saya berdoa, kedua maklumat ini tidak betul. Niche Abdullah ialah lembut dan berbeza dari rejim Tun Dr. Mahathir. Itu sahaja lagi niche utama yang menunjukkan beliau mempunyai kelebihan. Tidak mungkin Abdullah ingin memperjudikan sedikit sangka baik yang masih ada.

Namun, menjelang kepulangan PM, Peguam Negara telah mengumumkan dua penemuan besar - yang boleh diklaskan sebagai permulaan tindakan untuk mengatasi isu-isu besar yang telah menggerhanakan imej Kerajaan Bersih yang ditaja oleh PM.

Ketua Polis Negara dan Bekas Ketua Pengarah BPR - tidak melakukan kesalahan seperti dituduh. PM dengan itu benar dalam tindakannya melantik semula Musa Hasan dan sebelum ini, menyambung kontrak bekas Ketua Pengarah BPR.

Ia semacam satu pengumuman yang telah diatur untuk menyambut kepulangan PM.

Ia mungkin permulaan kempen menangani isu-isu besar dan kritikan yang semakin merebak.

Samada ia akan berjaya menampilkan semula imej kerajaan yang meyakinkan selepas seribu satu macam petanda menunjukkan keadaan yang bercelaru sepanjang hampir empat tahun Abdullah sebagai Perdana Menteri, sama-sama lah kita saksikan.

TEKA TEKI RAIS

Tindakan mengejut, begitu tajuk The Star (Rais’ sudden pullout surprises Wisma Putra) tentang langkah Rais menarik diri sebagai calon Setiausaha Agung Commonwealth.

Mulanya telah bersetuju, tiba-tiba menarik diri. Tentunya ada sesuatu yang besar yang menyebabkan Rais menukar fikiran beliau. Sehingga Menteri Luar kita, dalam laporan Utusan menyebut:

" ... mana nak letak muka.."

‘‘Baru-baru ini saya adakan majlis makan tengah hari dan menjemput semua duta. Saya memberitahunya (Rais sedia bertanding), mana saya hendak letak muka.’’

‘‘Macam mana, kita malulah. Pasal Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sudah tulis surat, saya sudah tulis surat (kepada Setiausaha Agung Komanwel).

Rais nampaknya tidak hiraukan itu semua. Perdana Menteri malu tak malu, dia tak kisah. Syed Hamid tak ada tempat nak letak muka, dia tak peduli. Pejam mata, tarik diri.

Rasanya, Syed hamid akan tahu juga sebab Rais pusing belakang dan memalukan negara, sedikit masa lagi.

Laporan The Star menyebut, Rais tarik diri sebelum sempat maklumkan kepada rakan sekabinetnya Syed hamid;

“I am surprised because when I met him at the Cabinet meeting yesterday (Wednesday), we were discussing the programme in the run-up to the election, including giving him an opportunity to interact with some of the Commonwealth leaders who are coming to the Langkawi International Dialogue soon.

“There was no indication at all from him that he did not want to contest. I only came to know of the withdrawal from his media statement,” Syed Hamid said yesterday.

Rais terdesak. Kita kecundang sebelum berlawan.

Thursday, July 19, 2007

Najib Politikkan Islam Umpan Pilihanraya

Apa strategi Najib mengutarakan semula Negara Islamnya Malaysia?

Ingin memerangkap PAS dalam rangka menjauhkan pengundi Bukan Melayu menjelang pilihanraya?

Atau membuktikan beliau adalah Islamis dan dengan sendirinya menutup prasangka awam beliau sedikit sebanyak terlibat dengan Altantuya? Sekurang-kurangnya Najib mengenali Altantuya

Atau kedua-dunya sekaligus?.

Harapan Timbalan Perdana Menteri untuk keluar dari putaran isu Altantuya - dengan membawa satu isu yang terbuka kepada perdebatan yang boleh mengekalkan jarak pemisah kumpulan-kumpulan pengundi, kedua-duanya nampaknya gagal.

Malaysiakini melaporkan Kementerian Dalam Negeri segera mengeluarkan arahan supaya media utama tidak meneruskan polemik isu ini di dada akhbar mereka. Mereka telah mencium isu ini boleh mengHishamudinkan Najib seperti mana isu julangan keris sedikit masa lalu. Ia boleh memerangkap BN dengan kehilangan lebih banyak undi orang Cina yang sedia kritikal terhadap Kerajaan.

Ia perlu segera dibenteng.

Laporan Malaysiakini menyebut;

"The Internal Security Ministry has confirmed that they have given a directive to all mainstream media not to publish any news on the issue of Malaysia being an Islamic state."


Internal Security Ministry’s Publications Control and Al-Quran Texts Unit senior officer Che Din Yusof told malaysiakini that they are afraid that allowing such discussions would cause “tension”."


Arahan KDN ini dengan sendirinya menunjukkan mereka tidak yakin dengan strategi Najib. Strategi ini tidak dirangka bersama. TPM tidak mendapat kepercayaan KDN dalam isu ini. Secara senyap, kredibiliti Najib terjejas dengan arahan seperti itu.

Rakan UMNO dalam BN pula memberikan kenyataan bercanggah. Malaysia adalah negara sekular.

Juga laporan Malaysiakini, memetik kenyataan Setiausaha Agung MCA;

"Responding to Najib statement, MCA yesterday said that historical facts and documents showed that Malaysia was a secular state.

MCA Secretary General Ong Ka Chuan yesterday issued a statement stating that documents prepared by the British authorities before granting independence to Malaysia in 1957 clearly stipulated that “the members of the Alliance delegation...had no intention of creating a Muslim theocracy and that Malaya would be a secular state”.


Mana satu? Negara Islam atau Negara sekular?

Pandangan UMNO atau MCA yang menjadi pendirian BN?

Sebelum isu ini diperdebatkan di depan umum, BN sendiri perlu menyatakan pendirian rasmi mereka. Adakah kenyataan Najib adalah pendirian BN?

Jika itu pendirian BN, mengapa MCA membantah? Bagaimana pula pendirian Gerakan, MIC dan lain-lain?

Jika mereka secara terbuka juga membantah, di mana maruah dan kewibawaan Najib?

Adakah Najib salah perhitungan sekali lagi?

Usaha Najib mempolitikkan Islam kali ini memerangkap diri beliau dan juga UMNO. UMNO mesti selesaikan pertikaian UMNO - MCA dalam isu ini.

Inilah yang dipanggil mempolitikkan agama. Untuk pengundi Islam, Malaysia adalah Negara Islam. Untuk pengundi bukan Islam, Malaysia adalah negara sekular.

Matematik seperti ini tidak lagi berkesan.

Jika rasuah yang sudah hampir menjadi norma umum Kerajaan BN, jika satu demi satu pembesar hanya mampu disiasat untuk kemudian diisytiharkan orang-orang ini bersih, jika kepedulian kepada penderitaan rakyat kerana tekanan kehidupan yang tinggi pada hari ini sedikit pun tidak wujud, jika pemberian projek mega adalah sama dengan niat memberikan kekayaan kepada kroni terpilih dan negara akhirnya terbeban, dengan semakin merosotnya kebebasan menegur pemerentah, dengan keadilan berasaskan undang-undang tidak meyakinkan dan seribu satu kepincangan ekonomi, sosial, undang-undang dan governance seperti yang kita saksikan ini - cuba diselimutkan dengan istilah Negara Islam - ia hanya mencemarkan nama baik Islam itu sendiri.

Islam adalah suci. Prinsip-prinsip Islam membawa kebaikan kepada seluruh kehidupan. Islam menerima proses perbincangan dan diskusi. Dalam proses sosialisasi, Islam menerima konsep public acceptance dan bukannya paksaan sebelah pihak, sepertimana terbukti dengan Piagam Madinah.

Janganlah Najib cemarkan Islam dengan agenda politik pilihanraya.

Wednesday, July 18, 2007

Jambatan Kedua Pulalu Pinang: Jangan Rugikan Rakyat sekali Lagi


Kenyataan Media YB Husam Musa,Naib Presiden PAS Merangkap Pengerusi
Lajnah Ekonomi dan Pembangunan Usahawan
Parti Islam Malaysia (PAS)


19 Julai 2007

JAMBATAN KEDUA PULAU PINANG
Jangan Ulangi Kesilapan PLUS

Parti Islam Malaysia (PAS) bimbang akan berlaku peningkatan kos berlipat kali ganda di dalam pembinaan Jambatan Kedua Pulau Pinang oleh Konsortium UEM Group Bhd dan China Harbour Engineering Company (CHEC) sebagaimana yang pernah berlaku apabila UEM Bhd membina Projek Lebuhraya Utara Selatan (PLUS).

Sehingga hari ini, UEM Bhd telah membuat beberapa kenyataan yang menunjukkan akan berlaku peningkatan kos kerana komitmen pembinaan jambatan di buat sebelum perancangannya selesai.

PAS ingin mengingatkan Kementerian Kewangan bahawa rakyat belum lupa bagaimana kos pembinaan PLUS yang dibajet sebanyak RM3.5 billion akhirnya melambung naik menjadi RM6.8 billion. Peningkatan kos sebanyak 94% tersebut seolah-olah menunjukkan pembinaan PLUS langsung tidak di awasi oleh jurutera dan jurukur bahan. Walhal, Propel yang merupakan Pengurus Projek yang dilantik untuk mengawasi pembinaan PLUS menggaji kepakaran kejuruteraan luar negara dan dalam negeri.

Walaupun kerajaan Malaysia telah menandatangani pinjaman sebanyak RM2.6 billion daripada Exim Bank of China untuk menampung kos pembinaan jambatan dan konsortium UEM Construction dan CHEC telah dilantik sebagai kontraktor, Kementerian Kewangan masih gagal mengumumkan bajet bagi menyiapkan pembinaan jambatan tersebut. Bajet yang masih lagi ‘open-ended’ sedangkan komitmen pinjaman dan pelantikan kontraktor sudah dibuat akan menyebabkan rakyat menanggung beban kadar bayaran tol yang tinggi apabila jambatan siap untuk digunakan.

Kebimbangan PAS akan berulangnya peningkatan kos dan ‘kebocoran’ yang akan ditanggung oleh rakyat berpunca daripada :-

1. Bajet bagi kos pembinaan jambatan belum di putuskan. UEM Group mengumumkan kos pembinaan belum ditetapkan kerana rekaan penuh jambatan masih belum di siapkan.
2. UEM Group seolah-olah sudah membuat persiapan untuk menampung ‘kebocoran’ apabila kerja-kerja awalan bawah tanah seperti menanam cerucuk, menggerudi dan membersihkan kawasan di lakukan oleh UEM sendiri dan tidak oleh Konsorium Kontraktor yang dilantik. Amalan menampung kos ‘bocor’ melalui kerja-kerja bawah tanah merupakan strategi yang diwarisi UEM semasa membina PLUS dahulu.
3. Tekanan dari pihak China untuk memiliki 51% kepentingan didalam kerja pembinaan kerana pinjaman RM 2.6 billion yang diberi oleh bank China. Memandangkan bajet pembinaan belum ditentukan, ini membuka ruang bagi syarikat China untuk memaksa kos pembinaan yang tinggi.UEM Construction pula merupakan anak syarikat UEM Builders, sebuah syarikat senaraian awam di Bursa Malaysia memang dahagakan keuntungan besar untuk menampung kerugian hampir RM 650 juta di dalam projek pembinaan lebuhraya di Qatar.

Perancangan pembinaan Jambatan Kedua Pulau Pinang ini mengulangi skrip perlaksanaan projek mega zaman lalu.Jaminan Perdana Menteri,Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk mewujudkan pentadbiran yang telus dan bertanggungjawab terus mengecewakan.PAS menuntut supaya bajet pembinaan diumumkan segera supaya rakyat dapat menilai samada jambatan dibina dengan kos yangt munasabah.Sementara bajet tersebut dapat disiapkan segala komitmen perbelanjaan mestilah dihentikan.

Sekian, Terima Kasih.

Husam Musa
Naib Presiden PAS,
Merangkap Pengerusi Lajnah Ekonomi dan Pembangunan Usahawan, PAS Pusat.