Friday, August 31, 2007

KEMERDEKAAN MILIK RAKYAT

Kemerdekaan, kadang kala seakan milik orang yang berkuasa, parti yang berkuasa. Ia bukan lagi milik seluruh warga rakyat.

Kemerdekaan adalah penjajahan baru. Bernama kongkongan.

Satu pihak bebas mengongkong pihak yang lain – itukah kemerdekaan?

Anda masih remaja – mungkin anda adalah lebih merdeka.

Anda memasuki universiti – aktivisma mahasiswa segera dibalut oleh sebuah Akta – namanya Akta Universiti – dan berdiri di situ ‘Gabenor’ UMNO-BN untuk memastikan cengkaman itu terasa. Lihatlah pilihanraya kampus yang penuh jenaka. Gabenor ini miangnya lebih dari Gabenor British yang kita halau dulu.

Kebebasan akademik? ‘Gabenor-gabenor’ 'penjajah' sangat berbau politik kepartaian sifatnya bertaburan di mana-mana kampus. Mereka dilantik atas pertimbangan politik – untuk berkhidmat kepada sebuah autoriti politik sebagai ukuran paling utama. Lantas, di mana kemerdekaan para ahli akademik kita? Melainkan kongkongan. Tanpa kemerdekaan, kita akan cemerlang?

Anda melangkah keluar ke alam kerjaya – Aku Janji sedang menunggu anda. OSA memenjarakan anda. Sepanjang hayat anda. Anda dikongkong.

Anda rakyat biasa yang hauskan kemerdekaan maklumat? Anda adalah anak jajahan media arus perdana. Anda cuba merobek tirai manipulasi berita? Anda cuba mencuri untuk mengecap kemerdekaan dari perhambaan media seperti itu lewat internet, blogs dan web berita? Geger! Anda kurang patriotic kerana berkawan dengan ‘monyet-monyet’. Anda dikongkong.

Jerkah, ugutan dan jangan lupa ISA yang setia menunggu. Itu semua alat sebuah kemerdekaan?

MTUC pun diugut untuk ditutup. Merdeka….

ISA hanya sebuah pisau yang boleh digunakan oleh ‘tuannya’ untuk menghiris orang lain. ‘Dua ditangkap kerana SMS perkauman.’ Bagaimana dengan orang yang menghunus keris sebegitu panjang dengan laungan perkauman? Tidak, ia berlindung di balik kuasa.

Ekonomi - jaring penjajahan yang lebih mencengkam. Bila anda berada dalam baris elit kuasa, anda bebas ‘merompak’ atas apa sahaja nama.

Ingat – ketika anda melewati lebuhraya utama dan singgah di plaza tol, ia sebuah kemajuan atau sebuah rompakan kecil kemerdekaan anda? Elitis yang kecil mendapat sebuah lesen, dan untuk tahun ini PLUS telah mengumumkan ia meraih lebih setengah billion (RM 583 juta) keuntungan untuk separuh tahun 2007 - tetapi kadar tolnya mesti naik saban masa. Aku tidak herankan kos yang aku harus biayai untuk sebuah kemudahan tetapi keuntungan besar atas sebuah keperitan adalah mencabut kemerdekaan ku….

Anda elitis kuasa, anda bebas dan merdeka. Port Klang Free Zone – tanah kerajaan dijual kepada – ahhh – engkau pun tau siapa, jika tidak apa yang dipanggil kroni - di jual balik kepada kerajaan – dan orang yang amat kecil bilangannya ini, amat kecil sehingga boleh dihitung dengan jari tangan tak perlu masuk jari kaki – ketawa riang dengan keuntungan satu ribu lapan ratus juta tolak kos beli, sembilan puluh lima juta. Keuntungan bersamaan lebih satu perpuluhan tujuh ribu juta!

Dan anak bangsaku yang masih merempat sesak, semua kaum, kita heret zaman berganti zaman menghiasai kemerdekaan kita.

Kemerdekaan ku di mana? Di mana odit atas akaun PKFZ sebelum kerajaan bail out? Di mana pembentangan dan kelulusan Parlimen? Di mana ketelusan, di mana kewajaran?

Bukankah ketelusan itu adalah ciri utama sebuah masyarakat merdeka? Jika tidak, kekayaan Negara hanya akan dikaut oleh orang hitam sebagai ganti orang putih bangsa penjajah yang telah kita halau dulu. Itukah yang engkau mau dari sebuah kemerdekaan?

Anda sebut Parlimen? Lambang sebuah demokrasi?

Sepuluh tahun sekali parti yang berkuasa boleh mengatur kekuatannya melalui proses ‘sempadan’ semula. Ah, kemerdekaan itu adalah kebebasan mengatur untuk parti berkuasa…

Dan pilihanraya? Pilihanraya yang bebas? Jika pilihanraya kampus yang tidak akan mengubah apa-apa kuasa Negara, kaki dan tangan mahasiswa diikat, adakah mungkin pilihanraya yang boleh menukar tampuk kuasa, anda mengharapkan ia bebas – dari politik wang – anda sendiri tau, dari kongkongan media, anda sedia arif, dari penipuan?

Undi Myanmmar dan orang Thai kadang kadang boleh mengalahkan suara anda Anak Malaysia. Oh, kemerdekaan ku….

Anda belum menghitung penjajahan janji-janji. Maksud saya, ada lagi rakyat Malaysia rebah dengan janji pilihanraya lima tahun sekali. Setiap lima tahun, mereka memperbaharui penjajahan……

Dan kini, cendawan koridor berhamburan. Koridor sana, koridor sini. Feel good factor, kawan…

Modus operandi penjajahan baru ini ialah ekonomi. Tanpa tender, aneka projek diagihkan. Kini, kepada pemimpin pemuda mereka. Dijual segera bila projek diperolehi. Kos projek melambung-lambung. Wang negara mengalir bagai air. Untung segera. Keuntungan digunakan pula untuk membeli undi dalam parti dan dalam pilihanraya.

Pemilihan parti akan diadakan selepas pilihanraya. Kuasa digunakan untuk memberikan projek untuk mengumpulkan sokongan. Sokongan membawa kepada kuasa. Kuasa kepada kekayaan.

Wang memberikan kuasa. Kuasa memberikan wang.

Bagi massa generasi baru, basuh otak mereka di PLKN. Mana-mana yang telah terlekat jalur 'UMNO' di jiwa mereka, boleh menyertai skuad elit kuasa, boleh berkongsi kekayaan juga kuasa, atas harga yang terpaksa dibayar oleh negara.

Pada hakikatnya, kita semua adalah hamba mereka. Kemerdekaan kita telah disamun.

Anda bukan anggota parti kerajaan – anda kurang patriotik Anda dari baka bukan pejuang kemerdekaan.

Bapa beli bas dijual oleh anak (Scomi - RapidPenang). Patriotik?

Abang lancar nasi kandar adik di luar Negara. Patriotik?

Promosi Kebaya mengingati al marhumah isteri di luar Negara. Patriotik?

Aku penjual nasi dagang, nasi berlauk, keropok dan pedagang batik, promosi luar Negara tidak mungkin menjengok kerana aku adalah rakyat biasa pengundi setiamu… Sekalipun aku adalah rakyat teramai, tetapi adik, isteri dan anak juga diingat orang.

Terengganu merdeka seiring dengan royalti minyak yang lumayan. 16 % rakyatnya di bawah paras kemiskinan dan 54% rakyatnya berpendapatan bawah RM 1,500 dan anda katakan ini kemerdekaan?

Mentaliti terjajah atau mentaliti penjajah?

Apa jadi pada peta Semenanjungku? Semakin mengecil dengan peluasan wilayah Singapura lewat pemilikan tanah dan penempatan penduduk di WPI. Bakal menjadi 3 juta orang warga Singapura akan menetap di WPI, unjuran Tun Dr. Mahathir.

Itu peluasan wilayah namanya. Apa perlunya Jawatankuasa Bersama Kabinet dengan Singapura untuk WPI? Kekuatan strategic mereka akan ditekankan ke atas Negara kita dan menerusi apa yang digelar pembangunan, kita kehilangan kedudukan yang akan memberikan kesan politik yang tak berkesudahan.

Jika dengan semangat merdeka kita pernah satu masa menguasai semula gergasi perniagaan dan perladangan yang dimiliki orang putih, kenapa pula kini kita perlu menjual wilayah kita?

Kemerdekaan kita telah dihijack. Malang.

Pemandu teksi, dipenjara oleh palang kronisma yang lain pula. Mereka harus bekerja kuat untuk taukeh-taukeh yang goyang kaki. Taukeh ini memiliki permit-permit yang memberikan keuntungan percuma sebegitu lumayan. Itu bukan pemerasan namanya? Pemerasan bukan penjajahan?

Belum diambil kira AP, klon atau bukan klon. Monopoli itu, monopoli ini. Ah…, jaringan ‘penjajahan’ oleh anak bangsaku sendiri?

Anda belum memeriksa sudut akhlak dan moral. 1.5 juta (atau lebih) generasi merdeka ‘lintuk.’ Mereka dijajah oleh dadah dan tak berupaya bangkit. HIV datang tak diundang tetapi jika dibiarkan, bangsa boleh pupus.

Apa agenda untuk anak bangsa Malaysia ku ini? Sure Heboh dan Jom Heboh? Kampung Hadhari?

Biarkan mereka rebah di persada noda? Menjelang 2020, mereka makin biak – dijangka 3.5 juta. Mereka merdeka dalam khayal yang panjang tetapi, ah, mereka mangsa kemerdekaan tanpa agenda yang ada pedoman? Mereka telah rebah dijajah tetapi apa pemerentah telah lakukan untuk memberikan semula ruh kehidupan?

Dan anda teringatkan keselamatan kita semua?

Pengganas komunis telah diganti dengan pengganas baru. Fenomena jenayah seakan sinonim dengan kemerdekaan kita kebelakangan ini. Ia bukan lagi berlindung di hutan belantara tetapi ada di mana- mana di tengah kehidupan kita. Dari Perlis sampai ke Sabah, mangsa boleh ada di mana saja.

Anda katakan kemerdekaan itu keamanan. Dan kesejahteraan. Kenapa ada ketakutan? Bimbang mencengkam kehidupan.

Di mana polis?

Polis harus menjaga polis? Kata-kata yang mungkin keterlaluan. Tetapi jika barah yang melanda kita semua tidak diubati, tren polis menjaga polis dari melakukan jenayah, akan berkembang. Altantuya – ya – polis, nama polis disebut. Disebut di sana sini. Bekas Ketua Polis menyebut tentang pagar makan padi.

Benar, seekor kerbau membawa lumpur, membawa nama polis, BPR atau apa sahaja ‘pagar-pagar’ kita, disebut orang dengan nama kurang enak. Jika dibiarkan, kerbau-kerbau berlumpur ini akan membiak dan kita akhirnya hilang satu cebis lagi kemerdekaan kita.

Anda bertanyakan tentang kedaulatan undang-undang, tentang kehakiman, tentang prinsip yang jahat tetap menerima pembalasan bukan pelepasan. Anda berbisik, mahkamah kita pentas jenaka. Hakim kita?

Anda rakyat yang merdeka. Anda ukur. Andakah yang merdeka atau orang yang berkuasakah yang merdeka?

Padahal asalnya, kemerdekaan milik kita semua.

Salam kemerdekaan....

8 comments:

Anonymous said...

singapura menyambut merdekanya 19 Ogos lalu. PM Hsien Loong went on air for two hours for national adress, adressing various issues- economics, sosial, future etc- he outlines concretely what the Sing Governt going to do in face of economic growth uncertainties, world issues, sosial development, people development, education,rtc. here, what the government do? galak, hiburan, and playing golf a day after....

wutever said...

2nd u dato' husam

Anonymous said...

Dato' Husam, bolih ceritakan sedikit berkenaan projek minyak offshore di kelantan ? Saya difahamkan kerajaan pusat yang mengedalikan hal ini. Kenapa tidak dibangunkan projek2 dipersekitaran pelabuhan di Kelantan sapertimana di Kemaman / Cukai ? Dari berita2 angin, projek ini sudah dijalankan sejak beberapa tahun yang lepas, dan minyak yang di perolehi / dikeluarkan telah dihantar dengan kapal2 ke pelabuhan di Kemaman. Ramai perkerja2 asing dan pengkaji2 yang keluar masuk ke offshore Kelantan dengan helicopter melalui lapangan terbang Sultan Ismail. Betul ke bagitu ? Jika ya, berapa banyak 'royalty' yang disumbangkan kembali kepada kerajaan dan rakyak Kelantan oleh Kerajaan pusat ?

Dr. Hamizi said...

dato'...

teruskan perjuangan... yang penting keikhlasan... walaupun saya bukan penyokong PAS, tetapi saya berharap ramai pemimpin baru bersikap lebih pragmatik seperti dato' berbanding orang lama yang terdapat dalam PAS...

namun itu adalah pilihan ahli PAS, saya hanya orang luar yang memeberi pandangan...

Anonymous said...

malunya saya sebagai rakyat malaysia bila melihatkan sikap anak-anak muda malaysia yang kononnya merdeka...pada malam ambang merdeka dengan muzik yang entah apa-apa, terpekik terlolong macam bangsa yang tidak pernah mengenal erti ketamadunan...sebagai seorang mahasiswa saya terpaksa mengucapkan tahniah kepada kerajaan malaysia kerana mereka-mereka ini telah berjaya mendoktrin para mahasiswa dengan hedonisme yang tidak putus-putus, mereka telah berjaya melahirkan mahasiswa yang mementingkan kerjaya semata-mata tanpa mengambil kira kedudukan Islam yang di pijak-pijak oleh kerajaan pak lah badawi itu...saya cukup berang dengan lesedaran tentang ISlam yang ada pada mahasiswa ISlam pada hari ini...AUKU telah menjadi mimpi ngeri kepada mahsiswa, menyekat kebebasan bersuara...banyak lagi peraturan-peraturan bodoh yang mencabul hak kami sebagai mahasiswa..dasar baru universiti kami menampakkan niat untuk mengelakkan lagi pencampuran pelajar berlainan kos, supaya pemikiran mahsiswa terus mundur, belajar kerana inginkan kerja...aduh inikah bangsaku yang kononnya merdeka....

Anonymous said...

Betul. Dari dijajah orang luar kini kita dijajah orang sendiri. Nasib rakyat biasa tidak banyak berubah. Sumber kekayaan dibolot oleh elit pemerintah bersama konco-konco mereka. Dan mereka marah-marah apabila rakyat tidak bersemangat mengibarkan bendera! Hari merdeka sudah hilang ertinya buat banyak warga tidak merasakan hasil positif pembangunan negara - yang negatif itu pula semua datang mencurah-curah - jenayah, pencemaran, penindasan oleh orang berkuasa ...

Anonymous said...

Salam Dato'
Minta maaf, ini tidak berkenaan dgn tajuk catitan Dato pada kali ini, tapi berkenaan dengan cadangan saya terhadap manifesto PAS/BA utk PRU 12 nnt, boleh tak diusulkan,

1. Tabung Pinjaman Pendidikan Nasional(PTPTN) dimansuh atau diganti dgn Tabung Biasiswa Pendidikan Nasional, dan semua peminjam sebelum ini akan dilupuskan hutangnya ( ini pasti memberi satu lonjakan sokongan/undi dari kumpulan mahasiswa/i!)- Sistem Pendidikan percuma bersyarat mungkin boleh digubal.

2. Pemberian subsidi dari kerajaan dengan pemotongan separuh dari kadar bayaran tol PLUS, dan pemansuhan tol di jalan utama di KL dan Selangor ( ini sudah tentu membuka mata golongan korporat dan rakyat berpendapatan RM2000 ke bawah keluar!)

3. Harga minyak (Dato sedia maklum), perlu diturunkan sebanyak 40 hingga 50sen.

4. Penstrukturan KWSP, kerana byk kes pengeluaran menyusahkan pesara. (ada yg dapat keluar separuh sahaja walaupun layak)

5. Suruhanjaya Diraja kaji/rombak BPR/SPR/Polis.

6. Skim Graduan Mengannggur (membazir) - gabungkan skim ini untuk kursus Sarjana Muda di IPTA/S (save duit) ertikata lain rombak sistem pembelajaran U)

7. Common tukar terus, bukan cadangan tinggal cadangan ( ini akan membuka mata hakim2 keluar mengundi PAS/BA

8. Skim Kafalah utk seluruh Rakyat Malaysia

9. Kesihatan percuma.

10. Cukai Kenderaan import diturunkan (biar Honda murah sikit, same macam kat Thailand), pastu Struktur PROTON dirombak, biar kos pengeluaran murah, tapi ade kualiti - boleh jual murah sikit padan ngan kualiti)

11. Adakan satu skim tolong golongan wanita yg melacurkan diri ( nak tarik diorang keluar mengundi PAS/BA)

12. Menjamin pengagihan wang zakat secara telus - supaya tak timbul lagi orang miskin merana papa melarat ( ini nak tarik orang kampung atas pagar)


Saya memohon maaf dengan penggunaa bahasa saya yang mungkin dilihat rojak, tetapi apa yang ingin saya sampaikan ialah item2 ini diHIGHLIGHTkan dengan jelas agar difahami dengan jelas oleh masyarakat.

Untuk pengetahuan Dato' 9/10 kawan2 saya yg saya temui tidak langsung memikirkan berkenaan politik kepartian atau siapa yg memerintah, apa yg diorang risaukan ialah agar cukup hujung bulan, mereka mampu utk menyara keperluan keluarga, susu anak, bayar rumah, kereta dan menaikkan taraf hidup dengan membuat kerja overtime.

Dato' sekali lagi saya memohon agar item2 1,2,3, 8 dan 9 di HIGHLIGHTkan dengan jelas pada manifesto PAS/BA utk PRU akan datang dan diwar2kan mulai sekarang.(Duit kerajaan dari share di PETRONAS saya rasa cukup utk menampung perkara ini, INI harus dikaji dan diJELASkan pada rakyat yg mungkin tidak percaya dari mana datangnya modal utk cover semua ini)

Sedikit sebanyak insya'Allah lebih daripada 40 kerusi parlimen mungkin boleh diAmanahkan oleh Allah SWT kpd PAS.
dan sekurang-kurangnya pada waktu itu kerajaan BN mungkin akan memikirkan apakah maksud sebenar perkataan INTEGRITI........

Wassalam, dari rakyatmu yang menurut perintah....

Anonymous said...

tambah lagi Dato' HIGHLIGHTKAN satu skim pertingkat sistem pengangkutan negara, tawarkan skim bantu driver2 teksi dan bas ( ini nak tarik diorang keluar mengundi PAS/BA)

pasti nanti manifesto2 ni diedarkan kat kedai2 MAMAK yang bertebaran di merata negara. (time diorang tgk bola penuh kadai mamak2 ni, mase tu diedarkan - betul Dato')