Dua PR yang berbeza, tetapi keduanya sama buruk.
Apa perlunya satu keadaan tegang dicipta melalui kehadhiran polis FRU berdepan dengan penduduk kampung di Bukit Beruang, Melaka?
Tindakan tidak matang pemimpin Kerajaan Melaka memaksa babi ternakan dimusnahkan dalam tempoh relatif singkat tanpa satu perundingan dengan persetujuan muktamad, hanya menampakkan sikap tidak cermat menangani isu itu. Selepas bertahun-tahun membiarkan kandang babi berkenaan mencemarkan persekitaran, satu langkah pintas hendak diambil dengan menggunakan kekuatan FRU.
Akhirnya, ketegangan yang tak diingini telah berlaku dan meninggalkan imej negatif yang berpanjangan ke atas polis. Polis berundur secara menikus.
Penternak berjaya. Kerajaan Melaka nampak lemah dan tidak matang. Polis terperangkap. Persepsi negatif masyarakat Cina wujud.
Belum reda usaha pemulihan imej polis yang kurang bijaksana dalam menasihatkan kerajaan Melaka tentang potensi isu seperti itu meletup menjadi isu masyarakat Cina dikasari polis, polis melakukan ‘reverse’ PR yang sangat buruk.
“Jika dengan masyarakat Cina polis kecut, lain pula dengan orang Melayu. Polis tunjuk berani’ – rata-rata itulah komen spontan yang saya dengar sepanjang hari ini.
Kuasa undi masyarakat Cina dan sensitiviti politik mereka menggerunkan polis tetapi tidak dua pemuda Melayu dari negeri yang rakyatnya adalah kedua termiskin di Malaysia.
Satu das peluru hidup dilepaskan mengenai dua Pemuda yang kini dirawat di dua hospital.
Usaha asal polis ialah mengelakkan perhimpunan yang boleh mengganggu keamanan tetapi kerana salah urus polis, berakhir dengan hilang keamanan.
Polis dilihat tidak bijaksana dalam perhitungan dan tindakan mereka. Jika perhimpunan itu dibiarkan, sudah hampir pasti keadaan kecoh seperti dilaporkan tidak akan berlaku. Namun, polis memilih untuk menyekat perhimpunan itu sekalipun polis hampir pasti ia boleh mencetuskan keadaan yang tidak diingini.
Jika dalam kes di Bukit Beruang, polis boleh menghentikan gempuran mereka dan keadaan kembali damai, mengapa tidak polis mengambil tindakan yang sama di Batu Buruk?
Pilihan polis ialah untuk memantau dan mengawal ceramah itu atau untuk menyekat perhimpunan, menggempur dan menyerbu? Mana satu yang secara logiknya boleh menghasilkan suasana aman?
Buruk sangatkah kesan perhimpunan di Batu Buruk itu sehingga tidak ada toleransi boleh ditimbangkan? Berapa banyak perhimpunan serupa di seluruh Negara berjalan dengan aman. Apa istimewanya polis Terengganu untuk tidak mengambil sikap seperti rakan polisnya di seluruh Negara?
Jika hanya 500 hingga 750 orang sahaja pendengar yang hadhir, apa sangat yang perlu dirisaukan oleh polis?
Apa perlunya polis meruntuhkan pentas tempat ceramah itu dijadualkan diadakan dan tidakkah itu boleh dikira di luar bidang tugas polis?
Jika keadaan telah begitu kecoh, tidakkah lebih baik polis berundur dan membiarkan ceramah itu berlangsung? Nampaknya babi lebih beruntung kerana terus menikmati kebebasan mereka ketika rakyat Terengganu terpaksa menerima tembakan untuk mendapat kebebasan berhimpun mereka.
Mengenai tembakan peluru hidup, tidakkah tembakan amaran ke udara perlu dibuat untuk menyekat sebarang tindakan oleh dua pemuda itu, jika benar mereka bertindak seperti yang dilaporkan? Adakah polis berkenaan telah melepaskan tindakan amaran ke udara?
Kenapa tembakan terus di halakan ke dada pemuda berkenaan?
Kita memang memerlukan polis yang lebih neutral sikap politik mereka semasa melaksanakan tugas, untuk mendapat perkhidmatan polis yang profesional dan bijaksana.
Hari ini, polislah yang perlu membetulkan imej mereka dan tidak perlu menuding jari kepada pihak lain.
Monday, September 10, 2007
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment