Tuesday, May 12, 2009

Pilihanraya, bukan Mahkamah

Keputusan Mahkamah Rayuan tengahari tadi yang menyebelahi Zambry tidak mengejutkan. Itulah sistem kehakiman Malaysia.

BN memerolehi perentah Mahkamah yang menyebelahi mereka, tetapi keyakinan rakyat terhadap kesucian doktrin pengasingan kuasa di bawah BN semakin luluh.

Najib telah kehilangan peluang keemasan untuk muncul mendapat political mileage dari keputusan Mahkamah Tinggi semalam.

Beban ke atas Najib semakin berat. Hari ini, empat kenyataan penting meminta pilihanraya semula di Perak dibuat;

Satu oleh Pengerusi Suhakam. Kedua oleh sekutu UMNO dalam BN sendiri.

Utusan sendiri melaporkan kenyataan Pengerusi Suhakam, selain laporan Bernama;

Mungkin sudah tiba masanya untuk rakyat di Perak diberikan peluang untuk menggunakan hak mereka sekali lagi untuk memilih kerajaan pilihannya, iaitu hak asasi manusia,” kata Pengerusi Suhakam Tan Sri Abu Talib Osman.

Beliau berkata Artikel 21 Deklarasi Universal Hak Asasi Manusia 1948 memperuntukkan bahawa kesungguhan seseorang hendaklah menjadi asas kuasa kerajaan.

“Berdasarkan perkembangan yang berlaku berikutan pelantikan Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir sebagai Menteri Besar, insiden pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak pada 7 Mei dan keputusan Mahkamah yang mengisytiharkan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar yang sah, adalah sangat sukar isu Perak akan ditangani melainkan kuasa itu diberikan semula kepada rakyat,” kata beliau.

“Tindakan Mahkamah tidak semestinya menyelesaikan keadaan politik di Perak,” kata Abu Talib. - Bernama


Desakan yang sama bentuknya datang dari Timbalan Presiden MCA dan Setiausaha Agung Gerakan, seperti laporan Malaysiakini. Ahli Jawatankuasa Kerja Gerakan, Hsu Dar Ren juga membuat kenyataan yang sama.

Kalau sekutu UMNO sendiri sudah bersuara dari dalam kelambu BN, menunjukkan mereka bukan sahaja mempunyai mimpi yang berbeza dalam isu ini, malah mungkin tilam yang juga berbeza.

Keputusan Mahkamah Rayuan ini tidak dapat membeli keyakinan anggota BN sendiri, apatah lagi membeli keyakinan rakyat. MCA dan Gerakan lebih jujur mengenai ketakutan mereka terhadap hukuman rakyat yang lebih dahsyat dari tingkah laku UMNO di Perak. Jika sikap keras kepala UMNO berterusan, bermakna pilihanraya umum akan datang adalah masa gelap bagi BN.

Namun, UMNO masih dilamun mimpi. Jalan undang-undang yang menjerut diri walaupun kehilangan rasa hormat rakyat kepada mereka masih pilihan mereka. Keutamaan Najib bukan lagi masa depan UMNO dan BN tetapi memilih untuk melayari tempoh honeymoon sebagai PM baru dengan agendanya sendiri tanpa menoleh kepada realiti yang berlaku.

Dr Chua Soi Lek, Setiusaha Agung Gerakan, Teng Chang Yeow dan Ahli Jawatankuasa Kerja Gerakan, Hsu Dar Ren patut bertindak lebih lanjut. Gesaan untuk Najib bersetuju dengan pembubaran patut disuarakan dalam forum BN yang lebih efektif.

Sudah sampai masanya juga untuk Tun M mengetuk Najib dengan tukul besinya.

Muhyidin, sebagai Timbalan Presiden UMNO patut mengambil pendirian yang berbeza dari Najib dan jangan sesekali berada dalam bakul kemusnahan yang sama.

Kenyataan Suhakam dan tiga pimpinan komponen BN itu sudah cukup untuk memukul UMNO.

No comments: