Tuesday, October 28, 2008

Eurocopter: Najib atau Abdullah kempunan atau keduanya?

Eurocopter permainan siapa - Abdullah atau Najib?

Hari ini, Abdullah umumkan pembelian Eurocopter dibatalkan. Kenyataan pembatalan ini dibuat hanya 32 hari selepas Abdullah yang sama pertama kali mengumumkan mengenai rancangan pembeliannya pada 26 September tahun ini.

Petikan laporan Utusan mengenainya seperti di bawah;

Perdana Menteri berkata, surat hasrat (LOI) telah dihantar kepada Eurocopter untuk membeli helikopter tersebut.

‘‘Pada masa ini Kementerian Pertahanan sedang mengadakan rundingan dengan Eurocopter mengenai spesifikasi teknikal helikopter, klausa perjanjian sebelum menandatanganinya secara rasmi dengan syarikat berkenaan,’’ katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menerima taklimat khas di Wisma Pertahanan di sini hari ini.
Esok, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara dijangka memulakan siasatan mereka ke atas pembelian tersebut. Hari ini, Abdullah mengumumkan pembatalannya. Kata Abdullah, keputusan pembatalan itu dibuat dalam mesyuarat Eksekutif Majlis Ekonomi Kebangsaan yang bersidang dua minggu sebelum ini. Maknanya, sekitar 14 Oktober.

Jika benar mesyuarat Majlis Ekonomi membincang dan membuat keputusan itu dua minggu lepas, ada dua persoalan di sini;

a. Mengapa dua minggu kemudian baru keputusan tersebut diumumkan?
b. Mengapa Timbalan Perdana Menteri seakan tak mengetahuinya apabila Najib, pada 21 Oktober atau tujuh hari yang lalu, membuat kenyataan berikut, seperti laporan Utusan;
Najib ditanya sama ada krisis kewangan global akan menyebabkan kerajaan menilai kembali peruntukan untuk projek pertahanan terutama pembelian helikopter Eurocopter bagi menggantikan pesawat Nuri.
Jawapan Najib, ikut laporan itu ialah;

KUALA LUMPUR 21 Okt. - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kedudukan ekonomi semasa tidak boleh dijadikan satu-satunya kayu pengukur dalam menentukan peruntukan perbelanjaan untuk pertahanan dan keselamatan.

Sebaliknya, Timbalan Perdana Menteri berkata, peruntukan untuk kedua-dua perkara itu perlu kepada pertimbangan tertentu kerana ia melibatkan kedaulatan negara dan ketenteraman awam.

''Kita menilai balik semua projek, bukan hanya yang melibatkan pertahanan untuk memastikan hanya projek yang mampu membawa impak terbaik dilaksanakan.

''Namun, projek yang berkaitan keselamatan dan pertahanan tidak boleh sama sekali diukur hanya berasaskan kedudukan ekonomi semasa.

''Kalau kita guna kayu ukur itu, maka kita tidak akan boleh laksanakan walau satu pun projek pertahanan atau keselamatan,'' katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pusat Mengenai Selat Melaka, Institut Maritim Malaysia (Mima) di sini hari ini.
Kenyataan Najib di atas dibuat seminggu yang lalu, seminggu selepas apa yang didakwa Abdullah keputusan sudah dibuat dalam mesyuarat Majlis Ekonomi Kebangsaan. Mustahil Najib tak mengetahui keputusan itu sehinga kenyataan seperti ini terkeluar dari mulutnya jika memang keputusan itu sudah dibuat.

Dalam kenyataan lain Najib dua hari sebelum itu, Najib menyatakan;

"Dalam mesyuarat Kabinet kelmarin, saya mengusulkan supaya isu pembelian helikopter Eurocopter diperhalusi PAC.

PEKAN 19 Okt. - Kerajaan mengarahkan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) memperhalusi isu pembelian helikopter Eurocopter EC725 bagi menggantikan Nuri sebelum mengambil keputusan untuk membeli pesawat itu.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, keputusan membeli pesawat tersebut perlu dikaji secara mendalam walaupun proses perolehan helikopter itu dikatakan dilakukan mengikut peraturan dan tidak dipengaruhi mana-mana pihak.

Apa mesej yang nak dihantar oleh Najib? 

Ketika ramai menyangka deal Eurocopter didalangi Najib dan komesyen seperti kes kapal selam dan pesawat perang mungkin wujud sekali lagi, Najib terasa isu ini cuba dipalitkan kepada beliau sedang orang lain yang memakan nagka dan orang lain terkena getah.

Benar LOI dikeluarkan oleh Kementerian Pertahanan, dua hari sebelum Najib dipindahkan ke Kementerian Kewangan. Ia nampak macam Najib tergesa-gesa.

Namun, LOI itu mungkin sahaja dikeluarkan atas arahan Menteri Kewangan. Memang pun pembelian seperti itu memerlukan kelulusan Menteri Kewangan. 

Abdullah berpindah dari Kementerian Kewangan ke Kementerian Pertahanan seakan untuk mempastikan deal ini berjalan mengikut yang dirancang bersekali dengan 'hasilnya'.

Pada masa yang sama, ia seakan program Najib dan perginya Abdullah ke Kementerian Pertahanan adalah untuk membongkar dan 'menyudahkan' Najib. Surat Kapt (B) Zahar Hashim ditujukan kepada Najib. 

Bagaimana cara Najib dapat melantunkan semula bola ini ke kepala Abdullah? Najib meminta PAC menyiasat supaya dapat dikenal siapa sebenarnya 'tuan nangka'.

Ia satu 'permainan' tingkat tingi. Berbillion ringgit wang negara jadi pertaruhan.

Sehari menjelang siasatan PAC, Abdullah segera tahu Eurocopter adalah mahal dan negara tak cukup wang kerana dunia dilanda krisis kewangan. Cepat dan pantas. Sebulan, selesai.

Abdullah terkejar masa untuk 'sentuhan' akhir sebelum bersara?

Bila Keangkuhan Berakhir?




Menjelang Deepavalli, 10 orang rakyat kita keturunan India ditahan. Kesalahan mereka, hadhir di Putra Jaya, Pejabat Perdana Menteri.
Nak dikatakan kesalahan mereka terlalu besar dan tidak boleh dikompromikan, mereka direman tiga hari sahaja.
Memejam mata terhadap punca keresahan kaum, adalah bahaya. Melayan mereka sebagai musuh yang tidak boleh dirundungi, tidak memberi apa faedah.
Mendengar seorang kanak-kanak dan dua perempuan turut ditahan, hati kecil saya terpanggil untuk menyekat buli seperti ini.
Hindraf yang telah diharamkan dimomokkan sebagai anti Islam. Ini tidak benar. Rakyat yang cintakan kebenaran dan perpaduan, tidak wajar takut untuk memecahkan agenda media dan propaganda perpecahan. Jika tidak, buli akan berterusan.
Atas hasrat itu, saya muncul menunjukkan simpati saya kepada keluarga mangsa yang ditahan di hadapan balai polis Putra Jaya.
Mesej saya ialah, masa untuk tunduk pada agenda media yang cuba mengasing-asingkan kekuatan kebangkitan mencabar keangkuhan kuasa sudah tamat. Kita perlu bersatu. Media arus perdana bukan penentu perjalanan perjuangan kita.

Utusan-MCA-DAP

Ke mana Utusan?

Malang nasib Utusan. Peluru berpandunya ditujukan kepada DAP. Ia menjadi agenda post pilihanraya tak tertulis Utusan.
Orang Melayu nak dibangkit marahkan DAP. Pakatan Rakyat di mana DAP adalah satu dari komponennya, akan ditolak oleh orang Melayu. Itu game-nya.
Malang, nampaknya serangan datang dari dalam BN- MCA. Dua Timbalan Pengerusi BN. Hapus quota pemilikan saham syarikat GLC. Naib Ketua Pemuda UMNO perlukan diISAkan. UMNO digelar pembuli dalam BN.
Elok ada penulis menulis cerpen. Menulis sajak. Untuk MCA pula. Utusan terus bermain api. Hasilnya?
Utusan gunakan jaluran berbau kaum. Pulangannya adalah isu kaum dan pendekatan kaum juga yang akan berpusing balik.
Pendekatan perkauman tidak boleh menyelesaikan isu perkauman. Kaum kita terdesak, kaum lain juga terdesak. Kaum kita mendesak, kaum lain juga terangsang mendesak.
Fikir dengan masak.

Tuesday, October 21, 2008

Menunggu Keberanian MCA

Tidak terlambat untuk saya ucapkan tahniah kepada Ong Tee Keat yang telah ditemukan jodoh menjadi Presiden MCA.
Takziah pula kepada MCA yang mendapat Timbalan Presiden, role model yang bersalahan dengan masyarakat Malaysia yang bersusila.
Saya tertarik dengan motto Ong Tee Keat untuk membawa MCA bersikap berani.Berani untuk apa?
Berani untuk mempertahankan kepentingan rakyat atau berani menekan UMNO untuk menyerahkan sebahagian keistimewaan UMNO menggunakan kedudukannya membolot kekayaan negara, supaya dapat dikongsi bersama oleh MCA?
Ong boleh membuktikan hala tuju keberaniannya dalam beberapa isu current;
a. Isu kerugian besar Zon Perdagangan Bebas Pelabuhan Kelang tinggal belum berjawab. Menteri Pengangkutan waktu itu adalah dari MCA. Beranikah Ong mendedahkan kedudukan sebenar isu ini?
b. Isu pembelian Eurocopter yang menimbulkan tandatanya;
i. Siapa sebenarnya meluluskan? Menteri Kewangan - pada waktu itu PM sendiri? Menteri Pertahanan - yang kini dipindahkan ke Kementerian Kewangan?
ii. Sejauh mana pembelian ini dibuat dengan perkiraan terbaik untuk negara?
Apa pendirian MCA??
c. Sejauh mana MCA boleh keluar dari parti yang memperjuangkan kaum Cina semata-mata kepada memperjuangkan asas-asas good governance dan keadilan dan kesaksamaan tanpa mengira kaum?
Quotation dari Aristotle di bawah saya hadiahkan untuk Ong;
"Men acquire a particular quality by constantly acting a particular way... you become just by performing just actions, temperate by performing temperate actions, brave by performing brave actions."

5 B untuk siapa?

Tidak jejaskan Malaysia – kata Menteri Kewangan – mengulas kesan krisis kewangan global.
Semalam, Menteri Kewangan umumkan RM 5 B untuk menampung pasaran saham Negara kita. RM 5 B – bukan jumlah yang kecil. Ia lebih besar dari wang yang kerajaan pernah jimatkan dengan menaikkan harga petrol/diesel yang telah menyulitkan kehidupan rakyat satu masa dulu - lebih sedikit RM 4 B dikutip dari rakyat sehingga rakyat merasa menderita.
Apa istimewanya syarikat tersenarai di pasaran saham yang diumpankan ‘hantaran’ sebesar itu? Tak kena gaya, RM 5 B hilang sekelip mata bila dicampakkan ke lubuk pasaran saham yang belum terhenti merudum.
Langkah memperuntukkan RM 5 B untuk pasaran saham tetapi sepi dalam langkah-langkah meringankan beban rakyat dan merancakkan ekonomi, adalah langkah berat sebelah.
Mengapa wang sebesar itu tidak boleh diuntukkan bagi merancakkan ekonomi Negara – seperti langkah pump priming atau insentif fiscal yang lain.
Dua isu besar yang dihadapi oleh rakyat ialah: kos hidup yang amat membebankan dan kedua, ekonomi yang lembab termasuk kejatuhan harga komoditi utama.
Langkah-langkah mudah dan segera boleh dilakukan kerajaan untuk menurunkan kos hidup dan belanjanya tidak sebesar yang diperuntukkan untuk melonjakkan pasaran saham yang ternganga luas. Antaranya, menurunkan semula tariff elektrik selari dengan penurunan harga minyak kerana asas yang digunakan oleh kerajaan untuk menaikkan tariff elektrik dulu ialah kenaikan harga minyak. Bila minyak sudah turun, tariff elektrik kekal tinggi, mengapa?
Kerajaan juga boleh menurunkan harga gas memasak seperti dicadangkan Persatuan Perlindungan Pengguna Malaysia (PPPM. Harga tabung gas memasak 14 kilogram dinaikkan kepada RM24.50 ekoran kerajaan mengumumkan kenaikan harga bahan api tidak lama dulu dan belum diturunkan.