Dengan Nama Allah, Maha Pengasih Maha Penyayang
Maha Berkuasa Atas Semua Perkara
Salam ke atas Junjungan Nabi Muhammad s.a.w yang mulia.
1. Saya terlebih dahulu mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah kepada
Datuk Sri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang kerana sekali lagi mendapat
kepercayaan ahli-ahli untuk terus memimpin Parti Islam SeMalaysia PAS sebagai
Presidennya.
Beliau mempunyai tsiqah dan kepercayaan yang tinggi dari ahli-ahli untuk memimpin
PAS berasaskan Islam yang komprehensif dengan pendekatan yang mampu
melonjakkan sokongan masyarakat silang budaya dan agama di Malaysia.
2. Sebagai sebuah parti yang mengamalkan kepimpinan kolektif, lengkap melengkapkan
antara satu sama lain dan dipandu oleh Majlis Syura Ulama', saya yakin bahawa
gandingan yang mantap boleh membantu Datuk Sri Tuan Guru Haji Abdul Hadi
Awang memimpin PAS terus menerus menerokai kemajuan dan pembukaan sehingga
berjaya dari segi politik menggantikan tempat UMNO sebagai
teraju utama negara pada masa akan datang.
3. Setelah mempertimbangkan semua aspek; termasuk pengharapan yang dinyatakan oleh
Kawasan-Kawasan PAS di seluruh negara, baik yang mencalonkan saya atau pun
tidak, serta keputusan Majlis Syura yang bersidang pada 10 Mei 2009 yang
menyatakan tidak ada ketetapan bahawa jawatan yang saya akan tandingi adalah
khusus, tertutup dan eksklusif, serta, pengurusan dan kepimpinan pada peringkat
tertentu yang memerlukan satu semakan untuk keperluan semasa yang mendesak, saya
dengan segala rendah diri, tawadhu' dan semangat yang diajarkan oleh Rasulullah
s.a.w untuk tegur menegur baik dengan lisan mahupun tindakan, mengumumkan
menerima pencalonan sebagai Timbalan Presiden PAS bagi sesi 2009/2011.
4. Saya yakin, kawasan-kawasan yang mencalonkan saya, melaksanakan pencalonan itu
dengan penuh tanggungjawab dan pertimbangan yang tidak harus diperkecilkan oleh
mana-mana pihak atas kematangan dan pengharapan mereka.
Melalui semangat tarbiyyah Islamiyyah yang telah dijalani oleh semua peringkat parti,
terutama selepas Kepimpinan Ulama' mengambil alih teraju kepimpinan PAS sejak
1982, serta amal Islami dan adab jamai'ie yang berteraskan ukuran ukhrawi yang
menjadikan PAS berbeza dari parti politik yang lain, saya sangat berharap bahawa
keputusan saya ini diterima dengan dada yang terbuka dan pertandingan ini berlangsung
dalam semangat ukhuwwah Islamiyyah dan ethika persahabatan yang tinggi. Semoga
segalanya berjalan sebagai ubudiyyah dengan segala tertib dan rukunnya.
Sesungguhnya, saya bersetia dan menyatakan wala' saya yang tidak berbelah bahagi
kepada PAS, Presiden Parti, Mursyidul Am dan Majlis Syura seperti sepatutnya
dilakukan oleh ahli parti yang terdidik.
5. Saya yakin, ahli-ahli tidak terpengaruh dengan percaturan UMNO/media-media tertentu
atau mana-mana pihak luar untuk mencorakkan keputusan ahli dalam pemilihan saf
kepimpinan PAS nanti.
6. Berdasarkan waqi’ atau realiti politik negara pada hari ini, saya berkeyakinan
bahawa sudah sampai masanya PAS berusaha menggantikan tempat UMNO sebagai
teraju utama politik negara dan ini hanya boleh dilakukan dengan PAS menjadi pesaing
UMNO dan bukan rakan dalam apa bentuk ikatan.
Penolakan ke atas UMNO adalah kerana sifat perjuangannya yang memisahkan aktiviti
pemerentahan dari hitungan akhirat dan bimbingan wahyu, yang membawa kepada
berleluasanya korupsi, penyelewengan dan salah guna kuasa serta hilang puncanya
UMNO dalam isu hubungan kaum dan agama di Malaysia.
Segala keburukan yang berlaku dalam negara ini, baik amalan demokrasi yang tempang,
kehilangan rule of law dan runtuhnya kepercayaan terhadap semua institusi utama
dalam negara, peningkatan jenayah, keruntuhan akhlak dan kepincangan-kepincangan
yang lain memerlukan islah yang menyeluruh dengan kedudukan PAS sebagai teraju
perubahan, dengan izin Allah.
7. Kepercayaan masyarakat bukan Islam yang semakin subur terhadap PAS kini tidak
harus sama sekali dipersia-siakan baik dalam konteks dakwah mahu pun pengukuhan
politik menuju kedudukan sebagai parti yang paling dipercayai, bersekali dengan rakan-
rakan dalam Pakatan Rakyat dengan kedudukan PAS yang mampu berdiri sama tinggi.
Saya, Husam Haji Musa, dengan ini, mengumumkan menerima pencalonan sebagai Timbalan Presiden PAS.
Kepada Allah saya bertawakkal.
30 Jumad Al Ulaa 1430
25 Mei 2009
Pejabat Agung Pas,
Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur
Sunday, May 24, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment