Pilharaya Kecil Batu Talam yang sepatutnya kecil kerana parti pembangkang tidak menyertainya, rupanya menjadi besar.
Kegelisahan terpancar dari kem Umno/BN, sejak hari penamaan calon bila secara rasmi pembangkang sah memboikot pilihanraya itu. Pas jadi sasaran kerana ia tak masuk pilihanraya. Rupanya, bila Pas tak masuk pilihanraya, itu pun salah.
Paling kelam kabut nampaknya tak lain tak bukan dari Najib sendiri. Sejak awal, beliau menekankan majoriti BN mesti meningkat dan tiga ribu adalah garis ukuran majoriti yang BN perlu perolehi.
BN mesti menang dan menang dengan majoriti lebih besar.
Jika majoriti menurun, seakan satu pukulan yang besar bagi politik Najib. Kerana Pahang negeri Najib, maka kurang majoriti akan menggerhanakan politik Najib. Itu yang boleh kita faham dari cara dan gaya Najib berkempen sampai kepada petang ini.
Sebenarnya, Najib tidak perlu berfikiran demikian kalau beliau berfikir di luar kotak seperti disarankan oleh Perdana Menteri. Take it bit easy.
Biasa sahaja bagi pilihanraya kecil majoriti boleh turun. Ia tidak semestinya dikaitkan dengan Timbalan Perdana Menteri semata-mata kerana itu negeri Timbalan Perdana Menteri.
Bila Timbalan Perdana Menteri kelihatan ghairah menyerang, menerjah dan menempis di Batu Talam, pertanyaan saya ialah kenapa di Batu Talam beliau begitu aktif tetapi dalam isu nasional yang lebih besar beliau menikus?
Dalam isu perolehan kick back money dari pembelian senjata oleh Kementerian Pertahanan umpamanya, beliau tidak menunjukkan sikapnya. Pendiriannya tidak diketahui dan penjelasan dari mulut beliau selaku orang bertanggungjawab di Kementerian Pertahanan tidak diperolehi.
Apalah besarnya objektif majoriti 3,000 undi di Batu Talam yang sepatutnya menjadi pilihanraya 'kecil' saja ketimbang isu nasional yang membabitkan sudut integriti dan maruah negara di peringkat antrabangsa? Adakah isu ini tidak penting bagi Najib?
Najib tidak akan punah dengan berkurangnya majoriti BN di Batu Talam. Pengundi Batu Talam bahkan mungkin akan mendapat faedah berlipatganda jika sekiranya majoriti BN menipis di sana.
Tetapi isu sogokan dari pembelian senjata yang menjadi pertanyaan ramai ekoran pembunuhan misteri Altantuya, sedang menganga untuk menelan mangsanya.
Najib harus kelihatan lebih berani dan proaktif atas isu ini, lebih dari melibas pedang menebas angin di Batu Talam. Ini isu yang lebih real. Isu untuk seorang Timbalan Perdana Menteri menjelaskannya bagi pihak Kerajaan.
Saturday, January 27, 2007
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
2 comments:
ghairahnya Najib menyerang, kelihatan seperti die yg bertanding di batu talam!
salam...nak tau lebih lanjut latar belakang Altantuya....dgr criter dia ader 'special relationship'...betul ker? lg 1 Altantuya nie dikhabarkn seorg perisik dr Rusia...saya perlukan pjelasan lanjut
Post a Comment