Ramadhan – bulan AJAIB – sudah tiba. Keinginan untuk mendekat, serta merta bertambah. Sebuah tarikan yang kuat. Kita ingin menjadi manusia baru melalui proses The Power of 30 days.
Bulan retreat – segala perlakuan biasa kita – kita tinggalkan pada genap 30 Sya’aban, melangkah masuk ke hari pertama Ramadhan dengan program komprehensif – bertubi-tubi.
Hari biasa – jadual sarapan, makan tengahari dan malam – kini - kita berlapar. Haus. Lintasan fikiran kita terus ke Padang Mahsyar dengan segala kehausan dan kelaparan – lama – dan berat. Tak tertanggung. Bukankah, timbul keinsafan untuk kita menjadi manusia baik yang tidak akan kelak menderita tanpa sesiapa menjenguk menghulur segelas Coca Cola di Perhimpunan Pembalasan yang ngeri itu.
Perut yang kita rajakan selama ini mengempis, membakar lemak-lemak yang telah kita kumpulkan setahun lamanya, lalu tidakkah hati tertumpah kepada para fuqara’, anak-anak yatim dan mereka yang melarat, di mana kelaparan adalah hiasan hidup mereka.
Hati kita menjadi lebih syahdu. Keinsanan seorang insan. Dan keihsanan seharusnya segera memancar…. , lalu anda menjadi pemurah. Bukankah itu selanjutnya menambahkan pertautan kasih sesama insan – concern n caring? Paling tidak, anda hulurkan semangkuk kuah, pada jiran anda, kata Rasulullah.
Kita dahulukan dengan sahur. Kita dipaksa, ya, dipaksa 30 hari dalam setahun untuk bangun pada waktu yang sukar – tapi penuh berkat. Waktu Tuhan menjanjikan pengampunan dan kurnia, waktu si mukmin bertekuk “…pada waktu Sahur, mereka memohon keampunan…” (Az Zaariyat:18)
Al Qur’an? Ia ‘e mail’ Tuhan untuk kita. Tapi kesibukan kita, atau sebenarnya sikap tak endah kita, kita lupa membaca warkah yang mahal itu. Kita, kita gelarkan diri kita para pejuang Islam, juga lupa mentela’ahnya…… ah? Ramadhan merayu kita untuk berfikir semula tentang Qur’an dan kita.
Dalam qiam Terawih yang indah dan dalam sayup suara di mana-mana, alunan Qur’an membawa kita membacanya dari lembar ke lembar, sehingga tamat. Suluhan petunjuknya kita sematkan di dada, kisah dan teladan kita telusuri semula, hikmah dan maknanya, kita studi sekali lagi. Harapan dan suruhannya, kita perkukuhkan azam menghayatinya. Larangannya, kita tidak biarkan ia berlalu tanpa menyentuh hati kita untuk berubah.
Bulan ulangkaji. Bulan koreksi diri. Bulan mengisi tangki bekalan iman dan taqwa.
Bulan kesabaran. Jika ada yang mengherdik dan menyakiti hati anda, katakanlah pada mereka, “Saya berpuasa. Saya berpuasa. Saya berpuasa.”
Ia tidak mudah. Tapi kan Ramadhan itu meninggalkan yang buruk-buruk di pagar harinya yang pertama. Kata Rasulullah, berapa ramai orang yang berlapar, berdahaga dan berdiri malam, ia hanya sia-sia? Malang sekali. Ini yang seharusnya paling kita takuti. Dalam asyik mengejar ganjarannya, kita terlepas semuanya.
Bukankah ini sahaja sudah cukup untuk mentransform individu dan masyarakat Islam seluruhnya melalui Ramadhan Kariim?
Ahli Parlimen, para Menteri dan pembuat dasar, karyawan, pengarang dan penulis, peniaga, pekerja - berpuasa dengan ingatan ini – mana lagi kacau bilau dan hiruk pikuk yang tak menentu dalam masyarakat Malaysia kita?
Menasabahlah, Allah menjanjikan keampunan kepada hambanNya yang 'berpuasa' dengan keimanan yang penuh.
Berikanlah kami peluang mengutip kuntum-kuntum pahala yang mekar mewangi di RamadhanMu, wahai Maha Pengasih. Jambangannya menghiasi Malaysia Baru dengan pemimpin dan rakyat yang bertaqwa, satu masa. Teduhan dan bekalan kami untuk ke syurgaMu……
Alangkah bahagianya, sekali lagi Engkau izinkan aku menemui RamadhanMu yang Pemurah…….
Sunday, August 31, 2008
Thursday, August 28, 2008
Sdr. Sukri Daud - hubungi saya
Rindu nak bertemu mata dengan Sdr Sukri bin Daud. Phone beliau - 013 - 9612414. Kalau ada masa, sila hubungi saya.
Saiful Anzani: Semoga syahid.......
Mohamad Saiful Anzani bin Rozi, meninggal pagi ini, selepas kemalangan teruk, 26 Ogos. Beliau bertugas mengiringi saya pada hari pilihanraya di Permatang Pauh.
Saya tak sempat mengenali beliau. Tau-tau kemalangan, itu pun diketahui oleh anggota yang lain sesudah pilihanraya berakhir.
Salam takziah kepada keluarga telah saya sampaikan melalui talipon kepada bapa beliau.
Semoga Saiful diterima sebagai syuhada'. Bukan kerana beliau meninggal selepas kemalangan kerana bertugas mengiringi saya, tapi itu kan apa yang selalu dinyanyikan oleh anggota Unit Amal. Saiful adalah anggota Unit Amal Permatang Pauh.
Saiful hanya seorang penjual burger. Permatang Pauh, menyaksikan anak-anak muda penuh semangat seperti Saiful sedang mencipta gelombang kebangkitan. Pemuda di mana-mana. Laungan pemuda di sana sini. Mereka inginkan sebuah kerajaan baru. Itu yang terpapar, itu yang terjelma.
Saiful juga. Penjual burger yang kerdil tapi bersemangat jitu ini inginkan sebuah pengakhiran kepada penyelewengan dan korupsi. Politik kaum yang sempit sebagai modal mempertahankan kerajaan korup di ambang keruntuhan. Ukuran akhlak sudah hilang, hukum Islam jadi permainan, penindasan demi penindasan.
Sayang, Saiful tak sempat menghirup kejayaan sebuah perjuangan yang sedang menanti.... namun, didoakan anda sedang berehat di ambang syurga - atas niat tulus mu dan pengorbanan orang sekerdil mu....
Sebagai rakan berkebajikan, YB Ahli Parlimen Kota Bharu dalam perjalanan ke rumah Saiful membawa sedikit sumbangan bersama untuk keluarga Saiful yang tak sempat ku kenali.
Dirgahayu dan syabas untuk para pemuda perubahan...!
Kuburkan media 'gila', politik kejam
26 Ogos, Gunung Karakatao meletus, menukar muka bumi dalam banyak segi. Tahun 1883, peristiwa menakjubkan itu berlaku.
SPR memilih 26 Ogos 2008 untuk Anwar dinobatkan sebagai Ahli Dewan Rakyat oleh pengundi Permatang Pauh, selepas sepuluh tahun pembunuhan karakter dilakukan ke atas beliau. Sama tarikh dengan letupan besar Karakatao.
Dalam kes Anwar, pembunuhan karekter, tidak semestinya mematikan karier seseorang, bahkan mungkin mengangkat-tinggikan lagi martabat dan penghormatan. Semalam dicaci, besok disanjungi.
Pujian tidak membawa leka, tidak pula longlai dengan caci maki dan fitnah. Itu prinsip pemimpin. Kental dan pejal.
Menghampiri tarikh 26 Ogos, serangan bertambah sengit. Tidak pernah media arus perdana 'segila' ini. Bersekali pemimpin utama UMNO/BN, mereka menggadaikan saki baki maruah diri mereka dalam satu kempen yang sungguh jejek dan hina. Ganas dan tak berperikemanusian.
Apa hasil? Kejayaan Anwar. Majoriti PKR meningkat. Undi BN menurun. Undi Melayu dan bukan Melayu juga lebih meningkat. Anwar mendapat 62% undi Melayu, naik 3% berbanding Mac lepas, dan 78% undi bukan Melayu, naik 1% - menjadikan keseluruhan undi Anwar 67%. Satu peratus lebih tinggi dari undi PM di Kepala Batas, Mac lepas (66%).
Rakyat lebih matang. Di mana media dan pemimpin seperti ini nak menyimpan malu?
Karakatao mengubah landskap dunia. Rakyat Malaysia menunggu perubahan landskap politik Malaysia selepas 26 Ogos.
Menunggu berakhirnya media ganas dan politik kotor tanpa batas - penantian yang lama. Media dan ahli politik bersendikan hukum, berpagarkan akhirat, bermatlamatkan ibadah, berpaksikan kebenaran dan keadilan, berhiaskan kejujuran. Bukan untuk Anwar. Untuk Malaysia tercinta. Untuk generasi Malaysia akan datang.
Wednesday, August 20, 2008
BN Panik?
Dua Exco Perak ditahan reman BPR - ia kes rasuah tulin atau satu agenda politik? Begitu hati saya tertanya. Mesej untuk Permatang Pauh? PKR sama rasuah dengan UMNO dan BN. Mengapa undi Anwar?
Projek Perumahan di Seri Iskandar bernilai RM 180 juta? Adakah projek ini wujud dan telah diluluskan dalam mesyuarat Exco?
Semakan saya dengan pegawai pihak berkuasa Negeri Perak menunjukkan projek ini tidak pernah diluluskan oleh Exco Kerajaan Perak. Bagaimana rasuah boleh berlaku atas projek yang tak pernah diluluskan?
Scenario cara dua Exco ini ditangkap perlukan penelitian lanjut, sebelum kita merumuskan motif penagkapan ini dengan lebih jelas.
Kemaraan Anwar melalui Permatang Pauh, memungkinkan ramai pihak mula panik. Tidak mustahil, cerita sensasi seperti ini adalah sebahagian komplot menyekat kemaraan dan kebangkitan.
Dalam kehangatan suasana seperti ini, hati-hati menerima berita. Tunggu hingga keadaan lebih jelas.
Subscribe to:
Posts (Atom)