Friday, May 22, 2009

Keputusan Mahkamah Rayuan diatur?

Posting saya tiga hari lalu telah 'meramalkan' Mahkamah Rayuan akan memihak kepada Zambry dan ia menjadi kenyataan hari ini.

Ia sebenarnya bukan ramalan tetapi maklumat. Maklumat selanjutnya ialah pembubaran DUN Perak dalam masa terdekat, selepas Mesyuarat Majlis BN sekali lagi Isnin atau Selasa ini.

Isu di sini ialah, jika maklumat ini terbukti tepat, adakah ujud unsur 'pre-arranged' dalam keputusan ini? Ia bukan tugas kita semua untuk membuktikannya tetapi ia tugas pihak berkuasa. Sudah tentu kita tidak dapat mengharapkan apa-apa pada hari ini.

Keputusan ini memberi kesan besar. Baik di Parlimen mahu pun di DUN yang lain, Agung atau Sultan boleh melantik PM atau MB yang baru tanpa PM atau MB berkenaan terlebih dahulu dilucutkan jawatan mereka melalui usul undi tidak percaya.

Adakah negara kita sudah bersedia menerima hakikat kemungkinan perubahan teraju kepimpinan melalui proses tabung uji di luar rahim iatu Dewan Rakyat atau DUN seperti yang difahami sebelum ini? Khususnya Najib, sudahkah bersedia untuk Ahli Dewan Rakyat mengumpulkan senarai bahawa mereka sudah hilang kepercayaan kepada beliau dan Agung boleh dengan itu melantik PM yang baru tanpa proses Dewan Rakyat?

Tiga atau lima atu tujuh hakim yang bersidang, bukan lagi ukuran untuk rakyat yakin dengan integriti dan kebebasan kehakiman kita, melainkan keputusan mereka yang dilihat wajar. Apa lagi keputusan Mahkamah ke atas krisis politik, memerlukan lebih ketelitian dan kebebasan.


Berbalik kepada Perak. 'Ramalan' saya seterusnya ialah, Majlis BN akan bersidang. Kemudian Zambry kononnya bersetuju menyerahkan mandat kepada rakyat dengan mengadap Sultan Perak untuk pembubaran.

Memang itu yang dihasratkan oleh PR tetapi proses mahkamah yang dianggap tidak selari dengan prinsip keadilan tetap menjadi satu medan yang tidak akan berakhir dengan pembubaran itu kelak. Pembubaran, ya. Proses undang-undang yang adil, juga ya.

Tuesday, May 19, 2009

Pembubaran DUN Perak Kian Hampir

Saya telah menemui Tengku Razaleigh Hamzah, Dr Chua Soi Lek dan Tan Sri Abu Talib awal minggu ini, seperti dipersetujui Presiden dan Dewan Harian PAS Pusat. Perjumpaan seterusnya adalah bersama seorang pimpinan Gerakan.

Dr. Chua telah menjelaskan sebahagian inti perbincangan kami dalam blognya.

Apa yang saya dapat tangkap ialah, dari segi prinsip, semua ketiga pimpinan yang saya temui, bersetuju, DUN Perak harus dibubarkan.

Dr. Chua memberikan saranan, pembubaran dilakukan melalui undi percaya di DUN terlebih dahulu, baik oleh BN atau PR, selepas siapa diputuskan menang sebagai MB yang sah pada 21 Mei ini. Itu adalah pandangan beliau. Tetapi akhirnya, pembubaran adalah perkara pasti yang perlu dilakukan oleh kedua-dua pihak, jika ingin dilihat bermaruah.

Dr. Chua berjanji membangkitkan isu ini dalam mesyuarat Majlis Tertinggi BN malam selepas perjumpaan kami, Isnin lepas. Saya difahamkan Dr. Chua benar-benar membangkitkannya dan pada keseluruhannya, parti komponen yang lain menuju pandangan pembubaran sebagai jalan survival politiik BN di Semenanjung. JIka tidak, penolakan terhadap BN akan berlaku di seluruh Semenanjung.

Pembubaran DUN Perak juga akan mengimbangkan langkah BN tidak meletakkan calon di Penanti. BN tidak gentar. Buktinya, BN bertindak berani membubarkan DUN Perak sedikit masa lagi dan BN berani menghadapi pilihanraya di Perak dan dengan itu, tidak menyertai Penanti adalah atas sebab prinsip semata-mata.

Jika maklumat saya ini hendak dijadikan kenyataan, langkah pertama ialah Mahkamah Rayuan perlu membuat keputusan yang menyebelahi Zambry, Khamis ini. BN sangat memerlukan keputusan itu untuk BN akan dilihat bertindak menasihati Sultan untuk pembubaran itu dan bukan PR. Mereka juga mempunyai kelebihan sebagai care taker government sepanjang tempoh kempen.

Saya membuat tekaan, Khamis ini, Mahkamah Rayuan akan menyebelahi Zambry. Ini hanya tekaan saya. Untuk membolehkan tekaan saya selanjutnya menjadi kenyataan.

Pengunduran dari Penati hendaklah juga dibaca sebagai satu strategi membuat kejutan reverse iatu pilihanraya mengejut di Perak.

Terima kasih pada semua pimpinan BN yang membawa versi berbeza dalam pandangan politik mereka.

PR, pada pendapat saya, bersedia dengan pilihan ini kerana krisis Perak perlukan penyelesaian segera dan muktamad. Jika tidak, satu lagi institusi yang sebelumnya dilihat terhormat iaitu Istana, juga akan menghadapi kepudaran kepercayaan rakyat sama seperti hampir keseluruhan institusi di negara ini.

Bersedia!

Tuesday, May 12, 2009

Amanat Tok Guru Sempena 13 Mei besok

Addressing The Nation? Tok Guru Nik Aziz akan menyampaikan amanatnya kepada seluruh rakyat Malaysia, besok. Ia boleh diikuti secara live menerusi internet bermula jam 11.30 pagi.

Intinya ialah mengenai peristiwa 13 Mei dari perspektif baru. Jalan kehadapan bagi rakyat Malayisa dari peristiwa yang menjadi mercu tanda kegagalan UMNO/Perikatan yang membawa kepada dicetus atau tercetus peristiwa hitam itu.

UMNO telah gagal sebelum 13 Mei. Polisi baru bagi menutup kegagalan itu dibentuk. 30 tahun kemudian, kegagalan dalam bentuk yang lain sedang mengambil tempat di bawah teraju UMNO.

Mursyidul Am PAS mengambil kesempatan pada hari yang bersejarah itu untuk melontarkan pandangan beliau.

Sama kita tunggukan kenyataan beliau nanti.

Pilihanraya, bukan Mahkamah

Keputusan Mahkamah Rayuan tengahari tadi yang menyebelahi Zambry tidak mengejutkan. Itulah sistem kehakiman Malaysia.

BN memerolehi perentah Mahkamah yang menyebelahi mereka, tetapi keyakinan rakyat terhadap kesucian doktrin pengasingan kuasa di bawah BN semakin luluh.

Najib telah kehilangan peluang keemasan untuk muncul mendapat political mileage dari keputusan Mahkamah Tinggi semalam.

Beban ke atas Najib semakin berat. Hari ini, empat kenyataan penting meminta pilihanraya semula di Perak dibuat;

Satu oleh Pengerusi Suhakam. Kedua oleh sekutu UMNO dalam BN sendiri.

Utusan sendiri melaporkan kenyataan Pengerusi Suhakam, selain laporan Bernama;

“Mungkin sudah tiba masanya untuk rakyat di Perak diberikan peluang untuk menggunakan hak mereka sekali lagi untuk memilih kerajaan pilihannya, iaitu hak asasi manusia,” kata Pengerusi Suhakam Tan Sri Abu Talib Osman.

Beliau berkata Artikel 21 Deklarasi Universal Hak Asasi Manusia 1948 memperuntukkan bahawa kesungguhan seseorang hendaklah menjadi asas kuasa kerajaan.

“Berdasarkan perkembangan yang berlaku berikutan pelantikan Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir sebagai Menteri Besar, insiden pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak pada 7 Mei dan keputusan Mahkamah yang mengisytiharkan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar yang sah, adalah sangat sukar isu Perak akan ditangani melainkan kuasa itu diberikan semula kepada rakyat,” kata beliau.

“Tindakan Mahkamah tidak semestinya menyelesaikan keadaan politik di Perak,” kata Abu Talib. - Bernama


Desakan yang sama bentuknya datang dari Timbalan Presiden MCA dan Setiausaha Agung Gerakan, seperti laporan Malaysiakini. Ahli Jawatankuasa Kerja Gerakan, Hsu Dar Ren juga membuat kenyataan yang sama.

Kalau sekutu UMNO sendiri sudah bersuara dari dalam kelambu BN, menunjukkan mereka bukan sahaja mempunyai mimpi yang berbeza dalam isu ini, malah mungkin tilam yang juga berbeza.

Keputusan Mahkamah Rayuan ini tidak dapat membeli keyakinan anggota BN sendiri, apatah lagi membeli keyakinan rakyat. MCA dan Gerakan lebih jujur mengenai ketakutan mereka terhadap hukuman rakyat yang lebih dahsyat dari tingkah laku UMNO di Perak. Jika sikap keras kepala UMNO berterusan, bermakna pilihanraya umum akan datang adalah masa gelap bagi BN.

Namun, UMNO masih dilamun mimpi. Jalan undang-undang yang menjerut diri walaupun kehilangan rasa hormat rakyat kepada mereka masih pilihan mereka. Keutamaan Najib bukan lagi masa depan UMNO dan BN tetapi memilih untuk melayari tempoh honeymoon sebagai PM baru dengan agendanya sendiri tanpa menoleh kepada realiti yang berlaku.

Dr Chua Soi Lek, Setiusaha Agung Gerakan, Teng Chang Yeow dan Ahli Jawatankuasa Kerja Gerakan, Hsu Dar Ren patut bertindak lebih lanjut. Gesaan untuk Najib bersetuju dengan pembubaran patut disuarakan dalam forum BN yang lebih efektif.

Sudah sampai masanya juga untuk Tun M mengetuk Najib dengan tukul besinya.

Muhyidin, sebagai Timbalan Presiden UMNO patut mengambil pendirian yang berbeza dari Najib dan jangan sesekali berada dalam bakul kemusnahan yang sama.

Kenyataan Suhakam dan tiga pimpinan komponen BN itu sudah cukup untuk memukul UMNO.

Monday, May 11, 2009

Peluang Sultan Perak muncul terhormat

Keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur meletakkan Nizar sebagai Menteri Besar Perak yang sah adalah mengejutkan. Mengejutkan bukan kerana point undang-undang tidak menyebelahi Nizar, tetapi mengejutkan kerana keberanian Hakim Abdul Aziz Rahim membawa Mahkamah Malaysia keluar sebagai institusi yang bebas dan berintegriti. Beliau adalah seorang hero baru.

Keputusan apa pun oleh Mahkamah Tinggi memang boleh dirayu. Tetapi, jika bagi orang awam biasa sekalipun boleh mengerti bahawa pemecatan Nizar adalah tidak sah, dan itu telah pun diputuskan oleh Mahkamah Tinggi, Najib sepatutnya tidak lagi menggunakan saluran undang-undang untuk menyelesaikan krisis Perak yang beliau sendiri mulakan.

Keberanian menerima realiti dan keberanian menyelesaikan kemelut ini mengikut saluran politik adalah segala-galanya. Jika rayuan itu nanti masih memihak kepada Nizar, Najib dan UMNO akan menanggung malu yang lebih besar. Jika keputusan itu atas apa sebab pun memihak kepada BN, rasa euphoria rakyat atas bebasnya kehakiman negara ini kembali menjadi negatif.

Jika Najib berani bertindak bersama PR untuk memujuk Sultan Perak memperkenankan pembubaran DUN, BN mendapat dua markah. Markah atas bebasnya kehakiman di bawah pentadbiran Najib dan point yang kedua, kerana berani mencari jalan penyelesaian kepada krisis atas prinsip kembalikan kuasa penentuan kepada rakyat.

UMNO dan BN mungkin tewas dalam pilihanraya itu nanti, tetapi maruah politik dan integriti BN akan dapat dihindarkan dari terus koyak.

Ia telah pun koyak dengan parah sebelum ini. UMNO/BN mendapat kuasa di Perak, tetapi ia meranapkan imej BN di seluruh negara, bahkan dunia. Harganya terlalu mahal.

Samada Najib ingin terus bermandi dalam lumpur politik yang tak mungkin dibersihkan selagi ia menggonggong kuasa di Perak melalui jalan di luar batas undang-undang dan amalan demokrasi yang terpuji atau kembali ke pangkal jalan.

Institusi Di Raja Perak yang amat dihormati sebelum ini juga, mempunyai peluang tersendiri menunjukkan kesaksamaannya. Institusi ini tidak harus dilihat bertindak memihak kepada satu golongan tetapi bertindak berteraskan peraturan dan undang-undang. Prinsip-prinsip demokrasi harus dihormati.

Peluang institusi Diraja Perak keluar dari kemelut ini dengan tahap imej yang lebih tinggi adalah terbuka luas. Bubarkan saja DUN Perak dan biarkan rakyat memutuskan penghakiman mereka.

Bagi PAS dan PR, bukan bermakna pembubaran itu akan menguntungkan mereka. Rakyat Perak mungkin mengundi tidak seperti yang PR harapkan. Apa pun, pembubaran DUN tetap langkah terpuji yang membuktikan PAS dan PR adalah pemain demokrasi yang jujur dan pruden serta berani meletakkan rakyat di tempat teratas. Kuasa bukan segala-galanya tetapi prinsip-prinsip utama lebih didahulukan.

Doakan pembubaran!