Wednesday, August 01, 2007

PM BELI BAS ANAK LELAKI TUNGGALNYA UNTUK PENANG

Akhbar NST di muka 12 hari ini, menyiarkan foto Perdana Menteri kita sedang mengibarkan bendera pelepasan bas RapidPenang, sambil tersenyum riang.

Semuanya secara kebetulan. Kerajaan Malaysia berhasrat menyediakan perkhidmatan bas yang lebih memuaskan untuk rakyat Pulau Pinang. Melalui RAPIDPenang, anak syarikat Prasarana yang dimiliki oleh Menteri Kewangan DiPerbadankan di mana Abdullah adalah Menterinya, telah memesan bas yang disediakan oleh Scomi, syarikat di mana Kamarudin, anak lelaki tunggal PM adalah pemegang saham terbesarnya.

Kebetulan, Perdana Menteri kita mempunyai anak yang berbakat usahawan berjaya yang antara lain mengusahakan logi pembuatan badan bas ini.

Pesanan permulaan dilaporkan berjumlah RM 31 juta dan telah ditingkatkan kepada RM 50 juta.

Semalam, Perdana Menteri dengan gembiranya secara rasmi melancarkan perkhidmatan bas yang diuruskan oleh RapidPenang, di Pulau Pinang.

Kegembiraan Perdana Menteri yang utama tentunya kerana kerajaan pimpinan beliau berjaya menyediakan perkhidmatan bas yang lebih baik di negeri asal beliau. Kegembiraan Scomi pula mungkin kerana kerajaan berkenan membeli bas yang diusahakan oleh Scomi.

Ia bukan amalan kronisma. Ia adalah kebetulan semata-mata.

Sedikit masa lalu, Perdana Menteri kita ada menegaskan bahawa syarikat anaknya mendapat kontrak perniagaan di luar negara dan beliau tidak pernah memberikan sebarang keutamaan kepada perniagaan anaknya dalam negara. Sudah tentu prinsip ini masih diamalkan oleh PM kita.

Scomi memang sebuah syarikat yang hebat.

Saham anak syarikat Scomi, Scomi Engineering yang terlibat dengan perniagaan membuat bas serta infrastruktur pengangkutan yang lain, bernilai RM 1.21 pada Ogos tahun lepas. Pada 12 Julai tahun ini, sahamnya telah meningkat tinggi kepada RM 3.12, iaitu tertinggi dalam tempoh 52 minggu.

Ia dijangka meningkat kepada lebih RM 4 dalam masa terdekat dengan pengumuman lebih banyak projek infra pengangkutan akan dibolot oleh syarikat yang sangat luar biasa hebatnya ini.

Pada masa saham Scomi dan anak syarikatnya meningkat naik serta PM sibuk melancarkan Wilayah Ekonomi Koridor Utara bernilai RM 177 billion, pasaran saham BSKL jatuh 34.22 mata, hari ini (Rabu).

Pelaburan sejumlah RM 177 billion untuk empat juta penduduk Utara Malaysia, atau purata RM 442 seorang rakyat, nampaknya tidak cukup kuat untuk meransang pasaran saham kita!

Akibatnya, pada perniagaan hari ini di BSKL, 1,032 syarikat mengalami kerugian berbanding 57 sahaja yang untung. Mungkin PM kita perlu melancar tujuh lapan koridor seperti itu lagi untuk membolehkan BSKL bertindak balas positif?

Keluarga Perdana Menteri kita nampaknya mempunyai berbagai bakat besar yang patut dibanggakan oleh kita semua.

Pada masa depan, PM memberitahu, RapidPenang mungkin akan menyediakan perkhidmatan feri pula. Rasanya, Scomi mampu pula membuat badan feri. Elok juga jika Scomi meninjau untuk membuat badan heli bagi menggantikan Nuri yang telah uzur kerana berumur lanjut.

No comments: