Utusan sedang diheret ke kubur?
Sekurang-kurangnya itu ada dalam kepala orang Melayu, kalau kata-kata Perdana Menteri dapat kita faham begitu.
‘‘Apa yang orang Melayu tentu tak suka lihat ialah Utusan (akhbar Utusan Malaysia) terkubur atas usaha penggabungan itu,” kata Perdana Menteri.
Demikian lapor Utusan sendiri, hari ini. (5 Disember 2006)
Kesan penggabungan Utusan-NST boleh sampai kepada terkuburnya Utusan, kalau salah gaya. Tidak pula timbul terkuburnya NST. Mengapa jadi begitu?
Bagaimana caranya pula penggabungan tetap diteruskan tetapi Utusan tak terkubur?
Akhbar adalah lidah dan lidah adalah penyampai minda, rasa dan jiwa. Terkubur yang dimaksudkan Abdullah tentunya bukan bermakna Utusan tak akan terbit lagi. Terkubur di sini ialah Utusan sebagai jurubicara orang Melayu, atau sekurang-kurangnya Melayu Umno, lidahnya akan diasah bertutur dalam bahasa yang kehilangan sengat. Ia akan dikurung dalam sangkar yang sama dan mudahlah penggembalanya mengawal tutur kata dan lenggok fikirannya. Tak dilaporkan dalam NST, tak adalah pula laporannya dalam Utusan. Baru satu nada dan ikut Abdullah, itu bukan bermakna kebebasan media akan hilang dengan penggabungan ini.
Jadilah ia tiong yang lebih jinak sesangkar dengan kakak tua.
Siapa akan kawal siapa? NST kawal Utusan, itulah logiknya. Sebab itu yang dibimbangkan terkubur ialah Utusan dan bukannya NST. Tak ada orang bimbangkan NST terkubur sebagai kesan penggabungan ini. Kalau NST terkubur bermakna Utusan kawal NST. Dalam kes ini, ia tidak begitu.
Menarik untuk dilihat apa peranan Kalimullah dari NST yang dituduh sesetengah pihak sebagai agen Singapura dan dianggap perlu diawasi oleh Tun M sedikit masa lalu.
Kebetulan Utusan sedikit sebanyak menampakkan kecemburuan terhadap Faktor Singapura ke atas negara kita dalam pelbagai laporannya sebelum ini dan mungkin kerana itu, lidah Utusan tidak harus dibiar lebih petah atau lebih panjang dari lidah NST. Biarlah ada dua lidah tetapi kedua-duanya dari otak yang sama.
Terpulang kepada ahli dan pemimpin Umno melihat apa nasib akan menimpa Utusan. Utusan gali kubur sendiri? Tunggu akan dimasukkan ke dalam kubur? Atau bangkit mengkuburkan orang yang nak kuburkan Utusan?
Apa pun, jangan sekadar tangguh masuk kubur saja ...........
Tuesday, December 05, 2006
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
1 comment:
kubur itu benar!
Post a Comment