Sunday, November 29, 2009

Ku Li, Petronas dan Rule of Law

Pelanggaran kontrak – kata YBM Tengku Razaleigh mengenai keengganan Petronas membayar 5% royalty terus kepada Kerajaan Negeri, dalam laman rasminya http://razaleigh.com/ hari ini.

Perjanjian itu dibuat dalam bahasa mudah - budak-budak sekolah juga boleh memahaminya, kata Ku Li.

Keengganan Petronas membayar bayaran langsung kepada Kerajaan Negeri boleh membawa implikasi kepada terbatalnya perjanjian: “It negates an agreement signed between the Kelantan Government and PETRONAS”

Satu dakwaan paling serius tapi credible - dari anggota Backbencher BN sendiri. Apa Najib nak kata?

JIka Najib dan Petronas gagal menyelami implikasi dakwaan ini, lebih banyak kesan buruk akan berlaku. Bukan sahaja isu hilangnya 'rule of law' yang sentiasa boleh menghakis kepercayaan masyarakat pelabur dan perdagangan terhadap negara kita, bahkan perakaunan juga.

Apa yang wajib mengikut undang-undang, jika tidak dilaksanakan adalah merupakan isu 'breach of trust' yang serius.

Lihat laporan kewangan Kerajaan Terengganu seperti dalam Laporan Jabatan Audit untuk Kerajaan Terengganu 2008 - sebagai bukti wang Negeri tak boleh dilarikan;

1. Terimaan Drp Kerajaan
Persekutuan (Dana Khas)

2004 2005 2006 2007 2008

150juta 1,015B 1,334B 1,000B 1,408B

Sumber: Penyata Kewangan Kerajaan Negeri Terengganu

Sekalipun Kerajaan Pusat mengumumkan bayaran royalti kepada Terengganu telah dibatalkan dan digantikan dengan wang ihsan bermula tahun 2000, namun sebahagian wang itu tetap terpaksa dibayar langsung kepada Akaun Kerajaan Ndegeri kerana itu adalah kehendak undang-undang, seperti tercatit di jadual di atas.

Perjanjian menghendaki wang itu dibayar kepada Negeri dan tidak boleh dibayar oleh Petronas kepada Kerajaan Pusat, apa yang menjadi milik negeri.

Masa untuk Kerajaan Pusat berdolak dalik sudah berlalu.

Hormati perjanjian, begitu nasihat Ku Li.

Komitmen Ku Li memulangkan hak rakyat dalam isu royalti, boleh merubah landskap politik negara ke arah pemulihan kedaulatan perundangan dan segala institusinya.

Wednesday, November 25, 2009

Arafah - hitung kami sebagai tamuMu

9 Zulhijjah – ‘himpunan di Padang Kebangkitan Semula’.

Haji adalah Arafah – kata Rasulullah. Arafah - padang berhamparan pasir beratapkan sinar mentari terik. Pakaian rasminya ‘kain kafan tak berjahit’, putih menyelimuti ‘mayat’ yang akan bangkit di hadapan Rabnya.

Pangkat, kedudukan, kekayaan, keturunan, telah ‘ditinggalkan’. Sebuah kehidupan baru akan bermula. Sebuah keputusan sedang ditunggu. Keampunan? Penerimaan?

Insan beruntung dibasahi tangisan penyesalan. Satu demi satu rantai noda dan dosa terbayang – diikuti keinsafan. Sedar akan kesalahan. Dosa sesama insan, umpat keji, caci maki, hasad dengki, adu domba, makar yang hina, fitnah dan dusta, perampokan maruah, harta atau apa saja, berat di atas pundak. Di depan api, mundur ke belakang semula tidak bisa lagi.

Dosa pada Ilahi, yang masih ingat, yang sudah terlupa, yang disedari, banyak pula yang tak disedari, yang baru, yang lama, yang kecil, yang besar – bakarlah semuanya di Arafah supaya di Mahsyar nanti tidak lagi digalas beban. Ampuni!
Menjadi tamu – hanya di padang pasir hangat ini? Mana pelayan? Mana kemewahan? Mana kebesaran? Padang gersang ini untuk tetamu Tuhan?

Ia sebuah refleksi. Masa depan yang tidak sesiapa pun dapat lari darinya. Hadapi realiti sebelum realiti tak dapat ditolak lagi!

Padang hangat membakar ego diri, kemegahan, keangguhan. Pedulilah pada hari yang berat, hisablah diri, bakarlah sifat permusuhan mu, keluarlah sebagai bayi suci yang dosanya telah dibakar hangus. Selamanya, Mahsyar ini akan berdiri dalam dirinya sampai ketemu Mahsyar sejati.

Ia sebuah persinggahan. Wukuf. Sedemikian jauh engkau berjalan dalam hidup mu, tersadai di persinggahan ini juga engkau?

Menuju destinasi Keampunan atau Kemurkaan. Penerimaan atau Penolakan. Ia sebuah persinggahan menuju destinasi.

RahmatMU jua kami pohon – jadikan hari ini hari pengampunan untuk kami, sekalipun kami hanya di sini. Sekalipun manusia lain enggan mempedulikan lintasan Kebesaran Hari WukufMu ini dalam kelalaian mereka.

Perhatikan juga sebahagian petikan Syarahan Perdana Junjungan Mulia dalam Hajinya yang terakhir, pesan untuk semua manusia;

"Wahai manusia! Dengarlah baik-baik apa yang hendak kukatakan. Aku tidak mengetahui apakah aku dapat bertemu lagi dengan kamu semua selepas tahun ini. Oleh itu, dengarlah dengan teliti kata-kataku ini dan sampaikanlah ia kepada orang-orang yang tidak dapat hadir disini pada hari ini.
Wahai manusia! Sepertimana engkau menganggap bulan ini, hari ini dan kota ini adalah suci, anggaplah jiwa dan harta setiap orang Muslim sebagai amanah suci.
Kembalikan harta yang diamanahkan kepada kamu kepada pemiliknya yang berhak.
Janganlah kamu sakiti sesiapapun agar orang lain tidak menyakiti kamu lagi. Ingatlah bahawa sesungguhya kamu akan menemui Tuhan kamu dan Dia pasti membuat perhitungan di atas segala amalan kamu. (Semua manusia berasal dari Adam dan Hawa, tidak ada (bangsa) Arab yang lebih mulia dari (bangsa) bukan Arab atau (bangsa) bukan Arab lebih mulia dari (bangsa) Arab; juga tidak ada yang (berkulit) putih lebih mulia dari yang (berkulit) hitam atau yang (berkulit) hitam lebih mulia dari (berkulit) putih) Ketahuilah bahawa setiap Muslim adalah saudara kepada Muslim yang lain. Kamu semua adalah sama; tidak seorang pun yang lebih mulia dari yang lainnya kecuali dalam Taqwa dan beramal soleh."

Monday, November 23, 2009

NST: Tolong Takutkan Tuhan

Laporan NST semalam, Husam: They go or I'll quit, begitu mengada-ada.

Wartawan NST, Shuhada Elis and Nik Imran Abdullah, sudah menjadi 'saya' dan 'hadhir' bersama ketika kononnya saya berjumpa Tok Guru untuk memberi kata dua pada Selasa lalu. Saya tertanya-tanya, ada tak aku jumpa Tok Guru Selasa?? Singat saya Isnin dan Selasa lalu saya di Parlimen mengikuti perbahasan peringkat Jawatankuasa JPM - melihat Datuk Nazri beraksi da..

Mereka berdua 'tahu' semua butir percakapan dalam 'pertemuan' itu. Tok Guru kata tak ada, NST kata ada. Saya?

Saya menanya diri saya semula. Adakah kami pernah berbincang seperti dilaporkan? Memberi syarat itu dan ini dan mengungut itu dan ini? Husam kah itu atau siapa?

Atau apa yang ada di keyboard wartawan itu dimasukkan ke dalam mulut kami kononnya saya atau Tok Guru berkata seperti itu? Ahh.., jangan-jangan ada orang tertelan salah pil lalu khayalannya turun atas lembaran?

Bila dongeng dimasukkan sebagai laporan berita, NST menjual sampah sebagai permata.

Tidak hairan ada orang berkata, zaman ini adalah zaman maklumat, tetapi sedikit sekali kebenarannya. 'Info' telah digaul bagi menampal ruang-ruang imiginasi penulis kononnya membentuk sebuah persembahan 'berita' mengikut apa yang mereka selerakan. Kebenaran bukan ukuran dalam abad ini.

Islam sejak dulu menekankan 'kesahihan'. Pembawa berita juga mesti 'muttaqin'.

Berita memang penting, kerana itu 'Nabi' membawa makna 'orang yang mempunyai berita'.

Penulis berita bukan sahaja akan mendapat upah dan gaji, promotion dan bonus, malah catatan Rakib dan Atid dalam sebuah 'hard disc catitan diri' untuk sebuah perbicaraan agung. Mahsyar.

Bukankah kalau berita itu tidak ada nilai kebenaran, ia menurun kepada 'berita palsu'. Lazimnya ia dikaitkan dengan motif seperti: adu domba, fitnah atau membawa agenda perpecahan, permusuhan, pergolakan, character assassination, political isolation, dan menumpaskan lawan.

Menjelang pilihanraya umum lalu, NST telah pun melakukan perkara yang sama ke atas saya. Kes saman saya ke atas NST itu akan dijalankan awal tahun 2010.

NST secara bersendiri telah menerbitkan permohonan maaf tanpa persetujuan saya dalam kes itu. Dan sedikit 'saguhati' yang saya minta peguam saya menolaknya secara baik kerana rasanya harga diri mana-mana insan tidaklah semurah itu....

Hari ini, NST mahu saya menyamannya sekali lagi dengan sekali lagi 'menggoreng berita'. Banyak 'It was understood that....' dijadikan sandaran apa yang hendak 'digoreng' oleh NST.

Bukan kerana ruang bicara tertutup sama sekali dan saman sahaja bahasa saya dengan media. Bukan begitu.

Sesuatu yang salah yang berulang-ulang memerlukan didikan berterusan dan pertahanan diri bagi mangsa yang lemah seperti saya hanyalah mahkamah. Apa lagi, kalau NST ada motif dan agendanya dan sanggup menanggung risiko dengan cuba mengeruhkan air untuk menangkuk debu dan pasir kalau pun tidak ikan yang enak dagingnya.

Sunday, November 22, 2009

Oh..., Mingguan Malaysia!

Mingguan Malaysia sekali lagi 'memandang tinggi' pada saya dengan berita provokatif muka depan.

Dulu saya diserang bertubi-tubi menjelang Muktamar PAS.

Agenda 'mematikan' saya nampaknya belum berakhir.

Hari ini, Utusan cuba berbagai cara menghubungi saya untuk 'pohon penjelasan'. Semasa Utusan bersiap 'meletupkan' berita itu semalam sepatah penjelasan saya tidak diminta.

Beratus sms, kegelisahan begitu ramai orang dan deringan talipon sejak awal pagi adalah bukti 'berita' yang sengaja dimasak sebegitu rupa telah mencetuskan kesan negatif yang bukan sedikit.

Saya amat terharu dengan penjelasan segera bos, guru, rakan dan bapa saya - Tok Guru Nik Aziz.

Saya sakit belakang. Jumpa doktor dan doktor minta saya dapatkan rawatan, rehatkan tulang belakang saya dan kurangkan aktiviti. Bila saya nak masuk wad untuk rawatan itu saya boleh tentukan sendiri ikut kelapangan saya, tetapi jangan kurang dari lima hari penuh. Jangan lambat, kata doktor.

Saya maklumkan pada bos saya. Lima hari sebelum raya haji amat sesuai. Tetapi program saya kena tangguh dan mana mesyuarat yang saya ditugaskan wakili Tok Guru kena tukar kepada rakan yang lain.

Apa kata Tok Guru bila saya terus jumpa beliau Khamis lalu?

Jumpa doktor Di Pakar Perdana habis jam 12.30 tengah hari. Jumpa Tok Guru lebih kurang jam 1 sebelum zohor.

"Tak boleh lok (tangguh). Buat (rawat) selalu (segera). Jangan jadi macam ana..."

Saya bercadang masuk hospital hari Isnin. Keluar petang Khamis.

Apa kena mengena sakit belakang saya dengan letak jawatan?

Letak semua pulak tu?

Mana perjuangan saya? Mana parti dan kerajaan yang saya membantu menjayakannya sekian lama? Di hujung jalan kami akan berpisah? Membuka ruang pada lawan menerobos masuk dalam detik yang kritikal ini?

Tok Guru telah cuba dimalukan. Cuba dipinggirkan kerana pendiriannya yang tegas dan hasratnya yang jelas untuk membawa negara kita menuju perubahan.

Saya sebagai murid dan 'budak' Tok Guru, mengangkat bendera putih semata-mata kerana Utusan cuba meng-agendakan kami?

Sakit adalah lumrah insan. Letak jawatan tidak boleh diikat dengan satu dua hari di hospital - maka ia bukti Husam letak jawatan.

Kepada teman dan rakan, sahabat dekat dan jauh, saya ucapkan terima kasih atas ingatan anda semua. Ustaz Aziz menalipon pagi hari dari Mekah kerana terbangun dari mimpi, saya hargai erti persahabatan.

Bolehkah media kita diajar erti kredibiliti?

Tanpa menyakiti Utusan, tetapi tulisan Art Harun dalam blognya Articulations, menulis tentang Utusan buat sedikit 'touch' untuk tukar gambar payung berlambangkan dacing dengan gambar payung biru tanpa dacing, barangkali cukup untuk kita merasa tertanya-tanya Utusan ini apa..?




Terdapat payung berlambang dacing di belakang pak cik yang ditangkap kerana membunuh isterinya yang minta cerai di Kedah. Gambar yang sama diguna pakai oleh Metro, The Star dan Berita Harian.

Tapi demi maruah BN, Utusan menyiarkan gambar yang diubah seperti di bawah pada berita yang sama, 10 Nov 2009;



Saturday, November 21, 2009

Hasan Harun dahului saya. Tahniah!

Suara apa bising di luar tingkap sana??

Meneliti dokumen lama sehari dua ini, termasuk keratan akhbar, hati saya bertambah senang, dan fikiran pula sudah tentu tenang.

Perjuangan rakyat Kelantan menuntut hak mereka dibantu oleh semua pernyataan-pernyataan yang kini termaktub dalam arkib dan lembaran sejarah. Fokus, seperti diajar oleh doa iftitah kita, juga disebut dalam bahasa tasawuf - tawajjuh - saya masa ini ialah tuntutan royalti petroleum dan bukan suara bising di luar jendela.

Penggalian dokumen lama memungkinkan kita mencantumkan tuntutan kita selari dengan semua pernyataan yang pernah diucap kecuali sikap berdolak dalik UMNO yang sentiasa kekal sebagai punca masalah.

Dokumen lama dan baru tidak pandai berbohong. Ya kata ya, tidak kata tidak. Termasuk keratan akhbar 'sohih' seperti Utusan. He he he, maaf Utusan - usik sikit jiwa murni anda, kalau-kalau ada sedikit berbaki. (Dr. Maza ada sms pagi ini Mingguan Malaysia hari ini potong sesetengah tulisan beliau) Pulak tu Mingguan hari ni letak saya muka depan! Hebat tu. Tak menyesal ke?

Senator Hasan Harun, atau lebih mesra dengan panggilan Abe Hase, telah mendahului saya dalam keprihatinannya terhadap hak dan masa depan rakyat dan bumi Kelantan. Tahniah! Insya Allah saya akan berkunjung ke rumah tuan untuk kalungan terima kasih sehari dua ini.

Lihat catitan persidangan DEWAN NEGARA , 9 APRIL 1989, halaman 993,994,995;

CARIGALI MINYAK DI KELANTAN

1. Tuan Hassan bin Harun( Kelantan) minta Perdana Menteri menyatakan:

(a) benarkah usaha carigali minyak di pantai Kelantan telah berjaya

(c) apakah rancangan-rancangan dan faedah-faedah yang akan dinikmati oleh pendudukpenduduk tempatan berhubung dengan ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Datuk Kasitah bin Gaddam):
Tuan Yang di-Pertua, usaha mencarigali minyak dan gas di perairan negeri Kelantan belum lagi berjaya menemui
minyak di dalam kuantiti yang komersial. Di dalam tahun tujuhpuluhan, Syarikat Esso telah menggerudi dua telaga tetapi gagal
menemui minyak.

Pada bulan Ogos, 1988, kawasan tersebut yang dikenali sebagai Blok PM2, telah diserahkan pula kepada sebuah konsortium terdiri daripada Home Oil Malaysia Ltd., Petro-Canada Malaysia Inc., Texaco Canada Malaysia Inc., PEXCO N.V. dan PETRONAS Carigali.

Mengikut Kontrak Perkongsian Pengeluaran yang ditandatangani dengan PETRONAS, konsortium ini akan membelanjakan $43 juta untuk kerja-kerja mencarigali di dalam tempoh tiga tahun dan menggerudi empat telaga rambang di kawasan ini, bermula pada penghujung tahun ini.
Jika minyak ditemui dalam kuantiti yang komersial, maka konsortium ini akan bertanggungjawab mengeluarkannya.

Sekiranya minyak diperolehi di kawasan berhadapan dengan negeri Kelantan, maka Kerajaan Negeri Kelantan akan menerima hasil royalti sebanyak 5% daripada minyak dan gas yang dikeluarkan sebagaimana yang diterima oleh negeri Terengganu, Sabah dan Sarawak.


Abe Hase teladan untuk pemimpin UMNO Kelantan masa kini. Berbeza parti jangan sampai menolak-nolak rezki rakyat Kelantan. Hati perut kita biarlah bersama yang berhak, rakyat kita sendiri.

Petikan lain menyusul kemudian. Sampai royalti menjadi milik kita.

Untuk pemimpin UMNO, saya ulangi, belum terlambat.