Monday, May 03, 2010

Menteri Mempelam Serahkan Sabah dan Limbang

PM sifatkan penyerahan sempadan bersama dua medan minyak Blok L (Lah?) dan M (Mahathir?) kepada Brunei sebagai win-win.

Rais Yatim selaku Menteri Luar, ketika mengulas gagalnya Malaysia di Mahkamah Antarabangsa dalam mempertahankan kedaulatan ke atas Pulau Batu Putih dulu juga sebagai 'win-win'.

Najib pula selaku TPM waktu itu, ketika diminta mengulas kekalahan Malaysia itu menyebut: "Keputusan hari ini menunjukkan kita berjaya di dalam separuh daripada tuntutan kita, manakala separuh kita adalah gagal. Ada juga yang melihat keputusan hari ini sebagai 'win-win situation," katanya.

Kita menang separuh - gagal separuh! Ikut logik Najib kita kalah dan sedia menerima kekalahan itu sebagai win-win.

17 November 2008, Singapura pula telah menganugerahkan darjah negara tertinggi Singapura kepada pasukan mereka di ICJ - merayakan kejayaan yang dikira sangat penting dan strategik itu.

Chief Justice Chan Sek Keong; Tommy Koh, Ambassador-at-Large; and Justice Chao Hick Tin, Peguam Negara Singapura telah mendapat anugerah Darjah Utama Temasek, Darjah Utama Nila Utama, Darjah Utama Bakti Cemerlang . Semua anggota yang lain juga turut dikurniakan anugerah.

Pada 4 November 2008, ekoran kemenangan ke atas Batu Putih, Lee Kuan Yew ketika berucap di Singapore Energy Conference menyebut Singapura akan menambak perairan sekitar pulau itu dan akan mendirikan loji janakuasa nuklear. Begitulah kesan kalahnya tuntutan kita walaupun yang dipertikaikan hanya sebuah batu timbul yang kecil! Apa lagi sebuah kawasan laut yang luas.

Turut menganggotai pasukan Singapura ialah Timbalan Perdana Menteri mereka. Mereka serius dan bersungguh-sungguh dan tidak hairanlah mereka berjaya.

Kita cuai sejak ratusan tahun lalu lagi.

Satu dari sebab mengapa ICJ memberikan kemenangan kepada Singapura ialah surat dari Pemangku Setiausaha Kerajaan Johor pada tahun 1953 bahawa Johor tidak menuntut kedaulatan ke atas pulau itu. Sementara itu, peta Malaysia yang kita keluarkan sendiri antara tahun 1960an hingga 1970 an meletakkan pulau ini di luar wilayah Malaysia. Hanya pada tahun 1979, kita mengeluarkan peta baru untuk memasukan semula pulau batu putih.

Pada waktu British dan Singapura meneruskan pelbagai aktiviti mereka di pulau ini, Kerajaan Johor tidak mengambil sebarang langkah untuk menunjukkan pulau ini adalah milik kita atau membantah aktiviti-aktiviti itu.

Namun, dalam kes Pulau Batu Putih, kita berjuang sampai akhir walaupun keluasannya tak sampai sebesar padang bola dan tidak timbul akan berlaku sebarang bergolakan antara dua negara berjiran. Bahkan, selepas keputusan ICJ itu kedua negara bersetuju menghormati keputusan itu.

Dalam kes sempadan laut kita dengan Brunei, saya yakin ia tidak akan menganggu hubungan Malaysia - Brunei kiranya kita berjuang sampai muktamad menurut saluran sedia ada.

Jika kita katakan kita terpaksa mengikut kehendak UNCLOS 1982, mengapa sehingga 2003 kita masih menandatangani perjanjian pengeluaran minyak di kawasan ini dengan Murphy Oil? 19 tahun selepas UNCLOS?

Mengapa secara tiba-tiba kita merasakan kita tidak mempunyai hak yang sah ke atas kawasan ini? Apa dokumen dan temuan yang menunjukkan kita tidak lagi berhak ke atasnya?

Sanggupkah kerajaan mendedahkan dokumen itu untuk disemak oleh rakyat awam pada bila-bila masa?

Jika kerajaan mempunyai hujah yang kuat untuk menyokong keputusan yang merugikan itu, apa perlu bimbang untuk rakyat menelitinya? Sekurang-kurangnya ia dibentangkan di Parlimen dan sekarang, Dewan Negara masih bersidang dan kerajaan boleh berbuat demikian sekarang juga.

Tak bolehkah PM ke Dewan Negara dan jelaskan di situ?

Ketika kita menerima berita mengenai kekalahan kita ke atas Batu Putih dulu, anggota kerajaan sendiri menunjukkan reaksi kecewa yang berbagai-bagai. Ada yang cadangkan kita segera bangunkan Pulau Pisang sebelum Singapura menuntutnya pula di kemudian hari. Di Pulau milik Johor ini juga terdapat rumah api Singapura. MB Johor berjanji akan segera bangunkan Pulau Pisang sebagai destinasi eko pelancungan!

Hangat-hangat tahi ayam?

Utusan Malaysia pula pada 27 Mei 2008, beberapa hari selepas keputusan ICJ, telah menulis rencana khas bertajuk 'Pertahankan Wilayah'!

Apakah wilayah yang dimaksudkan itu hanyalah pulau-pulau kecil dan bukan sempadan laut yang luas?

Kita 'bergaduh' untuk mempertahankan pulau sebesar padang bola dan tidur lena ketika wilayah yang lebih luas terlepas bersekali dengan khazanahnya.

Lebih dahsyat lagi, sikap Menteri Luar kita ketika Pulau Batu Putih telah diputuskan menjadi milik Singapura, dalam satu interbiu beliau dengan seronoknya berkata;

Q: You described the ICJ judgment as a “win-win” situation for Malaysia and Singapore. But many criticised the way you deemed it as we lost the crux in contention – Batu Puteh.



"I still maintain my stand that we have half the victory, and half the failure. All are rocks anyway, there is no mempelam (mango) there, nothing, not even a blade of grass. But people like to rub it in. But let's face it. Malaysia did not lose all. Whoever says that, either he or she does not understand the international law result, or they are playing belukar politics."

Lihat! Sekadar batu - tak ada mempelam, tak ada rumput! Kita boleh lepaskan. Sekarang? 'All are sea waters anyway?'

Bagaimana pula dengan dua blok minyak yang kaya? Adakah mempelam lebih penting pada selera Rais berbanding minyak?

Kalau Menteri kita hanya Menteri Mempelam, jangan hairan satu hari Limbang dan Sabah juga akan kita serahkan.

Kedua-duanya adalah tuntutan Brunei dan Filipina sekian lama dan demi 'win-win' serantau seperti logik pemimpin kita, mudah bagi kita menyerahkan Sabah dan Limbang.

Kena 'bayarannya', semua kerja jadi.

Sunday, May 02, 2010

Dua Medan Minyak: Surat Terbuka Untuk Najib

YAB Perdana Menteri Malaysia

PENYERAHAN SEMPADAN LAUT MENGANDUNGI DUA MEDAN MINYAK BLOK L DAN M KEPADA BRUNEI DARUS SALAM - POHON PENJELASAN.


Saya yakin YAB sudah mengikuti laporan media mengenai isu sempadan perairan Malaysia yang telah diserahkan kepada Brunei - seperti kenyataan akhbar bekas Perdana Menteri pada Juma'at lalu.

Bersekali dengan penyerahan sempadan laut ini, dua medan minyak yang kaya yang dulunya milik negara kita, juga dengan sendirinya menjadi milik Kerajaan Brunei.

Dua blok minyak itu dulunya adalah milik Petronas dan Petronas telah pun menganugerahkan konsesi kawasan ini untuk pengeluaran kepada Petronas Carigali dan Murphy Oil sejak 2003 dan berkuatkuasa bulan April tahun ini, perjanjian konsesi berkenaan terpaksa ditamatkan.

Isu yang lebih besar dan memerlukan penjelasan awam yang segera dari Kerajaan pimpinan YAB ialah bagaimana Kabinet Malaysia pada 11 Februari 2009 boleh bersetuju dengan pelepasan kedaulatan Malaysia ke atas wilayah berkenaan.

Seperti disebutkan dalam kenyataan Tun Abdullah, ia adalah 'overlapping area'. Jika ianya 'overlapping area' sebagaimana kawasan-kawasan lain seperti JDA dan CAA, mengapa Malaysia dengan mudah melepaskannya? Jika kawasan lain tidak kita lepaskan kedaulatannya, mengapa yang ini kita lepaskan?

Adakah Malaysia tidak yakin bahawa kita mempunyai hak ke atas kawasan perairan ini dan adakah Malaysia telah mengkaji dengan teliti bahawa tuntutan kita ke atas kawasan ini memang tidak kukuh?

Jika kita tidak mempunyai hak ke atasnya sama sekali, bagaimana Brunei boleh mengizinkan kita terlibat sama dalam perkongsian pengeluaran bagi kedua-dua blok itu dalam tempoh empat puluh tahun?

Mengapa pula sebelum ini kita telah menandatangani perjanjian konsesi dengan Murphy Oil jika kita tidak yakin ia adalah milik kita?

Bukankah selama ini kawasan ini dalam perairan kita dan tiba-tiba kita tidak mempunyai asas yang kukuh untuk terus memilikinya?

2. Selepas keputusan Kabinet dibuat dan langkah menandatangani perjanjian dengan Brunei dilakukan pada 16 Mac 2009, mengapa rakyat Malaysia tidak dimaklumkan mengenai keputusan Kerajaan menyerahkan perairan bersekali dengan medan minyak itu?

Mengapa tidak juga ada penjelasan Parlimen dibuat?

Rakyat Malaysia hanya mendapat tahu kedudukan ini melalui kenyataan Murphy Oil kepada NYSE selepas konsensinya dibatalkan.

YAB sendiri tidak pernah berterus terang dengan keputusan ini dan tidak mengambil langkah menjelaskannya kepada umum sampai hari ini.

Mengapa ia harus disembunyikan jika fakta-fakta tuntutan tidak menyebelahi kita dan kita tidak mempunyai pilihan lain melainkan menyerahkan wilayah ini kepada Brunei?

Jika sebaliknya, iaitu kita sememangnya mempunyai fakta kukuh ke atas tuntutan ini dan penyerahan ini hanyalah kerana keputusan politik semata-mata, rakyat berhak untuk tahu apakah sebab politik mendesak sehingga keputusan seperti itu dibuat.

Adakah ia semata-mata untuk menyenangkan hati Perdana Menteri waktu itu dan seluruh Kabinet menerima keputusan ini walau pun ianya merugikan negara?

Jika sebiji pulau kecil sebesar Batu Putih kita perjuangkan hingga saluran terakhir, mengapa wilayah sebesar dan sekaya itu kita lepaskan sebegitu mudah?

Apakah asas-asas yang dterima untuk Kabinet memutuskan sedemikian?

3. Rakyat Malaysia juga berhak untuk tahu apakah tawaran gantian kepada Murphy Oil atau sebarang ganjaran atas penamatan konsensi berkenaan?


Sehingga satu kenyataan rasmi dikeluarkan oleh Kerajaan, isu ini sungguh memilukan kami rakyat Malaysia. Pilu bukan sahaja kerana hilangnya wilayah kita dengan sebegitu mudah, malah timbul keraguan terhadap tahap tanggungjawab pemimpin negara, bahkan tahap kemampuan mereka membuat keputusan untuk kepentingan negara dengan wajar dan tepat.

Terima kasih.

Husam Musa
2 Mei 2010.

Friday, April 30, 2010

Medan Minyak Tergadai: Ya Dalam Nafi

Tahniah dan terima kasih kepada Pak Lah yang kali ini bersikap responsive.

Pak Lah memberikan penjelasan terhadap isu tergadainya dua medan minyak milik Sarawak kepada Brunei lewat petang ini, Juma'at, 30 April 2010.

Dari penjelasan ini kita dapat simpulkan;

a. Bukan medan minyak sahaja terlepas, tetapi sempadan negara kini mengecil kerana perairan di mana terletaknya dua medan minyak L dan M kini diiktiraf sebagai milik Brunei. "In a statement today, the former prime minister confirmed that Block L and Block M concessions now belonged to Brunei but...." (Bernama)

“This agreement serves to settle certain overlapping claims that existed in the past which included the area of the concession blocks known before as Block L and Block M.

“Sovereign rights to the resources in this area now belongs to Brunei." Laporan The Star berdasarkan kenyataan akhbar Pak Lah.

b. Cuma Malaysia diizinkan untuk menyertai perkongsian operasi pengeluaran minyak bagi kedua-dua blok itu untuk 40 tahun.

c. Terma ini dipersetujui Kabinet pada 11 Februari 2009. Bermakna PM sekarang juga terlibat dalam keputusan tersebut.

Penjelasan Pak Lah ini tidak mengubah inti berita sebelum ini bahawa kita telah terlepas dua medan minyak sekali gus kepada Brunei dan kini, kita sebenanya terlepas bukan sahaja medan minyak bahkan kedaulatan sempadan laut berkenaan juga untuk selama-lamanya.

Balasan yang diperolehi oleh Malaysia ialah kita boleh menyertai perkongsian operasi berasaskan perniagaan di medan berkenaan untuk selama 40 tahun. Selepas itu, kawasan berkenaan kekal dalam wilayah Brunei.

Bagi Pak Lah dan Kerajaan Malaysia, terlepas kedaulatan wilayah adalah kecil asal dapat merasa seteguk dua minyak dari kawasan yang kita lepaskan. Aduhai!

Dalam kes kawasan pertindihan sumber minyak Malaysia Thailand, negara mengambil ketetapan berbeza iaitu kawasan berkenaan kekal sebagai sebahagian wilayah Malaysia dan hasil minyak dibahagi mengikut peratusan tertentu antara dua negara. Kita tidak melepaskan kedaulatan wilayah kita tetapi kita menggunakan kaedah 'joint development'.

Mengapa susunan yang sama tidak digunakan dalam kes Brunei dan dengan itu kita tidak terlepas wilayah kita?

Atas murah hati kita melepaskan perairan di mana terletaknya dua medan minyak itu, kita mendapat kedaulatan ke atas Limbang.

Soalnya, kini pun Limbang adalah milik kita dan ia sebahagian dari Sarawak. Sungguh pun Brunei ada menuntut haknya ke atas Limbang, dari inti pati perjanjian-perjanjian sebelum ini termasuk apa yang disebut oleh Pak Lah dalam kenyataannya, isu Limbang sudah pun memihak kepada Malaysia.

Bermakna, kita mendapat apa yang sudah menjadi hak kita dan kita terlepas apa yang sepatutnya juga menjadi hak kita.

Nampaknya, kita mengambil jalan mudah dalam perkiraan ini. Apa lagi, Brunei masih secara terbuka menyatakan bahawa tuntutan ke atas Limbang belum digugurkan. Bererti, harapan kita untuk menyelesaikan isu tuntutan Limbang secara tersirat melalui 'pengukuran semula sempadan' berasaskan perjanjian-perjanjian 1920, 1931, 1933 (dua perjanjian berasingan) dan 1939 masih dalam proses sedangkan kedaulatan kita ke atas perairan yang terkandung di dalamnya dua medan minyak yang kaya itu sudah pun terlepas.

Bermakna, Brunei telah mndapat apa yang mereka mau serta merta dan kita menunggu satu tempoh dan proses yang akan memakan masa. Apa akan terjadi jika pendirian kerajaan Brunei atas apa sebab nanti, akan berubah?

Mengikut laporan, Brunei telah pun menganugerahkan konsesi dua medan itu kepada Total dari Perancis dan kedudukan Petronas dalam susun atur perkongsian yang disebut belum dijelaskan.

Akhirnya, bagaimana dengan Sarawak? Adakah kerajaan negeri dirundingi ketika wilayah laut kita ingin dilepaskan bersekali dengan sumber minyaknya?

Jika Pak Lah telah tampil 'menafikan tetapi sebenarnya mengiyakan', adakah PM kini hanya akan berdiam diri?

Murahnya nak jatuhkan PM kita

Kalau ada seorang blogger yang hebat dan kita ada RM 4 juta, kita sudah boleh jatuhkan seorang PM - nampaknya kerja menjatuhkan PM tidaklah begitu sukar.

Setengah orang mungkin kata 4 juta terlalu mahal dan setengah pula akan kata, kalau 4 juta PM boleh jatuh, ia cukup murah.

Apa sebab mahal dan apa pula sebab murah?

PM macam Pak Lah, adakah perlu lagi belanja sebesar empat juta untuk burukkan dia? Rasanya tak payah. Imej buruknya jadi sendiri atas kelemahan kepimpinannya.

Ada sesetengah blogger buat kerja itu percuma saja. Gambar Pak Lah terlentok tertidur dan segala macam kelemahan dia dah ada dalam beratus blog sejak lama. Ada blogger yang meng-kartunkan karakter Pak Lah dalam blog-blog mereka. Sejuta pun tak payah, usahkan empat juta, kerana rasanya blogger-blogger itu semua buat kerja itu sebagai tindakan spontan mereka saja atas kelemahan Pak Lah yang begitu ketara.

Seorang petugas tegar UMNO seperti Sang Kelembai melanyak Pak Lah dalam blognya lama sebelum adanya cerita orang tertentu dapat empat juta untuk burukkan sesiapa.

Kalau ada orang habiskan wang empat juta nak burukkan lagi Pak Lah yang dah pun buruk, rugi sakan lah rasanya orang itu.

Sehari dua ini,Tun M masih membantai Pak Lah atas tergadainya medan minyak kita di Sarawak kepada Brunei. Bekal Tun M tak sampai sepuluh duit pun. Dia hanya petik laporan The Edge dan Brunei Times online saja. Bukan susah nak burukkan Pak Lah hatta dia dah tak jadi PM tapi tinggalan-tinggalan keputusannya yang merugikan negara terbongkar satu lepas satu.

Kalau nak jatuhkan Pak Lah sampai berbelanja empat juta, rasanya terlebih bayar.

Kalau boleh jatuhkan PM sekarang dengan belanja empat juta, rasanya itu tak mahal dan mana-mana pihak boleh mencuba nasib mereka. Ini kira bagus dan murah.

Jadi saya tak tau tulisan blogger yang dibesarkan oleh Utusan itu boleh untungkan sapa?

UMNO Kelantan ada ulas, bagaimana besarnya belanja yang digunakan untuk tewaskan UMNO Kelantan. Empat juta.

Kalau dengan empat juta rancangan Datuk Mustapha tawan Kelantan boleh dikuburkan dan itu dianggap mahal, saya tak tau nak kata. Untuk menang Hulu Selangor saja UMNO belanja entah berapa ratusan juta. Tapi untuk tewaskan UMNO satu negeri, belanja empat juta dah cukup kira jimat dan hebat.

Rupanya tak susah sangat nak tewaskan UMNO Kelantan dan kalau dengan empat juta UMNO satu-satu negeri boleh ditewaskan, mana yang berminat boleh buka tabung untuk cukupkan empat juta satu negeri cuba tewaskan baki UMNO seluruh Malaysia. Rasanya UMNO akan kecut.

Dunia blogger ada indahnya.

Kadang-kadang kita boleh jadi tukang kek. Gandumnya tak sampai secawan tapi kalau kena campur dengan serbuk penaik, sebiji kek yang besar boleh kita buat. Campur pula majerin sama telur. Tengok kemahiran kita. Asalnya gandum secawan saja.

Setahu saya, gerak saraf tak burukkan orang. Itu perang saraf. Gerak saraf ajak orang sokong kita atas kebaikan kita.

Saya pun tak tahu sangat apa beza gerak saraf perang saraf dan operasi berkaitan saraf.

Apa kata kalau saya kata empat juta itu memang ada dan empat juta itu ditaja oleh kumpulan UMNO tertentu? Mereka nak jatuhkan Pak Lah kerana mereka sama tak suka.

Untuk jatuhkan PM sekarang pun dah ada empat juta lagi yang juga ditaja oleh orang UMNO yang tak puas hati Pak Lah dijatuhkan.

Lepas saya kata, nak tahu betul tak betul kena siasat tapi yang penting saya dah kata. Nasib elok keluar muka depan Utusan esok lusa, tenggelam cerita telaga minyak berharga tak kurang RM 340 billion yang hilang, gara-gara empat juta! Empat juta kalahkan 340 billion..... Ini pun mungkin masuk dalam kategori saraf juga, samada gerak atau perang atau saraf mana satu, saya tak berapa tau kerana cabang saraf ada bermacam-macam...

Maknanya, nak kata tak lah payah. Lepas itu kita minta lah mana badan yang patut siasat, menyiasat.

Thursday, April 29, 2010

Telaga Minyak Malaysia tergadai: Kesilapan Abdullah Penerusan Najib

Tun M dalam posting terbarunya mempersoalkan terlepasnya dua medan Minyak Blok L dan M milik Malaysia kepada Brunei.

Ia mungkin sebahagian dari persetujuan yang ditandatangani oleh Pak Lah dengan Sultan Brunei pada 16 Mac 2009 - Letters of Exchange (LoE) - 19 hari sebelum Najib mengambil alih sebagai Perdana Menteri.

Apa yang dipersetujui Pak Lah diteruskan oleh Najib. Surat Petronas untuk menamatkan perjanjian perkongsian pengeluaran dengan Murphy Oil Corp telah dikeluarkan pada 7 April baru lalu. Di Bawah CEO baru Petronas dalam era Najib. Lagipun, Najib masa itu adalah TPM.

Murphy Oil mengeluarkan kenyataan rasmi memaklumkan penamatan perjanjian oleh Petronas itu dan seorang Menteri Brunei pula mengesahkan kedua-dua blok minyak yang dulunya menjadi milik Malaysia telah secara rasmi menjadi milik Brunei.

Acara penandatanganan itu ikut dihadhiri oleh kedua-dua Ketua Menteri Sarawak dan Sabah, serta Menteri Luar waktu itu, Rais Yatim dan Menteri Kabinet, Hishammuddin Tun Hussien - seperti laporan Bernama bertarikh 16 Mac 2009.

Rais dan Hishamuddin masih menjadi anggota Kabinet sekarang dan tentulah mereka boleh memberikan penjelasan atas pelepasan khazanah berharga kita semudah itu. Bahkan seluruh kabinet Najib harus bertanggungjawab dan memberikan penjelasan.

Tun M mengganggarkan paling kurang USD 100 B atau RM 320 B khazanah kekayaan negara kita terlepas kepada Brunei.

Bayangkan! Untuk membayar royalti yang terhak kepada Kelantan yang bernilai hanya beberapa billion, mereka menggunakan berbagai alasan untuk menafikannya. Pada masa yang sama, mereka sanggup melepaskan khazanah yang beribu kali lebih tinggi nilainya dengan sebegitu mudah.

Janganlah Tun M hanya nampak kelemahan Pak Lah tanpa berani bertanya Najib kenapa surat penamatan rasmi dikeluarkan oleh Petronas dan secara terang menyebut pemilikan Malaysia ke atas Blok L dan M tidak lagi menjadi milik Malaysia.

Isu sebesar ini hanya layak dijawab oleh PM.

Pilihanraya Sibu memberi peluang rakyat Sarawak memberikan pandangan awal mereka tentang sebahagian kekayaan negeri mereka juga telah tergadai.