Tuesday, March 25, 2008

UMNO Musuh Melayu?

Selepas singgah berjumpa mata dengan Guan Eng dan Timbalan Ketua Menteri, Sdr Fairuz di Komtar, kami mengambil kesempatan melawat saki baki kampung Melayu yang belum ditelan 50 tahun peminggiran tersusun UMNO-Gerakan.

Derita - itulah kata-kata penduduk kampung yang kami temui di Tanjung Tokong dan Jelutung.

Mereka diburu - UDA yang diamanahkan oleh Tun Razak pertengahan 70an, kini doremon yang cukup mereka takuti. Mereka luahkan dalam bentuk foto pimpinan pembangkang, kain rentang, bendera roket, bulan dan keadilan - setiap pelusuk kampung. Apa lagi jika bukan kemarahan, hilang kepercayaan dan kebencian - kepada BN. Tidak hairanlah, BN kecundang.

Rakaman lensa spontan ini adalah rakaman sebuah kebangkitan dan pengharapan. Juga sebuah derita di bumi sendiri. Sebuah lukisan kegagalan yang amat nyata. Sebuah monumen hidup tentang peminggiran Melayu untuk tatapan UMNO tentang erti perjuangan mereka yang telah hilang.






Sunday, March 23, 2008

Ahmad Saidku...

Istana Terengganu berikan perkenan tetapi ada pihak yang beraja di hati sanggup hilang negeri kerana mempertahankan calon tunggal MB mereka. Jalan tengah tak cuba dicari.

Calon kami atau 'perang'. Ultimatum.

Akhirnya Ahmad Said terlantik, walaupun hari ini sebatang kara. Besok lusa, belum tau. Mungkin ada yang berminat. Sekalipun UMNO mengurung kesemua wakil rakyat mereka, berapa lama boleh dikurung?

Tahniah untuk YAB Ahmad Said. Terengganu bukan Idris Jusoh dan Idris Jusoh bukan Terengganu.

Sebagai MB,Ahmad rasa saya, boleh masuk ke Pejabat MB dan boleh meenyemak segala fail atau meminta segala maklumat dari pegawai dan jabatan.

Tolong dapatkan saya laporan penilaian kos sebenar pembinaan masjid kristal. Ikut cakap umum, kosnya tak sampai RM 50 juta tapi belanjanya dikatakan lebih RM 360 juta. Mana satu betul, harap MB Terengganu boleh carikan jawapan.

Kami juga seronok ingin tau berapa sebenarnya yang dibelanjakan untuk program kebanggaan Abdullah, Monsoon Cup. Betulkah lebih dari RM 250 juta setahun?

Untuk tujuan ini, ada baiknya MB Terengganu bukan Idris Jusoh....

Abdullah hilang plot

Abdullah tidak tertekan, walaupun hilang lima negeri. Beliau gembira?

Namun, rakyat tertekan dengan kelemahan kepimpinan beliau yang kian ketara. Terakhir, krisis di Terengganu.

Sebelum pilihanraya, pengundi Cina yang pertama merasa kecewa dengan kepimpinan beliau. Kekecewaan itu tidak dirawat sehingga BN menerima padahnya. Kekecewaan pengundi Cina diikuti pengundi India, seperti yang telah kita saksikan.

Menjelang pilihanraya baru ini, Abdullah melancarkan serangan terbuka untuk menawan Kelantan - tapak Melayu-Islam. Pengundi Melayu seluruh negara tidak kurang ramai yang bersimpati dengan Kelantan, sekalipun mereka mungkin penyokong UMNO. Tema umum ialah, biarkan Kelantan kekal bersama PAS. Biarlah ada keragaman.

Perasaan umum pengundi Melayu itu pun Abdullah sanggup lukai.

Apa yang hendak diperjuangkan Abdullah?

Kini, Abdullah menambah satu lagi musuh - istana.

Ketika segelintir ahli UMNO Pulau Pinang bertempik melaungkan pembelaan Melayu di pulau di mana Melayu telah dipinggirkan selama lima puluh tahun dan UMNO adalah sebahagian dari mekanisma itu, di Perlis dan Terengganu, UMNO pimpinan Abdullah menunjukkan belangnya tidak mengindahkan sesiapa, hatta Raja-Raja Melayu.

Apa pentingnya mempertahankan Idris sehingga badai politik dengan Istana perlu dicipta? Idris saja boleh memimpin Terengganu atau Abdullah ada menaruh rahsia tertentu yang Idris saja boleh menjaganya?

Adakah di sana rahsia tentang perbelanjaan Monsoon Cup atau masjid kristal yang menambat ikatan antara Abdullah dan Idris?

Tidakkah cukup monsoon hujung tahun membadai Terengganu sehingga badai baru pula hendak dicari?

Sultan, atau dalam kes Terengganu, Majlis Pemangku Raja, berhak menolak mana-mana calon yang dicadangkan kerana Sultan bukan robot. Terpulang kepada UMNO mencadangkan nama baru yang boleh diterima oleh kedua belah pihak.

Jika itu pun tak dapat diuruskan, ke mana negara kita akan dibawa?

Adakah Idris begitu perfect sehingga Sultan atau Majlis Pemangku Raja tidak mempunyai sebab dan kebijaksanaan mereka sendiri menolak Idris.

Mungkin ada yang diketahui Sultan atau Majlis Pemangku Raja yang tidak diketahui oleh kita semua.

Thursday, March 20, 2008

Rafidah Perdana Menteri?

Wanita UMNO bersekali dengan Wanita Besinya, Rafidah 'kecundang'. Mereka balik menjaga cucu dan menghayun buaian bila tak disenarai dalam Kabinet baru Abdullah.

Kecuali Rafidah bangkit.

Mana baik Rafidah gugur dari Kabinet atau Abdullah digantikan oleh Rafidah sebagai PM?

Kerja berkesan, Rafidah bila-bila masa lebih baik dari Abdullah. Kalau begitu, mengapa tidak Abdullah yang gugur dan Rafidah menggantikan beliau?

Jaga cucu bukan kerja Rafidah. Kalau dah nak jaga cucu, Wanita UMNO usah berketuakan Rafidah.

Apa punca Rafidah digugurkan selepas dipilih bertanding dan menang? Imejnya buruk? Mana buruk Rafidah berbanding Mat Taib?

Atau kerana Rafidah tulis surat 16 muka pada Abdullah selepas kekalahan BN?

Apa kandungan surat itu?

Sekurang-kurang, Wanita UMNO kena baca dan tau kandungan surat Ketua mereka pada Presiden parti.

Ke mana Kabinet Abdullah?

Reform judisiari? Zaid di kabinet dan Tg Adnan yang dikaitkan dengan pengaturan Lingam di Ibu pejabat UMNO/BN? Tahniah pada Lingam atau pada Tg Adnan?

Kerajaan bersih dan pengisytiharan harta menteri? Tan Sri Mat Taib dan wang dalam guninya? Sudah lesap atau jika wang masih berguni-guni, bagaimana hendak dihitung?

Bebas dari perasa KJ? Mengapa Noh sebagai Menteri penuh dan bukan Husni Hanazlah? Shaziman dari NS? Mat Zain lebih layak dari yang lain?

Betulkah Najib asalnya diberikan peluang menyenaraikan 40% s anggota Kabinet? Saat akhir, semua senarai Najib gugur dan beliau kini keseorangan dalam Kabinet untuk pengukuhan politik Abdullah lebih dari segala yang lain.

Teluskah pengaturan projek dan pengurusan khazanah negara di bawah Kabinet Abdullah, lebih penting dari gimmik politik pengisytiharan harta Menteri yang masih boleh dipusing-pusing.