Tuesday, November 06, 2007

Cepat Rugi, Slow Pun Rugi

Menjelang Pilihanraya 2004, Abdullah dengan bijaknya memainkan watak sebagai tokoh yang membawa perubahan baru sesuai dengan kehendak rakyat. Lebih kurang seratus hari sejak mengangkat sumpah sebagai PM pada 31 Oktober 2003, beliau menuturkan pelbagai polisi yang menyenangkan.

Kata-kata manis itu berkesan.

Landasan Keretapi Berkembar yang moden dan pantas, menghubungkan negara kita sampai ke Cina - antara mangsa permainan imej itu. Diumumkan ditangguhkan pada Disember 2003. PM baru, bagus - tak sukakan projek mega macam Tun M. Negara untung kerana ada PM baru seperti Abdullah.

Rakyat kagum. Cepat Abdullah membuat keputusan.

Waktu itu, landasan Rawang-Ipoh sedang dibina. Ia akan jadi landasan tergantung jika sambungannya sebelah utara dan selatan sepanjang 329km lagi tidak dibina. Apa peduli. Yang penting, rakyat nampak Abdullah PM yang jimat.

Kos waktu itu untuk sambungan 329km - RM 14.5 B.

Kini, ia diputuskan untuk dibina semula.

Kosnya?

Sejak 2003, harga besi naik lebih sekali ganda. Simen, 25% kenaikan, sekurang-kurang. Diesel, naik dengan tajam dan akan terus naik. Kos diesel untuk mengangkut bahan binaan dijangka melebihi separuh kos bahan binaan untuk projek ini.

4.2 million tan aggregate, 1.2 million tan simen, 300,000 tan besi, 5,000 buah logi, mesin berat dan kenderaan diperlukan.

Angka awal - RM 12.5 B hanya untuk sektor Utara, Ipoh-Padang Besar. Naik RM 3.5 B dari kos asal.

Sewaktu bertugas sebagai Ahli Dewan Rakyat, saya bangkitkan isu kos yang boleh dijimatkan dan tujuan tertentu kos dinaikkan yang akan merugikan negara. Projek ini baik untuk negara tetapi cara pengendaliannya boleh merugikan negara. Untuk landasan Rawang-Ipoh, saya nyatakan, ia boleh dijimatkan antara RM 700 juta hingga RM 900 juta.

Laporan terakhir menunjukkan kos telah meningkat dalam lingkungan RM 700 juta untuk Rawang-Ipoh.

Kini, kita akan kerugian lebih dari RM5 B kerana langkah penangguhan tergesa-gesa 4 tahun lalu.

Pembuatan keputusan Abdullah selalu menelan kos..... Hampir RM 1.5 B setahun, untuk ini sahaja.

4 tahun masa diperlukan untuk membuat keputusan baru.......

No comments: