Friday, August 31, 2007

KEMERDEKAAN MILIK RAKYAT

Kemerdekaan, kadang kala seakan milik orang yang berkuasa, parti yang berkuasa. Ia bukan lagi milik seluruh warga rakyat.

Kemerdekaan adalah penjajahan baru. Bernama kongkongan.

Satu pihak bebas mengongkong pihak yang lain – itukah kemerdekaan?

Anda masih remaja – mungkin anda adalah lebih merdeka.

Anda memasuki universiti – aktivisma mahasiswa segera dibalut oleh sebuah Akta – namanya Akta Universiti – dan berdiri di situ ‘Gabenor’ UMNO-BN untuk memastikan cengkaman itu terasa. Lihatlah pilihanraya kampus yang penuh jenaka. Gabenor ini miangnya lebih dari Gabenor British yang kita halau dulu.

Kebebasan akademik? ‘Gabenor-gabenor’ 'penjajah' sangat berbau politik kepartaian sifatnya bertaburan di mana-mana kampus. Mereka dilantik atas pertimbangan politik – untuk berkhidmat kepada sebuah autoriti politik sebagai ukuran paling utama. Lantas, di mana kemerdekaan para ahli akademik kita? Melainkan kongkongan. Tanpa kemerdekaan, kita akan cemerlang?

Anda melangkah keluar ke alam kerjaya – Aku Janji sedang menunggu anda. OSA memenjarakan anda. Sepanjang hayat anda. Anda dikongkong.

Anda rakyat biasa yang hauskan kemerdekaan maklumat? Anda adalah anak jajahan media arus perdana. Anda cuba merobek tirai manipulasi berita? Anda cuba mencuri untuk mengecap kemerdekaan dari perhambaan media seperti itu lewat internet, blogs dan web berita? Geger! Anda kurang patriotic kerana berkawan dengan ‘monyet-monyet’. Anda dikongkong.

Jerkah, ugutan dan jangan lupa ISA yang setia menunggu. Itu semua alat sebuah kemerdekaan?

MTUC pun diugut untuk ditutup. Merdeka….

ISA hanya sebuah pisau yang boleh digunakan oleh ‘tuannya’ untuk menghiris orang lain. ‘Dua ditangkap kerana SMS perkauman.’ Bagaimana dengan orang yang menghunus keris sebegitu panjang dengan laungan perkauman? Tidak, ia berlindung di balik kuasa.

Ekonomi - jaring penjajahan yang lebih mencengkam. Bila anda berada dalam baris elit kuasa, anda bebas ‘merompak’ atas apa sahaja nama.

Ingat – ketika anda melewati lebuhraya utama dan singgah di plaza tol, ia sebuah kemajuan atau sebuah rompakan kecil kemerdekaan anda? Elitis yang kecil mendapat sebuah lesen, dan untuk tahun ini PLUS telah mengumumkan ia meraih lebih setengah billion (RM 583 juta) keuntungan untuk separuh tahun 2007 - tetapi kadar tolnya mesti naik saban masa. Aku tidak herankan kos yang aku harus biayai untuk sebuah kemudahan tetapi keuntungan besar atas sebuah keperitan adalah mencabut kemerdekaan ku….

Anda elitis kuasa, anda bebas dan merdeka. Port Klang Free Zone – tanah kerajaan dijual kepada – ahhh – engkau pun tau siapa, jika tidak apa yang dipanggil kroni - di jual balik kepada kerajaan – dan orang yang amat kecil bilangannya ini, amat kecil sehingga boleh dihitung dengan jari tangan tak perlu masuk jari kaki – ketawa riang dengan keuntungan satu ribu lapan ratus juta tolak kos beli, sembilan puluh lima juta. Keuntungan bersamaan lebih satu perpuluhan tujuh ribu juta!

Dan anak bangsaku yang masih merempat sesak, semua kaum, kita heret zaman berganti zaman menghiasai kemerdekaan kita.

Kemerdekaan ku di mana? Di mana odit atas akaun PKFZ sebelum kerajaan bail out? Di mana pembentangan dan kelulusan Parlimen? Di mana ketelusan, di mana kewajaran?

Bukankah ketelusan itu adalah ciri utama sebuah masyarakat merdeka? Jika tidak, kekayaan Negara hanya akan dikaut oleh orang hitam sebagai ganti orang putih bangsa penjajah yang telah kita halau dulu. Itukah yang engkau mau dari sebuah kemerdekaan?

Anda sebut Parlimen? Lambang sebuah demokrasi?

Sepuluh tahun sekali parti yang berkuasa boleh mengatur kekuatannya melalui proses ‘sempadan’ semula. Ah, kemerdekaan itu adalah kebebasan mengatur untuk parti berkuasa…

Dan pilihanraya? Pilihanraya yang bebas? Jika pilihanraya kampus yang tidak akan mengubah apa-apa kuasa Negara, kaki dan tangan mahasiswa diikat, adakah mungkin pilihanraya yang boleh menukar tampuk kuasa, anda mengharapkan ia bebas – dari politik wang – anda sendiri tau, dari kongkongan media, anda sedia arif, dari penipuan?

Undi Myanmmar dan orang Thai kadang kadang boleh mengalahkan suara anda Anak Malaysia. Oh, kemerdekaan ku….

Anda belum menghitung penjajahan janji-janji. Maksud saya, ada lagi rakyat Malaysia rebah dengan janji pilihanraya lima tahun sekali. Setiap lima tahun, mereka memperbaharui penjajahan……

Dan kini, cendawan koridor berhamburan. Koridor sana, koridor sini. Feel good factor, kawan…

Modus operandi penjajahan baru ini ialah ekonomi. Tanpa tender, aneka projek diagihkan. Kini, kepada pemimpin pemuda mereka. Dijual segera bila projek diperolehi. Kos projek melambung-lambung. Wang negara mengalir bagai air. Untung segera. Keuntungan digunakan pula untuk membeli undi dalam parti dan dalam pilihanraya.

Pemilihan parti akan diadakan selepas pilihanraya. Kuasa digunakan untuk memberikan projek untuk mengumpulkan sokongan. Sokongan membawa kepada kuasa. Kuasa kepada kekayaan.

Wang memberikan kuasa. Kuasa memberikan wang.

Bagi massa generasi baru, basuh otak mereka di PLKN. Mana-mana yang telah terlekat jalur 'UMNO' di jiwa mereka, boleh menyertai skuad elit kuasa, boleh berkongsi kekayaan juga kuasa, atas harga yang terpaksa dibayar oleh negara.

Pada hakikatnya, kita semua adalah hamba mereka. Kemerdekaan kita telah disamun.

Anda bukan anggota parti kerajaan – anda kurang patriotik Anda dari baka bukan pejuang kemerdekaan.

Bapa beli bas dijual oleh anak (Scomi - RapidPenang). Patriotik?

Abang lancar nasi kandar adik di luar Negara. Patriotik?

Promosi Kebaya mengingati al marhumah isteri di luar Negara. Patriotik?

Aku penjual nasi dagang, nasi berlauk, keropok dan pedagang batik, promosi luar Negara tidak mungkin menjengok kerana aku adalah rakyat biasa pengundi setiamu… Sekalipun aku adalah rakyat teramai, tetapi adik, isteri dan anak juga diingat orang.

Terengganu merdeka seiring dengan royalti minyak yang lumayan. 16 % rakyatnya di bawah paras kemiskinan dan 54% rakyatnya berpendapatan bawah RM 1,500 dan anda katakan ini kemerdekaan?

Mentaliti terjajah atau mentaliti penjajah?

Apa jadi pada peta Semenanjungku? Semakin mengecil dengan peluasan wilayah Singapura lewat pemilikan tanah dan penempatan penduduk di WPI. Bakal menjadi 3 juta orang warga Singapura akan menetap di WPI, unjuran Tun Dr. Mahathir.

Itu peluasan wilayah namanya. Apa perlunya Jawatankuasa Bersama Kabinet dengan Singapura untuk WPI? Kekuatan strategic mereka akan ditekankan ke atas Negara kita dan menerusi apa yang digelar pembangunan, kita kehilangan kedudukan yang akan memberikan kesan politik yang tak berkesudahan.

Jika dengan semangat merdeka kita pernah satu masa menguasai semula gergasi perniagaan dan perladangan yang dimiliki orang putih, kenapa pula kini kita perlu menjual wilayah kita?

Kemerdekaan kita telah dihijack. Malang.

Pemandu teksi, dipenjara oleh palang kronisma yang lain pula. Mereka harus bekerja kuat untuk taukeh-taukeh yang goyang kaki. Taukeh ini memiliki permit-permit yang memberikan keuntungan percuma sebegitu lumayan. Itu bukan pemerasan namanya? Pemerasan bukan penjajahan?

Belum diambil kira AP, klon atau bukan klon. Monopoli itu, monopoli ini. Ah…, jaringan ‘penjajahan’ oleh anak bangsaku sendiri?

Anda belum memeriksa sudut akhlak dan moral. 1.5 juta (atau lebih) generasi merdeka ‘lintuk.’ Mereka dijajah oleh dadah dan tak berupaya bangkit. HIV datang tak diundang tetapi jika dibiarkan, bangsa boleh pupus.

Apa agenda untuk anak bangsa Malaysia ku ini? Sure Heboh dan Jom Heboh? Kampung Hadhari?

Biarkan mereka rebah di persada noda? Menjelang 2020, mereka makin biak – dijangka 3.5 juta. Mereka merdeka dalam khayal yang panjang tetapi, ah, mereka mangsa kemerdekaan tanpa agenda yang ada pedoman? Mereka telah rebah dijajah tetapi apa pemerentah telah lakukan untuk memberikan semula ruh kehidupan?

Dan anda teringatkan keselamatan kita semua?

Pengganas komunis telah diganti dengan pengganas baru. Fenomena jenayah seakan sinonim dengan kemerdekaan kita kebelakangan ini. Ia bukan lagi berlindung di hutan belantara tetapi ada di mana- mana di tengah kehidupan kita. Dari Perlis sampai ke Sabah, mangsa boleh ada di mana saja.

Anda katakan kemerdekaan itu keamanan. Dan kesejahteraan. Kenapa ada ketakutan? Bimbang mencengkam kehidupan.

Di mana polis?

Polis harus menjaga polis? Kata-kata yang mungkin keterlaluan. Tetapi jika barah yang melanda kita semua tidak diubati, tren polis menjaga polis dari melakukan jenayah, akan berkembang. Altantuya – ya – polis, nama polis disebut. Disebut di sana sini. Bekas Ketua Polis menyebut tentang pagar makan padi.

Benar, seekor kerbau membawa lumpur, membawa nama polis, BPR atau apa sahaja ‘pagar-pagar’ kita, disebut orang dengan nama kurang enak. Jika dibiarkan, kerbau-kerbau berlumpur ini akan membiak dan kita akhirnya hilang satu cebis lagi kemerdekaan kita.

Anda bertanyakan tentang kedaulatan undang-undang, tentang kehakiman, tentang prinsip yang jahat tetap menerima pembalasan bukan pelepasan. Anda berbisik, mahkamah kita pentas jenaka. Hakim kita?

Anda rakyat yang merdeka. Anda ukur. Andakah yang merdeka atau orang yang berkuasakah yang merdeka?

Padahal asalnya, kemerdekaan milik kita semua.

Salam kemerdekaan....

Sunday, August 12, 2007

MANA SATU POLIS, MANA SATU PENJENAYAH? TUN HANIF

POINT OF VIEW
By TUN HANIF OMAR
The Star

The police force and the Anti-Corruption Agency – two crucial institutions leading the fight against malpractices and corruption. Yet they are sadly disappointing in their inability to even clean up their own backyards.

The first we all know because among the first things that this government did after the last general election was to convene a Royal Commission from February 2004 to enquire why that institution had gone so far down the road of self-destruct and to make recommendations as to how to enhance again its operations and management. That was our Polis Diraja Malaysia (PDRM).

I briefed the Royal Commission that police corruption was so extensive that a very senior ACA officer had confided in me and another top retired police officer that 40% of the senior officers could be arrested without further investigations – strictly on the basis of their lifestyles. One state police chief had a net worth of RM18mil. My friend and I had watched the force getting deeper and deeper into the morass of corruption."

Petikan tulisan bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar dalam Sunday Star semalam, adalah satu tamparan terbuka.

Sebagai bekas Ketua Polis, bercakap mengenai polis, tentulah menjadi penumbuk yang cukup berat 'weight'nya. Ia ada authoritative appeal.

Kerajaan Abdullah mesti memberikan respon segera terhadap beberapa isu yang dibangkitkan.

a. Rasuah di kalangan anggota polis termasuk berpangkat tinggi adalah berleluasa. 40% pegawai tinggi polis boleh ditangkap tanpa penyiasatan panjang kerana kehidupan mewah melebihi pendapatan boleh dijadikan ukuran.

b. PDRM masih tidak dapat memulihkan imejnya walaupun Laporan Suruhanjaya Diraja telah dikeluarkan lebih dua tahun setengah yang lalu. Cadangan Suruhanjaya Diraja itu sia-sia.

"The Royal Commission Report was made public two-and-a quarter years ago, yet PDRM has still not burnished its image. It is still mired in controversy."

"By not letting the IPCMC see the light of day after such a long study by the AG speaks volumes of the AG’s understanding of the seriousness of the problem and its effect on the criminal justice system."

c. Pegawai atasan polis terbelah dua. Satu pihak menahan apa yang dikatakan penjenayah dan satu pihak lagi dengan kerjasama BPR menyiasat pihak yang menahan apa yang dikatakan penjenayah.

" It is so clearly divided into at least two groups at the top and, consequently, affects the officers below. That is why one group carries out arrests of alleged crime kingpins and the other group and the ACA have allegedly interrogated the arresting officers in the belief that the first group is eliminating the informants of the other group.

"Whom can we believe when one group is headed by the IGP and the other by a police director backed by the Deputy Minister of Internal Security? They are at opposite poles."

d. Sejauh mana benarnya kenyataan Peguam Negara bahawa kedua-dua Ketua Polis dan Timbalan Menteri Dalam Negeri bersih dari tuduhan rasuah terhadap mereka tidak dapat dipastikan.

"Both the IGP and the Deputy Minister of Internal Security have allegations of corruption thrown at them but both have been investigated by the ACA, the content of the reports to the AG we do not know. What we know is that the AG has absolved both of them. So, between the two, whom are we to believe?"

e. Peguam Negara hilang kredibiliti

"The AG himself has lost his credibility for this recalcitrance and for his “defeats” in recent high profile cases as well as for some high profile cases not seeing the light of day after so long in his hands: and this is disastrous because his Chambers is the second other vital institution in the criminal justice system."

f. BPR telah gagal sepenuhnya bertindak terhadap ikan jerung

"The ACA is another vital institution. It is its abject failure to act hard against the highly corrupt at the very top levels all these years that has allowed this pervasive corruption culture to thrive and grow within the public sector."

Tulisan ini memuatkan dakwaan-dakwaan yang berat. Fenomena serius yang dibangkitkan oleh Tun Hanif ini boleh meruntuhkan negara.

Dakwaan ini tentunya tidak boleh dibiarkan berlalu. Kerajaan perlu memberikan respon. Jangan sekadar secepat kilat memberikan respon tentang '40 kerusi BN hilang' tetapi membisu dalam isu kritikal seperti ini.

Laporan akhbar The New Straits Time hari ini, memperkukuhkan lagi dakwaan Tun Hanif dan buah mulut rakyat jelata yang keliru mana satu polis mana satu penjenayah. Mana satu polis yang jujur dan amanah dan mana satu penjenayah beruniform polis.

By : Lee Shi-Ian
New Straits Times

The Anti- Corruption Agency (ACA) is investigating whether the arrest of a Johor-based businessman was an "abuse of power" by the police.

The businessman was banished to Jeli, Kelantan, last Wednesday.

The suspect was earlier cleared of any involvement in illegal gambling, prostitution or drug activities by the ACA and the secret society, vice and gaming division of Bukit Aman federal police headquarters in June.

ACA sources said the allegation of abuse of power was one of the factors the ACA was looking into as it probes the circumstances of the suspect’s arrest.

Kejutan Sultan Selangor


Selangor Sultan: Keep politics out of N-Day celebrations
The Sultan of Selangor wants politicians in the state, regardless of which parties they belong to, to put politics aside and refrain from bringing up contentious issues ahead of the 50th National Day celebrations. Sultan Sharafuddin Idris Shah said he did not want anyone to dampen the mood of the celebrations but to instead instil the Malaysian spirit.

Saya yakin, titah Sultan Selangor yang disiarkan The Star Online pagi ini, menambahkan lagi kejutan ke atas Abdullah.

Calon beliau untuk Hakim Besar Malaya ditolak oleh Majlis Raja-Raja sebelum ini. Mengesan kemungkinan calon beliau ditolak, mungkin menjadi sebab Pak Lah buat pertama kalinya tidak menghadhirkan diri dalam Persidangan itu. Beliau bercuti di Australia.

Adakah dengan bertindak tidak hadhir, keadaan menjadi lebih baik?

Adakah manis Perdana Menteri memilih tarikh Raja-Raja bersidang untuk bercuti? TIdakkah boleh ditunggu untuk satu tarikh lain? Lagipun, ia hanyalah bercuti.

Titah Raja Muda Perak kebelakangan ini, dilihat rakyat sebagai obor baru kepada cita-cita Malaysia yang lebih adil dan saksama.

Kemudian datang peringatan Sultan Selangor ini, diambang BN dan UMNO dikatakan akan menggunakan perayaan 50 Tahun Merdeka untuk mileage politik mereka.

Ia jarang-jarang berlaku. Tetapi peringatan ini sangat berguna dan tepat pada masanya.

Rasuah Berleluasa - Sultan Selangor tahu, Pak Lah tak tahu

Sultan expresses concern over host of issues

SHAH ALAM: Immediate action must be taken to check corruption, bureaucratic red tape, race problems, religious intolerance, the brain drain and crime, the Sultan of Selangor said.

“Corruption is still a problem, which the people are very concerned about, and more effective action needs to be taken,” he said.



Lagi teguran (tamparan?) untuk Kerajaan BN. Rasuah dan jenayah. Rakyat terasa cengkamannya. Tetapi ungkapan (titah) Sultan Selangor ini lebih efektif untuk menyedarkan pemimpin utama negara.

Hentikan memberikan projek secara runding dengan harga yang tinggi. Hentikan memberikan kekayaan mudah kepada kroni seperti kes PKFZ yang menelan kos lebih RM 4 billion. Hentikan memberi projek kepada syarikat anak sendiri, kemudian geleng kepala tak tahu menahu.

Daulat Tuanku! Lebih banyak teguran membina seperti ini diperlukan untuk membetulkan semula hala tuju negara yang bercempera kini.

Friday, August 10, 2007

Hakim Besar Malaya - Laporan Internet terbukti tepat

Bagi pembaca Malaysia Today, isu penolakan calon Hakim Besar Malaya oleh Mesyuarat Majlis Raja-Raja telah diciumi lebih seminggu yang lalu.

Ia kemudian dilaporkan oleh Strait Time Singapore beberapa hari yang lalu, juga melalui laman berita internet.

Hari ini, ia semacam disahkan oleh Ketua Hakim Negara sendiri, seperti laporan muka depan Utusan.

Siapa kata laman internet membawa berita palsu semata-mata?

Tahniah Raja Petra!

Jika diharapkan media arus perdana, kita akan kempunan.

Jika dalam isu ini, Malaysia Today terbukti mendapat scoop yang tepat, bagaimana pula dengan pelbagai isu besar yang lain, seperti hubungan kembar polis-penjenayah?

Jika separuh sahaja dari dakwaan ini tepat, sudah cukup untuk mengatakan keadaan negara kita adalah tenat dan kritikal.

Perdana Menteri perlu berbuat sesuatu. Pimpinan UMNO perlu berbuat sesuatu.

Akhirnya, rakyat perlu berbuat sesuatu.

Ini era kebangkitan internet untuk membetulkan keadaan negara kita. Patut sekali UMNO cukup gelisah dengan fenomena kebangkitan ini.

HAKIM BESAR MALAYA - JANGAN BELAKANGKAN RAJA-RAJA

‘PM tentukan’ -- Keputusan muktamad lantik Hakim Besar Malaya – Ahmad Fairuz

Oleh: NOOR AZMAH IBRAHIM

PUTRAJAYA 10 Ogos – Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim hari ini menegaskan bahawa calon Hakim Besar Malaya yang bakal dilantik ditentukan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

‘‘Mengikut Perlembagaan, Perdana Menteri mendapatkan pandangan dan nasihat daripada saya. Yang di-Pertuan Agong akan mendapatkan nasihat daripada Persidangan Majlis Raja-Raja selepas Perdana Menteri serahkan nama-nama calon.

‘‘Orang yang membuat keputusan muktamad adalah Perdana Menteri. Beliau yang tentukan sebab Yang di-Pertuan Agong membuat keputusan atas nasihat Perdana Menteri...


Kenyataan Ketua Hakim Negara ini seakan ingin memberitahu bahawa Perdana Menteri akan terus melantik Hakim pilihan beliau selaku Hakim Besar Malaya sekalipun calon tersebut tidak mendapat perkenan Raja-Raja.

Ini tidak sepatutnya berlaku.

Sekalipun mungkin Perdana Menteri boleh berbuat demikian dari segi Perlembagaan, pelbagai aspek lain mesti ditimbangkan.

1. Langkah seperti itu hanya akan mengundang krisis.

2. Ia boleh dianggap Raja-Raja Melayu pada pandangan Perdana Menteri boleh diketepikan begitu sahaja

3. Ia akan meletakkan seolah-olah Raja-Raja Melayu memberi pandangan yang tidak mempunyai asas yang kuat untuk Perdana Menteri mempertimbangkan semula pandangan beliau yang terdahulu

4. Membelakangkan prinsip perundingan dan akan meletakkan precedent pandangan Raja-Raja Melayu tidak penting untuk dipertimbangkan. Ia akan membawa pelbagai implikasi serius terhadap perimbangan kuasa politik di negara ini pada masa akan datang dan keadaan itu seharusnya dielakkan.

Berfikir dua kali, Pak Lah!

KEJAMKAH KITA?



Hati saya belum tenteram dengan peristiwa rentungnya lima sekeluarga di Kluang, pagi semalam. Bukan takdir yang saya persoalkan tetapi keinsanan kita semua yang masih terpaku di sanubari saya.

Utusan membawa tajuk : Miskin punca rentung -- Tidak mampu bayar bil elektrik sebabkan 5 beranak maut



Bolehkah pembesar kita memejam mata begitu sahaja?

Lihatlah wajah dua beradik di atas yang sama rentung. Dua wajah yang belum mengerti apa-apa.

Tan Sri Muhyidin Yasin, Menteri Kabinet berasal Johor, hari ini dilaporkan berada di Jeli, Kelantan. Laporan Bernama memetik beliau mengulas kenyataan saya mengenai 40 kerusi fokus PAS dalam pilihanraya akan datang. Tak ada sepatah ulasan mengenai peristiwa malang di negeri beliau sendiri.

Lihatlah bagaimana pembesar dan anak pembesar negara kita mengaut kekayaan secara lahap dalam skandal terbaru Port Klang Free Zone (PKFZ) seperti dilaporkan oleh Malaysiakini, di bawah tajuk PKFZ: Documents attest to inflated price dan Blood runs deep in troubled RM4.6b PKFZ .

Kerajaan telah membayar lebih RM 1 billion untuk tapak PKFZ, atau dengan harga RM 25 sekaki persegi sedangkan asalnya mereka hanya membayar RM 2.98 sekaki persegi. Tanah ini asalnya dimiliki anak syarikat kerajaan. Dijual kepada syarikat persendirian, kemudian dijual semula kepada kerajaan!

Kini, kos PKFZ telah meningkat kepada lebih RM 4 billion dari kos asal seperti diumum oleh Perdana Menteri tahun 2004, bernilai RM 2 billion.

Kekayaan negara dirompak dengan pelbagai cara. Mana lagi tinggal untuk rakyat marhaen?

Tidakkah ini satu kekejaman?

Thursday, August 09, 2007

LIMA SEKELUARGA MAUT - TNB, apa perasaan anda?

Lima sekeluarga dari Kluang, Johor, maut di mamah api. Lilin mungkin punca kebakaran. Bapa, ibu dan tiga anak terpaksa bergelap sudah lima hari bila bekalan elektrik rumah mereka dipotong oleh TNB.

Pilu. Terkedu. Begitulah nasib keluarga miskin dihimpit beban hidup. Tragedi ini, mungkin petunjuk kepada masalah sebenar beban kesempitan hidup yang di alami oleh rata-rata rakyat marhaen di seluruh negara.

Kenaikan kos hidup sekarang telah menghantar kehidupan boroh yang dibantu isteri berjual di gerai untuk sara kehidupan mereka sekeluarga ke penjuru sempit sehingga mereka gagal membayar bil elektrik.

Ya. Tetapi adakah fungsi TNB hanya sekadar mengaut keuntungan? Tidakkah boleh sebilangan penduduk miskin seperti ini diberikan sedikit pertimbangan kemanusian?

Mereka telah terkorban.

Yang tinggal ialah pemimpin untuk menghitung nasib rakyat dengan segala bahana kepincangan dan kebobrokan yang ada. Adakah di sana secebis kejujuran untuk membelanjakan harta negara secara hemah tanpa pembaziran dengan menghentikan projek tanpa tender dengan harga tinggi kepada kroni terpilih?

Bolehkah kekayaan dari khazanah minyak negara tumpah kepada semua keluarga dhaif seperti ini?

Selamat jalan, anak bangsaku Kasmuri Jasman, 44, Sufiah Abdul Karim, 41, Hishamuddin, 13, Nizammuddin 9, dan Nurul Macella, 8.

Allah merahmati ruh anda semua! Semoga anda semua terpilih mendapat nikmat syurga tanpa hisab.

Sudikah pemimpin di atas sana mendengar jeritan kesusahan rakyat ramai?

Saturday, August 04, 2007

WPI DAN PULAU BATU PUTIH BAKAL TERGADAI?

Kes Pulau Batu Putih akan diputuskan oleh ICJ November depan.

Desas desus sudah bertiup, kita mungkin kecundang dan Pulau Batu Putih yang strategik akan menjadi milik Singapura selama-lamanya.

Jika itu berlaku, Singapura sentiasa mengasak kita dan mereka lebih bersedia dari segala sudut untuk menjadikan kita sentiasa terundur.

Dalam keadaan Singapura sentiasa bersedia dengan pelbagai agenda 'Singapore Win', kita pula mudah lalai dan alpa.

Untuk membangunkan WPI, kita terpaksa menjemput Singapura duduk dalam Jawatankuasa Bersama Peringkat Menteri dua negara berdaulat untuk memajukan wilayah kita. 2,217 sq km tanah Johor akan 'diurus' bersama dengan Singapura, melalui Jawatankuasa Bersama.

Hikayat Munshi Abdullah mencatitkan, format seakan Jawatankuasa Bersama ini pernah ditubuhkan oleh Raffles. Rakyat Melayu diurus oleh Temenggong Husin, rakyat bukan Melayu diurus oleh Orang Putih.

Pelbagai konsekuen politik akan muncul kemudian. Pada waktu itu, kita sudah terlambat. Sama seperti isu penguasaan Singapura ke atas bekalan air yang membelit kita sekarang.

Mengapa tidak Pak Lah belajar dari Tun M yang telah melaksanakan program strategik Pelabuhan Tanjung Pelepas?

Pelabuhan Tanjung Pelepas adalah ancaman kepada Singapura. Ia bertujuan mengecilkan peranan Singapura dan negara kita mengambilalih sebahagian peranan dan kekuatan yang selama ini menjadi monopoli SIngapura selama beberapa abad.

Ia berjaya. Tanpa kerjasama Singapura.

PTP telah menerima kapal pertama pada 10 Oktober 1999 untuk operasi percubaan selama tiga bulan, ia telah memecah rekod menjadi pelabuhan yang paling pantas berkembang. Ia menguruskan 1 juta TEUs (Twenty-Foot Equivalent Units) kontena selama 571 hari operasi.

Dari hanya 20,696 TEUs pada akhir 1999, telah berkembang kepada 2.05 juta TEUs pada 2001, 2.66 juta tahun 2002, 3.87 juta TEUs pada 2003 untuk mengatasi kedudukan Pelabuhan Kelang. Port Tanjung Pelepas dengan itu menjadi pelabuhan terbesar negara kita.

Pada tahun 2004, ia meningkat 15.2 % lagi, menjadikannya pelabuhan yang ke 16 tersibuk di dunia. Pada 2006, ia menguruskan 4.7 juta TEUs.

Ia meletakkan dirinya sebagai pilihan kepada Pelabuhan Singapura.

Maersk Sealand, operator kapal kontena terbesar dunia, memindahkan semua operasi perkapalannya di Singapura ke Pelabuhan Tanjung Pelepas pada tahun 2000. Singapura menyaksikan kejatuhan 10% perniagaan pelabuhannya kerana tindakan itu.

Pada 2002, Evergreen Marine Corporation, pada waktu itu, syarikat perkapalan kedua besar dunia pula, memindahkan operasinya dari Singapura.

Sekilas fakta ini, membuktikan bahawa, pembangunan sehebat Tanjung Pelepas boleh dilakukan tanpa Jawatankuasa Bersama Peringkat Menteri dengan mana-mana negara asing yang memungkin pengaruh dan penentuan terma-terma yang boleh merugikan kita boleh berlaku.

Apa perlunya Jawatankuasa Bersama Peringkat Menteri dengan Singapura untuk WPI?

Apakah kita tidak mempunyai keupayaan merancang sendiri, seperti telah kita buktikan dalam kes Tanjung Pelepas?

Apa lagi jika bentuknya hanya untuk menjual tanah kepada Singapura?

Friday, August 03, 2007

Pak Lah ambil masa 3 tahun kutip biji getah?

Mimpi Pak Lah nampaknya makin menjadi-jadi.

The Star, muka depan hari ini, melaporkan Pak Lah akan melancarkan Program Luar Bandar Berimpak Tinggi tak lama lagi.

Menjelang 2010, dua tahun dari sekarang, 253,000 keluarga miskin dan miskin tegar akan keluar dari garis kemiskinan dengan pendapatan melebihi RM 529.00 sebulan.

Hanya dua tahun dari sekarang?! Hebat!

Antara program utama ialah program pertanian dan perniagaan agro yang lain.

Tanam getah, antara program utama. Sebagai contoh, 300,000 biji getah dari Semenanjung akan dibawa ke Banggi, Sabah untuk penduduk miskin tegar membuka 4,000 ha ladang getah.

“About 300,000 rubber tree seedlings will be brought from the peninsula and planted on the island.

“Three thousand islanders, who are hardcore poor, will be roped in for rubber farming activities on a 4,000ha area, while Felcra Bhd will be involved in commercial farming on an 8,000ha area,”

Sekejap. Pertama, Pak Lah dah jadi Perdana Menteri hampir empat tahun. Baru terjumpa biji getah dan baru nak lancarkan program tanam getah? Dekat pilihanraya, biji getah pun boleh jadi modal.....

Kedua, 2010 penduduk ini tidak lagi miskin tegar. Setahu saya getah perlukan lima tahun sebelum boleh ditoreh. 300,000 batang getah yang bakal ditanam itu hanya boleh ditoreh pada 2012 atau 2013.

Mungkin getah Pak Lah getah klon baru yang boleh ditoreh dalam masa dua tahun? Atau daun getah boleh diproses jadi makjun hikmat yang boleh beri pendapatan serta merta kepada penduduk miskin itu?

Hebat!

Pilihanraya yang kian hampir menjadikan Pak Lah seorang dreamer yang hebat. Tahniah!

Thursday, August 02, 2007

KRONISMA MAKIN KRONIK?

Berita Harian, Rabu, menyelak sedikit tentang apa agenda di belakang projek pembangunan di Kelantan ( dan juga di Malaysia).

Redland laksana projek RM1.3b
Oleh Ismail Mat

Kerajaan Pusat beri tender maju pelbagai infrastruktur awam di Kelantan

KUMPULAN Syarikat Redland diberi tanggungjawab melaksanakan pelbagai projek Kerajaan Pusat dan agensinya bernilai kira-kira RM1.3 bilion di Kelantan.

Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Ismail Saari, berkata antara projek yang diperoleh secara rundingan terus dan tender terpilih itu termasuk pembinaan jambatan kedua Sultan Yahya Petra bernilai RM151 juta dan Jalan Simpang Pulai-Gua Musang-Kuala Berang sejauh 230 kilometer bernilai RM230 juta.



Jambatan Ibrahim Ali merentasi sungai Kelantan di Tendong dengan empat laluan, kosnya RM 90 juta. Jambatan dua laluan sebagai tambahan dua laluan sedia ada, kosnya RM 151 juta?

Dan ia diperolehi melalui runding terus. PM dulu kata semua projek di bawah RMK 9 diberi tender?

Itu harga permulaan. Kosnya mungkin meningkat.

Lama sebelum batu asas laluan tambahan ini dilakukan oleh PM semalam, desas desus telah lama bertiup di negeri ini tentang cerita di belakang projek jambatan ini.

Saya hanya kata desas desus. Saya tak tau ia benar atau tidak. Terpulang kepada Kerajaan menyiasat.

Saya sampaikan desas desus itu. Projek ini telah diberikan award kepada Ketua Pemuda Kota Bharu, melalui campurtangan Khairy. Ia kemudian dijual kepada Redland dengan keuntungan dan sumbangan tertentu kepada Ketua Pemuda Kota Bharu, UMNO Negeri dan kepada juru campur yang sememangnya berkuasa.

Saya tak boleh pastikan sejauh mana cerita ini tidak benar.

Tetapi itulah akibatnya bila projek ini diberikan secara runding terus.

Rakyat ingin tahu, adakah cerita komisyen berpuluh juta ringgit setiap satu kepada tiga peringkat berkenaan betul atau tidak.

Kedua, apakah kos jambatan RM 151 juta itu adalah kos yang wajar atau sudah dimasuk kira kos-kos yang lain? Tidakkah kosnya akan meningkat lagi pada masa depan kerana cara runding terus projek ini diberikan?

Ketiga, di mana janji PM untuk memberikan projek RMK 9 secara tender?

Ke empat, jika dilakukan secara tender, kosnya akan menjadi lebih rendah? Mengapa pula tidak di tender?

Sudah tentu rakyat Kelantan seperti rakyat negeri lain juga, mahukan kemudahan seperti itu.

Tetapi amalan kronisma yang datang bersamanya harus dibenteraskan.

Itu tugas rakyat Malaysia seluruhnya.

LANCAR JAMBATAN KONKRIT, PUTUS JAMBATAN KASIH

PM berada di Kelantan selama dua hari dengan pelbagai acara 'besar'.

Pagi semalam (Khamis), acara perletakan batu asas Jambatan Kedua Sultan Yahya Petra, setengah kilometer dari Kota Darulnaim, Pejabat MB Kelantan.

Sayang, PM tidak sudi menyambung jambatan kasih. Tuan rumah tidak dijemput. Pak Lah masuk Kelantan tanpa salam, tanpa jenguk muka bertanya khabar. Melangkah masuk ke tengah laman tanpa susila Melayu turun temurun, tidak terlintas untuk menghormati tuan rumah. Apa status sekalipun si tuan rumah, salam sepatah tanda berbudi.

Mungkin Pak Lah merasa UMNO sudah terlalu kuat. Sapa menyapa membuang masa. Tuan rumah boleh dinyahkan bila-bila masa dengan 'power' yang UMNO ada.

Khemah besar lagi panjang di tapak projek pagi itu diberitakan kosong. (Lihat foto di Harakahdaily) Puas diseru orang ramai memenuhi khemah, khemah tak terpenuhkan.

Rakyat Kelantan sudah tentu mahukan jambatan. Tetapi jambatan per se adalah perkara biasa yang tak perlu dikerumuni. Ia akan siap jika Kerajaan Pusat ada wang dan kemahuan. Itu acara biasa yang tak perlu kepada keriuhan.

Yang boleh meriuhkan ialah bila Perdana Menteri bertemu dengan tokoh ulama' di atas kepala jambatan. Seperti apa Tun Dr. M lakukan sedikit masa lalu. Jambatan Pasir Mas dirasmikan oleh Tun M sebagai PM pada waktu itu. Sebuah sofa untuk Tok Guru Nik Aziz disediakan bersebelahan beliau. Rakyat berderu keluar kerana ia boleh dianggap menarik. Jambatan konkrit itu tidak carik kerana kehadhiran Tok Guru.

Event semalam tak ada tarikan itu.

Tun M nampaknya lebih cekap menghitung mood rakyat Kelantan.

Pertama teluk kedua pantai
Ketiga dengan jamban di hulu
Pertama elok kedua pandai
Ketiga baik perangai penghulu


Anak Cina ketimbang madat
Dari Melaka berakit ke Deli
Hidup ketua biar beradat
Budi bahasa tak dijual beli


Baik baik mengail tenggiri
Jangan terkena jambatan larang
baik baik menyombong diri
jangan sampai tak disukai Tuhan


Adat Melayu menyambut tetamu
Hamparkan tikar lebarkan pintu
Tetamu datang tak sudi bertemu
Usahkan salam sapa pun tak mau


Yang berdiri berikan salam pada yang duduk
Yang seorang berikan salam pada yang ramai
Yang datang berikan salam pada yang menunggu

Wednesday, August 01, 2007

PM BELI BAS ANAK LELAKI TUNGGALNYA UNTUK PENANG

Akhbar NST di muka 12 hari ini, menyiarkan foto Perdana Menteri kita sedang mengibarkan bendera pelepasan bas RapidPenang, sambil tersenyum riang.

Semuanya secara kebetulan. Kerajaan Malaysia berhasrat menyediakan perkhidmatan bas yang lebih memuaskan untuk rakyat Pulau Pinang. Melalui RAPIDPenang, anak syarikat Prasarana yang dimiliki oleh Menteri Kewangan DiPerbadankan di mana Abdullah adalah Menterinya, telah memesan bas yang disediakan oleh Scomi, syarikat di mana Kamarudin, anak lelaki tunggal PM adalah pemegang saham terbesarnya.

Kebetulan, Perdana Menteri kita mempunyai anak yang berbakat usahawan berjaya yang antara lain mengusahakan logi pembuatan badan bas ini.

Pesanan permulaan dilaporkan berjumlah RM 31 juta dan telah ditingkatkan kepada RM 50 juta.

Semalam, Perdana Menteri dengan gembiranya secara rasmi melancarkan perkhidmatan bas yang diuruskan oleh RapidPenang, di Pulau Pinang.

Kegembiraan Perdana Menteri yang utama tentunya kerana kerajaan pimpinan beliau berjaya menyediakan perkhidmatan bas yang lebih baik di negeri asal beliau. Kegembiraan Scomi pula mungkin kerana kerajaan berkenan membeli bas yang diusahakan oleh Scomi.

Ia bukan amalan kronisma. Ia adalah kebetulan semata-mata.

Sedikit masa lalu, Perdana Menteri kita ada menegaskan bahawa syarikat anaknya mendapat kontrak perniagaan di luar negara dan beliau tidak pernah memberikan sebarang keutamaan kepada perniagaan anaknya dalam negara. Sudah tentu prinsip ini masih diamalkan oleh PM kita.

Scomi memang sebuah syarikat yang hebat.

Saham anak syarikat Scomi, Scomi Engineering yang terlibat dengan perniagaan membuat bas serta infrastruktur pengangkutan yang lain, bernilai RM 1.21 pada Ogos tahun lepas. Pada 12 Julai tahun ini, sahamnya telah meningkat tinggi kepada RM 3.12, iaitu tertinggi dalam tempoh 52 minggu.

Ia dijangka meningkat kepada lebih RM 4 dalam masa terdekat dengan pengumuman lebih banyak projek infra pengangkutan akan dibolot oleh syarikat yang sangat luar biasa hebatnya ini.

Pada masa saham Scomi dan anak syarikatnya meningkat naik serta PM sibuk melancarkan Wilayah Ekonomi Koridor Utara bernilai RM 177 billion, pasaran saham BSKL jatuh 34.22 mata, hari ini (Rabu).

Pelaburan sejumlah RM 177 billion untuk empat juta penduduk Utara Malaysia, atau purata RM 442 seorang rakyat, nampaknya tidak cukup kuat untuk meransang pasaran saham kita!

Akibatnya, pada perniagaan hari ini di BSKL, 1,032 syarikat mengalami kerugian berbanding 57 sahaja yang untung. Mungkin PM kita perlu melancar tujuh lapan koridor seperti itu lagi untuk membolehkan BSKL bertindak balas positif?

Keluarga Perdana Menteri kita nampaknya mempunyai berbagai bakat besar yang patut dibanggakan oleh kita semua.

Pada masa depan, PM memberitahu, RapidPenang mungkin akan menyediakan perkhidmatan feri pula. Rasanya, Scomi mampu pula membuat badan feri. Elok juga jika Scomi meninjau untuk membuat badan heli bagi menggantikan Nuri yang telah uzur kerana berumur lanjut.