Sunday, July 20, 2008

Abdullah memancing, hati-hati

PM: I've met with PAS leaders

PUTRAJAYA: Prime Minister Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi has confirmed that he has personally met with "high-level" PAS leaders three times to discuss issues relating to Islam and Malay unity.

Although he declined to name these leaders, he said they were "decision-makers."


Pengumuman sebelah pihak oleh Abdullah tentunya ada motif tersirat. Jujurkah Abdullah bila beliau umumkan pemimpin 'decision-makers' PAS telah tiga kali menemui beliau? Atau beliau sedang memainkan PAS dengan satu strategi politik dengan umpan yang enak? Sekurang-kurang, dalam keadaan terlalu terdesak, beliau boleh mencapai matlamat politik jangka pendek;

a. Mengukuhkan kedudukan beliau dalam UMNO di tengah pergolakan dalaman yang tidak menentu.
b. Menabur benih perpecahan di dalam PAS yang mungkin mara mengambil alih tempat UMNO pada masa depan.
c. Menghilangkan keyakinan dalam Pakatan Rakyat dan menghalang Agenda Post Pilhanraya 2008.
d. Menjarakkan semula PAS dari sokongan masyarakat bukan Melayu, mungkin 40 tahun kebelakang semula.

Mungkin Abdullah mendapat inspirasi umpan 'Negara Islam' yang dilemparkan oleh Dr. Mahathir selepas melihat kemaraan Pembangkang dalam pilihanraya 1999 dan umpan itu menjadi sehingga Pembangkang undur semula dalam pilihanraya 2004.

Perjuangan Islam yang dibawa oleh PAS sudah tentu tidak akan mengkesampingkan perpaduan ummat Islam dan tidak pula menjadikan Perpaduan Nasional agenda kedua selepas Perpaduan Islam. Malah, Perpaduan Islam dicapai dalam konteks Perpaduan Nasional yang semestinya diasaskan bukan di atas asas kaum semata-mata seperti dilakukan oleh UMNO selama ini, tetapi di atas asas yang lebih kukuh seperti tiada diskriminasi kaum, tiada diskriminasi berdasarkan fahaman politik dan keadilan untuk semua.

Perpaduan versi UMNO sudah lusuh. UMNO sesama UMNO pun tidak dapat disatukan. Apatah lagi formula itu hendak digunakan bagi ummat Islam dan nasional.

Abdullah sudah pun mencapai maksud yang diharapkan, pada darjah yang tertentu yang belum parah.

Tugas utama pemimpin PAS pada waktu ini ialah;

a. Mempastikan parti tidak berpecah, bahkan kekal bersatu. PAS lah satu-satunya parti yang paling stabil, kukuh dan mantap buat masa ini. Jika jangkitan kuman UMNO meresap dan memecahkan PAS, perkongsian kuasa dengan UMNO hanya ulangan percantuman sementara era BN dulu yang berakhir PAS ditolak ke tepi selepas UMNO mencapai kekuatan mereka semula.

b. Mempastikan kepercayaan dan harapan masyarakat bukan Islam terhadap PAS tidak dikhianati. Islam menekankan kepada kesetian terhadap janji.

Jika sekiranya PAS mempunyai pandangan dan agenda yang berguna untuk kepentingan negara, agenda ini boleh dimaklumkan kepada rakyat secara terbuka dan tuntutan boleh dibuat untuk UMNO menerima atau melaksanakannya, tanpa terikat dengan satu perkongsian kuasa yang akan meletakkan PAS selama-lamanya pemain kedua yang bertugas menyelamatkan UMNO dengan faham sekularnya yang merosakkan itu. Berulang kali PAS memainkan peranan yang sama.

Tetapi itu tidak penting bagi Abdullah. Dalam ketidak tentuan sebelum Disember ini, Abdullah memerlukan segala dahan yang ada untuk berpaut.

Pada waktu kepercayaan kepada kepimpinannya berada pada titik yang paling rendah: keupayaan pengurusan ekonomi yang hampir sifar, hala tuju negara yang amat kabur, keyakinan terhadap kemampuan membawa keharmonian pelbagai kaum yang amat rendah, kehilangan keyakinan terhadap institusi utama seperti kehakiman, polis dan jabatan Peguam Negara - memang Abdullah memerlukan PAS.

Jawatan kerajaan yang mungkin ditawarkan oleh Abdullah kepada PAS tentulah bukan segala-galanya.

Abdullah, cuba menggambarkan gambaran positif terhadap dakwaan pertemuannya itu dengan menggunakan istilah -decision-makers' - 'pembuat keputusan', walaupun dia tau mana-mana, apatah lagi parti Ilam seperti PAS, tidak dimiliki oleh mana-mana pemimpin, sebesar mana pun pemimpin itu. PAS sebagai jamaah Islam dikendalikan dengan kaedah dan etika harakah Islamiyyah yang tertentu, termasuk mesyuarah.

PAS tidak mampu berpecah semata-mata untuk memenuhi impian Abdullah mendapatkan 'keldai' korban yang boleh ditunggang, walaupun sementara.

Sunday, July 06, 2008

MEMO UNTUK MP:FAJAR DARI REMBAU KELIRUKAN MENTERI PENGANGKUTAN

Ong Tee Kiat, Naib Presiden MCA tentunya tidak ingin mengikut jejak Chong Kong Choy - Menteri Pengangkutan adalah pos terakhir dalam Kabinet. Kemudian bersara.

Fajarbaru Builder Sdn. Bhd. (dulu sebagai Syarikat Pembenaan Fajar Baru (Rembau) Sdn. Bhd.), telah membuat makluman kepada BSKL pada 24 Mac, iaitu 15 hari selepas pilihanraya umum 8 Mac, bahawa ia telah menerima surat penerimaan tawaran dari Malaysia Airports Holding bertarikh 19 Mac 2008 untuk membina Lapangan Terbang LCCT yang baru bernilai RM 123.9 juta. 

Kenyataan kepada Bursa Saham semestinya melalui Akuan Berkanun (AB).

Mengikut Ong dalam jawapannya di Dewan Rakyat, pada 12 Mei, pembinaan LCCT pertama bernilai RM 108 juta telah diberikan kepada Fajarbaru melalui tender runding. Semua orang maklum hal ini. 

LCCT kedua ini, kata Ong, akan dibuka untuk tawaran terbuka dan Fajarbaru, kata Ong dalam jawapannya itu, belum dianugerahkan dengan projek tersebut.

Kenyataan Fajarbaru kepada BSKL boleh dirujuk. Ia dokumen bertulis. Sekali lagi Fajarbaru Builder yang dulunya Fajarbaru Rembau yang telah ditukar namanya atas sebab yang mereka sendiri ketahui, mendapat projek ini belum pun Menteri tahu mengenainya. Dua bulan selepas syarikat ini mendapat tawaran, Menteri Pengangkutan masih pergi ke Dewan Rakyat dengan jawapan yang sudah usang dan tak terpakai!

Keputusan pilihanraya Mac 2008 ada kaitan atau tidak dengan keputusan pemberian tawaran ini, boleh menjadi teka teki. 

Tetapi untuk Ong memberikan jawapan berbeza dengan dokumen rasmi yang ada, merendahkan mutu Ong yang saya yakin, tidak sama sekali akan berbuat demikian jika beliau diberikan maklumat yang tepat. 

Rakan-rakan MP boleh cungkil isu ini lebih lanjut.

Tuesday, June 10, 2008

Pakatan Rakyat boleh turunkan harga minyak

Jika Kerajaan BN tumbang, bolehkah harga minyak diturunkan semula??

Saya penuh yakin kita boleh menurunkannya sekali pun harga minyak dunia terus meningkat.

Satu dari strategi mudah dan praktikal ialah meluaskan penggunaan gas, baik LPG atau NGV untuk domestik, termasuk untuk kenderaan.

Bila lebih banyak gas digunakan, kita kurang menggunakan minyak. Lebih banyak pula minyak kita dapat di eksport dan kita mendapat lebih banyak wang. Wang minyak itu kita gunakan untuk mengekalkan harga minyak tempatan dan kita sendiri menggunakan lebih gas dari minyak.

Sebagai ‘net exporter’ minyak dan gas, Malaysia mendapat keuntungan yang banyak dari kenaikan harga minyak dari hasil penjualan lebihan hasil petroleum Negara. 

Jika dicampurkan pengeluaran gas dan minyak negara jumlah keseluruhannya melebihi 1.7 juta tong sehari. Namun penggunaan Negara termasuk gas asli adalah kurang dari 1 juta tong sehari. Oleh itu subsidi yang diberikan masih boleh ditanggung oleh kerajaan. 

Kenaikan harga minyak adalah kerana kegagalan pihak kerajaan BN merancang dan melaksana polisi tenaga Negara yang berkesan. Tidak ada satu forum untuk pakar-pakar terlibat sama merancang dasar tenaga negara kerana National Petroleum Advisory Council (NPAC) yang diwujudkan bersama lahirnya Petronas dulu mungkin telah menjadi arwah.

Apa yang boleh dilakukan oleh kerajaan PR ialah menurunkan harga minyak petrol dan disel dan seterusnya memperkembangkan penggunaan NGV dan gas asli untuk industri dalam tempoh tiga tahun bermula dari sekarang. Rakyat yang perlu berjimat boleh menggunakan NGV yang lebih murah dan mudah diperolehi dan rakyat yang berkemampuan boleh terus menggunakan bahan petrol yang lebih mahal.

Mari kita lihat kecacatan dasar tenaga kita sekarang.

NGV

Penggunaan bahan petroleum Negara ialah kira-kira 590,000 tong sehari.

Pengunaan bahan petroleum pasti dapat dikurangkan dengan bertambahnya penggunaan gas seperti NGV (natural gas for vehicle) yang tentunya lebih murah. Kerajaan dengan itu dapat kurangkan kos subsidi minyak tanpa perlu naikkan harga minyak.

Sumber gas asli kita begitu kaya.

Malaysia adalah antara negara yang terbaik di rantau Asia dalam mempunyai rangkaian saluran paip gas asli - PGU. (Peninsula Gas Utilisation) Malang, penggunaan gas asli hanya tertumpu kepada stesen janakuasa dan industri tertentu sahaja. Rangkaian saluran gas PGU yang telah merangkumi semua negeri di semenanjung Malaysia, kecuali Kelantan, tidak digunakan sepenuhnya. 

Setakat ini, Petronas hanya memiliki kurang dari 40 stesen NGV dalam negara. Jumlah ini tidak sampai 5% stesen yang dimiliki Petronas. Memandangkan hanya Petronas yang berhak membangunkan stesen NGV maka nyatalah Petronas tidak menumpukan usaha sepenuhnya ke arah meluaskan lagi kegunaan bahan bakar ini. Banyak industri yang perlukan bekalan gas asli dari system PGU untuk operasi mereka, gagal memperolehinya.

Dengan sumber gas asli yang begini banyak, rakyat negara ini sepatutnya sudah dapat merasakan faedah dan nikmat. Ia tidak berlaku kerana kurang perancangan dan visi. 

Nyata benar lemahnya kerajaan pimpinan Abdullah. Negara kita tidak kekurangan sumber tetapi kekurangan kesungguhan dan kebijaksanaan.

Petronas yang telah gagal melaksanakan program NGV seharusnya tidak lagi terlibat dalam ‘sales and distribution’ untuk NGV dan gas asli. (buat masa ini pun penjualan gas asli kepada industi dilaksanakan oleh Gas Malaysia.)

Sebaliknya, Petronas seharusnya bertindak sebagai pembekal pukal dan memastikan bekalan mencukupi untuk keperluan rakyat.

LNG (Liquified Natural Gas)

Apa yang dilakukan oleh Petronas untuk sumber gas asli ini ialah dengan mengeksport LNG (gas asli cecair).

Penjualan LNG adalan sebanyak 22 juta tan setahun. Ini bersamaan dengan hampir 500,000 tong sehari minyak mentah iaitu hampir memenuhi keperluan bahan petroleum negara.

Penjualan LNG memerlukan kos memproses dan penghantaran yang tinggi. Oleh itu keuntungan menjual LNG adalah kurang berbanding minyak mentah. Seharusnya Petronas mengalakkan pengunaan gas dalam Negara yang akan membolehkan Petronas mengekspot minyak mentah yang lebih menguntungkan.

Pada masa ini Petronas membelanjakan lebih US$ 0.5 billion setahun untuk pengangkutan LNG ke destinasi pembeli. Untuk tempoh 20 tahun (jangkamasa perjanjian penjualan) kos ini adalah sebanyak US$10 billion. Wang sebanyak ini bukankah lebih baik di gunakan untu membina saluran paip gas di antara Sabah, Sarawak (tempat sumber) dan Semenanjung bagi membolehkan sumber gas asli ini disalurkan ke seluruh Negara?

Oleh itu kontrak penjualan LNG harus dikaji semula dan tumpuan harus di berikan dalam mengalakkan pengunaan gas asli untuk kenderaan dan industri di seluruh negara.

Pakatan Rakyat tak boleh laksanakan langkah semudah ini? Tentu boleh. 

Kita masih ada pilihan antara dasar semborono yang menyusahkan semua pihak dengan dasar yang lebih menguntungkan kita: antara BN dan PR.

Potong Gaji Atau Tukar Kerajaan?

Fakta tentang minyak dan gas. 

a. Minyak kita belum kiamat

Laporan tahunan Petronas mencatitkan minyak kita dapat bertahan 20 tahun lagi, bukan tujuh lapan tahun seperti dibisingkan oleh BN. Tak perlu terburu ikut harga dunia.
(The Group's (Petronas)continuous effort to replenish the nation’s hydrocarbon resources have resulted in a fairly constant reserve life for Malaysia – an average of 20 years for crude oil and condensates and 34 years for natural gas reserves respectively, at current rates of production. (Laporan Tahunan Petronas 2006)b. 
Kenapa rakyat dibohongi?

b. Rizab minyak kita bertambah, bukan berkurang

Sejak 1980, rizab tersimpan minyak kita ialah 3 billion tong. Sejak itu, kita telah mengeluarkan lebih dari 4 billion tong tetapi pada tahun 2008, rizab minyak kita semakin bertambah iaitu kini 4 billion tong. Bermakna, kita di tangga ke 28 di dunia.

Kenapa ini berlaku? Kita menemui sumber baru setiap masa.

c. Nisbah temu ganti kita kekal tinggi

Minyak yang kita keluarkan diganti oeh penemuan baru - dikenali sebagai 'replacement ratio'. Berdasarkan rizab dalam negara, 'replacement ratio' kita ialah 1.8. Satu liter yang kita keluarkan hari ini mempunyai ganti dengan kadar 1.8 liter sumber baru. 

Berdasarkan sumber luar negara yang diterokai oleh Petronas, kadarnya ialah 3.4.

Jadi, mengapa kerajaan begitu panik dan sanggup mendera rakyat?

Mana angka ini diperolehi? Lihat Laporan Petronas sendiri.
(One of the Group’s (Petronas)significant achievements in the E&P sector during the year was its success in replacing more hydrocarbons than what was produced in Malaysia, with a respectable Reserves Replacement Ratio (RRR) of 1.8 times, which is amongst the highest in the industry (based on 2006 report).

Tetapi rakyat dinafikan dengan nikmat ini kerana kerakusan. Ikut laporan ini, kadar penggatian baru kita adalah tertinggi dalam industri! Kenapa fakta ini tak ditonjolkan?

d. Kita kaya dengan gas tapi kita tak guna sepenuhnya

Kalau kita gunakan sepenuhnya gas kita untuk kenderaan, kita boleh jimatkan penggunaan minyak dan dapat sumber tenaga yang lebih murah kerana kita ada sumber gas yang kaya.

Rizab gas asli adalah kira-kira 75 trilion kaki padu, bersamaan kira-kira 13 billion tong minyak mentah berada di tangga ke 13 dunia. Ini bermakna bahawa rizab gas asli Negara adalah lebih 4 kali ganda rizab minyak mentah.

Pengeluaran gas asli Negara adalah kira-kira 2.2 trilian kaki padu setahun, bererti rizab yang sedia ada akan bertahan untuk tempoh 35 tahun. Usaha cari gali masih diteruskan dan angka ini akan meningkat.

Malu Petronas dan Kerajaan BN kerana perancangan tenaga yang begitu lemah. Apa yang mereka tahu ialah naikkan harga minyak sesuka hati.

Secebis fakta ini boleh jadi ukuran samada rakyat berpuas hati dengan potongan elaun PM atau menukar PM dengan PM yang baru.

Friday, June 06, 2008

MINYAK - ABDULLAH SEDIA DITUMBANG

Malaysia seperti dihempap ke batu dengan lompatan harga minyak diumum Abdullah. Perasaan rakyat hancur berkecai. Beban yang akan menimpa terasa begitu berat. Ekonomi Negara sudah tentu bertambah bercelaru dengan bebanan inflasi yang akan meragut keselesaan semua lapisan rakyat. Himpitan yang mungkin tidak tertanggung oleh sektor tertentu masyarakat.

Malaysia – masih kekal bertaraf ‘net exporter’ minyak. Minyak dari perut bumi yang kita keluarkan setiap hari adalah lebih besar dari minyak yang dibeli untuk kegunaan kita sendiri. Lebihan sekitar 250,000 hingga 300,000 tong sehari bergantung kepada naik turun jumlah pengeluaran sama ada 650,000 atau 700,000 tong. (Mengambil kira 400,000 tong kita gunakan untuk membayar minyak yang kita import untuk kegunaan domestik, kita ada lebihan kasar sebanyak RM 43 billion setahun dengan harga minyak USD 124 satu tong sekarang). Itu adalah keadaan di mana harga minyak di subsidi seratus peratus atau tong ke tong! 

Bermakna, wang minyak juga mencurah setiap hari dalam khazanah kita walaupun tidak sebesar Arab Saudi atau Brunei. Kita mendapat keuntungan yang besar setiap kali harga minyak dunia meningkat dan keuntungan ini adalah lebih dari cukup untuk membiayai sebarang kenaikan harga minyak untuk kegunaan dalam negeri. (Setiap bulan, kita menerima lebihan kasar sebanyak RM 3.58 billion! Dengan andaian subsidi seratus peratus) Itu belum mengambil kira keuntungan Petronas di luar Negara.

Itulah juga salah satu sebab Petronas ditubuhkan oleh Tun Razak 44 tahun yang lalu – untuk melindungi rakyat Malaysia dari kenaikan harga minyak dunia. ‘Inoculation’ atau – melindungi harga minyak tempatan supaya lebih rendah dari harga minyak dunia. Telaga minyak Negara kita adalah alat untuk tujuan itu, bukan alat untuk Petronas menciptakan keuntungan besar semata-mata.

Petronas – mengikut idea Tun Razak dan konsep asalnya – adalah custodian atau penjaga khazanah minyak Negara. Petronas bukan pemilik sebenar khazanah bumi itu. Pemilik sebenar adalah rakyat Malaysia. Dan kerana itu, manafaat utama dari khazanah minyak kita mesti mengutamakan kesejahteraan rakyat dan bukannya rekod keuntungan.

Petronas boleh berkecimpung di peringkat antarabangsa untuk menjadi badan mutinasional tetapi tugas utamanya bukan semata-mata membilang keuntungan. Tugasnya meletakkan harga minyak dalam Negara ini kekal lebih rendah. Keuntungan Petronas bukan keuntungan Petronas. Keuntungan Petronas adalah untuk mengurangkan harga minyak dalam Negara kita.

Jika Petronas sibuk mengungkit keuntungannya susut kerana ‘terpaksa’ menyumbang kepada subsidi minyak Negara – tiba masanya pengurusan Petronas juga perlu dirobak bersekali dengan kerajaan yang telah terputus dari denyut nadi dan suara hati rakyatnya sendiri.

Tiba masanya rakyat Negara ini mengetahui secara terbuka pendapatan sebenar Negara dan Petronas hasil kenaikan harga minyak dunia. Sebuah odit bebas harus diberi peluang melakukan odit terperinci dan mendedahkannya kepada rakyat.

Tetapi, untuk odit bebas dilantik oleh Kerajaan Abdullah adalah mengharapkan kucing tumbuh tanduk. Kita memerlukan kerajaan baru untuk melakukan perkara ini.

Membandingkan harga minyak Negara dengan Negara jiran yang bukan pengeluar minyak, adalah perbuatan yang menyakitkan hati. Singapura, GDPnya beberapa kali ganda Negara kita dan Singapura tak ada Petronas kerana tidak ada satu titik minyak di sana. Di Thailand, sekurung-kurangnya road tax adalah percuma.

Kerajaan berbangga kerana dapat berjimat RM 18 billion. Kerajaan akan guna wang itu untuk itu dan ini. Kerajaan lebih rela merampas RM 18 billion dari rakyat yang akan mengakibatkan pelbagai implikasi kewangan dan kebajikan rakyat di semua peringkat. Sebahagian wang itu akan digunakan untuk perbelanjaan tidak perlu seperti membayar kontrak runding terus dengan harga lebih tinggi seperti dalam kes landasan berkembar keretapi.

Kenaikan besar ini adalah preplanned atau dirancang awal. Ia selari dengan saranan Khairy dalam Perhimpunan Agung UMNO tahun lalu. Ia bertujuan mewujudkan dana yang besar untuk membolehkan kerajaan berbelanja sesuka hati seperti dalam kes projek mewah di Terengganu. 

Pada masa yang sama, kita mempunyai khazanah tenaga yang lain yang amat besar iaitu gas. Buat masa ini, Negara tidak dipersiapkan sepenuhnya untuk beralih kepada gas. Petronas lebih berbangga menjadi pembekal gas berharga murah ke Negara seperti Jepun.

Di Thailand, bekalan NGV boleh didapati dengan mudah dan kenderaan boleh beralih kepada NGV dengan senang. Di Negara kita, Kelantan dan sebahagian Terengganu belum disiapkan dengan saluran paip PGU untuk membolehkan gas disalurkan. 

Jika kita akan menjadi ‘net importer’ minyak dalam tempoh lapan tahun lagi kerana telaga baru tidak lagi ditemui dan telaga lama mula kering, kita masih mempunyai telaga gas yang boleh bertahan tujuh generasi akan datang.

Apa perlunya kita membuat lompatan harga minyak yang begitu besar dan bermula Ogos, harga minyak domestik hanya 30 sen lebih murah dari harga pasaran dunia?

Kita boleh bergantung kepada gas untuk sumber tenaga baru kita dan juga pendapatan eksport kita, jika kita mempersiapkan Negara kita. Dengan itu, kita tidak perlu tergesa-gesa menyamakan harga minyak Negara kita dengan harga dunia dan pada masa yang sama, kita kenakan pula road tax ke atas rakyat kita.

Syarikat gergasi minyak mendapat ‘windfall gain’ hasil kenaikan harga minyak dunia dan cukai ke atas ‘windfall gain’ mungkin mencukupi untuk memberikan lebih keselesaan kepada rakyat kita.

Nampaknya, kita perlukan kerajaan yang lebih prihatin, berhemah dan bijak untuk mentadbir kita semua.