Friday, January 22, 2010

Sejarah Bazar

Saya diminta Tok Guru membuat catitan sejarah tentang Bazar, Arked dan Pasar Lambak. Atas permintaan itu, saya perturunkan catitan ringkas ini.

Pertalian sejarah menguatkan azam Tok Guru untuk menempatkan para peniaga di tingkat bawah Bazar Tok Guru yang akan dibina.

Dua hari sebelum pilihanraya 2008, Tok Guru berucap di hadapan para peniaga kecil, bahawa menjadi hasrat beliau untuk membina satu bazar mercu tanda yang akan menjadi medan perniagaan baru para peniaga kecil di Kota Bharu. PAS mendapat kemenangan besar 2008 yang lalu.

Ada sebab sejarah Tok Guru berucap begitu pada hari itu.

Tiga tahun menjelang kemenangan besar bersejarah buat pertama kali Angkatan Perpaduan Ummah pada tahun 1990, jentolak-jentolak telah meranapkan gerai-gerai kecil peniaga ini buat selama-lamanya. Waktu itu dikenali sebagai Pasar Lambak. Lokasinya adalah di Medan Hijau di depan Bangunan UMNO Kelantan sekarang.

MPKB bercadang mengindahkan persekitaran Bangunan UMNO Kelantan itu yang akan dirasmikan oleh Tun Dr. Mahathir pada masa itu. Tepatnya, perasmian tersebut berlangsung pada 12 Mach 1987 dan perobohan berlaku betul-betul sehari sebelumnya!

Politik peminggiran peniaga kecil ini tidak harus diizinkan berlaku semula di zaman pentadbiran Tok Guru.

Bagi generasi baru, mungkin rentetan sejarah ini tidak ada dalam ingatan mereka.

Bagi seusia dengan saya, inilah tempatnya kami anak-anak belia masa itu membeli baju dan seluar, melalui celah-celah lorongnya memilih pakaian. Bersebelahan gerai-gerai ini ada kedai-kedai buku yang masyhur masa itu seperti Abu Bakar Al Ahmadi, Dian dan beberapa lagi yang saya telah lupa namanya.

Selain membeli buku di Toko Abu Bakar Al Ahmadi, saya memasang telinga mendengar perbualan politik di situ. Tuan punya kedai seorang ustaz berserban tetapi sangat kuat UMNOnya dan di sini, selalu berlaku perbahasan politik.

Saya sudah bergiat di Pejabat PAS Jalan Dato Pati ketika UMNO mengarahkan perobohan gerai-gerai ini. Masa itu, keangkuhan UMNO sedang memuncak. Berlaku juga apa yang digelar 'sepak bakul'. Akibatnya, UMNO kecundang di Kelantan tiga tahun kemudian.

Sejarah Pasar Lambak Kota Bharu bermula sejak 1976, sewaktu Kerajaan Campuran PAS BN. Ia bertujuan menempatkan peniaga kecil yang berselerak di Bandar Kota Bharu secara bersepadu. MPKB telah menyediakan pelan tapak memuatkan 124 gerai bersaiz 8 X 10 dengan sewa permulaan RM 15 sebulan.

Selepas hampir 5 bulan berniaga, Persatuan Penjual Pasar Lambak bermesyuarat dan bersetuju untuk membina sendiri gerai-gerai di atas lot tapak yang disediakan. Peniaga mengambil inisiatif sendiri membina dinding plywood   dan bumbung zink yang menelan belanja hampir RM 150 setiap lot.

Hasrat membina generasi usahawan melalui penempatan ini berjaya. Dari sini munculnya usahawan hartawan seperti arwah Hj Ibrahim Mat Min ( sahabat Tok Guru sendiri ) peniaga pakaian, Hj Talib ( seluar jeans ), arwah Hj Mohd Nor ( bapa Borhan Arked UDA )  pemborong pakaian siap dan seragam sekolah , arwah Tok Penghulu Hussin, Mat Kain Ela, Yusoff Selipar dan banyak lagi.

Melihat kejayaan peniaga Pasar Lambak berniaga dan mendapat sambutan yang menggalakkan, maka MPKB telah menaikkan sewa RM 50 sebulan dengan alasan MPKB menyediakan kemudahan elektrik secara percuma. Persatuan Penjual menerima arahan kenaikan sewa MPKB dan harga tersebut kekal hingga Pasar Lambak menyembah bumi pada tahun 1987.

Perundingan untuk merobohkan Pasar Lambak

Pada tahun 1983 PKINK bercadang membina 3 tingkat Bazaar Buluh Kubu dan telah menawarkan kepada Persatuan Penjual Pasar Lambak untuk membeli lot-lot yang akan disediakan.

Waktu itu, Persatuan mempunyai tabung yang kuat dengan kewangan ratusan ribu ringgit hasil sumbangan yuran  tahunan ahli. Wakil Persatuan memohon kerjasama PKINK untuk menyediakan lot yang mencukupi ( 124 ) untuk menempatkan peniaga di aras bawah dan dipersetujui CEO PKINK dengan tawaran harga asal RM 1.83 sen sekaki persegi. Itu pada tahun 1984.

Sayangnya rancangan tersebut tidak menjadi kenyataan. Sebilangan kecil mengambil langkahan sendiri dan telah berunding secara sulit dengan PKINK. Hasil gerakan sulit tersebut PKINK telah mengkucar kacirkan perpaduan di kalangan ahli.

Setelah pengurusan PKINK bertukar maka pelan asal Bazar Buluh Kubu turut berubah dengan setiap tingkat hanya disediakan 65 lot bersaiz besar. Pengurusan baru PKINK juga memaklumkan bahawa PKINK tidak akan menjual Bazaar Buluh Kubu sebaliknya disewa kepada peniaga yang berminat.

Cadangan Persatuan untuk menempatkan kesemua 124 peniaga di tingkat bawah tidak dilayan. Persatuan telah menolak tawaran PKINK untuk menyewa di tingkat bawah dan tingkat satu.

Bazar Buloh Kubu dibuka secara rasmi pada tahun 1985 tetapi pada awalnya tidak mendapat sambutan. Dengan pelbagai kemudahan infrastruktur yang hebat tidak mampu menggugat dayatarikan Pasar Lambak dengan harga yang lebih murah dan pilihan yang lebih banyak.

Perniagaan Bazar Buluh Kubu hanya mula mendapat sambutan hangat setelah Pasar Lambak dirobohkan. Perpindahan peniaga asal Pasar Lambak telah membuka ruang baru kepada peniaga Bazar Buluh Kubu untuk merasai nikmat sambutan Pasar Lambak dahulu.

MPKB juga bercadang menyiapkan Pasar Lama MPKB yang terbengkalai hampir bertahun lamanya. Dato Rastom Ahmad Maher selaku Timbalan Menteri Besar dan juga YDP MPKB waktu itu telah berunding dengan Persatuan Pasar Lambak untuk memindahkan lokasi perniagaan ke Pasar Lama MPKB.

Persatuan Penjual tidak bersetuju berpindah kerana disediakan lot Tingkat 1 yang tidak berdaya saing mengikut pendapat mereka. Walau bagaimanapun MPKB tetap berusaha untuk mendapat persetujuan Persatuan Penjual tetapi tetap gagal.

Akhirnya, MPKB telah mengugut untuk merobohkan Pasar Lambak secara paksa kerana alasannya lokasi Pasar Lambak tidak mengindahkan Bandar Kota Bharu.

Persatuan Penjual telah mengambil tindakan proaktif dengan melantik peguam untuk mendapatkan perintah injuksi dari mahkamah menghalang MPKB merobohkan tapak Pasar Lambak.

Tindakan berani Persatuan Penjual telah membuahkan hasil dan akhirnya mahkamah mengeluarkan arahan menghalang MPKB dari merobohkan Pasar Lambak.

Keputusan mahkamah telah disiarkan oleh akhbar Berita Harian, Utusan Malaysia dan New strait Times pada awal tahun 1987. Tajuk yang menjadi pilihan akhbar ialah PERSATUAN PENJUAL SAMAN MPKB dan  MPKB DIHALANG ROBOH PASAR LAMA.

Sebagai reaksi kepada keputusan mahkamah,MPKB telah membuat rayuan atas keputusan tersebut dan menghentikan rundingan dengan Persatuan.

Kemuncak kepada isu Pasar lambak ialah apabila Bagunan UMNO Negeri Kelantan bersebelahan Pasar Lambak akan dirasmikan oleh bekas PM Dr Mahathir pada 12 Mach 1987. Demi untuk mencantikkan pemandangan di hadapan Bangunan UMNO yang bakal dirasmikan, peniaga diminta berpindah dengan segera.

MPKB dan beberapa pegawai kerajaan telah memohon jasa baik Persatuan Penjual berpindah dan tempat baru disediakan di tingkat 1 Pasar Lama MPKB. Walau bagaimanapun pendirian rasmi Persatuan Penjual tidak berubah dan tetap berkeras untuk berniaga di pasar lambak.

Setelah kesemua pimpinan Persatuan tetap tidak berubah maka MPKB telah membuat provokasi terhadap peniaga Pasar Lambak. MPKB telah mengadakan rundingan dengan kumpulan serpihan Persatuan Penjual yang tidak berautoriti membuat keputusan.

Hampir 20 peniaga dari 124 orang telah dibawa bertemu Menteri Besar, Tan Sri Mohamad Yaacob untuk berunding.

Ia berakhir dengan perobohan dimulakan ke atas gerai-gerai yang telah memberikan persetujuan.

Sehari sebelum perasmian Bangunan UMNO maka berlakulah peristiwa yang menyayat hati. MPKB menghantar jentolak untuk merobohkan lot milik kumpulan 20 dan ia tidak lagi dapat dihalang oleh Persatuan.

Tiada pilihan untuk bertahan, Persatuan Penjual menyeru kesemua ahli mengosongkan gerai bagi memberi laluan kepada kerja-kerja meroboh oleh MPKB. Dengan hiba dan susah payah kesemua peniaga memunggah stok-stok sehingga  pukul 3 pagi. Berakhirnya empayar peniaga pasar lambak demi kepentingan UMNO bagi memberi laluan kepada pengindahan landskap untuk perasmian Bangunan UMNO negeri pada 12 Mach 1987.

Berpindah ke Bangunan Pasar Lama dan Arked UDA

Setelah gagal mempertahankan Pasar Lambak, para peniaga berpindah ke Pasar Lama MPKB. Pada masa itu, pembinaannya hanya 70 % siap. Kemudahan elektrik hanya  disediakan 2 minggu  setelah peniaga berpindah.

6 bulan kemudian barulah peniaga berhenti menghidu debu kerana kerja-kerja pembinaan yang masih berjalan.

Setelah berpindah, didapati lot-lot tidak mencukupi untuk menampung kesemua 124 peniaga asal. Peniaga merasa hairan bagaimana 300 lot yang wujud di tingkat 1 tidak mencukupi untuk menampung kesemua peniaga pasar lambak yang hanya seramai 124 orang. Rupanya wujud pembahagian gerai kepada kroni-kroni dan anugerah politik yang tertentu.

Hasilnya, MB Tan Sri Mohamad Yaacob telah mengarahkan PKINK untuk membina gerai baru di tanah milik UDA seluas 1.5 ekar sekarang bagi menempatkan lebihan peniaga. Pembinaan mengambil masa selama 6 bulan untuk menyiapkan Arked UDA yang ada sekarang dengan menyediakan 216 gerai bersaiz 8 X 10 setiap satu.

Sekali lagi masalah sama berulang, hampir separuh lot-lot terlepas kepada kroni tertentu.

Hasil kemelut ini, ada juga peniaga yang dulunya berjaya, telah mengubah haluan masing-masing.

Bagi peniaga generasi kedua, mereka terus berniaga di Pasar Lama MPKB dan Arked Uda hingga kini.

UDA kini bercadang membina kondominium dan komponen komersial lain di tapak Arked Uda kini sementara Pasar Lama MPKB pula sudang usang dan tidak selamat untuk digunakan.

Harapan baru mereka ialah Bazar Tok Guru, dan seperti telah dikatakan, ada sebab sejarah untuk Tok Guru terus berazam menjadikan keseluruhan tingkat-tingkat di Bazar Tok Guru sebagai Bazar para peniaga kecil.

Saya merasa terpanggil menulis sejarah kecil ini bila Tok Guru mengarahkan saya menulisnya, supaya 'ekor' dan 'kepala' dapat disambungkan. (Terima kasih kepada para peniaga yang telah membantu penulisan ini)

Sejarah peminggiran hendak diangkat kepada Sejarah Pemerkasaan.

Monday, January 18, 2010

Antara Dua Pemuda

Pemuda UMNO Kelantan buat laporan polis - isu Bazar Tok Guru.

Jika benar Pemuda UMNO Kelantan dan Malaysia mempunyai kesedaran memerangi rasuah dan penyelewengan, masyarakat harus bersyukur. Separuh masalah negara kita otomatik selesai kerana selama ini, hiruk pikuk penyelewengan datang dari parti pemerentah di Putra Jaya.

Sikap tidak berkompromi dengan penyelewengan sudah sangat bermakna, tetapi janganlah ia terhenti atas isu yang cuba dimanipulasikan semata-mata. Ia hendaklah menyeluruh dan seluruh korupsi hendaklah diperangi.

Satu masa dulu, Jambatan Tambahan Sultan Yahya di Pasir Peikan khabarnya melibatkan seorang bekas pemimpin Pemuda UMNO Kelantan dengan nilai 'lesap' berpuluh juta. Kenapa tak ada laporan polis?

Jika diteliti Laporan Ketua Audit Negara sahaja, sudah cukup untuk menunjukkan UMNO/BN lah 'juara' apa yang ditentang oleh Pemuda UMNO.

Saya tidak ingin panjangkan huraian mengenainya.

Dalam kesempatan ini, saya cuma ingin mengajak Pemuda UMNO Kelantan meneliti blog Mindnoevil

, posting terakhirnya. Saya petik sebahagian;

What do you think would be the price tag that was charged to the government for the purchase of the 120mm Rifled Mortars, the two regiments of Multi Launched Rocket Systems (MLRS), and the Vera-E Passive Air Defence Sensor that I had mentioned in my earlier writings, to name a few?

Why has the price tag being kept confidential; out of public hearing and is not even discussed in parliament. Does the price have any national security implication? Or is the government too afraid to expose the price tag, because someone will come out with figures that are far less than what the government has paid for?


Pembelian rifel 120mm dan lain-lain kelengkapan tentera melambung melebihi harga pasaran.

Blog ini bukan ditulis oleh sebarang tinta seperti sesetengah blogger sampai keputusan Mahkamah pun cuba 'di tak tahukan'.(Terima kasih kepada Perisik Rakyat atas kecekapannya memasukkan nombor, tarikh dan bilik bicara Mahkamah Rayuan kes berkenaan).

Mindnoevil hasil tinta bekas pegawai kanan tentera, Muhamad Arshad Raji.

Saya cadangkan Pemuda UMNO dan Pemuda PAS Kelantan melaporkan kes ini kepada SPRM secara bersama.

Jangan pula langkah melaksanakan satu obligasi sosial seperti yang dipersetujui oleh Tok Guru dalam kes Bazar ditukar menjadi penyelewengan pada hal tidak. Lihat kenyataan terima kasih para peniaga Arked Uda atas langkah yang diambil oleh Tok Guru. Tok Guru memayungi rakyatnya dengan belanja RM 23 juta dan bagi Pemuda UMNO Kelantan, itu adalah salah.

Adakah Pemuda UMNO tidak terasa malu bila para peniaga di Arked UDA berkeliaran bila Arked UDA akan dirobohkan? Tugas itu patut diambil oleh agensi Kerajaan Persekutuan seperti UDA. Kenapa tugas UDA menjaga kebajikan strategik peniaga di situ hendaklah dilepaskan pada Tok Guru? Kenapa tidak UDA sahaja membina satu bazar baru yang moden dan diberi percuma atau berharga murah kepada peniaga kecil di Kota Bharu? Kenapa UDA juga harus berlumba membina bangunan tinggi sehingga peniaga di bawah naungan mereka terpaksa mencari perlindungan di lain tempat?

Kenapa Pemuda UMNO Kelantan tidak cuba menjadi juara konstruktif dalam isu ini mendesak UDA membatalkan cadangan asal mereka tentang kompleks komersial kepada satu kompleks mampu milik para peniaga di Kota Bharu di tapak yang ada sekarang?

Atau mereka sekadar mahu cemarkan nama baik Tok Guru?

Jika itu agenda sebenar mereka, di mana Pemuda PAS, Negeri atau Pusat?

Mungkin Ketua Pemuda Pusat ada mengeluarkan apa-apa kenyataan menyangkal laporan polis Pemuda UMNO Kelantan namun media mungkin tidak menyiarkannya. Sebaliknya, komen Ustaz Tantawi mengenai isu 'cah keting' ada disiarkan Utusan hari ini.

Memang wajar media pro UMNO menyiarkan isu-isu 'dalaman' PAS untuk tujuan politik mereka. Sesuai dengan matlamat dan agenda mereka dan selagi kita bersedia memberikan 'bekalan' untuk tujuan itu, mereka sangat bergembira.

Namun, oleh kerana ia telah disentuh oleh Ustaz Tantawi, saya ingin menyokong ulasan beliau.

Isu 'cah keting' adalah isu yang tidak boleh dipandang ringan. Ia boleh mencemarkan nama baik PAS yang selama ini dikenali sebagai parti yang berdisiplin dengan pemimpin dan ahli yang jujur.

Fenomen sedemikian perlu dikenalpasti dan program pendisiplinan perlu dilakukan dengan bijaksana dan tegas.

Islam sangat menekankan disisplin yang tinggi pada para pejuangnya dan mempunyai tatacara disiplin yang lengkap.

Jangan dibiarkan ia berlalu tanpa diuruskan tetapi langkahan disiplin perlu segera digerakkan.

Islam, dalam konteks governance, menekankan dua perkara : individu yang terbina atas dasar taqwa dan mempunyai nilai-nilai persenaliti kukuh yang terbina secara dalaman. Kedua, sistem luaran yang boleh mencegah dan mengelakkan apa-apa ciri buruk yang disebutkan oleh Ustaz Tantawi.

Dalam konteks ini, sudah sampai masanya semua pemegang jawatan kerajaan terutama pemimpin dan petugas parti mengisytiharkan kekayaan dan harta mereka dari masa ke semasa kepada satu badan tertentu yang telus dan bebas.

Ia boleh mengelakkan sesiapa sahaja pemimpin yang jujur dan bersih dari apa jua tuduhan seperti tamak dan menyeleweng.

Pemuda PAS dan Pemuda UMNO rasa saya, boleh bersetuju jika mereka memang sehati sejiwa menentang keburukan dari kesempatan pangkat dan kedudukan.

Saturday, January 16, 2010

Cerita Bazar

Tuhan mencipta manusia dengan bakat yang berbeza.

Apabila artis cuba mentafsir angka, fakta ekonomi sudah menjadi lukisan abstak.

Mengeluarkan pendahuluan untuk membeli aset sebanyak 23 juta, bukan bermakna kerugian. Tidak sama sekali.

Perjanjian antara PMBK dengan Sensa Timur telah tertandatangani. Sensa Timur akan membina sebuah Bazar tiga tingkat dengan perbelanjaan syarikat. Tingkat satu dan dua yang dianggarkan bernilai RM 40 juta akan diserahkan kepada PMBK. Pulangan untuk Sensa ialah tanah seluas 6 ekar beserta tingkat bawah Bazar tersebut. Sebahagian tanah pula akan digunakan sebagai jalan untuk laluan baru dan juga kegunaan awam yang lain.

Nilai Bazar tingkat bawah itu ialah RM 23 juta.

Sekarang, peniaga yang hendak ditempatkan di Bazar ini mahukan tingkat bawah juga dijadikan sebagai lot untuk mereka. Bazar ini sepenuhnya untuk para peniaga kecil. Itu yang mereka mahu. Kerajaan pula, memang bercadang melindungi terus para peniaga kecil ini dengan kedudukan perniagaan yang strategik. Itu hasrat Tok Guru.

Kalau Kota Bharu dikatakan barangan dengan harga murah, mungkin sebahagian ialah kerana kos premis yang juga murah. Kalau premis sudah berharga mahal, barangan yang dijual juga perlu naki harga.

Keperihatinan Tok Guru dalam isu ini amat jelas.

Menjelang pilihanraya yang lalu, isu ini berbangkit sekali lagi kerana Pasar Lama MPKB yang telah berusia lanjut dan disahkan uzur, perlu dirobohkan. Ke mana peniaga di situ akan ditempatkan?

Mereka bersetuju Bazar Tok Guru adalah 'sarang' perniagaan mereka yang baru.

Mungkin ada sedikit 'over look' di pihak PMBK ketika menandatangani perjanjian itu. Mungkin PMBK beranggapan mana-mana tingkat adalah o k bagi peniaga.

Selepas peniaga membangkitkan semula isu ini dan memohon jasa baik Tok Guru untuk tetap menjadikan premis utama perniagaan mereka di tingkat bawah, selain lain-lain tingkat, Tok Guru telah bersetuju membentuk sebuah Jawatankuasa yang dipengerusikan sendiri oleh YB Datuk Timbalan Menteri Besar. Jawatankuasa ini dipersetujui oleh Mesyuarat Exco Kelantan.

Jelas, kelebihan Tok Guru. Jarang pemimpin akan bersikap lunak atas nama hasrat dan permintaan rakyat dan terbuka untuk apa sahaja perubahan asalkan ia boleh memberikan kepuasan kepada pelanggan iaitu rakyat jelata. Kenapa sikap dan pendirian Tok Guru ini tidak dibesar-besarkan dan disanjung?

Jawatankuasa ini telah beberapa kali bermesyuarat, termasuk dengan wakil peniaga. Keputusan terakhir Jawatankuasa telah dimaklumkan untuk persetujuan Exco Rabu lepas.

Kerajaan akan membeli dari Sensa Timur, mewakili para peniaga, bahagian mereka dari Bazar ini iaitu tingkat bawah, dengan harga nilaian RM 23 juta.

Tujuannya ialah supaya tingkat bawah tersebut boleh dijadikan lot peniaga kecil dan boleh dijual atau disewajual kepada para peniaga.

Jika setiap lot dijual dengan harga RM 60,000, dengan jangkaan lotnya sebanyak 383 lot, Kerajaan boleh mendapatkan semula RM 23 juta tersebut. RM 23 juta itu sebenarnya hanyalah bayaran pendahuluan oleh Kerajaan. Lagipun, ia tidak perlu dikeluarkan serta merta dan mungkin hanya perlu dibayar selepas pembinaan disiapkan. Ini bermakna, dalam tempoh pembinaan, Kerajaan sudah boleh memulakan jualan lot-lot berkenaan.

Bagaimana jumlah RM 23 juta yang merupakan harga bagi tingkat bawah Bazar itu yang akan diperolehi semula oleh Kerajaan boleh dikatakan kerugian?

Jika ia dikatakan kerugian, itu bukan rumusan ekonomi tetapi sebuah karya seni. Apa motif karya seni dihasilkan sedemikian, terpulang.

Antara peniaga yang akan dipindahkan ke bazar baru ini selain peniaga Arked Lama MPKB ialah peniaga Arked Uda.

Kalau Arked Lama MPKB dikatakan uzur, peniaga Arked Uda pula perlu berpindah kerana Uda akan mendirikan gedung perniagan baru mereka di tapak yang ada sekarang.

Uda ditubuhkan untuk menjaga kepentingan strategik orang Melayu di pusat-pusat bandar.

Dalam perjalanannya yang jauh, fungsi UDA semasa penubuhannya dulu mungkin telah beransur berubah.

Bangunan yang besar dengan ruangan niaga yang mahal, dicampur orientasi keuntungan, sedikit demi sedikit meletakkan tanggung jawab sosial semakin terpinggir.

Dalam kes ini, Kerajkaan Negeri pula terpaksa mengambil alih peranan UDA dengan peniaganya sendiri di Arked mereka terpaksa mencari tempat bernaung di bazar yang akan didirikan khas oleh Kerajaan Negeri.

Ini sebenarnya sudut yang harus dilukiskan dengan penuh perasaan oleh artis-artis. Lebih-lebih lagi, bagi sesiapa yang masih ingat kisah peniaga kecil ini yang terpaksa berpindah randah, bermula darti Medan Hijau berdekatan Bangunan UMNO Negeri Kelantan sekarang, satu masa dulu.

Atas sebuah perjalanan yang datang bersekali dengan pertukaran Kerajaan pada masa itu dan sebuah obligasi sosial yang akan dijayakan oleh Tok Guru, RM 23 juta bukan pertaruhan tanpa perhitungan.

Ia gambaran komitmen Kerajaan Negeri terhadap nasib rakyatnya , termasuk para peniaga dan atas tujuan memenuhi obligasi sosial sahaja, ia selamanya bukan sebuah kerugian.

Bagaimana maklumat ini bocor?

Ia satu sudut bagaimana isu ini boleh dilihat, kalau maklumat ini dirasakan rahsia atau perlu dirahsiakan.

Pertama, ia dibincang oleh Jawatankuasa. Jawatankuasa ini ada ahlinya. Pemaju juga mungkin dijemput untuk berbincang dan persetujuan mereka tentulah perlu. Kerana itu, mereka mungkin orang paling awal tahu tentang maklumat ini. Waklil PMBK juga mungkin hadhir dan wakil ini mungkin pula perlu berbincang dengan rakan sejawatan mereka di PMBK. Mereka tahu tentang maklumat ini, Ia kemudian dibincang dalam Exco.

Jika 'kebocoran' ini perlu disiasat, saya sangat menyokong. Ia boleh mengelakkan ada mana-mana pihak menjadi mangsa permainan- baik bernama sangkaan atau tudingan. Jalan yang paling mudah, rasa saya, ialah Tok Guru memanggil majlis dan dengan menggunakan apa-apa kaedah yang diajar oleh Islam, mencari orangnya. Ia boleh bermula dengan Ahli Exco sendiri supaya ia tidak berpanjangan dan berterusan dalam prasangka.

Juma'at lalu, Mahkamah Rayuan di Putra Jaya telah menolak rayuan seorang peniaga yang telah menyaman Akademi Keluarga Bahagia atas isu pembekalan baka-baka kambing. Sebelum ini, Mahkamah Tinggi Kota Bharu telah juga menolak permohonan mereka.

Isu ini telah dikaitkan dengan saya sedemikian lama oleh seorang penulis blog. Sesekali tulisan penulis blog ini semacam menunjukkan ada maklumat dalaman. Pada masa yang sama, penulis ini berkawan rapat dengan pemimpin dan orang tertentu. Malah permit penerbitannya digunakan untuk menerbit satu tabloid pro PAS.

Rasanya sudah lebih emat tahun blog ini mencincang saya berbagai gaya.

Saya mengambil sikap tidak bertindak balas baik pada penulis blog tersebut mahu pun rakan-rakannya yang sesetengahnya juga adalah rakan saya.

Sebabnya, isu yang dibangkitkan tidak faktual. Ia lazimnya dicampurkan dengan fantasi dirinya sendiri. Ia sampai lebih tahu apa ada dalam hati kecil kita dari kita sendiri. Ia sampai memasang niat saya seakan dia adalah saya dan saya adalah dia.

Tapi itu bukan kerja baru.

Islam telah mengajar semua itu.

Selagi kita benar, kebenaran akan terserlah, lambat atau bangat.

Keputusan kedua mahkamah itu adalah contohnya.

Serangan seperti i ni amat bertunjangkan kebencian, bukan kejujuran.

Dalam kes baka-baka kambing tadsi, kisah bermula apabila saya meminta bekalan yang hendak dihantar kepada Kerajaan mestilah dijalankan melalui proses tawaran harga. Tawaran syarikat lain untuk spesifikasi sama ialah semuanya di bawah RM 900.

Ia menjadi punca kemarahan tetapi Insya Allah, saya rela mati mempertahankan prinsip dari tunduk kepada ugutan.

Ia memang tidak mudah. Sentiasa ada pemain-pemain yang lincah bermain di luar garis peraturan. Sumbatan belakang tabir mungkin boleh terjadi.

Namun, semua itu lumrah yang tidak ada penghujungnya sementara dunia belum kiamat.

Zulaikha yang cuba memperdaya Nabi Yusuf tiba-tiba terlepas dengan bijak berkata-kata dan Nabi Yusuf pula menjadi mangsa tuduhan. Abang-abang Nabi Yusuf yang cuba membunuh baginda pulang menemui bapa mereka dalam keadaan menangis teresak-esak, membawa pulang baju berlumuran darah. Semuanya sebuah pementasan drama kehidupan.

Sentiasa ada yang perlu berkorban untuk jenayah dan keburukan yang dilakukan orang lain.

Thursday, January 14, 2010

Jangan hanya pandai 'kebas'



Bumi Selatan - salah satu medan gas dalam PM 301. PM menjanjikan pembayaran bermula 2010 berasaskan pengeluaran Bumi Selatan, seperti disebut di Parlimen November lalu.

Presiden Petronas, Tan Sri Hasan Merican mengesahkan jumlah pembahagian untuk Kelantan dari Bumi Selatan atas apa juga nama bagi 2009 ialah USD 12 juta. Ia berasaskan pengeluaran sebanyak 14,200 boe ( barrel of oil equivalent) gas sebagai bahagian dari Malayisa. Jumlah keseluruhan pengeluaran dari medan gas Bumi (dalam kawasan MTJDA) dan Bumi Selatan (dalam kawasan PM301) adalah dianggarkan sebanyak 35,621 barrel oil of equivalent (boe) atau lebih kurang 200 juta kaki padu sehari. Bahagian Malaysia dalam pengeluaran ini adalah sebanyak 39.94% atau kira-kira 14,200 boe (80 juta kaki padu sehari).

Mengikut jawapan di Dewan Rakyat, pengeluaran di Bumi Selatan bermula sejak suku kedua 2008 atau bermula April 2008. Sehingga Disember 2009 maknanya, sudah tujuh suku tahun Kelantan tidak mendapat apa-apa pembayaran.

Tuntutan Kelantan secara rasmi disuarakan pada Julai 2009, iaitu setahun tiga bulan selepas pengeluaran Bumi Selatan bermula.

Di mana Datuk Mustapha dalam tempoh itu? Kenapa semua pihak terlibat berdiam diri? Tak ada sepatah pemakluman Kelantan terhak sekurang-kurang atas nama wang ehsan dari Bumi Selatan. Mana ketelusan korporat dan prinsip bertanggungjawab atas amanah, sekalipun pemberi amanah tidak membangkitkannya?

Kenapa Datuk Mustapha sibuk tentang Kerajaan Pusat (baca UMNO Kelantan) akan menggunakan wang ini atas nama wang ehsan sekarang? Kenapa beliau tidak menyebutnya sebelum Kerajaan Kelantan membangkitkannya?

Sesudah Kerajaan Negeri membangkitkan, baru nampak kesungguhan untuk 'kebas'.

Rizab gas di medan tersebut dianggarkan sebanyak 47.15 juta boe (kira-kira 264.75 juta kaki padu). Medan ini dijangka mempunyai hayat pengeluaran sehingga tahun 2017.

Bagi keseluruhan blok PM 301, terdapat beberapa medan gas asli dan jumlah rizab gas asli sebanyak 822.6 bilion kaki padu. Bagi medan Bergading, Ular dan Gajah, rezab petroleum adalah 172 juta tong.

Jika Mustapha berjuang untuk rakyat Kelantan, bukan 3 batu nautika pilihan hujjah beliau. Beliau sepatutnya berhujjah, jika selama ini Terengganu dibayar royalti walaupun semua telaganya juga berada di luar 3 batu nautika, semestinya Kelantan juga patut dibayar. Berhujjahlah untuk menguntungkan rakyat Kelantan, bukan menafikan hak rakyat Krlantan, kalau Mustapha meletakkan kepentingan rakyat lebih dari politik kepartian.

Nampaknya Ahmad Said, MB Terengganu jauh lebih matang dan mengutamakan kepentingan negeri lebih dari kebanyakan pemimpin UMNO Kelantan. Saya hairan.

Mustapha kena belajar dari Ahmad Said. Jangan segan menalipon Ahmad Said bertanyakan kedudukan sebenar. Jangan nanti Mustapha tersangut di gurun pasir rasa diskriminasi tak berkesudahan. Kalau pun Mustapha ada kuasa menyekat pembayaran apa yang terhak kepada Kelantan kerana beliau Menteri Pusat, fikirlah dengan naluri rasa serumpun dan sikap pemimpin ulung.

Segala daya kreativiti anak Kelantan dan semangat juang yang tak pernah padam, Mustapha akan hanyut jika ia mahu kekal sebagai tunggul mati tanpa perasaan di tengah perjuangan yang akan dibangkitkan sendiri oleh anak Kelantan yang cintakan keadilan atas segala hasil mahsul yang telah dianugerahkan Tuhan.

Friday, January 01, 2010

Positif, Bergerak Positif

Pertuturan dan tulisan - menggunakan kata-kata.
Ucapan, syarahan, percakapan biasa. SMS, blog, rencana.
Sepanjang kata dan tulis - qaulan - Al Qur'an menurunkan antara lain seperti berikut;
- qaulan sadiidan - perkataan yang benar/words of appropriate
(comfort)
- qaulan baliigha - perkataan yang berbekas pada jiwa /
word to reach very souls
- qaulan kariima - perkataan yang mulia/reverent speech
- qaulan maisuraa - ucapan yang ringan/gentle speech
- qaulan 'aziima - kata-kata yang buruk/a dreadful saying
- qaulan layyinan - kata-kata yang lemah lembut/mild manner
- qaulan ma'ruufan - perkataan yang baik/speak in a kindly way
- ahsanu qaulan - kata-kata terbaik/better in speech
- qaulan tsaqiilan - amanah yang berat/weighty Message
Ada istilah lain dipakai Al Qur'an, yang akan kita kunjungi waktu yang lain.
Qaulan ma'rufaan muncul empat kali. Qaulan sadiidan dua kali.
Kata positif adalah anjuran Al Qur'an.
Kata-kata - datang dari pemikiran kita. Pemikiran positif meluncurkan kata-kata positif. Kata-kata positif menggerakkan manusia. Kata-kata negatif, selepas tidak berkesannya kata-kata positif, untuk tujuan-tujuan tertentu yang terpilih.
Negatif ketika memberikan amaran. Positif dalam banyak urusan.
Negatif atau positif - kebenaran asas ukuran. Tidak yang lain, melainkan kebenaran. Pedas, manis, pahit dan apa jua rasa.
Sekadar catitan tahun baru. 2009 telah berlalu. Allah ampunkan segala kesilapan kita sepanjang setahun. 2010, empat kata kata: Negara Adil Milik Kita.

Kertas Putih Bendera Putih

'Kedudukan aliran tunainya yang kurang memuaskan tidak memungkinkan ia dapat menebus semula baki bon yang diterbitkannya berjumlah RM7.10 bilion." - Lapor Ketua Audit Negara ke atas SYARIKAT PRASARANA NEGARA BERHAD milik MoF.

RM 7 billion baki bon yang tidak akan mampu ditebus. Kerugian berterusan bagi tempoh tahun 2005 hingga 2007 dan kerugian terkumpul setakat 31 Disember 2007 sudah mencecah RM839.81 juta.

Dalam keadaan seperti itu, Rapid KL, anak syarikat Prasarana menjadikan 1,000 buah bas-bas yang masih tampan sebagai 'arwah' lebih awal dari hayatnya. 1,000 bas baru dibeli dan ia dikatakan dibekalkan oleh Scomi.

Adakah ini tidak cukup untuk Kerajaan mengambil tanggunjawab menjelaskan kenapa ia berlaku?

Kali terakhir Kerajaan membentangkan Kertas Putih ialah pada 6 April 1999 di Dewan Rakyat - STATUS EKONOMI MALAYSIA - selepas krisis kewangan melanda negara sejak 1997. Ia dibentangkan oleh Timbalan Perdana Menteri waktu itu, DATUK SERI ABDULLAH BIN HAJI AHMAD BADAWI.

Pada tahun 1986, Kerajaan membentangkan Kertas Putih skandal BMF - melibatkan kehilangan RM 2.5 billion.
Kebocoran akibat kecuaian dan salah urus yang kita bincangkan sekarang jauh lebih besar dari RM 2.5 b Skandal BMF.

Jika skandal RM 2.5 b Kerajaan merasa bertanggungjawab membentangkan Kertas Putih, tak kan dengan jumlah yang berkali ganda lebih besar, Kerajaan hanya mengangkat Bendera Putih.

Kita nakkan Kerajaan berputih tulang unuk memikul tanggungjawab akauntabiliti ini dan bukannya berputih mata semata-mata seperti kehendak PM.

Ambil sahaja amalan runding terus yang berlaku terus menerus dan telah menimbulkan pelbagai mala petaka seperti projek gagal disiapkan, kos meningkat luar biasa tinggi dan projek bermasalah.

Imbas kembali Laporan Ketua Audit Negara sahaja sudah cukup untuk Kerajaan merasa malu untuk tidak mengambl tanggung jawab menjelaskan kedudukan-kedudukan ini.

Runding terus - antara yang sempat disenaraikan oleh Ketua Audit Negara adalah seperti berikut;


1. Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan di Bandar Muadzam Shah, Mukim Anak Bukit, Alor Setar, Kedah - RM287 juta

Jabatan Perdana Menteri (JPM) telah mengeluarkan Surat Niat kepada Syarikat Arah Semangat Sdn. Bhd. pada 26 Ogos 2002 yang dilantik secara rundingan terus untuk melaksanakan projek pembinaan Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan dengan kaedah ‘reka dan bina’.

Ada beberapa tindakan lucu oleh JPM dan MoF, seperti catitan Ketua Audit Negara;

A. Projek ini telah dimulakan pada tahun 2002 dengan Jabatan Kerja Raya sebagai agensi pelaksana. Penglibatan JKR telah dibatalkan pada hari yang sama surat niat dikeluarkan kepada Syarikat Arah Semangat Sdn. Bhd.

Pada 5 November 2004 Kementerian Kewangan telah membatalkan pelantikan Arah Semangat Sdn. Bhd. tersebut serta Syarikat PMN Sdn. Bhd. sebagai PMC dan melantik semula JKR sebagai Penguasa Projek!

Kalau itu belum lucu, baca catitan Ketua Audit Negara di bawah;

B. Semakan Audit mendapati rundingan harga hanya diadakan antara JKR, JPM dan Syarikat Arah Semangat Sdn. Bhd. pada bulan Jun 2004 iaitu selepas 22 bulan daripada tarikh Surat Niat dikeluarkan.

Yang ini lebih melucukan;

C. Hasil daripada rundingan harga yang telah dijalankan, kos projek yang ditawarkan oleh Syarikat Arah Semangat Sdn. Bhd. berjumlah RM350 juta telah dapat dikurangkan kepada RM287 juta. Bagaimanapun, Kementerian Kewangan tidak bersetuju untuk menawarkan projek ini kepada Syarikat Arah Semangat Sdn. Bhd. dan pada 5 November 2004 Kementerian Kewangan telah membatalkan pelantikan syarikat tersebut serta mengarahkan supaya kerja pembinaan bangunan dan infrastruktur dilaksanakan secara tender terbuka melalui beberapa pakej.

Kementerian Kewangan telah mengarahkan supaya kerja tanah yang telah dilaksanakan oleh Syarikat Arah Semangat Sdn. Bhd. berjumlah RM6.24 juta dan khidmat perundingan PMC berjumlah RM2.38 juta dibayar.

Pada bulan Mei 2005, Kementerian Kewangan telah memutuskan supaya Syarikat Arah Semangat Sdn. Bhd. dilantik semula untuk melaksanakan sebahagian daripada projek ini yang bernilai RM151 juta dengan alasan syarikat ini telah menyediakan pelan reka bentuk projek. Sebahagian daripada projek yang bernilai RM136 juta dilaksanakan oleh kontraktor lain yang dipilih secara tender terhad.

Kelucuan flip flop ini memakan korban wang rakyat.


2. Projek Pembinaan Jalan Sapulut - Kalabakan, Sabah - RM 563 juta

Sejumlah RM563.33 juta telah dibelanjakan bagi membina Jalan Sapulut - Kalabakan, Sabah secara design and build. Projek ini dilaksanakan oleh Konsortium F.A. Irama Duta Sdn. Bhd. (kontraktor) yang dilantik secara rundingan terus oleh Kementerian
Kewangan.


3. Landasan Berkembar Rawang-Ipoh - Lebih RM 5.7 billion!

Kerajaan telah melantik DRB-Hicom secara rundingan terus sebagai kontraktor utama dengan kelulusan Kementerian Kewangan. Projek ini dilaksanakan secara fast track, reka dan bina serta kos kontrak ditetapkan secara lump sum bernilai RM2.58 bilion.

Pengauditan yang dijalankan mendapati beberapa kelemahan seperti projek lewat disiapkan menyebabkan kos projek meningkat dianggarkan sejumlah RM1.43 bilion. Kerajaan juga besar kemungkinan terpaksa menanggung sebahagian daripada kos kerugian yang dianggarkan berjumlah RM1.14 bilion. (Kerugian dan peningkatan kos berjumlah RM 2.57 billion)

Ketua Audit Negara seterusnya mencatatkan;

Sehingga bulan Disember 2008, sejumlah RM5.77 bilion telah dibelanjakan untuk melaksanakan projek ini. Jumlah perbelanjaan ini adalah RM1.43 bilion (32.9%) lebih tinggi daripada nilai kontrak asal projek yang berjumlah
RM4.34 bilion!

4. Hospital Pekan, Pahang - RM 81.59 juta

Hospital baru di daerah Pekan, Pahang bagi menggantikan hospital sedia ada dengan anggaran kos berjumlah RM81.59 juta.

Pelantikan kontraktor bagi membangunkan Hospital ini dilakukan secara rundingan terus oleh Jabatan Perdana Menteri.

5. PROJEK PEMBINAAN PELABUHAN PERIKANAN LAUT DALAM BERSEPADU
TANJUNG MANIS, MUKAH, SARAWAK

Pada bulan Januari 2002, Kementerian Kewangan telah memutuskan
supaya projek ini dilaksanakan dengan kaedah reka dan bina serta fast track. Kementerian Kewangan juga memutuskan supaya syarikat usaha sama Juara-HSL-Rheinhold & Mahla JV dilantik secara rundingan terus.

Semakan Audit mendapati Kementerian Kewangan telah melakukan kelucuan melampau sekali lagi.

Bahagian II diluluskan lebih dahulu dari Bahagian I projek!

Bahagian I (kerja-kerja marin iaitu pembinaan jeti, pontun dan
dermaga) pada bulan Julai 2004, sembilan bulan lebih awal dari kelulusan Bahagian I!

Bahagian II (kerja-kerja bangunan, mekanikal dan elektrikal) pada bulan Oktober 2003.

Oleh itu kerja Bahagian II) terpaksa dimulakan lebih dahulu walaupun kerja ini sepatutnya dimulakan selepas kerja pembinaan jeti, pontun dan dermaga (Bahagian I) disiapkan. Melucukan?

Ketua Audit seterusnya mencatatkan;

PENGURUSAN PROGRAM PEMBANGUNAN MODAL INSAN DALAM BIDANG
SAINS, TEKNOLOGI DAN INOVASI

Sejumlah RM500 juta telah diperuntukkan di bawah RMK-9 untuk melaksanakan Program Pembangunan Modal Insan. Bagi tempoh tahun 2006 hingga bulan Disember 2008, sejumlah RM153.73 juta telah dibelanjakan untuk melaksanakan Program ini.


PENEMUAN AUDIT

Pengauditan yang dijalankan antara bulan Ogos hingga Disember 2008 mendapati beberapa kelemahan seperti sasaran skim tidak dapat dicapai sepenuhnya; pembiayaan diberi kepada penerima yang tidak mematuhi syarat kelayakan; kelemahan dalam syarat kontrak perjanjian; kelewatan mengagihkan peruntukan; kegagalan mematuhi syarat perjanjian serta kelemahan pemantauan dan penilaian terhadap pelaksanaan Program.

Kertas Putih boleh membantu Kerajaan memulihkan integritinya. Membantu cadangan mengelakkan kerugian dan kecacatan serupa berulang pada masa depan. Membantu memperbaiki kekurangan kawalan dan sistem. Membantu Najib membuktikan beliau bukan penerus kepincangan-kepincangan lalu. Membantu memulihkan keyakinan terhadap Kerajaan.

Mengapa tidak?