Hari ini semua orang ingin menjadi hero atas isu CTOS.
Terakhir, untuk membuktikan beliau bertaring, menantu Perdana Menteri mencadangkan CTOS ditutup.
Kayveas, Najib dan Perdana Menteri sendiri telah bersuara. Bermula akhir Jun dengan kenyataan Kayveas dan PM seminggu yang lepas.
Tindakannya apa? Siapa yang mesti bertindak?
Bahkan Perdana Menteri seakan tidak tahu siapa yang mesti bertindak berasaskan kata-kata beliau seperti dilaporkan Utusan, 8 Julai lalu. Laporan itu menyebut “Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini meminta pihak yang bertanggungjawab mengambil tindakan terhadap Syarikat Credit Tip Off Service Sdn. Bhd. (CTOS) jika syarikat itu didapati……”
Siapa 'pihak yang bertanggungjawab' itu? Siapa yang bertanggungjawab kepada pihak yang bertanggungjawab? Bank Negara? Jangan-jangan Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan tidak sedar dia berkuasa ke atas Bank Negara, lantas sewajarnya beliaulah yang perlu mengarahkan Bank Negara untuk bertindak. Habis cerita.
Perhatikan perkataan ‘jika’. Jika bermaksud seseorang belum yakin dengan sesuatu lalu meletakkan pra syarat ‘jika’. ‘Jika’ betul-betul telah melanggar undang-undang – ambil tindakan. ‘Jika’ tidak melanggar, tak payah ambil tindakan. Langgar atau tidak, tidak pasti. Itu kesannya.
Di mana penentuannya? Tidakkah boleh satu laporan ringkas oleh Pegawai Kementerian Kewangan disediakan untuk Perdana Menteri supaya beliau mendapat gambaran jelas dan tidak ragu-ragu?
Saya bukan berniat untuk memperkecilkan Perdana Menteri tetapi cara gaya seperti itu boleh merendahkan Perdana Menteri. Cukup untuk sekeping laporan ringkas dimajukan kepada Perdana Menteri supaya beliau kelihatan bersedia.
Berbalik kepada kekura-kuraannya Kerajaan menentukan keputusan dalam isu ini.
Utusan juga melaporkan, bekas Menteri Kabinet, Datuk Kadir Sheikh Fadzil memberitahu bahawa isu ini sudah dibaincangkan dalam Kabinet dua tahun yang lalu dan Bank Negara telah diminta mengambil tindakan;
Isu CTOS sepatutnya selesai dua tahun lalu
KUALA LUMPUR 4 Julai – Isu Credit Tip Off Service Sdn. Bhd. (CTOS) sepatutnya selesai dua tahun lalu apabila Kabinet mengarahkan Bank Negara Malaysia (BNM) mengadakan pertemuan dengan semua institusi kewangan di negara ini.
Bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir berkata, Kabinet pada masa itu meminta BNM menasihati bank supaya menjadikan CTOS sebagai rujukan kecil dan bukannya sebagai penentu dalam memberikan pinjaman.
Abdul Kadir mendakwa BNM ketika itu gagal untuk mengadakan pertemuan dan perkara tersebut tidak dapat diselesaikan sehingga sekarang."
Ini hanya menunjukkan bagaimana lemahnya kerajaan. Akibatnya, rakyat menjadi mangsa.
Sebenarnya, isu ini bukan berbangkit dua tahun yang lalu. Ia telah berbangkit lebih lama dari itu. Ia telah memangsakan rakyat sejak 2003 lagi.
Pada Jun 2003, Datuk Shafie Salleh, Timbalan Menteri Kewangan di waktu itu memberitahu, Kementerian Kewangan telah menerima aduan orang ramai mengenai kesusahan yang mereka alami dengan adanya CTOS sebagai rujukan penapisan oleh bank-bank.
Beliau memberitahu Kementerian itu akan berbincang dengan Bank Negara, pada waktu itu lagi. Empat tahun yang lalu.
Pada bulan Februari tahun yang sama, Dewan Perniagaan Melayu Malaysia cawangan Kelantan telah membuat cadangan supaya peranan CTOS dihapuskan kerana ia melanggar peruntukan undang-undang yang ada. Kayveas boleh jadi baru terbaca cadangan itu?
Bahkan, dalam laporan yang sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada waktu itu, Datuk Dr. Rais Yatim telahpun memberi jaminan Jabatan Perdana Menteri akan menyiasat isu ini;
"Addressing members of the Negeri Sembilan Malay, Chinese and Indian chambers of commerce in Seremban last week, Minister in the Prime Minister's Department Datuk Seri Utama Dr Rais Yatim had said many complaints had been received against CTOS Sdn Bhd over its supply of information to financial institutions.
Dr Rais had pledged that his office would investigate these complaints."
Siasatan itu memakan masa empat tahun dan apa yang disebutkan oleh Kavyeas adalah hasil siasatan yang bermula empat tahun yang lalu?
Jika sesuatu isu yang simple seperti ini memerlukan jangka masa empat tahun untuk diselesaikan, bayangkan isu-isu besar yang lain diuruskan.
Falsafah pengurusan biarkan lilin padam sendiri rasanya tidak sesuai untuk membawa Negara di persada kegemilangan.
Saturday, July 14, 2007
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment