LAWATAN KE BACHOK : WAJAH-WAJAH DHUAFA' - MEREKA YANG MENGHARAP
Kematian suami, armalah atau single parent ini menunjukkan keadaan rumah beliau.
Bantuan permulaan sebanyak RM 1,700 ringgit tunai beserta peralatan lain dihulurkan.
Ibu tunggal ini merasa senang hati menunjukkan rumahnya yang sedia dhaif, rosak dipukul ribut.
KIJANG CARE : ANDA SEDIA BERSAMA?
SAYA mulakan catitan harian saya untuk hari ini, Rabu, 11 Julai 2007/26 Jamadil Akhir 1428 secara terbalik. Bermula pada petang hari.
Saya dikunjungi 2 pelajar perubatan Kelantan di Rusia - membawa sepucuk surat Mufti Bandar Volgograd, Viktimirov Ilys Alievich, memohon sumbangan untuk pembinaan sebuah masjid di bandar Volgograd, Russia. Terdapat seramai lebih kurang 300 pelajar Malaysia di situ, 150 orang adalah Muslim.
Bagi pihak Kerajaan Negeri, kami meluluskan bantuan permulaan sebanyak RM 10,000.
Bantuan sebanyak itu tentunya sangat kecil. Saya segera terlintas menjalinkan hubungan kebajikan dengan perantau internet prihatin seluruh dunia amnya dan pembaca blog saya khasnya. Pembaca semua boleh memberikan sumbangan dan jumlah bantuan untuk Masjid Volgograd ini tentunya boleh ditambah. Juga untuk bantuan kemanusiaan dan keprihatinan lain tanpa mengira bangsa dan agama boleh juga disumbangkan
Lama sudah saya berhasrat menubuhkan satu akaun untuk sumbangan derma dari anda semua, tetapi kesibukan selalu menghalang saya untuk mengenengahkannya.
Kebetulan, Sdr Black telah bersetuju membantu saya mengendalikan blog ini serta laman website saya husammusa.com.
Saya meminta beliau merangka program ini secara lebih tersusun nanti.
Apa nama Tabung ini? Sementara ini, saya namakannya sebagai KIJANG CARE, sempena DUN saya dan semalam, penerima pertama bantuan pendidikan bulanan dari Tabung Kijang Bistari telah kami mulakan. 310 pelajar dari keluarga miskin dari DUN saya diberikan bantuan bulanan sebanyak hanya RM 15 sebulan. Amat kecil bantuan itu. Ia boleh menjadi besar dengan bantuan anak-anak DUN Kijang yang telah berjaya dan juga pembaca lain amnya.
Sekalipun namanya adalah sempena DUN saya, saya tidak berhasrat menggunakan dana KIJANG CARE yang bakal diperolehi nanti untuk apa-apa aktiviti DUN tetapi lebih untuk keprihatinan yang meluas. Saya juga bercadang menjadikan sumbangan dan penggunaan dana tabung ini adalah telus dan dipamerkan di website saya. Termasuk aktiviti berkaitan mahu pun kedudukan akaunnya sepanjang masa.
Sangat berharap anda semua boleh ikut serta.......
II
Sebelum itu, beberapa pemuda yang mengusahakan ramuan herba di Kelantan mengunjungi saya untuk mendapatkan modal teroka bagi produk terbaru kilang mereka - sejenis ramuan menghilangkan ketagihan merokok yang terbukti berkesan. Bersama mereka ialah perakuan-perakuan makmal dan klinikal keberkesanan ramuan mereka.
Ia akan dipasarkan secara meluas dan akan dilancarkan secara besar-besaran oleh YAB Tuan Guru MB Kelantan sedikit masa lagi.
Kegigihan mereka sangat saya hargai. Produk bergelar nutratrivex itu nanti akan menjulang nama belia-belia Kelantan sekali lagi, insya allah.
III
Menghasilkan pemuda yang gigih dan berkreativiti tinggi bukan mudah.
Jika ada pria muda seperti itu, tentunya amat melegakan.
III
Menghasilkan pemuda yang gigih dan berkreativiti tinggi bukan mudah.
Jika ada pria muda seperti itu, tentunya amat melegakan.
Begitulah yang saya rasai bila berkunjung ke kandang kambing Sdr. Zairi. Hati saya merasa amat lega dengan usaha gigih lagi kreatif Sdr. Zairi. Beliau mengusahakan ternakan kambing dengan dua puluh ekor kambing yang dibekalkan oleh Kerajaan Negeri.
Itu biasa. Yang menarik ialah beliau mengambil inisiatif menggalakkan penduduk sekeliling kampung beliau menanam jagung manis. Buangan batang, daun dan lebihan jagung dari penduduk sekitar dikumpulkan semula untuk diproses menjadi jeruk atau saliage yang diperam dalam dram khas selama sebulan untuk makanan kambing ternakan beliau. Beliau kini bukan sahaja boleh membekalkan kambing ternakan beliau dengan jeruk tersebut, tetapi menerima tempahan dari luar juga.
Pada masa sama, penduduk setempat mula mengusahakan tanaman jagung. 20 orang petani telah menerima benih jagung manis dan input berkaitan dari Kerjaan Negeri di kampung ini.
Saya yakin, Kerajaan Negeri boleh berusaha menjadikan Bachok Zon Jagung Madu dan tembikai sedikit masa lagi. Seterusnya pembekal makanan ternakan kuda, lembu dan kambing dari buangan tanaman jagung berkenaan.
Sdr. Zairi menunjukkan saliage untuk makanan ternakan yang beliau hasilkan dari sisa buangan jagung
IV
Sebelumnya, lawatan kami ke Bachok dimulakan dengan mengunjungi beberapa buah rumah yang ditimpa ribut tiga empat hari yang lalu.
Bantuan segera telah disampaikan oleh YB Adun Perupuk, Dato Omar Mohamad dan Penyelia Parlimen Bachok, Sdr Huzaimi, sehari selepas kejadian.
Lawatan saya hari ini ialah untuk meninjau bantuan yang telah diberikan, selain menambah bantuan untuk beberapa keluarga armalah atau single parent yang turut ditimpa ribut sekitar Kg. Tok Burung ini. Sebahagian fotonya telah anda tatap di bahagian atas tulisan ini.
Bersama Ketua Jajahan Bachok dan Penyelia Parlimen Bachok - bantuan membaiki semula rumah yang akan diagihkan untuk penduduk Tok Burung, Bachok yang mengalami kejadian ribut baru-baru ini.
Pada akhir lawatan, penduduk kampung tidak lupa menyediakan jamuan tengahari yang menyelerakan di tapak tanaman jagung mereka.
V
Lebih awal, kami menziarahi Allahyarham Dato Hassan Ismail, bekas Ahli Exco BN yang meninggal dunia awal pagi di rumah beliau di Kg Jias, Pasir Mas. Kepada seluruh keluarga beliau, kami ucapkan takziah.
1 comment:
derma masjid di russia...
memandangkan kita ada pelajar perubatan.. saya rasa boleh utarakan kepada ppim(persatuan perubatan islam malaysia)... dan FIMA...
saya akan cuba utarakan kpd ukmmf (uk malays medical forum) berkenaan perkara ini...
Post a Comment