Saturday, January 31, 2009

Jadi Tak Jadi Sebelum Mac

Sukarnya Kerajaan ditadbir bila pilot sebenar ada tetapi dilamun bulan madu pra persaraan.

Nak dikatakan TPM 'in full command', tak boleh. Bos masih ada. Nak dikatakan bos 'still in command' tak boleh. Beberapa keputusan besar telah dirombak. Penswastaan IJN - 'dikaji semula'. Pembinaan LCCT-Labu, tak jadi dilabukan.

Jika kajian penswastaan IJN belum dalam, apa perlunya penswastaannya diumumkan? Jika landasan baru menelan belanja berbillion ringgit tak perlu dibuat kerana landasan sedia ada di KLIA pun tak tergunakan, apa perlunya LCCT-Labu diumumkan?

Apa sebenarnya berlaku? Usaha saat akhir mencipta ganjaran untuk kroni sebelum persaraan?

Jika itu sebabnya, bayangkan tempoh dua bulan lagi aktiviti 'curi buah' saat akhir akan berlangsung. Ibarat kapal, terhoyong hayang.

Adakah negara memerlukan situasi begini? Terutama di saat kita berhadapan dengan kesan krisis ekonomi global yang mula mencengkam.

Inikah reform saat akhir yang dijanjikan oleh PM dalam janji penangguhan persaraannya dulu?

Sebulan ini, PM berbulan madu pra persaraan dengan 'lawatan kerja' ke luar negara. Reform yang diwar-warkan tak muncul tiba. Ketiga isu Kugan melanda koridor kuasa BN, PM tak sepatah pun memberikan komen. Hasilnya, MIC tidak lagi mempertahankan tindakan Kerajaan. Masyarakat India akan mempunyai perasaan suram terhadap BN untuk tempoh masa yang lama dengan insiden Kugan yang ternyata gagal ditangani dengan jitu.

Sayap UMNO sampai dicadang dipotong oleh Pengerusi Jawatankuasa Disiplin UMNO sendiri. Sayap dipotong, UMNO terbang jua?

Ia menggambarkan bukan sahaja kerajaan tak terurus, UMNO juga tak terurus. Pesakit kencing manis kronik, dari segi perubatan, memang perlu dipotong. Adakah UMNO seteruk itu?

Dalam banyak keadaan, mungkinkah UMNO itu sendiri juga dah tak boleh diubati, sekalipun kesemua sayapnya dipotong?

Apa tindakan Presiden UMNO menunggu gilirannya tamat Mac ini?

Kugan: Saksi atau Suspek?

Katakan kita menerima tag line yang digunakan oleh media arus perdana ke atas Kugan: "disyaki terlibat dalam kecurian kereta mewah", (media BM) atau " for suspected car theft" oleh media berbahasa Inggeris - adakah bererti seorang saksi penting sindiket curi kereta telah sengaja dibunuh untuk menutup pecahnya maklumat sindiket berkenaan?

Mungkinkah Kugan sebenarnya adalah seorang saksi penting. Samada dia terlibat atau tidak kita ketepikan. Tetapi Kugan, mempunyai maklumat mengenai sindiket curi kereta. Saksi penting seperti ini bukan kah perlu dilindungi sepenuhnya?

Kematian saksi penting akan membantutkan siasatan dan juga proses pendakwaan kelak.

Untuk media yang dengan mudah cuba memberikan gambaran negatif kepada Kugan, cuba fikir sejenak. Kenapa saksi penting ini mati?

Ia membawa serba kemungkinan.

Sebab itu, Suruhanjaya Diraja siasatan adalah lebih wajar dari siasatan biasa.

Wednesday, January 28, 2009

Perlukah Ustaz Romlang dipecat?


Ustaz Romlang Porigi yang bertugas di Masjid Negara, terkenal  satu masa dulu kerana menjadi saksi sumpah Qur'an dalam kes tuduhan liwat ke atas DSAI menjelang pilihanraya kecil Permatang Pauh. 

Petang ini, saya berpeluang bercakap talipon dengan beliau. Benar, beliau telah menerima satu surat pertuduhan mengandungi empat dakwaan ke atas beliau. Antara lain, kerana naik atas pentas pembangkang menjelaskan penglibatan beliau dalam sumpah itu. Sefaham saya, tidak ada dalam pertuduhan itu yang menyebut kenyataan Ustaz Ramlang dalam isu sumpah adalah tidak benar.

Penjelasan Ustaz Ramlang tidak memuaskan pihak atasan. Beliau telah pun menerima surat pemecatan. Kini, Ustaz Ramlang akan merayu.

Benar. Ustaz Ramlang telah muncul di pentas pembangkang dalam masa kempen. Tetapi kemunculan beliau ialah untuk menyatakan kebenaran dalam isu yang penting itu dalam masa kritikal. Itu memang suruhan Islam. Berkata benar terutama dalam soal kesaksian, walaupun pahit dan mengundang risiko.

Pegawai seperti ini patut diberi pertimbangan berbeza. Kecuali beliau memfitnah, berbohong atau memutarbelitkan fakta.

Melibatkan beliau   tanpa kesedaran  secara mendalam terhadap duduk perkara acara 'sumpah' itulah yang telah menyusahkan beliau. Kerana itu, beliau harus dilindungi, bukan didera dengan pemecatan seperti itu. Kecuali, Kerajaan BN marah tembelang konspirasi mereka terbongkar dan bertindak melepaskan geram lantaran  konspirasi itu dibongkarkan Ustaz Ramlang.

Itu kejam.

Ternyata, Ustaz Ramlang berani, jujur dan menjunjung kebenaran tanpa menghiraukan risiko.

Kugan: BN tak henti-henti lukai perasaan rakyat

Jam 5.30 petang, 28 Jan 2009, empat orang masih di tahan polis di Brickfields untuk 'soal siasat'. Mereka ialah Sdra Sundarajah, Ratha Krisnan, Vadivelavan dan Maniam. Sdra Thanindran juga di balai tetapi bukan ditahan.

Tindakan seperti ini memburukkan lagi keadaan. Melukai perasaan. Menambahkan kebencian. Meningkatkan kecurigaan terhadap tahap profesional polis. Peka terhadap perasaan public juga sebahagian dari tahap profesional tahap tinggi.

Beberapa peguam muda PAS seperti Setiusaha Pemuda PAS Pusat, Peguam  Sabki, Peguam Zul dan lain-lain Alhamdulillah kini berada dio balai untuk membantu mereka yang ditahan. Isu kematian di dalam lokap secara kejam bukan isu satu-satu kaum tertentu. Ia isu semua kita rakyat Malaysia.

Kerana itu, saya berterima kasih kepada rakan saya seperti YB Salahuddin Ayub, YB Dr. Hatta dan lain-lain yang telah berkesempatan hadhir di Hospital Universiti tengah hari tadi sebelum mayat Kugan di bawa ke tanah perkuburan.

Apa nak disalahkan kepada rakyat yang marak dengan kemarahan kalau puncanya datang dari kekejaman kita sendiri? 


Monday, January 26, 2009

Kematian Kugan: Suruhanjaya Diraja Untuk Polis Diraja












Membunuh satu jiwa, sama seperti membunuh manusia seluruhnya. Begitu Al Qur'an menanam rasa kemanusian.

Baik satu jiwa kanak-kanak yang dibunuh tentera Israel, mau pun Kugan, rakyat kita yang mati dalam tahanan polis. Pembunuhan ini tidak boleh dibiarkan tanpa penghukuman.

Kami berpeluang menziarahi keluarga Kugan di Kinrara, Kuala Lumpur dan mendengar sendiri luahan kesedihan keluarga beliau mengenai misteri yang menyelubungi kematian itu. Seluruh badan Kgan cedera parah. Dikatakan Kugan tidak diberi makan dan minum selama tujuh hari, sepanjang dalam tahanan untuk siasatan. Mulutnya berbuih, selain berdarah. Luka berat di seluruh badan. Seakan Kugan dipukul samseng ganas dan bukan dari tahanan polis.

Apa kesalahan Kugan masih belum jelas. Prinsip 'tak bersalah sehingga dibuktikan bersalah' nampaknya tak dihormati. Media menggunakan tag line 'pencuri kereta mewah', untuk memberikan imej negatif kepada Kugan. Kata-kata seperti itu menambahkan lagi luka dan kepiluan kepada keluarga Kugan dan masyarkat India juga.

Jawapan di Dewan Rakyat pada tahun lepas, seramai 1,535 orang mati semasa dalam tahanan polis, hanya dalam tempoh 4 tahun iaitu 2003 hingga 2007. Adakah ini tidak menakutkan? Angkanya tak jauh dengan kematian ummat Palestin akibat serangan Israel!

Jika pelbagai pihak menuntut penubuhan sebuah Suruhajya Siasatan Diraja, ia lebih dari wajar.

Jika Najib berjanji BN akan lebih berjiwa rakyat selepas BN tewas di Kuala Terengganu, kenapa teragak-agak untuk menubuhkan Suruhanjaya Diraja untuk menyiasat kematian Kugan dan 1,535 orang yang lain dalam tahanan?

Besok, Rabu, mayat Kugan akan disemadikan. Diharap rakan pimpinan dan petugas PAS dapat sama mengiringi jenazah beliau.

Jika polis sukar mengesan pembunuh adik Shireen, pembunuh Kugan ada sekitar lokap polis dan sukar untuk dikesan.

Al Qur'an menyentuh jiwa kemanusian manusia yang telah melakukan pembunuhan dan juga manusia lain yang perlu bertindak menyekat perbuatan seperti itu dengan pertanyaan abadi dunia sampai padang Mahsyar: "Atas dosa apakah ia dibunuh" "For what sin they had been killed?" - Al Qur'an, Surah At Takwir: Ayat 9.

(Foto diambil di rumah keluarga Kugan. Hadhir sama, Dato Sri Anwar, MB Selangor, YB Dr Mariah, YB Wee Choo Keong dan lain-lain - 26 Jan 2009)

Saturday, January 10, 2009